Showing posts with label Menceceh. Show all posts
Showing posts with label Menceceh. Show all posts

Wednesday, January 22, 2014

... dan sebenarnya ...

Pagi tadi di newsfeed FB, terjumpa gambar ini ... 



Itu memang sifat pembaca yang sejati. Namun, dalam kes saya, ia akan selalu berlaku begini ...




Selamat membaca semuanya!

Wednesday, January 15, 2014

Memberi Tema kepada Pembacaan

Saya sudah lama mahu menulis mengenai perkara ini, dan hari ini baru berkesempatan.

Sebenarnya, selama saya menjadikan membaca sebagai hobi, saya tidak pernah terfikir untuk mempelbagaikan bentuk dan output nya. Pada saya, membaca adalah satu perbuatan yang saya lakukan pada ketika ada kesempatan untuk memenuhi keperluan intelek saya - kerana saya sangat percaya pada nasihat "kalau tidak mahu nyanyuk, membacalah pada setiap ketika" (tak tahu kenapa tidak mahu nyanyuk itu menjadi operative words yang sangat signifikan pada saya.)

Namun, dengan ledakan teknologi, kewujudan media baru seperti rangkaian media sosial yang ada sekarang, saya mempelajari banyak perkara. Menerusi perkenalan dengan rakan-rakan baru di laman Goodreads (antaranya) serta membaca blog, baru saya sedar bahawa, membaca tidak perlu menjadi satu dimensi sahaja. Maka, antara perkara yang menarik perhatian saya adalah mengengenai memberi tema pada pembacaan anda.

Saya rasa saya bertemu dengan konsep ini daripada perbincangan rakan-rakan Goodreads-MY bila ada yang mencadangkan senarai bacaan yang berkaitan dengan hari tertentu - contohnya, apabila masuk Ramadhan mahu baca buku apa, dan apabila menyambut Maulid Raulullah SAW, sejarah baginda yang mana satu yang paling aula mahu dibaca. Seperti baru-baru ini di laman FB Goodreads-MY, Najibah telah menyenaraikan buku yang mahu dibacanya sempena Maulid Nabi.




Idea ini sangat hebat pada saya - kerana pertamanya, ia akan menyebabkan kita sentiasa alert dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Keduanya, kita mampu untuk memberikan input yang relevan terhadap persekitaran kita - mungkin boleh mengambil peranan apabila ada yang membahaskan kenapa ada beza tarikh lahir Nabi SAW dalam ar-Raheequl Maktum dan Sirah Ibn Kathir? 

Selebihnya -- anda justifikasilah snediri kenapa anda perlu lakukan begitu ... :)


Walau bagaimanapun, saya masih belum berkesempatan untuk membaca mengikut tema kerana saya terlalu malas untuk berbuat demikian! yang masih ada pun masih satu rak penuh tidak dibaca. Agaknya, untuk saya, tema yang sesuai adalah "habiskan rak itu!".

Sebahagian besarnya belum dibaca. Contoh tsundoku 'terhebat abad ini' :)



Mungkin harus dimasukkan dalam kalendar mengenai aktiviti ini -- bulan Januari pun masih banyak bakinya. Haha.


Thursday, July 25, 2013

Hormati buku, hormati ilmu

Ini bukan cerita saya. Tapi, saya rasa ia sangat menarik untuk dibaca, difaham dan dicontohi. Saya sememangnya menyenangi penulisan Dr. Ramzah Dambul (Rem Dambul), seorang pensyarah di UMS. Cerita ini saya copy paste daripada FB beliau.

Credit: Rem Dambul's FB photo

I.
Walaupun Ibu saya buta huruf totok (angka pun tidak kenal), dia sangat menyanjung tinggi bahan-bahan persuratan. Kegigihan Ibu saya dalam hal ini, kadangkala sampai ke tahap mengerikan. Serius.

Ibu saya ada sebuah kotak, tempat dia menyimpan semua helai kertas dan buku yang dipungut secara rambang dalam rumah. Oleh sebab dia tidak pandai membaca, isi kotak itu sangat rencam dan cacamarba. Tulisan Cina dan Jepun pun kadang-kadang ada.

Sewaktu kecil, saya suka mengolok-olok. Justeru ketaksuban Ibu mengutip segala bahan bertulis, yang selalu saya momokkan sebagai harta-karun sampah. Ibu saya yang penyabar – seperti biasa akan bagi justifikasi. Dia sebetulnya sangat risau kalau terbuang apa-apa dokumen yang penting. Sebab dia tidak tahu bezakan kandungan item bertulis – dia ambil jalan selamat dengan mengumpul apa saja yang dia temui berselerak di rumah: daripada buku, pamplet, akhbar, surat hinggalah kepada sebarang helai kertas.


II
Bila saya sudah bersekolah dan tahu membaca sikit-sikit; saya jadi tukang saring koleksi kutipan itu. Supaya yang dipungut itu tidak menimbun tanpa penyudah. Saya akan selongkar kotak tersebut, kemudian asingkan mana yang patut disimpan, mana yang boleh dibuang. Lebih tepat lagi – diguna sebagai bahan bakar untuk marakkan api memasak (ya, kami dulu masih gunakan dapur kayu). Atau kadang-kadang, kertas-kertas itu diguna untuk membungkus sayur atau buah-buahan yang mahu dijual kepada peraih.

Pada era di mana belum ada permainan maya digital dan rumah kami juga tidak ada TV (Kundasang circa 1977) – menyelongkar kotak serencam itu boleh dikira satu aktiviti separa seronok. Selain memberi ‘autoriti’ kepada saya untuk menyaring (yang bikin saya rasa diri berkuasa!); saya juga berpeluang jumpa macam-macam rahsia.

