Wednesday, December 31, 2008

Ekuinoks by Azizi Ali


Oh dahsyatnya!

Err, bukan buku itu, tetapi saya. Kenapa?

Saya merasa sangat dahsyat kerana sepanjang Disember, tiada langsung entri yang saya buat. Walaupun saya telah menghabiskan beberapa buah buku, banyak pula halangan nak mengulasnya. Dan, sebab itulah, hari ini saya mahu juga menulis sesuatu. Kalau tidak saya mesti rasa lagi teruk!

OK, buku yang saya baca pada bulan Disember ini salah satunya adalah buku ini - karya fiksyen pertama oleh ahli motivasi terkenal - Azizi Ali (sila google sendiri siapa dia. Saya malas nak letakkan sebarang link untuk anda!).

Pertama kali mendapat tahu mengenai buku ini adalah melalui rencana advertorial di majalah Quill terbitan MPH (berharga RM8 untuk bukan ahli, dan percuma untuk ahli). Saya tak tahu apa yang menarik minat saya untuk membacanya, tapi apabila ke Tesco Mergong minggu kedua Disember lepas, saya terus membeli buku ini (saya mesti beli sesuatu kalau ke mana-mana kedai buku. Oh, abnormalkah ini?). Saya tak bacapun blurb nya. Kira belian maut lah.

Setelah disimpan beberapa hari, saya hanya dapat melunaskan pembacaan 2 minggu kemudiannya. Itupun setelah saya terpaksa tinggal di rumah baru adik saya yang tiada TV dan internet selama dua hari sempena majlis perkahwinannya! (Hmmm, ibu bapa, saya rasa untuk menggalakkan anak-anak anda membaca, sila jangan sediakan TV dan internet di rumah! huhu).

Ada beberapa perkara yang perlu saya maklumkan sebelum itu.

Pertama, saya tidak pernah membaca apa-apa karya Azizi Ali yang terkenal itu kerana persoalan mengurus kewangan adalah perkara yang membosankan (tapi, saya pencinta duit yang utama!).

Kedua, saya hanya tahu Azizi Ali seorang juruterbang dan berasal dari Perlis (wah, senegeri kami! Hemoi ...).

Itu saja.

Berbalik kepada buku ini.

Buku yang termasuk dalam genre fiksyen ini adalah cubaan pertama beliau. Secara keseluruhan, beliau mempunyai masa depan yang cerah di dalam bidang ini (apa punya ulasan nih!).

Kali pertama membaca blurb nya (sebelum memulakan pembacaan), saya tertarik pada ayat ... - apa yang sebenarnya berlaku pada 13 Mei 1969. Saya tak pasti apakah ini adalah personal encounter Azizi dengan peristiwa itu atau hanya tafsiran beliau (tapi, kalau dilihatkan usia beliau, mungkin ia benar pengalaman peribadinya). Saya selalu tertarik kepada karya yang menggunakan sejarah benar dan diolah menjadi cerita - dan, sekali lagi (tentulah!), karya Faisal Tehrani seperti 1515 benar-benar saya kagumi sehingga mencari-cari kebenaran watak Nyemah Mulya itu (kalau ia benar, ceritakan kepada saya, ya).

Walaupun keseluruhan plot ceritanya 'biasa' saja, cara Azizi memberi ilmu baru kepada saya sangat saya hargai. Ilmu tentang taekwando, persenjataan, dan sedikit teori pembunuhan. Baru saya tahu rupanya badan manusia akan bertukar menjadi lembik apabila mati melebihi 48 jam kerana badan manusia akan menjalani reverse process (betul kot terma tu). Dan, juga kalau menembak menggunakan revolver, katrij peluru akan kekal di dalam silinder (boleh melambatkan proses mencari peluru bukti) berbanding menggunakan senjata semi-automatik.

Oh, lupa nak cerita plotnya.

Ia bermula dengan cerita pembunuhan yang berlaku dalam keluarga seorang jutawan - Dato' Henry Chin. Polis mengalami kesukaran untuk menyelesaikan kes itu kerana kesukaran mendapatkan bukti pembunuhan. Dalam masa yang sama, teman wanita Dato' Henry juga dibunuh. Ini membuatkan kes terarah kepada Datin Brenda, isteri Dato' Chin sebagai suspek utama.

Kemudian, muncul watak Iskandar, seorang bekas peguam dan kini pensyarah bahagian Sejarah di UM. Beliau seorang pemegang tali pinggang hitam taekwando dan seorang yang meminati outdoor activity. Lebih menarik, Iskandar dan Brenda pernah bercinta semasa mereka belajar di Imperial College, England. Namun, mereka telah terputus hubungan setelah Brenda terpaksa mengahwini Dato' Chin. Semasa melakukan aktiviti oudoor nya, Iskandar telah dipatuk ular dan dimasukkan ke hospital. Dalam masa yang sama, Brenda juga dimasukkan ke situ setelah mengalami kecederaan parah di dalam peristiwa pembunuhan itu. Kemudian penceritaan bergerak daripada peristiwa itu. Selebihnya anda baca sendiri, ya!

Membaca keseluruhan novel ini akhirnya membuatkan saya tertanya sendiri - sekiranya kita mendapat fakta yang tersangat kontras untuk sesuatu peristiwa / sejarah, bagaimana kita mahu melihat kepada keseluruhan sejarah itu?

Persoalan ini terbit apabila watak Iskandar menerangkan mengenai siapa sebenarnya Datuk Maharajalela dan bagaimana JWW Birch itu. Juga mengenai Yap Ah Loy dan Francis Light juga.

Kemudian, saya membuat rumusan mudah - sejarah adalah subjektif kepada sesiapa yang mentafsirkannya. Oleh sebab itulah, seseorang boleh menjadi hero di mata orang lain dan menjadi penjenayah di mata orang lain. Pastilah semua tafsiran ini tidak semudah itu. Harus ada timbangtara yang sempurna seperti siapa yang menulis sejarah itu. Sebagai contoh, sekiranya anda membaca catatan Sweetenham (saya pun tak baca lagi!) mengenai Melayu dan cara Tun Perak mengungkapnya (ini saya tahu dari ceramah Datuk Dr. Ramlah Adam), terdapat kontras yang tersangat. Sweetenham melihat dari sudut orang luar, dan Tun Perak itu berbicara dari pengalamannya sebagai seorang yang memiliki psyche Melayu itu. Dan, disebabkan rumusan itu, saya rasa ok.

Azizi juga dalam sinisnya menempelak perkara-perkara yang berlaku di negara ini khususnya selepas pasca PRU18 - tuntutan yang tidak berasas dan respon orang Melayu terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Dan, mengaitkan ini dengan tafsiran 13 Mei itu, saya kira sesuatu yang bijak.

Ada orang berpendapat buku ini agak berat untuk difahami dan membosankan kerana banyak benar fakta dan pengulangan kisah (terutama flashback kisah Iskandar dan Brenda semasa hangat bercinta di London). Namun, bagi saya ia menarik kerana ia sedikit lari daripada klise novel Melayu yang melambak di pasaran.

Adil tak kalau saya membandingkan novel ini dengan novel Ramlee Awang Murshid?

Saya rasa, kalau dibandingkan antara plot keduanya, novel Ramli sedikit complicated berbanding plot Ekuinoks (saya bandingkan dengan novel Hatiku di Harajuku). Tapi, tidak mengapa, untuk first try begini, ini sudah bagus. Dan, sekiranya ada lagi karya begini daripada Azizi, saya akan terus membacanya.

P/s: Kenapa ekuinoks? Kata Azizi melalui watak Iskandar - kerana insiden yang berlaku di rumah tempat Dato Chin dibunuh. Insiden pertama berlaku pada malam pembunuhan (21 Mac) iaitu tarikh ekuinoks musim bunga, dan insiden kedua apabila bapa Iskandar bertemu dengan orang Cina yang diselamatkan semasa 13 Mei (bapa Brenda) pada 21 September - ekuinoks musim luruh. Ekuinoks hanya berlaku dua kali setahun yang bermaksud waktu siang dan malam sama panjang di semua garisan latitud.

Brilliant!

Wednesday, November 19, 2008

Kasih disemai, Sayang dituai ... sebuah memoir by Dr. Amida Abdul Hamid


Sebuah lagi memoir yang saya baca bulan ini selain memoir Pak Kassim Ahmad itu.

Memoir comel ini sebenarnya adalah kompilasi tulisan Dr. Amida di Majalah ANIS. Saya senang menghalusi tiap tulisan Dr. Amida yang saya rasa penuh kasih sayang. Kiranya, melalui tulisan beliau, saya berpengalaman merasai sesuatu yang tidak pernah saya dapat atau alami sepanjang kehidupan saya. Ah, melankolik pula!

Cara Dr. Amida menulis sering membuatkan saya merasa bahawa banyaknya perkara kecil yang indah dan semestinya signifikan dalam hidup kita tetapi sering dikesampingkan. Bila kita meremehkan perkara ini, kita pasti akan terlupa untuk menghayati keindahan hidup. Malah, yang selalu difikir, kesusahan sahaja. Seolah-olah kita ini dilahirkan untuk menerima malang selamanya. Tapi, apa nak hairan, antara sekian banyak kebaikan dan keburukan, perkara buruk itu lebih 'menarik' untuk dibicarakan.

Bermula daripada kehidupan belian semasa zaman pra-sekolah (bermula dengan cerita Belajar dalam Darjah Naught) sehinggalah kesempatan pengarang menimba pengalaman hidup di perantauan membuat saya terleka membaca.

Ada ketika air mata saya mengalir dengan mudah bila seakan terkesan dengan penceritaannya (saya pernah bagitaukan, saya ni cengeng walaupun macho?). Seperti yang saya katakan awal tadi, kita ini lebih banyak menumpukan kepada perkara yang sedih dan tidak seronok daripada perkara yang menyenangkan. Dan, bila ada orang yang boleh membangkitkan semula perasaan indah itu, susah untuk tidak memberi sebarang reaksi.

Walaupun semua kisah ini adalah kisah biasa dalam kehidupan Dr. Amida, keupayaan cerita-cerita biasa itu membangkitkan perasaan adalah sesuatu yang membuatkan saya setia membaca hingga ke akhirnya.

Apa lagi yang mahu saya ulas?

Apa yang boleh saya katakan, kalau ada buku yang boleh membangkitkan suatu perasaan, eloklah anda sendiri yang membacanya.

Selamat membaca dan 'berperasaan".

Sunday, November 16, 2008

Mencari Jalan Pulang by Kassim Ahmad

Gambar dipinjam tanpa izin dari sini


Saya tertarik untuk membeli dan membaca buku ini bukanlah bersandarkan sebab tertentu. Kebetulan singgah di Kinokuniya, saya bermaksud membeli bahan bacaan setelah hampir 3 bulan saya tidak membeli buku baru. Dan, buku ini yang terakhir saya ambil untuk mencukupkan kuota buku belian saya. Harga yang ok, kulit depan yang memancing minat, serta saiz tulisan yang menyenangkan mata, apa lagi yang harus saya katakan? Hmmm ...

