Gambar dipinjam tanpa izin dari sini
Saya tertarik untuk membeli dan membaca buku ini bukanlah bersandarkan sebab tertentu. Kebetulan singgah di Kinokuniya, saya bermaksud membeli bahan bacaan setelah hampir 3 bulan saya tidak membeli buku baru. Dan, buku ini yang terakhir saya ambil untuk mencukupkan kuota buku belian saya. Harga yang ok, kulit depan yang memancing minat, serta saiz tulisan yang menyenangkan mata, apa lagi yang harus saya katakan? Hmmm ...
Saya tiada pengetahuan mengenai Kassim Ahmad selain mendengar dakwaan orang bahawa dia adalah terdiri daripada golongan anti-hadis dan penulis buku kontroversi, Hadis - Satu Penilaian Semula. Lagi pula, ketika kontroversi buku itu memuncak, saya masih di alam pra-tanggungjawab (seperti yang ditermakan oleh beliau) ... hanya tahu bersukaria dengan kehidupan yang indah dan mengasyikkan.
Melayari beberapa blog yang mengulas buku ini, banyak ulasan yang bernuansakan kebencian kepada beliau. Ada yang mengatakan bahawa Pak Kassim (ya, saya hormati dia kerana dia berusia daripada saya!) mahu mempopularkan semula semangat anti-hadisnya, dan tak kurang yang mengejek-ejeknya sebagai orang yang sesat, tetapi mengaku menemui jalan pulang. Bahkan, yang lebih keras marahnya, siap mencadangkan agar buku ini turut diharamkan dan Pak Kassim wajar disumbatkan di bawah ISA.
Satu hal yang positif terhadap pembacaan saya kali ini adalah saya membaca tanpa sebarang persepsi. Mungkin kerana ia diwar-warkan sebagai sebuah memoir (dan sememangnya saya suka membaca memoir), saya dapat mengesampingkan segala cerita negatif mengenai Pak Kassim daripada mempengaruhi pembacaan saya. Bonus lagi, saya tiada pengetahuan mengenai dirinya (saya hanya mencari fakta mengenai beliau usai membaca buku ini).
Buku ini sebenarnya adalah antara buku yang saya baca dengan perasaan sayang untuk menghabiskan. Maka, saya sengaja melambat-lambatkan untuk menyelesaikannya.
Yang membuatkan saya tertarik, semestinya pada hujahannya yang 'meyakinkan' dan penuh keintelektualannya (emm, saya macam dapat rasakan ada yang menggeleng-geleng kepala sambil tersenyum sumbing apabila membaca kenyataan ini ... tapi, ini pendapat saya).
Bila dia menerangkan mengenai teori Darwin (natural selection dan survival of the fittest) dan menghuraikan mengenai konsep 'takdir' dan bagaimana Allah mengurniakan keistimewaan kepada manusia 'dalam menentukan takdirnya' berdasarkan kepada fakulti akalnya, saya boleh faham maksudnya - dan, selalunya, bila kita boleh faham apa yang dmaksudkan penulis dalam pembacaan, potential incompatibality adalah rendah, dan kita akan lebih seronok membaca.
Namun, seperti biasa, ada banyak perkaralah yang tidak saya senangi dengan cara Pak Kassim menghuraikan sesuatu, seperti mempertikaikan mengenai kecenderungan orang Islam mengagungkan ulama-ulama muktabar terdahulu, ahli-ahli hadis melebihi al-Quran. Pak Kassim seakan mempertanggungjawabkan karya, keilmuwan dan segala perlakuan ulama-ulama ini sebagai sebab musabab umat Islam menjadi jumud dan kaku dalam menggunakan akal. Dengan mencetuskan provokasi (yang saya kira sengaja dan terancang), Pak Kassim mencabar pembaca untuk berani melawan apa yang telah dimaktubkan oleh ulama-ulama tersebut. Beliau malah seolah marah kerana umat Islam sanggup mempercayai hadis-hadis Nabi yang diriwayatkan selepas 200 tahun wafatnya Baginda SAW [dan, saya noktahkan ketidaksenangan perasaan saya di sini sahaja, tanpa perlu diperpanjangkan lagi.]
Lalu, dengan mengambilkira bahawa seseorang itu percaya yang dia adalah benar adalah kerana ilmu yang dimilikinya, dan saya memahami kenapa Pak Kassim begitu - adalah kerana kecenderungan beliau menanggapi ilmu falsafah, agama dan politik dengan mendalam (berdasarkan apa yang beliau tulislah).
Dia boleh berbahas dengan penuh yakin dia itu betul kerana dia mendalami perkara-perkara yang mahu dibahaskan (tak kiralah sama ada ilmu itu betul atau salah kerana persoalan betul atau salah itu kemudiannya berbalik kepada cara kita menanggapinya pula ...). Dan, saya kira Pak Kassim sangat terbuka untuk dihentam dan menghentam - satu kualiti yang jarang ada pada banyak orang yang mengaku berilmu. Pak Kassim juga berani bertanggungjawab atas apa yang dia perkatakan.