Daripada manual ubat (yang memberitahu kandungan dan arahan), buku hutang 555 (kepunyaan bapa saya), buku-buku latihan lama (milik adik-beradik saya yang lebih tua; kadang-kadang saya ketawakan markah-markah kerja mereka!), surat khabar bertulisan Cina yang diguna untuk membungkus barang yang dibeli dari kedai runcit berhampiran, pamplet kempen kebersihan yang diedar oleh Jabatan Penyiaran (yang kemudian dibawa pulang oleh Bapa saya), etc. Ya, ada macam-macam. Sangat random!


III.
Kalaulah Bapa saya (yang tahu membaca dan menulis) ada menyimpan gundik; barangkali surat-surat cinta mereka (Bapa dan si gundik hipotetikal itu) pun akan disimpan kemas oleh Ibu dalam kotak harta persuratannya. Nanti bila saya menyaring, bolehlah rahsia itu dibocorkan. Sebab saya memang selalu sangat pro Ibu dalam semua konflik domestik.

Tapi itu hanya fantasi. Isu kekasih gelap ini malangnya tidak pernah berlaku. Jadi, cita-cita saya mau sabotaj Bapa itu sebenarnya tidak pernah pun kesampaian.

Mungkin sebab adanya ‘kotak persuratan’ yang disimpan oleh Ibu saya itu; maka kebolehan akademik saya (khususnya membaca dan menulis) berkembang sedikit rancak berbanding adik-beradik saya yang lebih tua. Sepanjang sekolah rendah – dari darjah 1 hingga 6 (yang mempunyai tiga peperiksaan penggal setiap tahun); saya hanya mendapat tempat ke-2 dalam kelas sekali saja. Yang lain semua nombor 1; sebanyak 17 penggal. 

Nota: Riak tidak termasuk dalam perkara yang membatalkan puasa, kan?


IV.
A room without books is like a body without a soul.” ― Marcus Tullius Cicero (circa: 106 – 43 BC)

Cicero was a Roman philosopher and widely considered one of Rome's greatest orators and prose stylists. I guess my (late) Mother was the modern epitome of Cicero, in her very own unique way. It was her weird habit (of gathering everything with script on it) that nurtured my interest in reading at the very young age. Honestly, this is not a typical household culture in the Dusun community – during that era.

Sebagai ahli akademik, nilai relevan kerjaya kami bergantung kepada pertumbuhan perspektif. When we reach the stage where we lose the ability to see things beyond the conventional outlook – we are no longer relevant. Sebab sebagai penyelidik dan sarjana – tugas kami sepatutnya merobohkan sempadan ilmu. By offering new, original and fresh perspectives from time to time.

Constant reading and traveling are the only two effective ways to maintain the dynamic growth of our perspectives. Bercakap tentang membaca: di mana lagi tempat yang paling bagus untuk membaca kalau bukan di rumah, kan?


V.
Saya sudah lama mahu dapatkan librari personal di Rumah Pangi – yang strategik, mempunyai saiz optimum dan hening daripada gangguan. Sebab librari lama saya kurang memberangsangkan dari segi ruang, kedudukan dan rekabentuk (lack of natural light).

Akhirnya siap juga pustaka peribadi saya di tingkat tiga dalam pelan renovasi baru. Itu pun selepas tergendala beberapa kali, dengan pelbagai drama kontraktor lari-lari. Sekarang bolehlah saya tunggang terbalik menghabiskan masa cuti summer membaca buku-buku yang sudah lama terbiar di rak. Sambil menikmati puputan bayu laut pada aras 8 meter dari tanah.

I think we, Malaysians, in general don’t invest enough in nurturing reading culture at home. Membaca secara efektif perlukan suasana – kerana itu adalah satu ritual mental. Bukan satu proses fizikal semata-mata. Galakan membaca dalam rumah pun macam ala kadar. Beli buku untuk anak-anak bukan main banyak. Tapi berterabur di sana-sini. Ruang bukan isunya. Tidak semestinya ada librari khusus. Yang penting bahan bacaan tersusun, demi mengangkat budaya hormat pada buku.


VI.
Cuba tengok majoriti orang kita. Ampai buku merata-rata, bercampur baur dengan laundry dan barang dapur – atau diletak sesuka hati ikut mana-mana yang sempat. Saya fikir itu salah satu punca kenapa tamadun pemikiran bangsa kita tidak tumbuh sejajar dengan pencapaian material.

If we don’t know how to respect knowledge – then it will be naturally reluctant to come to us. Ibu saya buta huruf, tapi dia sangat menyanjung tinggi tradisi persuratan. So I seriously don’t see any reason why our modern more educated society can’t show the same attitude.

Reading is not just about reading. Equally important is the way you treat this mental ritual. Yes, it is also about how much effort you put into it. Barakah tidak akan datang dengan usaha-usaha separuh hati. Itu pesan guru saya dulu.



Monday, October 20, 2008

Menilai Ayat-ayat Cinta

Ini bukanlah review filem itu.

Cumanya mahu menjawab soalan Cik Mia Shakira yang telah sekian lama meninggalkan komen di rumah saya ini [dan, terima kasih, kerana mencetuskan idea buat saya!]:

Saya kurang faham dengan sifat syiah faisal, maaf kata saya kurang pandai dalam ilmu agama. Yang saya tahu islam itu satu, mazhab apa pun ia, ia tetap islam teman sesaudara saya. Kita tak boleh kawan dengan orang yang syiah ke?? Hum, tak fahamlah...

Jawapan saya ...