Saya tiada pengetahuan mengenai Kassim Ahmad selain mendengar dakwaan orang bahawa dia adalah terdiri daripada golongan anti-hadis dan penulis buku kontroversi, Hadis - Satu Penilaian Semula. Lagi pula, ketika kontroversi buku itu memuncak, saya masih di alam pra-tanggungjawab (seperti yang ditermakan oleh beliau) ... hanya tahu bersukaria dengan kehidupan yang indah dan mengasyikkan.

Melayari beberapa blog yang mengulas buku ini, banyak ulasan yang bernuansakan kebencian kepada beliau. Ada yang mengatakan bahawa Pak Kassim (ya, saya hormati dia kerana dia berusia daripada saya!) mahu mempopularkan semula semangat anti-hadisnya, dan tak kurang yang mengejek-ejeknya sebagai orang yang sesat, tetapi mengaku menemui jalan pulang. Bahkan, yang lebih keras marahnya, siap mencadangkan agar buku ini turut diharamkan dan Pak Kassim wajar disumbatkan di bawah ISA.

Satu hal yang positif terhadap pembacaan saya kali ini adalah saya membaca tanpa sebarang persepsi. Mungkin kerana ia diwar-warkan sebagai sebuah memoir (dan sememangnya saya suka membaca memoir), saya dapat mengesampingkan segala cerita negatif mengenai Pak Kassim daripada mempengaruhi pembacaan saya. Bonus lagi, saya tiada pengetahuan mengenai dirinya (saya hanya mencari fakta mengenai beliau usai membaca buku ini).

Buku ini sebenarnya adalah antara buku yang saya baca dengan perasaan sayang untuk menghabiskan. Maka, saya sengaja melambat-lambatkan untuk menyelesaikannya.

Yang membuatkan saya tertarik, semestinya pada hujahannya yang 'meyakinkan' dan penuh keintelektualannya (emm, saya macam dapat rasakan ada yang menggeleng-geleng kepala sambil tersenyum sumbing apabila membaca kenyataan ini ... tapi, ini pendapat saya).

Bila dia menerangkan mengenai teori Darwin (natural selection dan survival of the fittest) dan menghuraikan mengenai konsep 'takdir' dan bagaimana Allah mengurniakan keistimewaan kepada manusia 'dalam menentukan takdirnya' berdasarkan kepada fakulti akalnya, saya boleh faham maksudnya - dan, selalunya, bila kita boleh faham apa yang dmaksudkan penulis dalam pembacaan, potential incompatibality adalah rendah, dan kita akan lebih seronok membaca.

Namun, seperti biasa, ada banyak perkaralah yang tidak saya senangi dengan cara Pak Kassim menghuraikan sesuatu, seperti mempertikaikan mengenai kecenderungan orang Islam mengagungkan ulama-ulama muktabar terdahulu, ahli-ahli hadis melebihi al-Quran. Pak Kassim seakan mempertanggungjawabkan karya, keilmuwan dan segala perlakuan ulama-ulama ini sebagai sebab musabab umat Islam menjadi jumud dan kaku dalam menggunakan akal. Dengan mencetuskan provokasi (yang saya kira sengaja dan terancang), Pak Kassim mencabar pembaca untuk berani melawan apa yang telah dimaktubkan oleh ulama-ulama tersebut. Beliau malah seolah marah kerana umat Islam sanggup mempercayai hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan selepas 200 tahun wafatnya Baginda SAW [dan, saya noktahkan ketidaksenangan perasaan saya di sini sahaja, tanpa perlu diperpanjangkan lagi.]

Lalu, dengan mengambilkira bahawa seseorang itu percaya yang dia adalah benar adalah kerana ilmu yang dimilikinya, dan saya memahami kenapa Pak Kassim begitu - adalah kerana kecenderungan beliau menanggapi ilmu falsafah, agama dan politik dengan mendalam (berdasarkan apa yang beliau tulislah).

Dia boleh berbahas dengan penuh yakin dia itu betul kerana dia mendalami perkara-perkara yang mahu dibahaskan (tak kiralah sama ada ilmu itu betul atau salah kerana persoalan betul atau salah itu kemudiannya berbalik kepada cara kita menanggapinya pula ...). Dan, saya kira Pak Kassim sangat terbuka untuk dihentam dan menghentam - satu kualiti yang jarang ada pada banyak orang yang mengaku berilmu. Pak Kassim juga berani bertanggungjawab atas apa yang dia perkatakan.

Satu perkara yang saya sangat bersetuju dengan beliau adalah mengenai ketiadaan budaya berdialog dalam masyarakat kita atau lebih kh.usus masyarakat Islam. Kita lebih suka memilih untuk menghentam daripada mendengar dan berdialog. Kekesalan Pak Kassim dengan tindakan beberapa pihak yang mempertikaikan karyanya tanpa memberi peluang kepada beliau untuk menghujahkannya adalah satu kenyataan perit yang perlu kita akui. Perkara ini membuatkan saya teringat kepada komentar Prof. Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman di Seminar Penjenayahan Perang 2007 yang lalu bahawa bila terma 'dialog' diutarakan dalam usaha menyelesaikan perbalahan, ia selalunya akan diperemehkan oleh banyak pihak dengan alasan dialog banyak membuang masa - sedangkan adab berdialog tidak pernah mahu mereka dalami (oh, itu cerita lain kali lah).

Persoalan sama ada Pak Kassim pulang, atau tersesat di jalan adalah ceritanya dengan Allah, dan siapalah kita untuk menghukum. Adakah kita yang 'di jalan lurus ini' boleh menjamin kita benar selamanya? Daripada menghukum, baik juga kita bersama-sama menadah tangan berdoa agar semua yang bersyahadah dengan kalimah "La Ilaha illa Allah" di dunia ini sentiasa dilorongkan untuk terus kekal dijalan yang sentiasa diredhai Allah. Bukankah Islam ini agama nasihat menasihati dan sentiasa menyuruh kita mencintai muslim yang lain?

OK lah, saya kira inilah yang sebenar saya rasa mengenai memoir ini. Yang pasti saya senang membacanya - walaupun, banyaknya kesalahan ejaan (proof reader tak buat kerjakah?) dan struktur ayat yang kadang-kadang membuatkan saya semacam "erk".

Pesanan saya - kalau ada yang baik, amalkan. Kalau jumpa yang buruk, tinggalkan dan panjatkanlah doa kepada Allah supaya penulisnya diampunkan.

Sekurang-kurangnya dia berani menyatakan apa yang dia fikir. Orang yang mengomel yang tidak-tidak itu, apa usaha anda selain daripada menempelak?

Monday, November 3, 2008

Ketika Cinta Bertasbih - I dan II by Habiburrahman El-Shirazy


Bulan ini saya mulakan pembacaan dengan karya Kang Abik (Habiburrahman), iaitu Ketika Cinta Bertasbih (KCB) episod 1 dan 2 sekaligus.

Buku ini buku pinjam atas pinjam.
Milik Kak Nor dan dipinjamkan oleh Ras kepada saya. Semasa mahu menyerahkan buku ini kepada saya, Ras seperti 'orang salah' kerana menyorok-nyorok takut dilihat orang. Kemudian, Ras mengakui bahawa dia rasa segan kalau orang lain nampak dia baca buku itu - dah tua, tapi baca buku cinta! - begitulah pula.

Buku ini sudah lama dipinjam, namun baru kini berkesempatan membacanya. Sibuk dengan urusan dunia yang tidak henti-henti saya kira :p

Kala memegang buku-buku ini, saya sebenarnya tidak dapat menahan diri daripada membuat andaian bahawa buku ini pasti sebahagian inti patinya sama seperti
Ayat-Ayat Cinta (AAC). Dan, andaian itu juga sebenarnya menghalang saya daripada terus membaca tatkala baru memperolehinya daripada Ras.

Apakah andaian saya itu?

Kalau sebahagian besar pembaca kagum melongo dengan AAC, saya pula adalah sebahagian kecil yang rasa biasa sahaja. Namun, saya akui, ada beberapa aspek AAC yang saya kagumi dan selebihnya, biasa sahaja.
Dengan watak yang keterlaluan sempurna, Fahri yang sungguh alim dan bijak dan Aishah dengan kecantikan yang memukau dan menyihirkan, saya sukar 'menghubungkaitkan' cerita novel itu dengan realiti. Saya rasa sukar untuk menghargai kenyataan yang begitu kerana kesempurnaan yang keterlaluan.


Dan, tatkala membaca karya lain Kang Abik,
Pudarnya Pesona Cleopatra, (baca reviewnya di sini sini) saya melihat kecenderungan pengarang untuk mencipta watak wanita dan lelakinya dengan penuh pesona. Wanitanya cantik 'gedegang' dan amat-amat sempurna dan lelakinya alim 'gila'. Maka, sebagai pembaca awam, saya tidak rasa bersalah untuk merasa sedikit bosan dengan semua ini.

Ah, panjang pula andaian saya ni. Teruskan membaca ya ...

Dan, andaian itu saya rasa ada benarnya ketika saya mula membaca KCB I, dengan watak
dan Azzam, mahasiswa Al-Azhar yang bijak dan sangat berakhlak muslim sejati, Anna Althafunnisa, mahasiswi, anak seorang Kiai besar Indonesia yang sempurna serba serbi (dan, cantik 'gedegang' pastinya), serta watak antagonis, Eliana, anak Pak Dubes (Duta Besar Indonesia ke Mesir) yang dikurniakan sosok model dan dilengkapi dengan pelbagai kehebatan. Saya hampir-hampir memberhentikan pembacaan saat 'diperkenalkan' watak-watak ini.

Tapi, bila habis semua watak diperkenalkan, saya rasa tertarik untuk membaca semula. Kerana apa?
Kerana Azzam itu digambarkan sedikit 'tidak sempurna' - maksudnya, pintar, tapi sengaja tidak meluluskan dirinya dari pengajian sehingga tertangguh selama sembilan tahun tak bergraduat hanya kerana mahu memperbaiki hidup serta membantu adik-adiknya di Indonesia setelah kematian bapa mereka dengan menjual tempe dan bakso di Mesir itu.

Walaupun watak Azzam masih kental bernuansakan muslim sejati (dengan kecintaannya pada ilmu dan amalan sunat), saya masih boleh menerima cara pembinaan wataknya. Namun tidak kepada watak Anna - yang dikagumi banyak mahasiswa di situ.
Digambarkan Anna itu keterlaluan cantiknya dan keterlaluan pula cerdasnya. Ya, mungkin ada orang begitu, namun, bagi saya ia seolah-olah meletakkan manusia biasa dan 'super human' dalam satu ruang yang sama. Susah untuk diterima (pada saya lah .. anda, saya tak tahu).

