Monday, April 14, 2008

Travelog Haji - Mengubah Sempadan Iman by Muhd Kamil Ibrahim


Pertama kali saya mengetahui tentang kewujudan buku ini adalah di web jiwarasa. Kemudian, makin hari, makin ramai yang bercerita tentang buku ini. Pelbagai komen yang positif akhirnya merangsang saya mendapatkan naskhah ini pada kunjungan saya ke KLIBF yang lalu. Dengan diskaun sebanyak 15%, buku ini saya beli dengan harga istimewa RM22.10.

Seperti lazimnya, buku-buku yang saya beli, tidak terus saya baca. Sebaliknya, saya akan menunggu beberpa hari sebelum menekuninya dengan sungguh-sungguh. Dan, buku ini tidak terkecuali.

Buku ini saya baca pada hari Sabtu 12 April semasa menonton konsert AF6. Namun, ia lebih kepada menyelak-nyelak halamannya sahaja. Mencari tajuk-tajuk yang menarik, dan dibaca sepintas lalu. Usai menonton konsert, saya mula membacanya secara serius.

Ada sesuatu yang aneh bila saya memulakan pembacaan. Saya tak pasti kenapa apabila saya menyelak halaman catatan pengarang, saya menjadi berhati-hati. Seolah-olah saya rasa saya akan menyakiti buku itu. Kesan psikologi? Entahlah. Namun, selepas itu, perasaan kembali normal. Suspense!

Apabila lembaran demi lembaran saya baca, saya menjadi sangat emosi. Boleh dikatakan, air mata saya mengalir untuk setiap tajuk yang dibicarakan. Penceritaan yang bersahaja membuatkan saya menjadi sedih dengan hakikat diri saya. Paling menyentuh perasaan, bila Prof Kamil bercerita mengenai bagaimana kekuatan doa dan roh doa dalam mengubah dirinya. Saya rasa sangat sebak!

Saya akui, saya ini banyak jahilnya walaupun saya pernah mengambil major Fiqh dan Usul Fiqh semasa di universiti dulu. Namun, oleh kerana belajar hanya setakat belajar, apa yang dipelajari berterbangan menjadi puing selepas berakhirnya tempoh rasmi saya belajar. Apabila orang bercerita mengenai kuasa doa, saya akui saja, walhal saya masih banyak mempunyai curiga tentang aspek doa-doa saya. Kadang-kadang saya menjadi malu untuk memohon doa kerana rasakan diri sangat hina padahal, Allah itu tidak akan pernah menolak doa mana-mana hambaNya. Malah perbuatan bodoh seperti merasa diri tidak layak berdoa adalah satu dosa! Astaghfirullah!

Buku ini juga memberi makna baru kepada saya dalam memahami konsep ‘berpesan-pesan’ dalam Islam. Sebelum ini, saya selalu keliru di antara memahami maksud pesanan itu – seperti – kenapa mahu menasihat orang yang tidak mahu menerima nasihat? Dan, kenapa manusia itu sentiasa mahu diingatkan?. Dan, apabila membaca buku ini, saya mempunyai kesimpulan baru: berpesan-pesan itu bukan sekadar mengulangi apa yang kita sudah sedia tahu, tapi berpesan-pesan melalui pengalaman orang lain supaya kita boleh mengambil iktibar dan ‘relate’ dengan apa yang terjadi.

Berpesan-pesan juga juga bukan sekadar pengucapan kata, tapi merangkumi segala tertib perbuatan kita. Sesungguhnya, buku ini bukan hanya mengubah sempadan iman pengarang – malah ia juga mencetuskan satu keazaman kepada saya dalam mempertingkatkan keimanan saya (kalaulah boleh saya katakan demikian).

Seperkara lagi yang menarik, sebelum ini saya selalu skeptik apabila ada orang berkata yang dia boleh berubah kerana buku yang dia baca. Namun, apabila membaca buku ini, saya harus membenar dan mempercayai kata-kata itu! Oh, sesungguhnya, tiada satu saatpun membaca helaian ini membosankan saya. Dan, sememangnya air mata saya tidak henti mengalir hingga ke cerita terakhir dan air mata itu bukan satu paksaan!

Buku ini secara keseluruhan, menyedarkan kembali bahawa cinta Allah pada hamba-hambaNya sangat besar dan rahmatNya sangat luas daripada kemarahanNya. Dia memberi kepada sesiapa yang meminta dengan tulus. Kenyataan yang telah lama kita maklumi, cuma mungkin payah untuk mengakuinya.

Buku ini pasti akan dibaca berulang kali kerana pesanan-pesanannya sangat berguna bagi mencari sesuatu yang hilang dalam diri saya.

Bacalah, dan anda akan faham apa maknanya sekiranya anda tersentuh dengan penceritaannya …

P/s: Ya, saya tidak mengulas apa yang terkandung di dalam buku ini kerana saya rasa ceritanya biasa. TETAPI, anda perlu mendapatkannya untuk memahami sesuatu yang luar biasa di dalam ‘kebiasaan’ penceritaannya.

3 comments:

Alin Ahmad said...

Fisha : TQVVM coz hadiahkan i buku ni. sememangnyer i nak beli buku ni lps baca ur entry.Thanks darling!

Really...buku ni memang luar biasa..penceritaan yg begitu masuk ke hati. n yg penting buat i sedar kenapa la i lupa tentang kekuatan doa semasa berada di Tanah Haram...rasa menyesal kerana hanya berdoa sungguh2 ketika berada ditempat2 yg mustajab doa..sedangkan bukan i tak tahu yg berdoa dimana2 sahaja di Bumi itu adalah diangkat doa nyer.

Tahniah kat Prof Kamil mengingatikan ttg itu n seharusnyer buku ini menjadi panduan kpd sesiapa sahaja yg akan menjadi tetamu Allah!

Anonymous said...

Alin:
Glad you feel that way ...

Bila la nak dapat pi ni ... doakan aku ya!

Alin Ahmad said...

Fisha : Doa ku sentiasa utk mu...dan yg paling best, if kita dapat p sesama..InsyaAllah...