Seharusnya kita berpegang kepada "Setiap mukmin itu bersaudara." - Dan, sesiapa yang membenarkan kalimah "La ilaha illaLLah, Muhammadur Rasulullah" - mereka itu memang saudara seagama. Persoalan mengenai baiknya kepercayaan kita daripada kepercayaan dia, biar Allah SWT yang mengadilinya.



... "dan, damaikanlah mereka yang bertelingkah itu ..."

Saya kira saya bersetuju dengan Mia tentang perkara ini.



Soal Mia lagi:

Tunggu teduh dulu tu ada ala-ala ayat-ayat cinta ke??

Jawapan saya ...

Ayat-ayat cinta itu saya terjemahkan sebagai tanda-tanda cinta. Maka, dalam TTD, banyak ayat-ayat cinta di situ - Cinta Salsabila pada tanah arwah ayahnya terungkap pada ladang betiknya. Cintanya pada Makcik membuatkan dia melupakan kisah lampaunya. Cintanya pada sahabat-sahabat, dia tidak menoktahkan persahabatan dengan percintaan [logiknya - persahabatan akan berakhir sekiranya menjadi percintaan ... namun, percintaan boleh memulakan persahabatan].

Dalam AAC, Fahri dicinta sekian banyak orang kerana akhlaknya, pegangannya, ketakwaannya dan sebagainya.


Operative term nya di sini - tanda-tanda cinta itu lah.


Maka, untuk menyatakan TTD ala-ala AAC, bukanlah satu inferen yang salah, kerana keduanya berbahas pada operative term yang sama - beza pada plot dan wataknya.


Lagi pula, namanya pun ala-ala ... kiranya saling ada persamaanlah ...


Makanya Mia ... kadang-kadang persamaan pun membuatkan orang berkonflik .. apatah lagi pada perkara yang berbeza ...


Harap Mia faham maksud saya ...


Saturday, July 5, 2008

Menukar Hak Milik

Entri ini sebenarnya terilham daripada catatan Najibah mengenai Aweks KL ‘diculik’ di bukuria.
Malu pun ada sebenarnya nak menulis mengenai perkara ini kerana saya adalah antara yang melakukan perkara keji ini. Walaupun ia berlaku lama dulu, saya tidak pernah tidak lupa untuk mengesalinya.

Kali pertama buku perpustakaan sekolah rendah menjadi hak milik saya adalah apabila saya menjadi pengawas perpustakaan yang mempunyai kelebihan menguruskan sistem pinjaman (waktu dulu pinjaman buku hanya sekadar tulis nama di kad pinjaman, dan kad tersebut dikepilkan bersama kad perpustakaan sahaja). Waktu itu, saya sengaja ‘menghilangkan’ kad buku tersebut dan hasilnya buku itu ‘hilang identiti’ dalam inventori dan buku itu saya yang punya (kerja keji ini tak selalu berlaku, kerana ada ketikanya saya rasa buku-buku ini mendatangi saya dengan mimpi ngeri dan akhirnya saya pulangkan kembali ke perpustakaan.

Tapi, ada buku yang tiada mimpi ngeri. Maka, buku itu saya simpan terus – salah satunya “Cinta Seorang Guru” karya Allahyarham Mohd Ismail Sarbini. Namun, sebab harta curi, buku itupun lenyap tanpa saya sedari).

Kebas buku kawan sendiri pun pernah – Che’ Na, maafkan saya! - dan dua buku cerita itu adalah – “Johana Shukri” (pengarangnya sudah lupa) dan sebuah lagi “Budiku Budimu” juga karya Allahyarham Mohd Ismail Sarbini. (Bagaimana saya boleh mengelak Che' Na menuntut bukunya? Berulang kali menyatakan saya terlupa nak pulangkan atau saya masih mahu membacanya sampai dia terlupa bahawa dia memiliki buku itu!)

Sememangnya perpustakaan akan mengalami kerugian yang bukan sedikit dengan adanya pembaca seperti saya. Namun, tarikan buku itu lebih kuat (masa itu lah ..) membuatkan saya melupakan beban kerugian perpustakaan dan “memilik sendiri” buku-buku pinjaman.

Setelah ‘memilik sendiri”kan beberapa buku, akhirnya saya sedar buruk laku tersebut. Dan, Alhamdulillah, saya meninggalkan terus perbuatan itu. Lalu, sekiranya, ada peminjam buku-buku saya melakukan sesuatu terhadap buku saya yang telah mereka pinjamkan, saya anggap itu adalah kafarah dosa saya dulu. Walaupun geram, namun saya mewajarkan perbuatan mereka dengan apa yang telah saya lakukan. Karma? Hisy, tak percaya saya ... kerana kita belajar, buat jahat dapat dosa, balasan belum tentu. Mungkin Allah tangguhkan hingga ke akhirat? Mana kita tahu, kan?

Bagaimana mahu menebus kesalahan tersebut?

Walaupun saya tahu ada kemungkinan dosa saya itu tidak terampun, maka saya berfikir untuk menghadiahkan pihak-pihak yang telah saya zalimi itu dengan koleksi buku-buku saya. Sementelah saya sekarang berkemampuan membeli buku-buku yang saya suka, saya harap perbuatan saya dapat mengimbangi ‘kejahatan’ saya dulu sekiranya tidak menghapuskan dosa semalam …

Malunya! Pencuri rupanya saya ...

Tuesday, April 1, 2008

Buku yang Anda tak suka?

Berapa banyak buku yang anda baca dalam beberapa baris, kemudian anda rasa ia sangat karut dan membosankan? Atau, lebih teruk, apabila anda tengok sahaja kulit luarnya, terus anda buat kesimpulan yang buku itu tidak baik atau tidak elok untuk dibaca?

