Showing posts with label Roza Roslan. Show all posts
Showing posts with label Roza Roslan. Show all posts

Sunday, July 29, 2012

Bukan Sekadar Resepi: Roza Roslan



Picture by Google


Apabila buku itu terkedang di atas meja kerja dan dilihat orang, akan keluarlah soalan:
"Eh, kau nak memasak eh? Best ke resepi dalam ni?"

Cliché! Teringat pula kepada kisah penanya kepada siri Chicken Soup for Souls saya! (yang itu saya cerita lain kali)

Satu perkara yang nyata, saya beli buku ini bukan kerana nak belajar resepi di dalamnya (walaupun resepinya memang memikat, namun untuk a lousy cook seperti saya, ini bukan tarikan), tapi kerana terpikat pada setiap buah tangan penulisnya - Pn. Roza.

Seperti buku-bukunya yang lalu, semua ceritanya sudah saya baca. Kiranya, dalam buku ini terdapat banyak pengulangan kisah daripada 2 bukunya yang terdahulu: Review saya di sini dan sini. Namun, buku ini disusun mengikut temanya, sebagai anekdot kepada setiap resepi yang disertakan.

Memang saya selalu tertarik pada anekdot - tak kiralah pada apa keadaan pun. Pada saya, ia dapat menambahkan imaginasi saya terhadap apa yang dimaksudkan oleh penulis, dan buku ini tidak terkecuali. Tercuit dan tersentuh hati dan jiwa saya kala membaca kisah di sebalik setiap resepi. Kata orang, makanan boleh menjadi memori menggembirakan dan tak kurang menjadi duri di hati. Saya ada 2 makanan yang menepati kedua-duanya. Namun, saya tak rasa saya akan mampu menulisnya sampai bila-bila.

Gaya penulisan Pn Roza masih seperti karyanya yang terdahulu. Apa yang membuatkan saya tertarik, adalah pada rasa kejujuran bercerita itu. Jujur, maksudnya sudi berkongsi sebarang rasa - paling utama rasa ego, dan rasa yang mungkin akan memalukan pencerita itu sendiri dengan cara yang santai. Pada saya, besar risikonya berterus-terang begitu - kerana ia akan menyebabkan makin berkuranglah 'rahsia' kita. Tapi, pada satu sisi yang lain, mungkin si pencerita akan lega kerana tiada beban untuk menyimpan perkara begitu. Saya tabik pada Pn. Roza!

Cerita resepi yang paling menarik? Ayam goreng istimewa.

Cerita bagaimana anak beliau - Amirul dan Sofea - menggunakan akaun Facebook nya untuk membuat pesanan dan bayaran terhadap tepung goreng ayam berperisa dari Malaysia melalui rangkaian ibu mereka yang menjadi tetamu di Al-Haram melucukan. Namun, yang buat saya terpikat pada bab bagaimana kisah adik Pn Roza - Razif dan Ayu (allahyarhamah) berebut bahagian ayam yang sama ketika masih kecil - siap dengan segala aksi dan tenungan mata yang tajam.

Membesar pada sekitar awal 80an, saya pun masih mempunyai kisah berebut begini dengan adik-adik - ayam pada masa itu masih menjadi juadah istimewa dan bukan selalu ada di meja makan. Selalunya, emak akan memotong kecil setiap bahagian, dan menggorengnya. Dan, selalu juga, apabila memasak lauk tengahari, lauk yang sama juga akan dipanaskan apabila tiba waktu makan malam. Untuk mengelakkan kehabisan lauk di waktu malam, mak akan menyembunyikan portion ayam goreng untuk makan malam nanti di tempat-tempat yang strategik - antaranya di dalam tong beras, di bawah timbunan periuk dan di celah-celah dapur. Tapi, oleh kerana anak-anaknya memang punya deria bau yang superb, usaha mak selalu gagal. Tapi, kami pun tidaklah menghabiskan semua yang kami jumpa - selalunya kami gigit sedikit, dan simpan balik baki ayam yang telah digigit itu .. hehehe. Mak tahu yang kami tahu mengenai perkara ini, namun, mak tak kisah. Tetap juga mak buat begitu. Kini peristiwa itu menjadi usikan setiap kali berkumpul dan bercerita.