KCB I sebenarnya
tidak bercerita padat mengenai soalan substantif tetapi lebih kepada memperkenalkan watak-watak serta bercerita mengenai hubungan antara satu watak dengan watak yang lain. Namun Kang Abik pandai memancing rasa ingin tahu saya kepada apa yang akan terjadi selepas KCB I (walaupun saya oleh mengagak kesudahannya).

Dan, telahan saya memang betul, kerana apa yang saya fikirkan semasa membaca KCB I terjadi dalam KCB II - iaitu, moral ceritanya -
kalau itu sudah jodoh kamu, buatlah bagaimanapun, ia tetap akan terjadi ... Subhanallah.


Satu hal yang membuatkan kurang rasa 'meluat' saya kepada karya ala cinta soleh-solehah ini, adalah kerana keupayaan Kang Abik
menterjemahkan Islam sebagai satu cara hidup dan bukannya sebagai retorik semata.


Contoh jelas, apabila Azzam diperkenalkan oleh Eliana sebagai kekasihnya setiba mereka di lapangan terbang Indonesia (dan berdepan dengan wartawan kerana Eliana seorang pelakon terkenal), Azzam dengan selamba mengiyakan sahaja - kerana untuk tidak memalukan Eliana walaupun dia menyedari Eliana bergurau sahaja. Azzam adalah seorang penuntut Syariah yang bagus, namun hubungan sesama manusia ditadbir dengan seadanya sesuai dengan nature manusia itu -
bukannya dengan menjadikan agama sebagai halangan bermuamalah sesama insan seperti seorang lelaki bila bicara dengan perempuan sepanjang masa harus menundukkan pandangan kerana pandangan merupakan muqaddimah zina!
Saya juga terasa lucu dengan cara Azzam mencari jodoh dirinya sebelum bersatu dengan Anna - sesiapa saja yang diperkenalkan oleh orang sekeliling untuk menjodohkannya, diterima tanpa banyak soal. Maksudnya, dia berani mencuba dan tidak terkesan sekiranya usaha itu gagal.


Mungkin maksud 'Cinta Bertasbih' adalah dengan keazaman yang kuat dan kekuatan doa dan harapan kepada Allah SWT, memungkinkan tasbih (memuji) itu menukarkan takdir hidup Azzam dan Anna. Mungkin juga ia bererti, kekuatan mereka yang bercinta kerana Allah SWT membuatkan mereka memulangkan semua pujian kepada Allah, dan kerana itu mereka dikurniakan sebenar cinta oleh Allah.


Saya rasa kelakar sebenarnya untuk membuat tafsiran ke atas karya seseorang. Mungkin sahaja orang itu berkarya kerana tercetus idea begitu tanpa ada apa-apa maksud. Tapi, ada orang lain bersusah-payah memeningkan kepala mentafsir dengan ribuan teori!

Teringat kata-kata Afdlin Shauki -
"filem tidak seharusnya mendidik penonton, kerana itu bukan fungsi utama filem. Namun, sekiranya penonton boleh mendapat sesuatu daripada filem, itu adalah bonus bagi seorang karyawan filem." - dan, dengan mengambil kira kata-kata ini, saya kira kita boleh mentafsir apa sahaja daripada karya seseorang, dan inilah tafsiran dan kefahaman saya.



P/s: Saya membaca versi terjemahan, dan kualiti terjemahannya sangat teruk - penuh dengan kesalahan tatabahasa dan ejaan. Saya mahu cari versi asal dalam bahasa Indonesia pula untuk simpanan saya.



Monday, October 20, 2008

Menilai Ayat-ayat Cinta

Ini bukanlah review filem itu.

Cumanya mahu menjawab soalan Cik Mia Shakira yang telah sekian lama meninggalkan komen di rumah saya ini [dan, terima kasih, kerana mencetuskan idea buat saya!]:

Saya kurang faham dengan sifat syiah faisal, maaf kata saya kurang pandai dalam ilmu agama. Yang saya tahu islam itu satu, mazhab apa pun ia, ia tetap islam teman sesaudara saya. Kita tak boleh kawan dengan orang yang syiah ke?? Hum, tak fahamlah...

Jawapan saya ...

Seharusnya kita berpegang kepada "Setiap mukmin itu bersaudara." - Dan, sesiapa yang membenarkan kalimah "La ilaha illaLLah, Muhammadur Rasulullah" - mereka itu memang saudara seagama. Persoalan mengenai baiknya kepercayaan kita daripada kepercayaan dia, biar Allah SWT yang mengadilinya.



... "dan, damaikanlah mereka yang bertelingkah itu ..."

Saya kira saya bersetuju dengan Mia tentang perkara ini.



Soal Mia lagi:

Tunggu teduh dulu tu ada ala-ala ayat-ayat cinta ke??

Jawapan saya ...

Ayat-ayat cinta itu saya terjemahkan sebagai tanda-tanda cinta. Maka, dalam TTD, banyak ayat-ayat cinta di situ - Cinta Salsabila pada tanah arwah ayahnya terungkap pada ladang betiknya. Cintanya pada Makcik membuatkan dia melupakan kisah lampaunya. Cintanya pada sahabat-sahabat, dia tidak menoktahkan persahabatan dengan percintaan [logiknya - persahabatan akan berakhir sekiranya menjadi percintaan ... namun, percintaan boleh memulakan persahabatan].

Dalam AAC, Fahri dicinta sekian banyak orang kerana akhlaknya, pegangannya, ketakwaannya dan sebagainya.


Operative term nya di sini - tanda-tanda cinta itu lah.


Maka, untuk menyatakan TTD ala-ala AAC, bukanlah satu inferen yang salah, kerana keduanya berbahas pada operative term yang sama - beza pada plot dan wataknya.


Lagi pula, namanya pun ala-ala ... kiranya saling ada persamaanlah ...


Makanya Mia ... kadang-kadang persamaan pun membuatkan orang berkonflik .. apatah lagi pada perkara yang berbeza ...


Harap Mia faham maksud saya ...


Sunday, September 7, 2008

Melayu ... Melayu ...

Hari ini di Mingguan Malaysia - pendapat Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz, pensyarah undang-undang UIA. Sesuatu yang sangat menarik untuk direnungkan ...

Antara yang menarik perhatian saya ..

Di kalangan generasi muda adalah jelas mereka tidak menghiraukan mengenai pencabulan Perlembagaan ini?
DR. SHAM RAHAYU: Tidak dapat dinafikan bahawa generasi baru memperjuangkan kesamarataan. Saya setuju dengan pandangan bahawa akibat daripada perjuangan inilah berlakunya pencabulan Perlembagaan. Justeru kita harus melihat agenda di sebalik tindakan berkenaan.
Adakah asas kesamarataan itu menjadi benda yang kukuh? Kenapa kita analogi sistem kesamarataan kita dengan barat. Apa yang ada di negara kita terlalu unik. Sepatutnya kita pergi kepada keadilan bukan kesamarataan. Saya rasa faktor utama yang menyebabkan kekeliruan ini berlaku kerana orang tidak faham apa konsep keadilan dalam sistem Perlembagaan kita. Kalau hendak bagi semua orang sama rata itu tidak adil. Lihatlah sejarah bangsa mana-manapun sudah pasti ada sesetengah golongan harus diberi keutamaan. Apa yang diberikan oleh Perlembagaan kepada orang Melayu tidaklah melampau. Jadi tidak perlulah lagi dipersoalkan mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini. Bagi saya mereka yang membangkitkan isu berkenaan mempunyai agenda politik.

Kemungkinan dalam hal ini, konsep mewujudkan bangsa Malaysia itu juga harus diambilkira. Dengan penekanan yang "keterlaluan" terhadap konsep ini - terutamanya dalam pembentukan wawasan 2020 - generasi sekarang mendapat satu ingatan bahawa menjadi bangsa Malaysia, kita tidak memerlukan pengenalan bangsa sendiri kerana semuanya adalah sama. Ibarat kata Susan Lancaster dalam cerita Mekanik, "Orang putih ke, orang hitam ke, orang biru ke, orang coklat ke, kitakan orang Malaysia!". Maka, sepatutnya, satu bangsa, semua sama rata.

Arkitek yang membangun konsep bangsa Malaysia ini mungkin lupa, bahawa Tanah Melayu bukan terbentuk daripada bangsa pelbagai, tetapi orang Melayu. Itu sebabnya ia dipanggil tanah Melayu. Kata ADUN Bukit Bendera, kaum lain adalah pendatang sejak zaman sebelum merdeka - betullah (tapi dengan segera TPM minta maaf, cover line). Dan, oleh sebab itu, tanah Melayu ini tidak bisa menjadi melting pot seperti di Amerika. Bangsa Melayu masih wujud dengan ramai di sini. Bukan seperti orang Red Indian yang sudah hanya menjadi sejarah.

Kenapa orang Melayu selalu dilihat bersalah apabila mempertahankan hak Melayu?

DR. SHAM RAHAYU: Apologetik. Orang Melayu terlalu berdiplomatik dengan sifat kemelayuan, sedangkan Melayu sebenarnya kuat dan hebat, tetapi sekarang ini kita terlalu apologetik. Sikap apologetik dan diplomatik, sikit-sikit minta maaf menyebabkan orang naik tocang. Sikap ini kalau dilakukan terlalu kerap orang akan bosan. Saya rasa faktor utama mengapa hak orang Melayu di sisi Perlembagaan sering dipersoalkan ialah tidak tegas dari segi penguatkuasaan dan sifat apologetik. Inilah dua karakter yang menyebabkan Perkara 153 dipijak, menyebabkan kedudukan orang Melayu dipijak sehingga orang Melayu rasa bersalah dan malu untuk mengaku kita sebenarnya ada keistimewaan.

Ya, pernyataan yang sangat saya setuju! Kita ini memang bangsa yang sangat apologetik. Dan, bila keterlaluan begitu, kita juga menjadi bangsa yang apathy - menyerah sahaja kepada apa yang orang kata tanpa mahu menilai baik dan buruk. Malu nak menuntut hak sendiri, tapi tidak segan silu berjuang bagi pihak orang lain.

Sekarang ini ada pula Melayu liberal yang juga mahu supaya diwujudkan kesamarataan?

DR. SHAM RAHAYU: Kelompok ini yang menjadi racun, saya sebut ini adalah Melayu yang makan Melayu, Melayu yang menjadi racun kepada Perlembagaan. Tidak mustahil mereka yang mencetuskan semua ini. Mereka yang nak jadi juara memperjuangkan hak sama rata, tanpa memahami sejarah Perlembagaan secara semangatnya. Mereka melihat Perkara 153 itu seolah-olah membawa pandangan buruk kepada Melayu, mereka rasa keistimewaan itu macam bantuan kepada orang cacat, benda yang buruk kepada orang Melayu. Ini menjadikan orang memijak Perlembagaan. Mereka ini tali barut yang menjadikan Perkara 153 dan orang Melayu sendiri bencikan keistimewaan Melayu. Kita tidak menafikan perkembangan mutakhir ini menunjukkan wujud dua Melayu iaitu Melayu liberal dan Melayu Perlembagaan..