Profesor saya pernah berkata:

“Tidak kira sebodoh mana anda rasa buku yang sedang anda baca, anda harus menghargainya. Sesebuah buku itu adalah lambang kerja keras seseorang. Kalau anda rasa ia bodoh, anda harus fikirkan betapa orang itu berfikir dengan sepenuh jiwanya untuk satu penghasilan yang sebegitu. Maka, bila anda review sesebuah buku, janganlah dibuat catatan – buku ini tidak bernilai / buruk / tak sesuai dibaca. Kalau karya seseorang itu sampah pada anda, orang itu tetap lebih baik daripada anda kerana sekurang-kurangnya dia ada penghasilan. Anda? Mengkritik tanpa ada apa-apa pun.”

Mengambil pesanan itu, maka, setiap kali saya menghadapi buku yang paling membosankan, saya memilih untuk terus membacanya juga sekiranya saya masih mampu berbuat begitu. Atau, sekiranya tidak boleh, saya tidak akan membacanya sama sekali. Selalunya, bila membaca karya begitu, mulut ini laju saja nak berkata-kata. Nak buat macam mana, tabiat!

Anda, bagaimana?

Ada cara tertentu menangani kebosanan daripada sebuah buku? Kongsikanlah …

Monday, March 31, 2008

Ayuh, berpesta lagi!

Pesta Buku datang lagi!

Ayuh ... kekalkan semangat suka berpesta itu ...
Janganlah lagi kita dikatakan hanya suka berpesta
Untuk benda yang lagha ...
Untuk benda yang sia-sia ...
Untuk benda yang tidak bermakna ...

Buktikan .. Kita bukan orang yang tidak berguna!
Buktikan .. Kita sentiasa tahu dan pandai memilih waktu untuk berpesta!
Buktikan .. Kita ini masyarakat berguna!


Adat orang berkasih
tika berjauhan gundah-gulana
menghitung waktu bilakah dapat bersua.
Kala di sisi, segenap jiwa bernyanyi ria.
Kekasih hadir mengubat banyak perkara.
Begitu ibaratnya jika buku menjadi kekasih.
Sentiasa mengerti dan memberikan harapan.
Acap kali manusia dikecewakan sesama manusia
tetapi buku tidak pernah mengecewakan
walau bagaimana sekalipun "dia" dilayan.
Dia kekasih abadi bagi yang mengerti.
- Shahrom TM Sulaiman - Buku Kekasih (2004) -

Tuesday, March 25, 2008

Pandai Pinjam, Pandailah Jaga ...

Saya memang pembeli majalah dan buku. Ada majalah yang saya langgan saban bulan dan tahunan daripada agen yang datang ke pejabat saya dan ada juga belian langsung setiap hari, minggu dan bulan.

Bagi buku pula, saya akan pastikan, setiap dua bulan saya boleh membeli sebuah buku yang mampu saya habiskan (namun, sudah banyak yang dibeli, tapi belum dibaca-baca!).

Pada saya, koleksi majalah dan buku-buku adalah harta yang sangat saya sayang -- seperti saya sayangkan harta yang lain-lainnya. Kiranya berlaku sesuatu (nauzubillah!), yang saya paling khuatir adalah koleksi-koleksi ini. Di rumah, bila emak terpaksa memusnahkan sekotak besar majalah saya yang dimakan anai-anai, saya menjadi sangat depresi. Seharian saya membelek puing-puing buku dan majalah-majalah itu. Saya menjadi sangat sedih. Manakan tidak, koleksi saya yang bermula seawal saya tingkatan satu pada tahun 1990 terpaksa dimusnahkan ...

Tapi itu tidak terbanding kesedihan saya menghadapi peminjam buku-buku dan majalah saya yang tidak pandai menguruskannya. Tak diberi, kawan-kawan yang tidak berkira memberi pinjam barang mereka. Tapi, bila diberi, akan menangis tak berlagu saya kerana barang kita tak diumpamakan langsung.

Kalau saya meminjam buku orang, apa yang saya buat:

Pertama:
Saya akan pastikan keadaannya - adakah sebarang kecacatan pada majalah / buku tersebut. Sekiranya ada, saya akan buat nota (tak buatlah benda ni di hadapan tuan yang emmpunya kerana nanti apa pula katanya).

Kedua:
Sebelum meminjam juga, saya akan perhatikan bagaimana layanan tuan buku tersebut terhadap bukunya. Sekiranya dia seorang yang baik pengurusannya, saya akan menjadi extra sensitif apabila meminjam bukunya. Kalau pemiliknya biasa-biasa saja, saya masih mahu menghormati buku itu.

Ketiga:
Andai semasa meminjam saya terlihat kecacatan pada buku, saya akan membaiki buku tersebut mengikut yang termampu. Adalah sejumlah buku orang yang saya pinjam, saya tolong balutkan kerana saya rasa saya perlu berbuat begitu. Saya puas melakukannya.

Keempat:
Pulangkan buku yang pinjam pada masa yang dijanjikan.

Malangnya, ramai peminjam buku + majalah saya tidak mengumpamakan harta saya langsung. Mereka wewenang menanggapinya. Saat mula mereka menyelak helaian-helaian buku dan majalah sudah bisa merobek hati saya. Kadang-kadang, rasa seperti tak mahu bagi pinjam langsung -- biar buruk di rak daripada diperlakukan sedemikian.

