Showing posts with label Travelog Makanan. Show all posts
Showing posts with label Travelog Makanan. Show all posts

Sunday, July 29, 2012

Bukan Sekadar Resepi: Roza Roslan



Picture by Google


Apabila buku itu terkedang di atas meja kerja dan dilihat orang, akan keluarlah soalan:
"Eh, kau nak memasak eh? Best ke resepi dalam ni?"

Cliché! Teringat pula kepada kisah penanya kepada siri Chicken Soup for Souls saya! (yang itu saya cerita lain kali)

Satu perkara yang nyata, saya beli buku ini bukan kerana nak belajar resepi di dalamnya (walaupun resepinya memang memikat, namun untuk a lousy cook seperti saya, ini bukan tarikan), tapi kerana terpikat pada setiap buah tangan penulisnya - Pn. Roza.

Seperti buku-bukunya yang lalu, semua ceritanya sudah saya baca. Kiranya, dalam buku ini terdapat banyak pengulangan kisah daripada 2 bukunya yang terdahulu: Review saya di sini dan sini. Namun, buku ini disusun mengikut temanya, sebagai anekdot kepada setiap resepi yang disertakan.

Memang saya selalu tertarik pada anekdot - tak kiralah pada apa keadaan pun. Pada saya, ia dapat menambahkan imaginasi saya terhadap apa yang dimaksudkan oleh penulis, dan buku ini tidak terkecuali. Tercuit dan tersentuh hati dan jiwa saya kala membaca kisah di sebalik setiap resepi. Kata orang, makanan boleh menjadi memori menggembirakan dan tak kurang menjadi duri di hati. Saya ada 2 makanan yang menepati kedua-duanya. Namun, saya tak rasa saya akan mampu menulisnya sampai bila-bila.

Gaya penulisan Pn Roza masih seperti karyanya yang terdahulu. Apa yang membuatkan saya tertarik, adalah pada rasa kejujuran bercerita itu. Jujur, maksudnya sudi berkongsi sebarang rasa - paling utama rasa ego, dan rasa yang mungkin akan memalukan pencerita itu sendiri dengan cara yang santai. Pada saya, besar risikonya berterus-terang begitu - kerana ia akan menyebabkan makin berkuranglah 'rahsia' kita. Tapi, pada satu sisi yang lain, mungkin si pencerita akan lega kerana tiada beban untuk menyimpan perkara begitu. Saya tabik pada Pn. Roza!

Cerita resepi yang paling menarik? Ayam goreng istimewa.

Cerita bagaimana anak beliau - Amirul dan Sofea - menggunakan akaun Facebook nya untuk membuat pesanan dan bayaran terhadap tepung goreng ayam berperisa dari Malaysia melalui rangkaian ibu mereka yang menjadi tetamu di Al-Haram melucukan. Namun, yang buat saya terpikat pada bab bagaimana kisah adik Pn Roza - Razif dan Ayu (allahyarhamah) berebut bahagian ayam yang sama ketika masih kecil - siap dengan segala aksi dan tenungan mata yang tajam.

Membesar pada sekitar awal 80an, saya pun masih mempunyai kisah berebut begini dengan adik-adik - ayam pada masa itu masih menjadi juadah istimewa dan bukan selalu ada di meja makan. Selalunya, emak akan memotong kecil setiap bahagian, dan menggorengnya. Dan, selalu juga, apabila memasak lauk tengahari, lauk yang sama juga akan dipanaskan apabila tiba waktu makan malam. Untuk mengelakkan kehabisan lauk di waktu malam, mak akan menyembunyikan portion ayam goreng untuk makan malam nanti di tempat-tempat yang strategik - antaranya di dalam tong beras, di bawah timbunan periuk dan di celah-celah dapur. Tapi, oleh kerana anak-anaknya memang punya deria bau yang superb, usaha mak selalu gagal. Tapi, kami pun tidaklah menghabiskan semua yang kami jumpa - selalunya kami gigit sedikit, dan simpan balik baki ayam yang telah digigit itu .. hehehe. Mak tahu yang kami tahu mengenai perkara ini, namun, mak tak kisah. Tetap juga mak buat begitu. Kini peristiwa itu menjadi usikan setiap kali berkumpul dan bercerita.