Ya, saya pun pelik dengan kelompok ini. Apa sebenarnya yang menjadi kudis kepada mereka? Apa yang mereka mahu sebenarnya? Tidakkah sewaktu mereka membesar dahulu, mereka juga adalah sebahagian daripada Melayu yang 'bergelumang' dengan segala keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan itu? Adakah setelah mereka 'berjaya' membina kehidupan, mereka tidak mahu orang lain juga berjaya sama? Analoginya, mereka ini telah menyeberang ke seberang sungai dengan menggunakan titi yang sangat utuh buatannya, dan titi itu telah dibina sepenuh jiwa raga oleh orang yang terdahulu. Namun, selepas titi itu digunakan untuk menyeberang dengan selamat dan jayanya, mereka merasakan bahawa titi itu adalah sesuatu yang menyakitkan mata dan hati mereka tanpa sebab yang kukuh, dan titi itu patut dimusnahkan.

Sakit benar hati mereka melihat Melayu ditolong oleh Perlembagaan agaknya. Tapi, kalau kamu tidak mahukan pertolongan itu, janganlah kamu berasa sakit hati pula kalau ada orang lain yang memerlukan. Kalau kamu tidak mahu, pergi saja kamu dari sini. Carilah sebuah negara yang boleh memakmurkan hidup kamu dengan penuh kesamarataan itu. Kalau kamu berjaya, ya, kamu memang hebat. Kalau tidak ... entahlah ... saya pun tak tahu mahu kata apa.

Adakah Doktor melihat ada agenda lain di sebalik timbulnya cakap-cakap mengenai hak keistimewaan orang Melayu ini?

DR. SHAM RAHAYU: Saya melihat isu bukan agenda saja-saja atau demi kepentingan bangsa tetapi lebih kepada agenda politik. Sepatutnya semua pihak mesti membezakan antara politik dengan Perlembagaan. Jika kita lihat kedudukan bukan Melayu terutama dari sudut politik dan ekonominya amat memberangsangkan dan bukan sedikit kalangan mereka yang kaya raya di sebalik wujudnya Perkara 153 ini. Saya tidak nampak apa salahnya dalam sistem itu, cuma mekanisme itu yang perlu dilihat balik dan saya rasa Perkara 153 tidak boleh dikompromi dalam membina bangsa Malaysia. Kita tidak boleh potong Perkara 153 sampai bila-bila pun, kerana bangsa kita memerlukan safeguard (pengawalseliaan) iaitu Perlembagaan untuk mengawal Melayu.
Kita mesti ingat di dunia hanya di Malaysia yang wujud Melayu begini, di Indonesia sudah tidak ada, di Afrika Selatan juga tidak ada identiti Melayu sebegini. Kita yang masih tulen dan mempunyai keistimewaan kalau hendak dilihat Melayu di Singapura apa agaknya yang mereka ada.

Politik pun satu hal. Kegilaan manusia-manusia yang mahu berkuasa pula lagi satu masalah. Konon mahu berjuang demi agama, bangsa dan negara. Bukan orang tak tahu serakah nafsu mereka. Apa yang sebenarnya yang mereka fikir?

Saya selalu percaya perbuatan yang ikhlas akan menampakkan kesan yang baik. Namun, saya tidak ketemui kesan itu pada kebanyakan mereka yang mahu berkuasa itu. Yang paling tertonjol, keserakahan mereka itulah. Tamak haloba. Sanggup berbuat apa sahaja demi kesenangan hidup yang sementara. Pendokong Machiavelli sejati nampaknya.

Adakah ia mungkin disebabkan oleh kaum-kaum lain percaya bahawa kaum Melayu diberi keistimewaan keterlaluan sehingga hak menjejaskan hak mereka?

DR. SHAM RAHAYU: Kalau hendak kata mereka tidak mendapat legitimate interest (perkataan yang digunakan dalam Suruhanjaya Reid), kita sendiri lihat kedudukan kaum-kaum lain di Malaysia sekarang ini. Adakah mereka tidak diberi peluang sedangkan mereka boleh ‘survive’ malah dalam banyak bidang mereka amat berjaya. Kalau Melayu tidak diberi kedudukan ini adakah Melayu boleh survive, itu yang penting dan mesti kita tengok.

Saya juga tertanya-tanya adakah selama ini negara kita tidak aman dengan adanya keistimewaan orang Melayu. Adakah kita tidak gembira berada di Malaysia hanya kerana adanya 153 ini. Persoalannya apa susah sangat dengan 153.

Dalam buku Chinese Dilemma dan Chinese Contributions mereka bangkitkan tentang peranan mereka, sememangnya kita terima peranan mereka membangunkan Bank Negara misalnya, tapi mereka kena ingat ini adalah negara mereka dan itu adalah sumbangan mereka. Apa yang mereka tidak dapat di negara ini. Sistem pendidikan misalnya kita lihat Singapura hanya ada satu sistem, tetapi di sini semuanya ada. Perpaduan bangsa kita seperti yang dikatakan oleh Syed Naquib Al-Attas umpama jalur-jalur besi yang tidak boleh nak dicairkan kerana adanya prejudis. Adakah 153 menjadi satu isu untuk mereka prejudis kepada Melayu, saya rasa itu tidak adil untuk bangsa Melayu.

Sepatutnya mereka kena tunjukkan sejauh mana benarnya Dasar Ekonomi Baru telah menyekat legitimate interest mereka, kalau Lim Kit Siang kata orang Cina tidak diberi peluang sila perjelaskan peluang apa.

Ya, saya sangat bersetuju dengan point yang ini. Sangat!

Apakah dengan perkara 153 itu mereka dihalang membina kehidupan mereka? Adakah mereka tidak boleh hidup dengan sempurna? Kalau balik ke negeri asal nenek moyang mereka pun, kemungkinan besar layanan sebegini tidak akan mereka terima.

Saya bukanlah racist. Nauzubillah. Saya percaya kepada kepelbagaian. Saya menghargai kesempatan hidup dalam sebuah negara yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Dan, saya sangat percaya bahawa peluang yang diberikan oleh Perlembagaan itu adalah sama. Yang menjadi masalah, bila kita menjadi orang yang sentiasa berasa tidak cukup. Mahu meminta-minta, tapi tak mahu memberi. Perhubungan yang baik, selalunya terjadi 2 hala. Bertolak-ansur. Namun, sekira tolaknya banyak hingga beransur-ansur menghilang dan menghakis pihak yang berhubungan, apa yang tinggal?

Saya merindui kehidupan seperti 15-20 tahun yang dulu - politiknya aman, sepakat sesama kaum, hormat-menghormati. Dan, saya sangat takut untuk membayangkan apa yang akan berlaku sejurus selepas ini.

Hakikatnya, semuanya berbalik kepada kita juga, orang dan bangsa Melayu ini. Sejauh mana kehebatan kita? Sudah teruji atau memang kehebatan kita itu boleh dikeji-keji. Mungkin kita terlalu berulit dengan prinsip "takkan Melayu hilang di dunia"? Kalaulah kita masih mahu berasa selesa dengan prinsip itu tanpa memperkasakan usaha memajukan bangsa, Melayu apa yang akan tinggal? Persoalan pokok yang agak sukar untuk dijawab, namun sudah acap petandanya hadir. Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri. Maka, kalau mahu menyaksikan sebuah tragedi bangsa yang bakal hilang dan ranap, jangan dibuat apa-apa. Dan, andai ini menjadi kenyataan, usahlah berani mengatakan, "Ini semua dah takdir!", kerana takdir bisa berubah dek usaha dan doa. Sementelah Allah juga berjanji demikian. Usah diragu, kerana janji Allah itu adalah benar!
Zaman dah berubah. Manusia pun semakin pandai. Tak tahulah apakah ia satu kombinasi yang hebat atau the very sinful marriage?

Aduhai ...

Wednesday, August 20, 2008

Betulkah ...?

Baru-baru ini, rakan saya, Ras, memberitahu saya yang nama saya di quote oleh Prof. Kamil dalam blurb Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman, versi terbaru.

Kemudian, bila Fathiyah mengunjukkan buku itu kepada saya, saya tak habis senyum. Walaupun sekadar dicatat Fisha, pembaca dan pengulas blog (dan mungkin juga Fisha itu orang lain!), saya tetap mahu mengatakan orang itu adalah saya, dan saya sangat berbangga! Tapi, akhirnya saya yakin, yang itu memang saya kerana saya terjumpa kembali komen saya di sini ...


Kemudian, lama selepas itu saya terkenang ... itu baru nama di quote dalam segmen paling kecil di buku orang ... cuba bayangkan kalau nama saya yang terpampang di kulit buku? Bagaimana pula harusnya reaksi saya?

Ohhh ... macam akan riak sahaja? Eh, tak mahu lah ... (
what a good excuse not to write book, heh?).

Monday, August 18, 2008

Baromkeh, Matamu di Mataku by Ummu Hani Abu Hassan

Photo credit here

Naskhah yang memenangi tempat ketiga HSKU 2008 saya lunasi tatkala menghabiskan cuti semester. Setengah hari sahaja. Maksudnya, kalau mahu, sekali hadap pun boleh. Namun, disebabkan saya ini golongan yang full of excuses, berapa banyak yang masih tersadai.

Ummu Hani ini selalu saya baca coretan dan karyanya. Yang selalu adalah di Majalah Anis kerana gadis ini punya kolum sendiri – Laman Kampus. Bagi saya, karya Ummu Hanis ‘biasa’ sahaja dan saya pun tidaklah terlalu ‘meminati’nya. Neutral sahaja kala disua karyanya.

Baromkeh, Matamu di Mataku (BMMMK) pada saya bergerak pada cerita yang biasa – pengalaman pelajar Malaysia di luar negara – dan kali ini cerita mereka mengambil latar di Syria (atau Syam). Saya kira ini sebahagian imbauan kisah kehidupan Ummu Hani kerana saya biasa membaca pengalamannya belajar Bahasa Arab di situ selepas tamat pengajiannya di UM. Pengalaman kitalah yang sebenarnya menjadi kekuatan kiranya disulam dengan imaginasi yang jitu.

Mula membaca, saya bertemu watak Iman Kauthar dan Salwana Hanim yang dalam penerbangan ke Syria. Iman sedang bersedih kerana terpaksa berpisah dengan suami yang baru dinikahi dua hari lantaran meneruskan pengajiannya dan Salwana merupakan sahabat yang penuh pengertian dan diamanahkan oleh Dr. Husam (suami Iman) untuk menjaga isterinya.