Paling menjerut rasa, bila buku + majalah yang cantik dan elok rupa bentuk pada mulanya, dipulangkan dalam keadaan yang sangat nazak. Siap ada tandatangan daripada selebriti yang tidak sepatutnya. Lebih malang ada bekas sambal, ubi lenyek dan sebagainya di muka surat tertentu. Sakit jiwa!

Berhadapan orang begini, memang awal-awal lagi dia akan masuk senarai hitam -- dan sememangnya tidak akan diputihkan walau hebat mana dia merayu.

Nasihat saya:
Elokkanlah urusan anda dengan harta orang, nescaya orang akan berlaku sama terhadap harta anda.

Wednesday, March 12, 2008

Lagu Kita

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap diarus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Pribumi merintih sendiri.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutup lah hati terkunci mati,
Maruah pribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kini sudah tiada masa,
Majulah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayukan gagah dinusantara,
Melayukan gagah dinusantara.


Saya tidak pasti asal-usul lagu ini. Tapi lagu inilah yang sering dilagukan semasa saya masih bersekolah lewat pertengahan tahun 80an. Saya dengar penciptanya adalah Naib Canselor UUM - Dat'' Nordin Kardi lah, kan? I like this man ...

Kali pertama mendengarnya, hati terus terpaut. Saya tidak faham mulanya, tapi bila diterangkan oleh seseorang yang memperkenalkan lagu ini, terus kagum saya pada setiap kata-katanya. Betapa lagu ini menceritakan apa yang kita lalui dan alami sekarang ini hasil daripada kelalaian kita.

Kenapa anak kecil main api?
Kerana apabila anak kecil yang belum pandai membezakan baik dan buruk bermain dengan sesuatu yang kecil menjadi kawan, dan besar menjadi lawan, padah yang maha besar akan menimpa. Lihat saja sekarang, padah pemimpin tidak mendengar nasihat orang lama, sengsara juga hidupnya.

Sekarang tidak pasti untuk menyatakan sama ada kita ini dalam masa berkabung atau kita sendiri yang ditalkinkan. Ramai yang bergembira dengan apa yang berlaku sekarang dan berpuas hati. Nampak seperti semuanya optimis dengan kelangsungan bangsa kita walaupun diperintah orang lain. Semoga optimistik itu ada asasnya untuk 5 tahun ini.

Namun, kiranya kita mengambil tetap bersorak biarpun kampung telah tergadai dan baju kertas telah terkoyak dan menelanjangkan sebahagian susuk kita, harungilah ia seperti mana kita mahukan sedari awal.

Ini pilihan kita. Pilihan yang telah kita timbangkan baik dan buruknya. Pilihan yang kita buat dan asaskan daripada pemikiran orang dewasa, bukan asas pemikiran anak kecil tadi.

Apapun, Melayukan gagah di Nusantara.

Retorik? Tunggu dan tengok sajalah.

Monday, February 4, 2008

Respon terkini terhadap isu KOMSAS

Hapuskan saja Komsas
KHABAR angin yang mengatakan Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) akan diisi dengan novel-novel ringan pada masa depan sebenarnya tidak ada suatu yang luar biasa. Ini kerana Komsas diwujudkan setelah desakan daripada kalangan sasterawan bahawa sastera itu penting untuk membina manusia. Tetapi hakikatnya kewujudan Komsas bukanlah iltizam yang datang daripada jiwa yang tulus. Sastera dan kesusasteraan di sekolah-sekolah seboleh-bolehnya mahu dipancung. Semuanya kerana tidak banyak yang duduk dalam barisan pembuat dasar pendidikan faham peripenting kesusasteraan kepada sesuatu bangsa...

Saya amat bersetuju dengan pendapat Ku Seman ini, dan saya kira, inilah yang sepatutnya kita lakukan - penuhkan sahaja kepentingan pihak-pihak tertentu tanpa mengira masa depan generasi sendiri. Persetankan masa depan! Pergi mampus dengan sastera Malaysia! Siapa sahaja yang nak pening-pening kepala nak cari makna prosa, memaham sajak, atau mengambil tauladan daripada karya sastera lama itu? Bukannya semua nak bekerja jadi sasterawan, tak minat pun.

Bosan! Bosan! Bosan!

Semuapun mahu dipolitikkan. Arghh!

Saturday, February 2, 2008

Novel Komersial sebagai teks sastera? - Pandangan Saya

Komsas: Di mana sastera kita? - oleh Putera Ahmad

TINDAKAN (keputusan?) Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) tidak memilih karya-karya sasterawan negara (SN), penerima S.E.A. Write Awards, dan pengarang-pengarang penting Malaysia untuk teks baru Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) dapat dianggap menghina dan memperleceh para pengarang/sasterawan mapan dan sastera Melayu...

Jawapan PKK tentang isu teks KOMSAS
Teks Komsas dalam pemilihanPERKEMBANGAN Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat bertarikh 20 Januari 2008 oleh Putera Ahmad bertajuk Komsas: Di mana sastera kita? PPK ingin menyatakan bahawa pemilihan teks komponen sastera dalam bahasa Melayu (Komsas) dan Kesusasteraan Melayu Elektif (KM) belum muktamad dan masih dalam proses pemilihan...


Saya ini tiada kemahiran pun untuk bercakap mengenai bidang kesusasteraan kerana saya bukanlah di antara mereka yang berada di bidang ini secara terus.

Namun, saya masih boleh memahami kebimbangan dan keresahan pencinta sastera negara apabila ada ura-ura Pasukan Penilai Kurikulum Kementerian Pelajaran untuk menukarkan teks sastera sekolah menengah dengan novel komersial karya penulis-penulis genre terbabit. Ini bermakna, tidak akan ada lagi kajian mengenai novel-novel yang memenangi hadiah sastera dan sebagainya.