Keseluruhannya, saya suka mengulang baca kisah-kisah ini semua kerana banyak dari cerita itu relate dengan diri saya. Dan, pencerita yang boleh membuatkan kita relate dengan penceritaannya adalah pencerita yang sememangnya menulis dengan bukan sekadar resepi ...


P/s: Satu resepi yang telah diuji oleh Kak Marina daripada buku ini ialah Sambal Goreng Bebek (h. 108). Sedap katanya.

Friday, June 17, 2011

Travelog Impian Abadi by Raudzah Roslan

picture credit: Google




Buku ini dah lama saya nantikan - sedari PBAKL 2011 yang lalu -- sehinggalah berkesempatan membelinya pada minggu lepas selepas habis menonton Kung Fu Panda 2 yang kelakar itu. Saya dapat beli di Popular Jusco Bukit Raja (bersama diskaun Ramadhan 10% katanya). Dan, sekejap sahaja saya khatam ~~ boleh cepat habis sebab saya menunggu lama di Subang Airport untuk balik ke Terengganu (hampir 2 jam tanpa ada aktiviti yang menarik).


Seperti buku yang terdahulu, buku ini juga diambil dari entri di dalam blog Pn. Roza ~~ yang sudah saya baca kesemuanya. Tapi, bila dibaca dalam bentuk buku begini, lain cerita dan perasaannya. =)


Kalau yang pertama dulu, berkisar pada cerita penulis pada usia kanak-kanak dan awal remajanya, yang kedua ini berkisar pada fasa kedua kehidupannya - kehidupan semasa dan selepas universiti. Kiranya Travelog Impian Abadi membawa kita menikmati sama apa impian penulis dan bagaimana dengan impian ia menjadi satu realiti.


Satu perkara yang saya senang bila membaca karya Pn. Roza adalah kerana saya masih boleh 'relate' banyak perkara yang diceritakan - maksudnya, saya masih boleh membayangkan apa yang dikisahkan kerana latar zaman yang saya kira tak jauh daripada zaman yang saya lalui.


Moral: Sejarah lebih mudah dikenang dan dihayati sekiranya yang mahu mengingatnya dapat 'relate' dengan apa yang diceritakan --- moral sangatlah tu ...




Dan, ya, ada ketika apabila sampai pada halaman tertentu, ia sangat mengganggu emosi saya - kerana Pn. Roza sangat jujur mengakui apa yang dia rasa. Tanpa segan silu. Ada fragmen tertentu dalam buku ini yang sangat dekat di hati saya - namun yang berbeza, saya tidak akan mampu menzahirkannya seperti apa yang ditulis oleh penulis. Berkali-kali saya menahan diri dari tidak cembeng bila membacanya (mujurnya tiada siapa yang duduk di sebelah saya semasa saya menunggu flight dan di dalam penerbangan -- kalau tak, haru juga).


Kisah Mak Wa masih juga yang menjadi yang paling menarik pada saya - terutamanya pada bab Bersama Mak Wa dan Mas Kahwin Mak Wa. Saya menjadi lebih emosi kerana saya pernah ada 'Mak Wa' yang begitu, namun saya mengambil keputusan untuk menjauhi diri daripada Mak Wa saya itu apabila saya makin berusia. Saya tak tahu di mana silapnya, dan saya tidak pernah cuba untuk memperbaiki perhubungan itu. Saya memang pandai menafi dan menyembunyikan perasaan sehingga tidak tahu bagaimana mahu meluah perasaan. 'Mak Wa' saya masih ada, tapi saya tak pasti apakah saya mahu memilih untuk memperbaiki hubungan itu atau meratap sendiri apabila salah seorang dari kami pergi nanti. Doa saya kepada Allah -- permudahkanlah bagi saya dalam perhubungan ini. Amin.


Selain itu, saya selalu tertarik pada orang yang percaya kepada impian mereka dan berusaha untuk menzahirkan impian itu. Saya adalah berlainan - kerana saya sudah lama tidak berimpian. Kalau ada pun, entah lah, susah nak digambarkan. Mungkin kerana kemahuan saya pun tidak banyak -- bukanlah kerana terlalu selesa dengan kehidupan .. tapi ... ah, susahlah.