Keseluruhannya, saya suka mengulang baca kisah-kisah ini semua kerana banyak dari cerita itu relate dengan diri saya. Dan, pencerita yang boleh membuatkan kita relate dengan penceritaannya adalah pencerita yang sememangnya menulis dengan bukan sekadar resepi ...


P/s: Satu resepi yang telah diuji oleh Kak Marina daripada buku ini ialah Sambal Goreng Bebek (h. 108). Sedap katanya.

Tuesday, June 29, 2010

Tapai - Travels & Guilty Pleasures of a Fermented Malaysian by Hishamuddin Rais

Gambar dari sini


Buku ini saya capai secara rambang. Itu aktiviti biasa bila saya mengunjungi kedai buku. Maksudnya, mesti kena beli satu buku apa pun. jangan keluar dengan tangan kosong! Lepas tu, bacanya entah bila bila … ditanya di Mahsyar, haruslah saya! Huhuu.

Saya memang tidak kenal Hishamuddin Rais (HR) – tapi info tentangnya yang saya ada, dia pernah ditangkap di bawah ISA, pernah menjadi pelarian politik dalam masa yang agak lama dan selebihnya pembikin filem yang tidak ditayangkan (atau, saya yang tidak menonton?). Saya juga pernah membaca blog beliau – tukar tiub – namun saya tak rasa saya menyukainya.


Buku terbitan ZI Publication ini merupakan koleksi tulisan HR di dalam majalah Off the Edge (majalah ini pun saya tak pernah baca – itu isu lain).


Buku ini secara ringkas bersifat travelog makanan – HR memberi pandangan peribadi beliau mengenai makanan yang dicubanya di merata tempat. Falsafah sesuatu makanan itu juga dihuraikan dengan menarik. Saya admire perkara itu. Seharusnyalah seseorang seperti beliau mempunyai banyak perkara untuk dikongsikan.


Saya sebenarnya tak tahu bagaimana nak bercerita mengenai buku ini – kerana pada saya, ia adalah satu catatan yang sedikit mengganggu. Seharusnya saya bercerita mengenai apa yang ditulisnya, bukan menilai siapa dirinya. Namun, banyak perkara yang membuatkan saya tidak boleh berasa begitu!


Pada muka pengenalan (dedication) ada dicatat:

Isham is part-time Bumiputera and full time human being.

Apabila membaca pernyataan ini, saya sudah mengagak apa yang akan saya temui – namun, hakikatnya, ia lebih mengejutkan!


Ya, saya adalah full-time Muslim, human being and Bumiputera – maka, apabila ada perkara yang ditulis beliau yang menyesakkan nafas saya, saya bersitighfar panjang. Dia terlalu berani malah pada satu-satu ketika terlalu bangga dengan kehidupan begitu. Iya, itu kehidupannya, sebagai full time human being, tiada yang salah mengenainya, namun apabila masih mengaku part-time Bumiputera itulah titik masalahnya (mungkin sebab dia tak nyatakan kelompok Bumiputera mana yang dia menjawat jawatan part-time itu).


Mewajarkan rasa, saya melihat sisi lain pula – dalam buku ini, HR berterus-terang bahawa dia adalah born-again agnostic (kalau ikut bahasa biasa, agnostic adalah satu kepercayaan tidak mempercayai kewujudan tuhan – boleh baca di sini) – maka, saya rasa saya patut berterima kasih kepada beliau kerana rela menjadikan dirinya guinea pig pada eksperimen yang pastinya mereka yang mengaku tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah tidak boleh melakukannya – mengkonsumasi perkara-perkara yang diharamkan. Mungkin falsafah seorang foodies seperti beliau – makan ditanggung sendiri – adalah jawapan pada segala rasa terganggu saya ini.


Akhirnya, mungkin untuk mengurang rasa terganggu saya akan mengatakan bahawa buku ini ditulis oleh seorang lelaki misteri – tanpa diketahui asal-usulnya, anonymous agama dan budayanya - … tapi, masih juga tidak boleh!






P/s: Buku ini memang sesuai dengan tajuknya – dan adalah sebuah bacaan yang menghiburkan! Ironikah? Anda baca, dan boleh beritahu saya kemudian.

P/s/s: Saya rasa saya pernah terbaca mengenai apa yang
Isma kata mengenai penerbitan ZI Publication di GR … dan, selepas membaca buku ini, saya bersetuju. Pstt, Isma, saya ada satu lagi buku terbitan ZI mengenai Edd Hussain – belum dibaca.