Saya melihat perkara ini sebagai satu tindakan "pembunuhan terancang" kepada sastera melayu dan kesusasteraan negara secara keseluruhannya. Walaupun polemik mengenai adakah novel komersial itu termasuk dalam bicara kesusasteraan telah seperti ditamatkan, namun masih kedengaran suara-suara tidak puas hati. Mereka yang tersigung dan disigung masing-masing bercakap di atas rasa keperluan mereka. Maka, siapakah yang akan menang?

Menjadikan novel komersial yang melambak di pasaran dengan tema cinta-cintaan sahaja memang patut menjadi kerisauan yang bukan sedikit. Berhujah dengan mengatakan keharusan menukar teks klasik kepada teks komersil adalah berkaitan dengan dimensi pelajar bukanlah sesuatu yang wajar. Terlalu mudah penghujahan itu. Janganlah dek kerana kehadiran novel jenis ini boleh membuatkan pelajar-pelajar membaca, maka kita juga membuat perubahan dasar yang mengikut aliran tersebut. Nampak sangat kedangkalannya.

Naluri remaja memang tertarik kepada kisah-kisah komersial begitu kerana pada waktu inilah mereka belajar meluaskan konteks sosial mereka. Namun, tidak semestinya kita harus menjadikan kecenderungan mereka sebagai satu sebab untuk menukarkan orientasi pemahaman sastera negara untuk mereka. Sebagai kajian perbandingan, novel komersial memang wajar dibaca secara tuntas, tetapi, dijadikan teks? Tolonglah..!

Orang Inggeris walaupun menerima aliran dan lambakan novel komersial, karya-karya Shakespear, Jane Austin, Virginia Woolf dan sebagainya masih menjadi karya yang dimestikan untuk pelajar mempelajarinya. Dan, selalunya mereka dapat mengungkap apa perkara terbaik yang penulis mereka telah tulis.

Pelajar kita? Nak menikmati kesyahduan puisi Ke Makam Bonda pun tak tahu. Lagi teruk, tidak kenal langsung siapakah barisan SN kita.Tak usahlah bercakap memperkasakan bahasa kalau persoalan mula beginipun tak mampu mempunyai pendirian yang teguh.

Apakah pembuat dasar tidak mengambil erti nasihat orang-orang tua dahulu bahawa untuk mendidik, jangan dipenuhi semua kemahuan si anak, kelak naik lemak, dan akhirnya anak menjadi mua, ibu bapa juga menyesal tidak sudah.

Jangan kerana trend pembacaan yang cenderung ke arah novel komersial (maksud lain untuk picisan saya kira!), kitapun sanggup menurunkan martabat sastera ke kedudukan yang tidak sepatutnya. Satu pertanyaan berdasarkan analogi mudah saya: Adakah perlu lagu rock dimasukkan ke dalam lagu warisan negara hanya kerana genre itu mendapat sambutan anak-anak muda?

Fisha: Sokong apabila SN A. Samad Said melepaskan gelaran tersebut kerana isu ini.

Dan terima kasih kepada damantim kerana pertanyaan beliau membuatkan saya teringat untuk menulis mengenai perkara ini.

Saturday, January 5, 2008

Kunjungan yang bermakna ...

Pada 31 Disember 2007 yang lalu, kotak email saya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk.

"Oh, ada seseorang memberi komen di blog saya rupanya ..."

Setelah login masuk, terus saya membuka komen tersebut. Komen daripada En. Adialhadi ... gembiranya saya ...

Setelah sekian lama saya menulis di blog ini, sudah 2-3 kali juga blog tak seberapa ini dikunjungi nama-nama pengarang yang saya baca buku atau tulisan mereka.

Bangga? Memang saya bangga ... ia ibarat berjumpa dengan idola kita dan berpeluang berborak dengan penuh keterujaan... terima kasih buat Amir Muhammad, Lydia Teh dan Adialhadi. Komen mereka, walaupun hanya 2-3 patah perkataan, sangat membuatkan hati saya berbunga-bunga ...

Saya rasa sangat terharu bila Adialhadi menyatakan bahawa beliau suka dengan cara saya menulis ... emmm ..

Seperti biasa, saya akan menjadikan diri penuh rasa rendah diri .. tapi dalam masa yang sama rasa sangat terawang-awang dipuji begitu .. hehehe!!!

Untuk semua yang sudi berkunjung dan 'membuang masa' anda membaca sesuatu yang mungkin "ntahapapantah" daripada saya .. sejuta perhargaan daripada saya ...

Semoga, apa yang saya tulis melalui jiwa dan rasa saya (seperti nama saudara Jiwarasa) ... akan boleh sampai ke jiwa dan rasa anda juga ...

Sunday, November 11, 2007

Dibeli, tapi belum dibaca ... siri 1

Buku-buku yang dibeli pada 8 November 2007 - Popular, Kuantan.



Cuti sempena Deepavali tempoh hari, saya berkesempatan ke Kuantan. Tujuan utama adalah untuk menonton Bee Movie. Saya mengheret Nadhrah bersama kerana K. Marina sibuk marking. Hajat hati sebenarnya nak juga menonton filem Otai lakonan Apek, tapi disebabkan sampai ke Kuantan jam 12 lebih, saya membatalkan hajat (Nadhrah mencebik bila saya beritahu dia yang saya mahu menonton filem tersebut. Dia tak tahu yang saya adalah big fan slapstick comedy!).