Maka, seusai membaca bab pertama ini, saya terus membuat satu kesimpulan yang saya akan bertemu dengan kisah biasa pelajar belajar di timur tengah, cinta ana-enti, perhubungan yang sangat rigid bentuknya. Saya jadi sedikit hampa. Heh, cerita begini dapat hadiah tiga yang utama? Tolonglah!

Tapi, saya tetap juga meneruskan pembacaan. Kemudian saya ditemukan dengan watak Fahda Nur (yang mengingatkan saya kepada senior saya yang sangat terkenal di UIA dulu), Ziyad Rifki dan rakannya Hamdi. Fahda Nur digambarkan dengan watak yang sedikit keras, dan agak kontras dengan watak yang selalu kita temui dalam karya-karya bertemakan pelajar-pelajar di timur tengah ini. Fahda menjauhi dirinya daripada persatuan pelajar Malaysia di Syria dan hidup berdikari dengan menyewa di rumah keluarga Arab – tidak seperti pelajar lain yang tinggal sesama sendiri. Fahda juga bergaul bebas (tapi masih berbatasan) dengan jiran lelakinya, dan ini menimbulkan rasa kurang senang kepada Ziyad yang berpendapat bahawa tidak harus seorang wanita muslim bergaul bebas dengan lelaki ajnabi walau apa pun alasannya. Fahda digelar oleh Hamdi sebagai “perempuan jaguh” – konotasi yang tidak begitu elok maknanya.

Pembacaan saya menjadi mencabar kerana saya ingat watak Iman Kauthar itu yang menjadi watak utamanya. Namun, setelah bertemu Fahda Nur dan Ziyad Rifki, penulis membuatkan kedua mereka ini juga sebagai watak-watak utama. Wah, apa ni? Pengalaman baru!

Kemudian, muncul pula watak Adawiyah, pengerusi HELWI yang menyimpan rasa kepada Ziyad. Dan kemudiannya, watak Anis dan Asyraf, dua beradik yang sekampung dengan Adawiyah. Anis berhasrat untuk berpindah tempat belajar di Syria ke Amman, Jordan untuk duduk dekat dengan abangnya kerana padanya layanan pelajar Melayu yang menganggotai persatuan pelajar Syria itu keterlaluan. Mengenakan peraturan yang bukan-bukan dan selalu bersifat menghukum daripada mengambil tahu. Dan, Asyraf, abang yang penyayang, memohon pertolongan Adawiyah untuk menasihati Anis dan dalam masa yang sama menyuarakan rasa hatinya kepada Adawiyah.

Kesemua watak-watak ini diceritakan secara setara oleh penulis –dan saya sukar menentukan watak siapa yang sebenarnya yang tertonjol di sini (walaupun di akhirnya diberikan monolog Adawiyah setelah dilamar Asyraf).

Nah, kini saya memahami kenapa novel ini memenangi anugerah. Walaupun temanya mudah dan biasa dan klise, penulis berjaya menggugah klise itu menjadi sesuatu yang ada twist yang menarik. Kenapa?

Pertama, melalui watak Fahda – menunjukkan bahawa tiada kesalahan bercampur dengan bukan muhrim dalam muamalah harian kerana saya tidak merasa yang Islam itu terlalu rigid sebegitu. Ya, saya maklum bagaimana lumrah kaum lelaki di timur tengah itu, namun, kiranya keadaannya masih terkawal, maka kenapa kita mahu memberatkan sesuatu? Selama ini selalu sahaja kita didedahkan dengan penulisan bahawa golongan ‘Muslimin” sangat mengongkong “Muslimat” atas nama untuk menghindarkan fitnah. Kesannya, “Muslimat” banyak benar tidak boleh buat itu, ini, sedangkan “Muslimin” melaksanakan semua yang taboo. Sehingga ke tahap itukah gender segregation dalam Islam?

Kedua, konsep jemaah. Ya, saya juga faham dengan konsep jemaah dan usrah serta pergerakan persatuan dalam Islam. Namun, tidak keterlaluan dikatakan, taksub dengan usrah, pelajar kita jadi jumud. Saya tertarik dengan hujah watak Anis kepada Adawiyah mengenai hal ini:

“Pelajar yang aktif dalam persatuan selalu berasa mereka cukup baik dan yakin pihak mereka yang benar. Hidup berkelompok dengan puak-puak mereka sahaja. Bagi mereka, orang luar tidaklah sebaik mereka yang diasuh dengan tarbiah persatuan.”

“Berapa ramaikah yang sedar bahawa dengan berfikiran begitu, mereka sebenarnya menjarakkan diri daripada masyarakat, khususnya para mad’u? lebih memalukan, mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak bertindak secara wajar”halaman 236, Baromkeh, Matamu di Mataku.


Dua situasi tipikal pelajar kita di timur tengah dikupas oleh Ummu Hani dengan rasional yang sangat wajar. Tapi, berapa ramai yang akan menerima semua ini? Jangan-jangan selepas ini pun akan ada yang melabelkan saya dengan sesuatu. Biarkanlah. Ini apa yang saya rasa.

Interaksi Fahda Nur dengan jiran sekeliling, adat memuliakan tetamu serta pelajar serta kerenah pensyarah yang mempunyai prejudis kepada pelajar asing, serta kebudayaan setempat adalah bumbu menarik yang mengayakan keseluruhan novel ini. Menarik lagi, Ummu Hani memasukkan sedikit perbualan dan terma bahasa Arab di dalam novel ini. Walau mungkin ada yang terganggu pembacaannya, nyatanya ini adalah ilmu yang datang seiring dengan pengkisahan novel ini. Tak lupa juga diselitkan peristiwa pembunuhan seorang pelajar Malaysia di Mesir oleh teman serumahnya yang memberi ingatan kepada kita bahawa tidak kira tinggi manapun ilmu seseorang itu, kiranya ilmu itu tidak berbekas di hati, ilmu tetap tidak dapat memuliakan kita. Sebagaimana solat itu berupaya mencegah kemungkaran sekiranya solat itu terhias dengan sempurna segala adab dan khusyuknya dan bukan sekadar didirikan kerana rasa perlu atau terpaksa.

Kiranya saya seorang pelajar sekolah menengah, pasti novel ini menarik minat saya untuk melanjutkan pelajaran ke Syria ini. Namun, tidak mustahil juga kalau suatu hari nanti saya menjadi sebahagian mereka yang bertandang ke bumi Anbiya itu atas nama mencari ilmu, InsyaAllah.

Tuesday, August 12, 2008

Warisnya Kalbu by Sri Rahayu Mohd Yusop


Belilah dengan UjanaIlmu!



Novel yang memenangi HSKU ini saya beresi setelah streamyx saya mengalami gangguan teknikal.

Cerita yang mudah, namun saya mengalami masalah menangkap kesudahannya. Sampai saat ini saya masih cuba memahaminya. Mungkin saya bukan ‘warisan kalbunya’ … kerana kalbu saya tidak tersentuh dalam memahaminya. Sayang, kan? Apapun, saya mengagumi subjek pantun yang diceritakan yang diceritakan pengarang.

Bercerita menggunakan konsep imbas balik (wujud dalam bentuk catatan jurnal seorang wanita bernama Tun Cempaka yang banyak mengingatkan saya kepada Surat-Surat Perempuan Johor karya Faisal Tehrani), saya rasa saya lebih memahami mengenai pantun.


Dalam sekian banyak jenis genre sastera (syair, gurindam, nazam dan sebagainya), pantun lebih saya senangi. Tapi, saya bukanlah ahli pantun. Setakat menulis pantun kecemasan bolehlah!

Dan, dalam sekian banyak kerat pantun, pantun empat kerat adalah kegemaran. Patun enam kerat kadang-kadang sahaja saya jumpa. 12 kerat? Tak pernah langsung! (Oh, tak mengapalah, saya bukan pelajar sastera Malaysia sepenuh masa!).

Melalui novel ini, saya mengagumi watak Tun Hassan Perwira – watak anak Melayu unggul (beragama, berharta dan bijaksana – temrasuklah wajah yang kacak). Watak Tun Hassan sebenarnya mengingatkan saya pada kata-kata (saya lupa sumbernya):


“Kalau mahu memahami budaya sesuatu kaum, kajilah kehidupan para bangsawannya.”


Saya kira betullah begitu, kerana, secara logiknya, rakyat marhain jarang punya peluang untuk menghargai “kebudayaan” sendiri seperti para bangsawan. Tapi, itu cerita lain kali lah …


Berbalik kepada Tun Hassan.

Melalui Tun Hassan, saya mula mempelajari semula falsafah pantun, ‘nature’ dan sebagainya. Saya baru tahu adanya terma sanjak tengah dan sanjak hujung yang merujuk kepada kata berima di pembayang dan maksud pantun. Dan, pantun yang mantap dan baik itu adalah yang bijak menggunakan sanjak tengahnya. Sekadar contoh:

Dengar cakap enggang, makan buah beluluk;
Dengan cakap orang, terjun masuk lubuk.


(Perhatikan, perkataan ‘enggang’ berima dengan ‘orang’ di bahagian maksud, dan ‘beluluk’ berima dengan ‘lubuk’)

Watak Catherine Cavanagh, seorang wanita Inggeris yang sangat berminat dengan sastera ekslusif orang Melayu ini mungkin adalah satu tempelak kepada kita secara tidak langsungnya. Pendekatan yang agak klise, tapi masih tetap relevan. Tempelak yang bagaimana?

Saya tak tahu dengan anda, tapi, acapkali bila saya mendengar pantun yang sebegini:

Anak cina makan pengat;
Eh, sendiri mau ingat.

Atau,

Katak hijau pergi bersukan
Monyet bertanding acara renang;
Hatiku rindu padamu tuan;
Siang terbayang, malam terkenang.


Perasaan saya sangat bergalau. Kenapa? Kerana hilang kesedapan pantun itu. Sudahlah penzahiran mengenai alam yang menjadi tunjang kebanyakan pembayang pantun diolah sesukanya, pemilihan kata juga seperti hendak tak hendak sahaja. Asal berima, sudah.

Katak hijau pergi bersukan? Monyet bertanding renang? Apa ni?

Saya rasa lebih bermakna pantun di atas kiranya ditulis begini:

Rimbun mekar si mayang pinang;
Tinggi pohonnya selangit memandang;
Hatiku rindu padamu tuan;
Siang terbayang, malam terkenang.


Pantun ini jauh dari mantapnya. Sanjak tengah tidak kelihatan, berharap sanjak hujung yang berpaut. Namun, lebih molek saya membaca dan mengucapkannya berbanding pantun berpembayang monyet dan katak yang pergi bersukan itu.