Satu perkara yang saya sangat bersetuju dengan beliau adalah mengenai ketiadaan budaya berdialog dalam masyarakat kita atau lebih kh.usus masyarakat Islam. Kita lebih suka memilih untuk menghentam daripada mendengar dan berdialog. Kekesalan Pak Kassim dengan tindakan beberapa pihak yang mempertikaikan karyanya tanpa memberi peluang kepada beliau untuk menghujahkannya adalah satu kenyataan perit yang perlu kita akui. Perkara ini membuatkan saya teringat kepada komentar Prof. Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman di Seminar Penjenayahan Perang 2007 yang lalu bahawa bila terma 'dialog' diutarakan dalam usaha menyelesaikan perbalahan, ia selalunya akan diperemehkan oleh banyak pihak dengan alasan dialog banyak membuang masa - sedangkan adab berdialog tidak pernah mahu mereka dalami (oh, itu cerita lain kali lah).
Persoalan sama ada Pak Kassim pulang, atau tersesat di jalan adalah ceritanya dengan Allah, dan siapalah kita untuk menghukum. Adakah kita yang 'di jalan lurus ini' boleh menjamin kita benar selamanya? Daripada menghukum, baik juga kita bersama-sama menadah tangan berdoa agar semua yang bersyahadah dengan kalimah "La Ilaha illa Allah" di dunia ini sentiasa dilorongkan untuk terus kekal dijalan yang sentiasa diredhai Allah. Bukankah Islam ini agama nasihat menasihati dan sentiasa menyuruh kita mencintai muslim yang lain?
OK lah, saya kira inilah yang sebenar saya rasa mengenai memoir ini. Yang pasti saya senang membacanya - walaupun, banyaknya kesalahan ejaan (proof reader tak buat kerjakah?) dan struktur ayat yang kadang-kadang membuatkan saya semacam "erk".
Pesanan saya - kalau ada yang baik, amalkan. Kalau jumpa yang buruk, tinggalkan dan panjatkanlah doa kepada Allah supaya penulisnya diampunkan.
Sekurang-kurangnya dia berani menyatakan apa yang dia fikir. Orang yang mengomel yang tidak-tidak itu, apa usaha anda selain daripada menempelak?
3 comments:
Kak Fisha,
Ulasan yang menarik dan mendalam walaupun saya rasa ada juga bab yang Pak Kassim Ahmad tulis agak meleret2 penulisannya. Boleh jadi asyik menulis sehingga lupa perkara yang perlu dikatakan.
p/s: sukarnya mencari pensyarah mampu mengulas buku-buku sebegini terutamanya di tempat 'terperuk' macam kat sini hahaha :p
Sedikit ulasan ttg MJL:
1. Walaupun ada yang mengatakan jalan pulang yang dicari Pak Kassim agak jauh dan mungkin sesat tapi ianya membuka jalan kepada mereka yang masih awal untuk mencari jalan pulang.
2. Mungkin Hisham Rais tidak dapat menerima kemurtadan seorang sosialis, lebih-lebih lagi yang bertaraf Mahaguru baginya, namun Pak Kassim merupakan sebahagian daripada 'dialektika materialisme'.
3. Bacalah Al-Quran yang mempunyai terjemahan yang difahami, bukan membaca sekadar untuk bacaan yg tak difahami apa isinya.
Ikmal:
Salah satu perkara yang dipesan oleh Dr. Harvie, elakkan 'waffle' bila menulis.
Amende 'waffle'?
Pengulangan yang tidak disengajakan.
Tapi, x heran pun, sbb editor cam x buat apa pun ... typo error, grammar semua tunggang-langgang ...
Mede:
Ya, tulisan Pak Kassim barangkali memungkinkan adanya orang yg akan tersedar untuk kembali ke pangkal jalan ... namun, kesedaran bukanlah sesuatu yang mudah untuk diperolehi. Banyak2 lah berdoa untuk kita semua ini. AMIN.
Pasal HR .. mungkin juga dia rasa frustrated. Idolanya beralih arah. Namun, kalau dia lebih sedikit mengkaji, mungkin dia juga lebih boleh tersedar.
Quran - sekadar dibaca utk mendapat pahala 1 alif. Itu yang banyak berlaku. Tak terkecuali pada diriku ini.
Kemungkinan fenomena ini ada kaitan dengan cara kita bermuamalah dengan quran itu sendiri ... tidak boleh dipegang wewenangnya, tidak boleh dibaca sesukanya ... satu kerugian. Pendakwah harus datang dengan pendekatan baru bagaimana mahu 'mengimarahkan' quran ini ...
Post a Comment