Sebelum filem bermula pada pukul 1.40pm, saya pun menuju ke kedai buku Popular, (kenapalah MPH tak nak buka outletnya di sini?). Ramainya orang. Hari cuti kot, semua pun nak keluar mencari sesuatu yang menyenangkan. Saya ke bahagian fiksyen untuk mencari karya Sohaer Kashoggi. Saya nak mencarinya kerana tertarik dengan ulasan di dalam tabloid KOSMO! tempohari. Tapi, malangnya, tidak ketemu satupun. Tak apalah, mungkin saya boleh berjumpa buku-buku tersebut bila saya ke KL nanti.

Kemudian saya ke bahagian "new arrival" mencari karya Amir Muhammad, Malaysian Politicians say the Darndest Things. Oh, ada 2 naskhah sahaja yang tinggal - cepat-cepat saya ambil. Kemudian mata saya menangkap karya Lydia Teh, Life's Like That, Scenes from Malaysians Life.

Kemudian saya terus ke bahagian fiksyen Melayu, mencari cerita-cerita lain daripada yang sedia ada ... Mata tertancap pada karya Shamsiah Mohd Noor - Bulan Berbisik, dan Aminah Hj. Mokhtar, Ku Usir Lara Ini. Saya sebenarnya menyenangi fiksyen Melayu, namun kadang-kadang sesak rasa dengan naskhah-naskhah cinta asyik maksyuk. Agaknya, bila bertambah usia, makin pening otak nak menggarap karya-karya ini. Tapi, saya salute penulis-penulis muda yang gigih menulis.

Berjalan mundar-mandir, mata terlekat pulak pada sebuah buku: Malaysia Public Policy and Marginalised Group. Bagus ni, untuk diajar semester hadapan. Saya ambil lagi. Di sebelah buku tersebut, ada sebuah lagi buku yang menggamit saya - Mad about Malaysia karya Dean Johns. Saya perhatikan blurb nya, saya rasa lebih kurang macam buku Lydia Teh saja, lantas saya letak semula. Kemudian, saya dapati Nadhrah membeli buku tersebut. Ah, pinjam sajalah dari dia ...

Sedar tak sedar, hampir RM150 saya berbelanja untuk semua buku-buku tersebut. Tapi, hati saya puas, walaupun saya tak pasti bilalah saya mampu membaca kesemuanya.

Falsafah saya yang sering membuatkan emak berbulu dengan saya:
"beli, kena beli. baca, bila-bila pun boleh... yang penting, ada depan mata."

Nota: Sampai ke hari ini, saya masih lagi membaca buku Lydia Teh. Rasanya buku Malaysia Public Policy and Marginalised Group adalah yang paling akhir dibaca. Nasib tak baik, saya akan baca secara skipping and screening untuk topik tertentu sahaja. Tengoklah macam mana...

Membaca vs. Menulis

Saya pernah membaca satu catatan memoir seorang penulis (maaf, saya sudah lupa siapa dia), tika ditanya oleh wartawan kenapa beliau mengambil masa untuk menghasilkan karyanya.

Beliau menjawab, "saya tidak menulis kerana saya rasa saya belum banyak membaca."

Saya menyimpan kata-kata itu hingga sekarang. Namun, sedar tak sedar kata-kata itu telah memberikan dua orientasi yang berbeza kepada saya, berserta dengan satu soalan kesimpulan: Wajarkah saya menulis kerana saya rasa saya kurang membaca?


Saya tidak pasti apakah benar persoalan tentang kewajaran itu.

Di satu sisi, saya menanggapi bahawa persoalan itu benar, kerana kurang membaca bermaksud kurang ilmu. Kurang ilmu, apa yang hendak ditulis. Namun, persoalan lain timbul, sekiranya saya berpegang kepada falsafah itu, saya tidak akan menulis sampai bila-bila kerana saya selalu merasakan pembacaan saya tidak berapa meluas. Arghhh!!!

Bila saya berpeluang menduduki sisi tebing akademik, saya memaksa diri untuk sedikit rajin membaca - ini adalah sesuatu yang mesti kerana saya adalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada orang lain dan apa halnya sekiranya saya tidak membaca? Namun, minat untuk menulis tidak lebih daripada perasaan yang meluap-luap tetapi dikekang oleh kekurangan minat dan pembacaan yang meluas.

Keadaan saya menjadi lebih haru apabila kerjaya ini memaksa saya menulis. Orang di sekeliling ramai yang menulis. Tapi yang menjadi persoalan, ramai yang menulis kerana keterpaksaan dan hasilnya, penulisan mereka menjadi lompong dan reflektif kepada apa yang mereka baca. Walaubagaimanapun, mereka masih boleh tersenyum kerana sekurang-kurangnya mereka telah menulis. Saya? Banyak sangat alasan, tapi satu makalah pun tak tertulis.

Saya rasa saya memerlukan strategi yang baru. Membaca dan menulis. Sedikit membaca, sedikit ditulis, banyak bacaan, banyaklah penulisan. Saya tidak mahu menulis kerana bertaklik sesuatu (tapi, andai terpaksa, mungkin prinsip ini terpaksa dikorbankan). Saya mahu menulis dengan penuh jiwa dan rasa. Tak guna menulis, tapi tidak menyentuh jiwa dan rasa sesiapa. Paling tidak, tulisan anda diketawakan orang. Sakitnya perasaan itu.

Agaknya saya ini terlalu ideal dan banyak sangat retoriknya!

Nota: Penulisan saya di blog ini, anda rasa ok ke?

Tuesday, November 6, 2007

Akhbar pilihan anda?

Anda gemar membaca akhbar?

Atau, adakah anda mesti memulakan hari anda dengan membaca akhbar?

