Sunday, June 29, 2008

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck by Hamka

Gambar dipinjam tanpa izin dari Ujana Ilmu

Saya bukanlah seorang penggemar karya-karya klasik kerana saya kadang-kadang tak punya kesabaran untuk melunasi sesuatu yang ‘elaborative’ sifatnya. Maksud saya mengenai ‘elaborative’ adalah pengulangan frasa yang membosankan saya. Tapi, inilah yang menjadikan karya klasik berkarektor sepertinya. Dalam kes ini, saya bersetuju dengan kata-kata: Classic: A book which people praise, but do not read. Hehe!

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck ini telah lama saya dengar. Sedari sekolah rendah lagi. Ada juga rasa untuk mengetahui apa yang membuatkan buku ini sering dikatakan hebat. Namun, oleh kerana rasa itu datang tanpa jiwa, maka, keinginan hanya tinggal keinginan sahaja. Malang sungguh!

Karya awal Hamka ini saya habis baca pada 2006 (bulan berapa saya sudah lupa). Saya rasa antara sebab saya terdorong untuk membaca cerita ini setelah sekian lama adalah selepas menonton drama bersiri Hayati di TV1, arahan pengarah tersohor, Erma Fatima. Dicatitkan dalam kredit pembukaan cerita tersebut bahawa ia adalah saduran daripada buku ulama hebat ini. Setelah membaca, sejujurnya, saya tak rasa apa-apa pun, kerana ia adalah satu lagi kisah cerita cinta yang terhalang dek kerana darjat dan keturunan.

Tak tahulah kepada orang lain. Tapi, begitulah kefahaman saya. Dan, mungkin ada yang akan mengatakan bahawa saya tidak tahu menghargai karya agung – kerana, saya tidak dapat mencari di mana hebatnya cerita ini. Kalau latar masa pengkarya yang jadi ukuran, maka cerita ini mungkin antara kisah yang hebat, kerana khabarnya belum pernah muncul novel sebegitu pada masa itu. Tapi, kalau tuntutan emosi saya yang ditaruhkan, saya tidak hilang apa-apa.

Namun, yang dapat saya simpulkan – cinta itu tidak teruji pada saat kegembiraan, tidak terpaling dari kesedihan, namun paling terbukti pada hitungan lamanya masa. Kalau ada yang sanggup menunggu hingga ke akhirnya, mungkin itulah cinta sejati.

Mungkin saya kena menerokai karya Pak Hamka yang lain untuk mencari keserasian dan kekaguman saya terhadapnya.

P/s:
Pada mulanya, saya agak skeptik untuk menulis apa yang saya tulis ni. Takut ada yang akan marah, yang menuduh saya yang bukan-bukan. Tetapi, setelah ditimbang-timbang, saya sampai pada satu kesimpulan, kenapa mahu fikir apa orang akan kata? Ini pendapat saya. Salah atau betul, ini yang saya rasa. Ketakutan yang tidak berasas adalah sia-sia dan bodoh sifatnya. Nampaknya saya masih perlukan lebih keberanian untuk bersuara! Ini cubaan pertama … sila komen.

Dalam hal ini mungkin kesesuaian bentuk penulisan pengarang dan tahap cerapan pembaca memainkan peranan. Maksud saya, buku SN A. Samad Said membuatkan saya selalu terlena apabila sampai ke muka surat kelima dan keenam. Tapi, kalau karya SN Abdullah Hussein, laju saja bacaan saya.

Itu yang saya rasa. Anda, bagaimana?

5 comments:

Anonymous said...

Kak Fisha,

Buku ni lah yang menyebabkan minat saya menulis bercambah!
Saya paling tertarik bila Hamka mengkritik konsep adat pepatih yang sonsang dan adakalanya menjelekkan. Terutamanya dari segi menjodohkan seseorang mesti berlainan suku dan fanatik pada nasab keturunan mesti 'urang' Minang saja.

Walau apa pun saya mengagumi adat perpatih terutamanya dari segi pemilihan pemimpin mereka di kalangan buapak-buapak. Lebih 'demokrasi' saya kira hehe (ironi sungguh dengan dissertation saya)

Hmm tapi kan keluarga saya tidak mengamalkan adat pepatih lagi hahaha...:p

blackpurple @ jowopinter said...

Saya sudah dua kali membaca novel klasik ini. Pertama kali sewaktu masih bersekolah dahulu, dan kalai kedua tahun lepas.

Syahdu dan meruntun perasaan pembaca. Sebetulnya ada 3-4 buah lagi novel Pak Hamka yang pernah saya baca dan saya suka membacanya. Di Bawah Lindungan Kaabah misalnya.

Pishaposh said...

Ikmal:
Ya, cerita urang Minang tu memang seronok dibaca apabila sampai pada menerangkan kehalusan budi mereka ...

En BP:
Saya rasa saya nak kena cari Di Bawah Lindungan Kaabah pula. Mungkin lepas ni boleh menambah kekaguman pada Pak Hamka ...

Danielle_Corleone said...

Novel pujaan saya! indah bahasa dan isi!

Galeri Kami said...

yang menarik dari novel ini bagaimana Hamka merangkai kata-kata dalam surat...seakan2 benar menulis dan berbalas dengan orang lain...karya yang luar biasa