Novel ini walau kategorinya novel remaja, saya kira masih tetap relevan untuk dibaca oleh mereka yang telah meninggalkan zaman itu, atau remaja purba. Tahniah buat Sri Rahayu Mohd Yusop.

Mekarnya melati di tanah jawa;
Penghias sanggul si anak dara;
Karya nan indah mengusik jiwa;
Warisnya kalbu maksud bicara.

(Betapalah tidak mantapnya … :p)

Sunday, August 3, 2008

Jalan-jalan lagi

Semalam, ke Kuantan kerana menziarahi seorang sahabat yang kemalangan dan perlu dibedah kerana kecedaraan yang agak teruk. Selepas itu, saya dan Kak Marina kembali menziarah East Coast Mall. Ziarah yang tak terancang, tetapi sengaja dilakukan!

Setelah keluar dari lif, kedai pertama yang terpampang kedai buku MBS yang baru berusia 2 hari (saya tahu, kerana diberitahu oleh jurujualnya). Sebenarnya, saya tak berapa gemar kedai MBS ni kerana tak banyak buku yang menarik perhatian saya. Selebihnya ia banyak menjual majalah berbahasa cina.

Tapi, setelah menulis satu permintaan itu, MBS itu adalah sesuatu yang better something than nothing.

Berjalan di dalam kedai yang serba baharu (yang masih keras bau cat dan kayu raknya), kami 'terhenti' di kawasan novel.

Wah, banyak juga tajuk-tajuk dari pengarang yang saya cari-cari atau yang saya gemari. Salah satunya, Soheir Khashoggi. Tapi, saya tidak berhajat untuk membelinya. Kak Marina nampaknya sudah terpaku pada karya-karya Jodi Picoult. Wah, sudah ada dua diambilnya. Saya kemudian berpindah tempat bila mata tertancap pada nama Jhumpa Lahiri, pengarang yang menang anugerah Pulitzer.

Saya tak pernah baca satupun karyanya. Cuma agak teruja bila dapat berjumpa dengan senang dengan bukunya! Tapi, bila dibuka bukunya, aduhai, tulisannya. Kecil dan rapat-rapat. Terus, hati terkunci mati (begitu sekali!). Bila saya hulurkan karya itu kepada Kak Marina, dia tidak teruja pun. Hujahnya, buku pemenang anugerah ini sebenarnya jarang benar boleh difaham dan sedap dibaca berbanding dengan novel pengarang yang 'biasa-biasa'. Saya bersetuju benar. Semacam ada satu halangan untuk memahaminya. Mungkin hanya panel penilainya saja yang faham :p

Usai perbincangan singkat novel anugerah Pulitzer itu, saya berkisar ke bahagian novel bahasa Melayu -- bahagian yang lebih mesra untuk saya. Saya meneliti - keluaran Alaf21 mendominasi keseluruhan rak. Saya tinggalkan rak-rak itu. Sampai di hujung rak, mata terkerling novel-novel yang dipilih memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2007. Hmm, menarik!

Sebelum ini, selepas membaca catatan Nisah Haron mengenai Hadiah Sastera ini, saya memang berkira-kira mahu memesannya di UjanaIlmu sahaja. Namun, oleh kerana ada masalah dengan sambungan internet, pesanan asyik tidak menjadi sahaja. Dan, kesempatan ini tidak harus dibazirkan. Lalu, saya mengambil Warisnya Kalbu oleh Sri Rahayu Mohd Yusop dan Baromkeh: Matamu di Mataku karya Ummu Hani Abu Hassan. Lebih menggembirakan, ada diskaun 10% untuk belian keduanya. Gembira saya berganda!

Entah bila akan dimulakan pembacaan keduanya itu. Yang lama pun masih menimbun, menuntut dibaca. Aduh ... kenapalah keghairahan menghabiskan bacaan dengan banyak dalam masa yang singkat seperti zaman anak-anak dulu sudah tiada? Nak kata banyak kerja, tidak juga. Biasa-biasa saja.

Apa sebenarnya ya yang membuatkan saya begitu?

Wednesday, July 30, 2008

Satu permintaan

Berjalan-jalan di shopping mall memang sesuatu yang mengujakan. Terapi minda bagi kebanyakan orang. Malahan, ada sahabat saya, tika diajak sahabat lain mendaki sebuah bukit berhampiran tempat tinggal kami sebagai aktiviti hujung minggu, berkata:
“Panjat bukit untuk bersenam dan mengeluarkan peluh memang bagus. Tapi saya tak berminat. Tapi, kalau kat atas bukit tu ada shopping complex, tiap-tiap hari saya sanggup daki.”

Betapalah pemikiran dia itu!

Lalu, apa cerita shopping mall di sini?

Sekarang ini, di negeri yang sedang saya diami ini, sedang berlaku satu proses pembangunan yang agak pesat daripada sebelumnya. Banyak sudah didirikan kompleks membeli belah yang berkonsepkan ada segalanya di bawah satu bumbung. Memang satu bentuk pelaburan yang sangat baik. Dan, mungkin disebabkan pelaburan ini juga, MBnya memberi justifikasi mengenai pembelian kereta mewah untuk keseluruhan exco negeri ini? Hmm, itu cerita lainlah pulak.

Namun, apa yang sangat menyedihkan, sebesar-besar shopping complex yang ada di sini (dan rasanya di ketiga-tiga negeri pantai timur), kewujudan toko buku yang besar dan ternama adalah hampir kepada tiada! Pengecualian kepada toko buku POPULAR di Kuantan (Berjaya Megamall). Tak pastilah kalau di Kelantan ada (dan, di Terengganu, memang tiada!).

Keperluan kepada toko buku yang besar dan ternama saya adalah dorongan yang sangat memberangsangkan kepada proses pengilmuan masyarakat (dalam kes ini, toko buku biasa dan tradisi tidak termasuk dalam perbincangan). Dengan bertambahnya jumlah pusat pengajian tinggi di tanah sebelah sini, keperluan mengadakan toko buku sebegini menjadi sangat mendesak. Malah, tidak keterlaluan dikatakan, ini adalah peluang yang sangat baik untuk dilepaskan.

Saya tidaklah memahami sangat mengenai perniagaan, namun, saya kira, sifir mudah, adanya permintaan, berlakulah penjualan. Bukankah begitu? Maka, saya rasa, toko-toko buku ternama, silalah buat kajian pasaran anda di sini. Namun, sekiranya apa sebenarnya yang berlaku harus mempertimbangkan persoalan politik semasa, mungkin saranan saya menjadi sedikit terganggu. Tapi, bukankah Malaysia pendokong laissez faire sedikit sebanyak?

Walaupun kita dimomokkan dengan fakta dan data rakyat Malaysia kurang membaca, saya kira itu bukanlah satu alasan ditiadakan rangkaian toko buku ternama di sini. Kami (saya tidak tahu siapa yang akan bersama saya!) sangat mengalu-alukan sekiranya ada toko buku ternama yang mahu membuka cawangan di sini. Kami sangat menyokong dan akan menjadi pelanggan anda yang wahid!

Membeli kain baju dan perhiasan diri memang mengujakan … namun ‘pakaian dan hiasan’ minda juga kami tak mahu abaikan.

Berani anda menyahut cabaran ini?

Tuesday, July 22, 2008

Menilai penulis atau tulisannya?

Entri ini terilham daripada apa yang saya baca di blog Faisal Tehrani – kekecewaannya mengenai bandingan tidak adil antara karyanya Tunggu Teduh Dulu dan novel Indonesia popular, Ayat-Ayat Cinta.

Saya sudah membaca kedua-dua buku itu. Masih berkira-kira bagaimana nak mengulasnya. Sudah penuh semuka kertas A4 menulis mengenai Tunggu Teduh Dulu, tapi bila mencari input baru, terasa apa yang saya ulas itu entah apa-apa. Nantilah.

Apabila saya memperkatakan mengenai buku-buku Faisal Tehrani di web-web tertentu, respon yang saya dapat: “Awak baca buku si Syiah tu?”

Astaghfirullah. Bila masa pula ada hukum mengatakan bila nak membaca kena tengok pengarangnya? Sejak bila pula peribadi, kepercayaan pengarang menjadi taruhan pembacaan?

Respon mudah saya:
“Saya melihat kepada ilmunya, bukan watak pengarangnya. Ilmu itu didatangi dalam pelbagai wadah. Cedoklah ia dari mana-manapun kalau ia masih ilmu yang membantu.”

Selalunya jarang buku-buku yang saya baca, saya kenal benar penulisnya (baca: kenal secara peribadi), atau memang tiada! Sebab, saya tak punya kawan yang menjadi pengarang. Maka, saya berkenalan dengan mereka melalui apa yang mereka tulis. Perkenalan yang setakat itu. Selebihnya, pegangan dia, orientasi seksualnya atau apa saja, bukanlah sesuatu yang perlu bagi saya.

Lantas, bila orang bicara Faisal itu Syiah, dan kita yang berpegang kepada Sunnah wal Jamaah ini tidak seharusnya ‘bermuamalah’ dengan Syiah, saya jadi amat jengkel. Cakap Syiah tu teruk, tapi kenapa gambar Ahmadinejad tidur beralas tangan dibuat bandingan dengan kehidupan Pak Lah? Dan, kenapa majlis kenduri anak Ahmadinejad, Presiden negeri Syiah itu juga dijulang masyhurkan sebagai tindakan Islamik? Cakap apa itu?

Benarlah kata orang .. kita hanya nampak, apa benda yang kita nak tengok sahaja.

Sudah-sudahlah membesarkan amalan menilai orang secara keterlaluan. Kita pun bukan bagus sangat. Kalau bagus, kita takkan duduk mengomen saja. Komen tanpa alternatif bukan sikap penilai yang bijak.

Lagi, kita berjuang dalamcara yang berbeza. Ingat lagi lagu Warisan, nyanyian Allahyarham Sudirman Hj. Arshad?

... Aku bukanlah seorang perwira
Gagah menghunus senjata
Namun hati rela berjuang
Walau dengan cara sendiri
Demi cinta ini ...


Ada hikmahnya Allah menjadikan kita ini berbeza. Berbeza bukanlah tiket untuk berbalah, namun adalah peluang untuk saling memahami. Tambahan pula kita seagama. Kalau tidak, takkan Rasulullah boleh berpesan: “Perbezaan adalah rahmat bagi umatku …”?
Kenapa baca Mein Kampf kalau dah tahu Hitler itu jahatnya nauzubillah?

Kenapa nak baca Satanic Verses kalau dah terang Salman Rushdie itu menghina Islam?

Kenapa leka dengan “A History of God” karya Karen Armstrong tu? Dia kan bekas nun? Tak takut ke apa yang dia tulis itu mencabar minda dan boleh memesongkan akidah?