Tercuit jiwa saya pada bualan mengenai persiapan menangkap ikan besar antara penulis dengan Mak Wa. Ya, perkara itu juga pernah jadi bualan saya dengan 'Mak Wa' saya lama dahulu, tapi kini saya lupakan segala. Saya tak pasti bilakah semua ini saya buangkan jauh-jauh. Oh, sungguh depressi!


Cerita-cerita penulis selama belajar di UiTM Dungun juga membuat saya senyum sendiri. Pertama, kerana saya sekarang sedang berkhidmat di sini - dan setiap apa yang diceritakan masih boleh saya nikmati. Kedua, tulisan Pn. Roza juga membawa saya ke zaman indah belajar dahulu. Suka orang ini, bergaduh dengan orang itu ... indahnya!


Banyak rasa yang terbangkit daripada buku ini. Tapi, satu saja pengakuan saya: saya masih mahu menafi dan menyembunyikan rasa hati saya pada mereka yang tertentu. Saya tak pasti apa rasionalnya, dan saya faham akan natijahnya. Moga Allah mempermudahkan segalanya. Amin.



P/s: Ini macam buat ulasan diri sendiri sahaja, instead of book review? =p

Sunday, July 4, 2010

Travelog Cinta Abadi by Roza Roslan


Gambar dari sini



Saya rasa saya semakin suka untuk memiliki buku-buku yang diangkat daripada blog. Tapi, ada pengecualiannya - blog-blog kehidupan - bukan politik. Maka, apabila bertemu Travelog Cinta Abadi (TCA) ini, saya tidak bertangguh memilikinya.


Walaupun kesemua ceritanya sudah saya baca di blog Puan Roza, saya masih enjoy membacanya di dalam buku ini. Rasa kagum kerana beliau berjaya merakamkan peristiwa-peristiwa dalam hidupnya dengan 'hidup' sekali. Saya pernah cuba untuk berbuat demikian, namun, kadang-kadang saya sukar untuk mengenang cerita-cerita lama (terutama kisah-kisah tidak berapa seronok) dan menulisnya dengan rasa penuh indah dan penuh pengajaran. Maka, akhirnya, saya tinggalkan sahaja.


Berbalik kepada TCA.


Ada 93 cerita kesemuanya di dalam buku ini, dan kesemuanya mempunyai tajuk yang straight forward. Pada mulanya, saya tidak berapa faham kenapa buku ini menggunakan tajuk TCA, Masa yang berlalu ..., tetapi, setelah membacanya, saya terjemahkan begini - (mungkin) ia menggambarkan cinta penulis kepada orang-orang yang dia sayang, pada persekitaran dan kehidupan lalunya. Maka, jadilah cinta abadi. Saya terkesan, tapi saya tak punya rasa yang sama (atau belum lagi) terhadap kehidupan saya. Tapi, saya sudah cuba melihatnya daripada pandangan yang berbeza - walaupun banyak yang belum berubah.


Saya suka menganggap cerita-cerita di dalam TCA mirip kepada cerita bersiri Sekolah Sri Melur (adaptasi Enyd Blyton's Mallory Tower) kerana ia banyak bercerita mengenai diri penulis - anak yang nakal, dan pelajar yang berani - yang semuanya membuatkan saya rasa - kenapa saya tiada pengalaman begitu - soalan bodoh lah gayanya - kerana mana ada manusia yang liku kehidupannya sama, kan? Ini bukan persoalan cantik atau manisnya pengalaman hidup seseorang, tapi ia lebih kepada cara kita mengolah cerita kita. Umpama menulis karangan RUMAH SAYA - boleh saya ia menjadi nota yang paling menarik atau kisah yang teramat membosankan - bergantung kepada siapa yang menulisnya.


Moralnya:

Setiap pengalaman kita adalah yang terindah bergantung kepada bagaimana cara kita menanggapinya - contohnya, kisah Cikgu Roslan (ayah pengarang) yang sangat tegas [saya bersyukur ayah saya tidak begitu!], yang membuatkan saya rasa kasihan dengan penulis, namun masih boleh merasa kasihnya melalui apa yang ditulis oleh Puan Roza.

Cerita paling menarik? -- tiada yang spesifik, tetapi yang berkaitan dengan Mak Wa, semua saya suka. Saya tak punya peluang untuk berasa demikian, tapi, terima kasih Puan Roza kerana memberi kesan kepada saya!