Saya, biasa sahaja. Ada kesempatan, saya membaca naskhah fizikalnya, tapi selalunya klik saja, terbentang berita maya, itu lebih memudahkan.

Apakah akhbar pilihan anda?

Bagi saya yang menerima pendidikan awal di sekolah beraliran kebangsaan, pastinya saya mesra dengan Utusan Malaysia dan Berita Harian. Biarpun apa pun kata orang, saya tetap setia dengan keduanya. Selalunya Utusan Malaysia saya baca pada hari Ahad, Isnin, dan Sabtu, manakala selebihnya Berita Harian. Tapi, kiranya ada kesempatan, saya baca semuanya sekali. Termasuk tabloid, Harian Metro dan KOSMO!

Waktu kecil dahulu, saya suka menyuruh Pak membeli Berita Harian waktu beliau balik kerja kerana saya menggemari segmen Teka Silang Katanya. Teka Silang Kata di Utusan Malaysia saya rasakan sangat susah kerana perkataan yang 'disilangnya' bersifat "out of my vocabulary context".

Masuk ke universiti, saya mencuba membaca The New Straits Time (NST) dan The Star. Ada rakan memperkenalkan The Malay Daily dan saya menyukainya kerana bahasanya mudah saya faham. Saya selalu rasa penat membaca NST dan The Star kerana, sudah lah tebal, bertulisan kecil, agak sukar untuk saya faham. Namun, sedikit sebanyak ia menolong mengayakan perbendaharaan kata bahasa Inggeris saya.

Dalam hal membaca akhbar, saya suka memerhatikan sikap ayah saya bila dia membaca akhbar. Dia akan mencari kawasan lapang (lapang dari kerusi meja atau apa saja), dia akan bentangkan luas-luas muka akhbar dan mula membaca daripada tarikh hingga ke kaki akhbar. Macam mana saya tahu dia membaca begitu? Kerana, apabila saya menyoal tentang apa yang ada di muka tersebut, dia boleh menyebut tentang semua perkara, tanpa meninggalkan sebarang detail! Saya sangat kagum, tapi mak saya tidak boleh menerimanya. Lambat, rungutnya.

Biar apa cara sekalipun anda menikmati akhbar anda anda perlu menjadikannya satu rutin. Kerana apa? Kerana, biarlah anda bukan seorang pembaca, namun jangan biarkan minda menjadi jumud tnapa mengetahui apa yang berlaku di sekitar anda, dan akhbar adalah wadah yang sangat tepat untuk tujuan ini ... cubalah!

Kenapa perlu membaca?

Persoalan yang mudah, namun menjawabnya agak sukar.

Orang membaca kerana pelbagai alasan ...

"Hendak menjadi orang berilmu," kata si pencinta ilmu.

"Hendak mengetahui perihal dunia," kata penggemar isu semasa.

"Hendak mengisi waktu terluang," kata penggemar hobi ini.




Pelbagai justifikasi boleh dibuat mengenai membaca.


Secara peribadi, saya membaca kerana saya suka membaca. Namun, saya bukanlah seorang yang "sukaaa" sangat membaca. Membaca adalah proses yang berterusan. Tambahan, kerjaya saya mewajibkan saya menjadi pembaca.


Saya menjadi gemar membaca setelah saya mengenal huruf (saya hanya kanak-kanak biasa yang mengenal huruf bila sudah masuk tadika) dan jangan terkejut kalau saya katakan bahan bacaan saya yang pertama adalah longgokan majalah GILA-GILA. Saya menjadi obses dengan majalah itu. Selain tertarik dengan kisah kartun-kartun di dalamnya, saya turut menggemari segala rencana di dalamnya. Bagi saya, rencana mereka yang menulis ketika itu sangat mempengaruhi. Kiranya, dek sebab selalu membaca karya-karya penulis-penulis tersebut (seperti A. Samad Ismail, Adi Alhadi - sekadar beberapa nama), saya rasa saya mempunyai fikiran yang agak terkedepan daripada kawan-kawan sebaya. Saya tidak tahu, tapi kiranya karangan di waktu saya bersekolah sering menjadi persoalan kepada guru-guru. Ada yang kagum saya boleh menulis begitu, dan ada juga yang tidak segan-segan menyatakan saya meniru. Saya biarkan saja. Dipuji saya berterima kasih, dikeji, saya hanya angkat bahu.


Orang yang mendorong saya menjadi seorang yang gemar membaca adalah arwah bapa saudara saya - En. Johan Bakar, yang mesra saya panggil Pak. Ketika kecil, saya dipelihara oleh Pak, kerana Pak tiada anak sendiri. Dialah yang membelikan saya majalah-majalah tersebut. Saya tidak tahu kenapa beliau berbuat demikian dan pastinya saya tidak akan mengetahui kerana Pak meninggalkan saya pada usia saya 12 tahun (1990).


Saya boleh membaca apa sahaja - namun saya terpaksa menolak bab ekonomi, kewangan atau apa sahaja yang berkaitan dengan sesuatu yang bersifat numerikal dan teknikal. Entah mengapa, saya memang tidak menggemari genre-genre tersebut. Mungkin pencapaian saya di dalam subjek matematik dan sains boleh diambil kira mengenai kecenderungan menjauhkan diri daripada genre ini.


Selain daripada membaca, saya juga mempunyai hobi membeli buku. Sehingga ke hari ini, masih ada beberapa buku yang saya beli, namun masih belum dibuka daripada plastik pembalutnya. Kekangan masa? Entahlah...


Anda bagaimana? Orientasi dan sejarah pembacaan anda, siapa yang mempengaruhinya?