Aduhai kawan ... selalunya, apabila kita luas pembacaan, masalah terpengaruh ni hanyalah perkara yang sedikit kesannya. Akal yang ada tu, gunalah dengan sewajarnya. Pokoknya, apa benda sekalipun di dunia ini, sekiranya permulaannya sudah ada satu persepsi dan ekspektasi yang tertentu, sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat berlapang dada.

Mungkin ada yang bakal menyangkal tulisan ini dengan ingatan saya memberikan satu pandangan yang bias kerana saya menggemari karya Faisal Tehrani.

Saya ingatkan anda sekali lagi, nilailah tulisan, dan bukan pengarangnya.

Thursday, July 10, 2008

I've met the Celebrity!

Siapa? Siapa dia?
Siapa lagi, penulis Travelog Haji yang glamor itu … Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim (Prof. Kamil).

Hari ini, 10 Julai 2008, kampus kami menjemput Prof Kamil untuk bercakap mengenai “Falsafah MIM” – cerita di sebalik tabir. Dah ceramah ini dibuat pada hari kuliah, ada juga lah nama yang terpanggil merasa diri paksa rela menghadirinya. Bagi saya yang tiada kelas hari ini, sememangnya menunggu-nunggu peluang bertemu dengan ‘penulis selebriti’ ini sejak sekian lama.

Ceramah bermula jam 9.12am – lewat 12 minit daripada waktu yang sepatutnya. Biasalah tu :p

Prof Kamil mempergunakan keseluruhan masa hampir 2 jam bercakap mengenai Falsafah MIM dan juga apa yang dia lakukan sebagai refleksi kepada apa yang dibicarakan dalam buku tersebut. Tak lupa juga sedikit sebanyak cerita yang terkandung di dalam Travelog Haji dan PhD: Kecil Tapi Signifikan.

Ada 2-3 kali sepanjang Prof Kamil bercerita mengenai apa yang dialaminya semasa sebelum, semasa dan selepas menunaikan haji, saya tidak dapat menahan diri dari rasa sebak. Tapi tertahan-tahan .. sebab nak jaga ke’machoan’ saya di sebelah Fathiyah dan Kak Azamina (saya ni memang ‘machur’ yang hancur … hehehe). Perasaannya sama seperti membaca Travelog Haji tu, malah lebih terasa kerana penceritanya mengisahkan perkara itu sendiri. Sememangnya sentuhan manusia ke atas manusia yang lain itu lain kesannya kan? Kiranya, semua ini adalah satu dèja vu bagi saya.

Apa yang boleh saya simpulkan dari keseluruhan ceramah itu sama lebih kurang apa yang saya pernah katakan pada review Travelog Haji – kuasa berdoa. Doa senjata mukmin. Memang benar bagi yang mempercayainya dan agak kurang menjadi bagi yang skeptik. Masalah semua daripada kita, kita rasa tidak yakin dengan doa (saya pun pada ketika-ketika tertentu). Malah, banyak perkara yang Islam gariskan kita rasa tiada kekuatan untuk melaksanakan. Halangannya memang terlalu banyak … namun meminjam pesanan hukamak – kalau tidak boleh dilakukan semua, janganlah ditinggalkan semuanya … beristiqamah (senang cakap dari buat!). dan, sekiranya niat kita baik, InsyaAllah, kesudahannya baik.

Bercakap tentang niat, saya teringat kisah saya ber’shopping’ dengan teman pada bulan puasa. Kebetulan, teman saya itu dapat cuti puasa, sedangkan saya ‘kena’ puasa. Namun, yang aneh, sampai ke waktu berbuka puasa, saya masih boleh tak rasa letih, lapar atau dahaga sangat, sedangkan, waktu berbuka, laju saja teman saya itu meneguk air (bahkan, masa kami menonton wayang, dia telah menghabiskan sebotol air mineral – dalam gelap, orang tak nampak dia minum!). Rupanya, niat untuk berpuasa membuatkan kita rasa tidak letih berbanding yang tidak berniat apa-apa. Dan, benarlah sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya sesuatu itu tergantung pada niat.” Niat baik kita mungkin akan disalahanggap oleh orang lain, namun kekuatan niat InsyaAllah akan menyokong apa yang kita lakukan.


Ah, ala-ala ustazah lah pulak!

Autograf Prof di buku PhD saya


Tapi, begitulah ceritanya. Dengan penuh kekaguman saya melihat ‘selebriti’ ini. Di akhirnya saya menerima autograf untuk kedua-dua buku beliau – Travelog Haji dan PhD: Kecil tapi Signifikan. Saya akan ulas mengenai buku PhD tu sedikit masa lagi … namun, buat seketika ini saya mahu memperkukuhkan kepercayaan saya mengenai hakikat dan kekuatan doa. Doa-doakanlah saya, ya?

Saturday, July 5, 2008

Menukar Hak Milik

Entri ini sebenarnya terilham daripada catatan Najibah mengenai Aweks KL ‘diculik’ di bukuria.
Malu pun ada sebenarnya nak menulis mengenai perkara ini kerana saya adalah antara yang melakukan perkara keji ini. Walaupun ia berlaku lama dulu, saya tidak pernah tidak lupa untuk mengesalinya.

Kali pertama buku perpustakaan sekolah rendah menjadi hak milik saya adalah apabila saya menjadi pengawas perpustakaan yang mempunyai kelebihan menguruskan sistem pinjaman (waktu dulu pinjaman buku hanya sekadar tulis nama di kad pinjaman, dan kad tersebut dikepilkan bersama kad perpustakaan sahaja). Waktu itu, saya sengaja ‘menghilangkan’ kad buku tersebut dan hasilnya buku itu ‘hilang identiti’ dalam inventori dan buku itu saya yang punya (kerja keji ini tak selalu berlaku, kerana ada ketikanya saya rasa buku-buku ini mendatangi saya dengan mimpi ngeri dan akhirnya saya pulangkan kembali ke perpustakaan.

Tapi, ada buku yang tiada mimpi ngeri. Maka, buku itu saya simpan terus – salah satunya “Cinta Seorang Guru” karya Allahyarham Mohd Ismail Sarbini. Namun, sebab harta curi, buku itupun lenyap tanpa saya sedari).

Kebas buku kawan sendiri pun pernah – Che’ Na, maafkan saya! - dan dua buku cerita itu adalah – “Johana Shukri” (pengarangnya sudah lupa) dan sebuah lagi “Budiku Budimu” juga karya Allahyarham Mohd Ismail Sarbini. (Bagaimana saya boleh mengelak Che' Na menuntut bukunya? Berulang kali menyatakan saya terlupa nak pulangkan atau saya masih mahu membacanya sampai dia terlupa bahawa dia memiliki buku itu!)

Sememangnya perpustakaan akan mengalami kerugian yang bukan sedikit dengan adanya pembaca seperti saya. Namun, tarikan buku itu lebih kuat (masa itu lah ..) membuatkan saya melupakan beban kerugian perpustakaan dan “memilik sendiri” buku-buku pinjaman.

Setelah ‘memilik sendiri”kan beberapa buku, akhirnya saya sedar buruk laku tersebut. Dan, Alhamdulillah, saya meninggalkan terus perbuatan itu. Lalu, sekiranya, ada peminjam buku-buku saya melakukan sesuatu terhadap buku saya yang telah mereka pinjamkan, saya anggap itu adalah kafarah dosa saya dulu. Walaupun geram, namun saya mewajarkan perbuatan mereka dengan apa yang telah saya lakukan. Karma? Hisy, tak percaya saya ... kerana kita belajar, buat jahat dapat dosa, balasan belum tentu. Mungkin Allah tangguhkan hingga ke akhirat? Mana kita tahu, kan?

Bagaimana mahu menebus kesalahan tersebut?

Walaupun saya tahu ada kemungkinan dosa saya itu tidak terampun, maka saya berfikir untuk menghadiahkan pihak-pihak yang telah saya zalimi itu dengan koleksi buku-buku saya. Sementelah saya sekarang berkemampuan membeli buku-buku yang saya suka, saya harap perbuatan saya dapat mengimbangi ‘kejahatan’ saya dulu sekiranya tidak menghapuskan dosa semalam …

Malunya! Pencuri rupanya saya ...

Sunday, June 29, 2008

10 Things I Hate About Me & Does My Head Look Big In This? – by Randa Abdel-Fattah


Kedua-dua buku ini merupakan buah tangan seorang peguam muda kelahiran Australia berdarah Mesir + Palestin, Randa Abdel-Fattah.

Saya tergerak untuk membaca kedua-duanya setelah membaca satu artikel mengenai buku-buku ini di akhbar. Lagi satu, saya membaca buku-buku ini kerana didorong rasa minat untuk mencari penerangan yang mudah mengenai Islam. Selalunya, apa sahaja yang berkaitan dengan Islam pasti disampaikan dalam nada tegas dan serius. Padahnya, ia tidak langsung membiaskan maksud kelembutan dan keseronokan beragama. Jadinya, maksud hendak menarik golongan muda menjadi terganggu.

Disampaikan dalam bahasa yang mudah dan ceria, buku ini sebenarnya disasarkan kepada golongan remaja berusia 13-25 (saya kira), kerana watak-watak di dalam buku-buku berkisar kepada golongan-golongan ini. Tapi, bagi remaja purba yang forever young at heart terutamanya, buku ini pun untuk anda juga!

Dalam Does My Head Look Big In This?, Randa membicarakan tentang dilema seorang gadis Muslim – Amal yang mahu memakai tudung, namun gusar dengan penerimaan orang di sekeliling. Kegusaran Amal berasas kerana isu tudung sebenarnya sering ditafsirkan sebagai satu bentuk penindasan di dalam Islam (mungkin terpengaruh dengan ideologi – if you have it, flaunt it!). Amal juga terpaksa berdepan dengan stigma pemakai tudung kerana ada ketikanya apabila beliau memakai tudung, dia merasakan bahawa dia menjadi agak ‘mundur’ daripada sebelumnya – dia sudah tidak berapa vokal, dan kurang keyakinan.

Namun, yang menjadikan novel ini seronok, adalah kepintaran Amal berinteraksi dengan mereka di sekelilingnya – ketika Adam mahu menciumnya di pesta hari ulang tahun Adam, ketika berhadapan dengan ibu sahabat baiknya Leila yang beriya-iya mahu mengahwinkan anaknya yang baru berumur 16 tahun sedangkan Leila adalah gadis pintar dan punya masa depan yang cerah, dan ketika dia menguruskan jirannya, seorang wanita tua Greek yang perengus, Puan Vaselli yang kemudiannya menjadi akrab dengannya. Selain daripada itu, Amal juga berhadapan dengan stigma orang Australia terhadap orang imigran sepertinya (walaupun dia dilahirkan dan memegang kerakyatan Australia).

