Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama
Faisal Tehrani adalah seorang penulis yang cukup saya gemari karyanya. Melazimi karyanya di Dewan Siswa sekitar tahun 90-95, saya tidak akan melepaskan apa sahaja karyanya. Puas membaca, kerana usai membaca, banyak ilmu yang saya perolehi. Inilah sebenarnya kepuasan pembacaan pada saya.
Tuhan Manusia sebenarnya telah lama saya perhatikan. Namun, banyak benar halangan untuk saya memperolehinya. Berkunjung ke MPH Mid Valley penhujung tahun lalu, buku ini saya beli dengan harga baucer tawaran – RM1.90. Pun begitu, buku ini usai saya baca sebulan kemudian. Rasa sedih, bila pembacaan sampai ke akhirnya.
Banyak review yang telah diberikan oleh pembaca terhadap buku ini. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Malah, ada yang menuduh, Faisal sengaja mengunjukkan rasa marahnya terhadap orang-orang yang tidak dipersetujui beliau. Walau apapun bicara mereka, saya tetap akan membaca dan tidak akan menghiraukan kutukan atau pujian yang diterima Faisal kerana ilmu itu tidak dilihat kepada siapa yang memegangnya, tapi lebih kepada apa manfaatnya.
Berbalik kepada buku ini, kupasan Faisal mengenai logika konsep pluralisme dan liberalisme yang keterlaluan dalam agama memudahkan penghadaman saya sedikit sebanyak tentang falsafah di sebalik semua ini. (Oh, saya antara mereka yang ‘allergic’ membaca karya-karya yang berbentuk falsafah dan jarang saya ketemu titik akhir kefahaman saya di situ!).
Faisal memulakan cerita dengan sebuah kekecewaan seorang anak sekolah terhadap tragedi yang berlaku di dalam keluarganya. Abangnya murtad ke agama Kristian, ayahnya menjadi lebih pendiam dan memendam perasaan dan ibunya meniggal dunia. Bertitik tolak daripada semua itu, Ali Taqi menjadi seorang remaja yang matang dan lebih terkedepan pemikirannya.
Walaupun watak Ali Taqi is too good too be true, saya masih boleh menerima kerana saya tidak melihat ketidakwajaran seorang anak sekolah berfikiran begitu. Dan, bila Faisal memperkenalkan watak Zehra, saya makin teruja untuk memahami kupasan ilmu falsafah keagamaan di tangan Faisal.
Satu keistimewaan Faisal, adalah pada kemahirannya merungkai sesuatu yang relatifnya sukar kepada sesuatu yang mudah difahami. Lewat karya ini, saya belajar bagaimana pluralisme menjadi satu ancaman kepada kesyumulan Islam seluruhnya dan mengumpul lebih banyak idea untuk menjadikan justifikasi saya terhadap kehodohan liberalisme yang berlebihan yang disokong-sokong oleh sebahagian umat Islam sekarang ini.
Namun, saya sedikit terkilan pada pengakhirannya. Kerana apa?
Apabila Ali Taqi diusiakan sebagai orang dewasa (setelah selesai cerita dia pulang daripada umrah dan kematian abangnya), dan menyambung hubungan kekeluargaan dengan saudara sahabatnya Tse, Ali Taqi kelihatan seperti seorang profesor falsafah yang membosankan (seperti kebanyakan profesor yang ahli dalam bidang ini yang sering saya temui semasa di universiti dulu). Ini terlihat bila Ali Taqi memberikan jawapan-jawapan ‘biasa’ semasa beliau dipanggil berceramah kepada ahli FASEH. Tidaklah saya tahu apakah ini kesengajaan yang Faisal buat setelah memotretkan Ali Taqi sebagai remaja yang luar biasa kefahamannya mengenai Islam.
Apapun, karya hebat seperti ini akan saya baca berulang kali (mungkin saya akan skip bahagian akhir cerita ini!) dan insyaAllah, saya akan cuba untuk melazimi soalan-soalan falsafah keagamaan dengan sedikit serius. (hmmmm … bolehkah?)