Randa juga menyelitkan peristiwa pengeboman Bali yang mengorbankan rakyat Australia suatu masa dulu yang membuatkan Amal terpaksa berhadapan dengan rakan-rakan yang menyimpulkan, oleh kerana pengebom itu adalah Muslim, maka semua Muslim adalah teroris. Amal malah dijemput untuk memberikan ucapan bagaimana Islam mewajarkan perbuatan pengebom itu di dalam sebuah forum berkenaan Islam dan Teroris di sekolahnya. Dengan nada sinis, Amal menolak sambil berkata, dia akan bersetuju bercakap mengenai perkara itu, sekiranya ada orang Kristian yang lain mewajarkan perbuatan Ku Klux Klan. Shoot!

Bahagian ini sebenarnya mengingatkan saya kepada jokes yang diemelkan kepada saya tidak berapa lama dulu. Jokes tu berbunyi:

A man is taking a walk in Central park in New York. Suddenly he sees a little girl being attacked by a pit bull dog. He runs over and starts fighting with the dog. He succeeds in killing the dog and saving the girl's life.

A policeman who was watching the scene walks over and says: 'You are a hero, tomorrow you can read it in all the newspapers: 'Brave New Yorker saves the life of little girl'.

The man says: 'But I am not a New Yorker!'

“Oh then it will say in newspapers in the morning: Brave American saves life of little girl,” the policeman answers.

“But I am not an American!' - says the man.

“Oh, what are you then?'

The man says: 'I am a Pakistani!'

The next day the newspapers say: “A Terrorist kills innocent American dog.”
 

Ouch! 

Dalam 10 Things I Hate About Me, Randa membawakan cerita mengenai layanan berbeza terhadap anak lelaki dan perempuan. Jameela Taofeek (Jamie) adalah seorang remaja anak kepada pasangan imigran daripada Palestin yang malu mengakui identitinya. Dia mewarnakan rambut serta mengenakan contact-lense untuk menyembunyikan identiti muslim dan imigrannya. Berada di sekolah yang agak tebal sifat perkauman (orang imigran dipanggil “wogs”), Jamie menyimpan ketat rahsia dirinya sehinggalah dia berbual dengan John di laman maya, tanpa mengetahui bahawa John adalah Timothy, pasangan makmalnya di sekolah.

Bapa Jamie merupakan seorang pemandu teksi (yang berkelulusan PhD dalam bidang pertanian di negara mereka) merupakan watak Arab yang tegas terhadap anak-anak perempuannya – terutama Jamie. Beliau tidak membenarkan Jamie keluar malam dengan alasan anak gadis Muslim di tempat awam pada waktu malam adalah lambang anak yang kurang maruah diri dan perbuatan itu akan memalukan keluarga mereka. Walau bagagaimanapun, Jamie merasakan bahawa bapanya hanya mementingkan pandangan orang terhadap mereka terutama apa yang kawan-kawan bapanya akan kata sekiranya dia berada di tempat-tempat tersebut.

Seperti yang saya katakan di awal tadi, membaca buku ini banyak memberi rasional mudah (yang selalu saya ambil mudah sebelum ini) mengenai Islam. Antaranya, saya tidak pernah mengaitkan ketidakupayaan saya bercakap di hadapan ramai atau bersuara mempertahankan prinsip saya hanya kerana saya bertudung (mungkin juga saya tetap pengecut untuk bersuara kalau saya free-hair pun!), tidak pernah menghiraukan jiran yang perengus (kerana, buat apa saya mahu menahan sifat perengus seseorang tanpa sebab?) atau berani untuk meminta sesuatu yang menjadi hak saya (seperti meminta pemandu bas berhenti untuk solat subuh bila bas meneruskan perjalanan tanpa turun solat!)? Makanya, Islam saya di usia 30 tahun ini masih berada di tahap anak-anak remaja berusia 16 tahun? Oh, malunya!

Selebihnya, buku-buku Randa juga memperlihatkan mengenai dilema pendatang Muslim di negara bukan Islam khususnya Australia. Antara dilema mereka adalah bagaimana untuk mempertahankan kelangsungan budaya mereka dan dalam masa yang sama terpaksa akur dengan kehidupan yang sangat berbeza dengan sebelumnya. Lihat saja bagaimana kebencian sesetengah golongan Barat yang mencemuh tradisi masyarakat luar khususnya orang Asia.

Selain daripada itu, golongan imigran Muslim juga berhadapan dengan masalah kecelaruan identiti – seperti Jamie – atau seperti pakcik Amal, yang berhabis-habisan menjadi barat lebih daripada barat, hingga sanggup melupakan soal halal dan haram demi mendapat tempat di kalangan rakan-rakannya yang bukan Islam.

Selesai semuanya, saya tertanya sendiri:
Kenapa kita (Muslim) ini cepat benar terikut dengan praktis agama / budaya orang asing? Tak seronokkah Islam itu? Mungkin cara sebahagian besar pengamalnya mengamalkan Islam harus dipertanggungjawabkan? Atau, adakah oleh sebab bentuk penyampaian Islam yang nampak keras dan kaku walaupun Islam itu agama yang lemah-lembut? Masa untuk menilai diri kita dalam memaknakan Islam, saya kira …

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck by Hamka

Gambar dipinjam tanpa izin dari Ujana Ilmu

Saya bukanlah seorang penggemar karya-karya klasik kerana saya kadang-kadang tak punya kesabaran untuk melunasi sesuatu yang ‘elaborative’ sifatnya. Maksud saya mengenai ‘elaborative’ adalah pengulangan frasa yang membosankan saya. Tapi, inilah yang menjadikan karya klasik berkarektor sepertinya. Dalam kes ini, saya bersetuju dengan kata-kata: Classic: A book which people praise, but do not read. Hehe!

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini telah lama saya dengar. Sedari sekolah rendah lagi. Ada juga rasa untuk mengetahui apa yang membuatkan buku ini sering dikatakan hebat. Namun, oleh kerana rasa itu datang tanpa jiwa, maka, keinginan hanya tinggal keinginan sahaja. Malang sungguh!

Karya awal Hamka ini saya habis baca pada 2006 (bulan berapa saya sudah lupa). Saya rasa antara sebab saya terdorong untuk membaca cerita ini setelah sekian lama adalah selepas menonton drama bersiri Hayati di TV1, arahan pengarah tersohor, Erma Fatima. Dicatitkan dalam kredit pembukaan cerita tersebut bahawa ia adalah saduran daripada buku ulama hebat ini. Setelah membaca, sejujurnya, saya tak rasa apa-apa pun, kerana ia adalah satu lagi kisah cerita cinta yang terhalang dek kerana darjat dan keturunan.

Tak tahulah kepada orang lain. Tapi, begitulah kefahaman saya. Dan, mungkin ada yang akan mengatakan bahawa saya tidak tahu menghargai karya agung – kerana, saya tidak dapat mencari di mana hebatnya cerita ini. Kalau latar masa pengkarya yang jadi ukuran, maka cerita ini mungkin antara kisah yang hebat, kerana khabarnya belum pernah muncul novel sebegitu pada masa itu. Tapi, kalau tuntutan emosi saya yang ditaruhkan, saya tidak hilang apa-apa.

Namun, yang dapat saya simpulkan – cinta itu tidak teruji pada saat kegembiraan, tidak terpaling dari kesedihan, namun paling terbukti pada hitungan lamanya masa. Kalau ada yang sanggup menunggu hingga ke akhirnya, mungkin itulah cinta sejati.

Mungkin saya kena menerokai karya Pak Hamka yang lain untuk mencari keserasian dan kekaguman saya terhadapnya.

P/s:
Pada mulanya, saya agak skeptik untuk menulis apa yang saya tulis ni. Takut ada yang akan marah, yang menuduh saya yang bukan-bukan. Tetapi, setelah ditimbang-timbang, saya sampai pada satu kesimpulan, kenapa mahu fikir apa orang akan kata? Ini pendapat saya. Salah atau betul, ini yang saya rasa. Ketakutan yang tidak berasas adalah sia-sia dan bodoh sifatnya. Nampaknya saya masih perlukan lebih keberanian untuk bersuara! Ini cubaan pertama … sila komen.

Dalam hal ini mungkin kesesuaian bentuk penulisan pengarang dan tahap cerapan pembaca memainkan peranan. Maksud saya, buku SN A. Samad Said membuatkan saya selalu terlena apabila sampai ke muka surat kelima dan keenam. Tapi, kalau karya SN Abdullah Hussein, laju saja bacaan saya.

Itu yang saya rasa. Anda, bagaimana?

Gila apakah Ini ..?

Minggu lalu saya mengunjungi MPH Mid Valley selepas selesai bengkel membuat soalan peperiksaan akhir di Shah Alam. Kebetulan, hari itu hari gaji. Seperti tahu-tahu saja.

Selalunya saya mempunyai senarai buku yang mahu dibeli sekiranya berkunjung ke kedai buku. Namun, oleh kerana ini kesempatan yang tidak terancang, saya menuju ke MPH dengan risiko untuk terlebih beli. Untungnya kali ini, kad kredit sudah saya tinggalkan di rumah.

Kali ini, masuk saja ke situ, terus saya menuju ke bahagian karya bahasa Melayu. Saya memang hendak mencari bacaan ringan dan mudah sahaja kali ini. Tapi, sebelum sampai ke situ, mata saya terpaku pada timbunan buku karangan Karen Armstrong, A History of God, yang pernah diharamkan suatu waktu dulu. Menyelak-nyelak 2-3 halaman, dan blurb nya, saya tertarik untuk memilikinya (walaupun saya tahu ia akan mengambil masa yang sangat panjang untuk dihabiskan sementelah subjeknya agak berat untuk dihadam!).

Selesai di situ, mata tertancap pada Karya Nan Indah buat Semua karya Faisal Tehrani. OK, ambil juga. Kemudian, ternampak Laskar Pelangi – sebuah buku pengarang Tanah Seberang, Andrea Hirata. Saya tidak mengetahui mengenai buku ini sehinggalah disarankan oleh teman Indonesia saya, Evi, selepas kami berbicara mengenai buku dan filem “Ayat-Ayat Cinta.”

Saya kira itu sajalah pilihan saya. Namun, tatkala melewati rak yang tertampal poster besar Oprah Winfrey, mata saya melihat Lions in Winter Stories karya Wena Poon, penulis dari Singapura yang kini bermastautin di USA. Saya tertarik untuk membaca buku ini apabila membaca mengenai temubual Wena di dalam majalah Quill edisi April – Jun 2008 (Dr. Sheikh Muszaphar sebagai penghias muka depannya). Kali ini, terus diambil, tanpa membaca pun blurbnya. Gila!

Akhirnya, daripada mahu tinjau-tinjau, saya telah membeli 4 buku lagi. Ditambah dengan belian semasa Pesta Buku hari tu, saya masih terlalu banyak bahan bacaan sehingga hujung tahun ini! Oh, banyaknya hutang dan pembaziran! Ketagihan? Obsesi? Tolong saya!