Showing posts with label Filem. Show all posts
Showing posts with label Filem. Show all posts

Monday, June 3, 2013

Tanda Putera - Satu Perkenalan dan Pencerahan

Credit: Google

Sejak mula filem ini diberitakan pembikinannya, saya ternanti-nanti dan teruja untuk menonton. Kemudian dihampakan dengan penangguhan demi penangguhan tayangan dengan alasan yang dangkal dan serupa mahu memperbodohkan intelektual kita.

Mujur pada 16 April, 2013, saya berkesempatan menonton filem ini yang ditaja penayangannya oleh BTN di kampus - saya tak pasti kenapa ia boleh dilaksanakan begini, tapi tak kisah lah, asalkan dapat menonton secara percuma ;).

Cerita yang cantik, pelakon yang menjiwai dan lagu latar yang sangat cocok dengan membuatkan saya tidak terkutik di tempat duduk (walau kerusi tak berapa selesa). Pelbagai rasa berbaur. Sedih, suka, lucu -- dan paling banyak, sebak pada beberapa adegan.

(Sebab bertangguh untuk menulis mengenai cerita ini, saya sudah banyak terlupa apa yang dipaparkan di dalamnya. Maka, yang tertinggal, adalah yang tersisa di memori).

Cerita berkisar kepada persahabatan dan urusan pentadbiran dua figura utama negara - Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri dan Tun Dr. Ismail sebagai timbalannya dengan latar masa seputar pertengahan tahun 60an hinggalah ke tahun terakhir Perdana Menteri (1976). Melalui filem ini, saya mempelajari semula sejarah 13 Mei 1969, pertelingkahan antara Tunku Abdul Rahman dan Tun Dr Mahathir, kematian Tun Dr. Ismail, kehidupan pelajar UM dan ITM sekitar penghujung 1960an serta kematian Tun Abdul Razak semasa masih dalam usia perkhidmatan.

Kata orang, sejarah ditulis oleh orang yang menang - tapi, bagi saya, ia tetap sejarah kerana siapa pun penulisnya, sejarah perlu melalui proses verifikasi yang ketat dalam disiplinnya. Maka, sekiranya penipu menulis sejarah mengikut proses yang sewajarnya, adakah kita patut menerimanya? 

Pada saya, apabila sesuatu perkara berlaku, ia akan mempunyai 3 sudut pandang berbeza - sudut pandang saya, sudut pandang dia, dan sudut pandang sejarah itu sendiri. Kalau yang menulis dianggap menipu (biarpun menulis berdasarkan kepada disiplin kelimuan sejarah), maka, sejarah itu adalah pada sudut pandang dia - dan saya tetap mempunyai pilihan sama ada untuk bersetuju (mempercayai) ataupun tidak.

Tapi, persoalan besar pada saya, biar bagaimanapun sejarah diolah, haruskah kita bertelingkah mengenai faktanya? Sedangkan di negara maju, tak pernah pula kita dengar pembangkang mempunyai versi berbeza mengenai sejarah negara mereka!

  • 13 Mei 1969 itu memang berlaku pergaduhan kaum. Itu fakta. Fakta bertulis, Fakta saksi mata kepala. Apa yang sensitifnya?
  • Ketegasan Tun Dr Ismail dalam menangani kumpulan wartawan asing dalam menulis laporan. Itu memang fakta - boleh baca catatan beliau.
  • Tun Abdul Razak menyembunyikan rahsia penyakitnya demi untuk tidak mengharukan keadaan. Itu juga fakta.
  • Jasa-jasa Tun Abdul Razak dalam membangunkan negara menerusi pelbagai usaha penambahbaikan status kehidupan orang di luar bandar bukanlah satu fiksyen. Memang ada dokumen yang menyokong.

OK, cukuplah persoalan-persoalan itu. Kembali kepada filem itu.

Antara perkara yang menarik berlaku kepada saya seusai menonton filem itu, adalah minat saya untuk mengetahui mengenai Tun Dr. Ismail - figura penting yang jarang dihighlightkan di negara kita (rasanya, mana-mana bekas timbalan perdana menteri Malaysia pun tidak ditonjolkan - melainkan yang seorang itu - itupun atas inisiatif beliau sendiri :p).

Watak Tun Dr, Ismail yang diperankan oleh Zizan Nin sangat menarik di mata saya terutama pada babak beliau memarahi wartawan asing yang cuba memutar belitkan laporan mengenai jumlah mangsa yang terkorban dalam peristiwa 13 Mei itu. 

Sebenarnya, lama dulu (sekitar 2007), saya telah membeli naskhah biografi Tun Dr Ismail yang bertajuk Bukan Kerana Pangkat, Tun Dr. Ismail dan masanya karya Ooi Kee Beng - namun, saya telah hilang minat dan menghadiahkan buku itu kepada orang lain. Saya rasa ketika itu, buku itu sangat membosankan. Tetapi, selepas menonton filem tersebut, tarikan buku itu sangat ajaib (walaupun saya masih struggle mahu menghabiskan pembacaan!).

Saya paling suka pada babak peristiwa pengebumian jenazah Tun Dr Ismail di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Dalam babak itu, diceritakan terjadinya kontroversi sama ada jenazah Tun Dr. Ismail boleh dikebumikan di situ ataupun tidak - kerana Makam Pahlawan telah dikhaskan kepada Agong dan Perdana Menteri. Tun Dr Ismail hanyalah timbalan Perdana Menteri yang meninggal semasa sedang bertugas (2 Ogos 1973) - gambar di bawah menunjukkan aksi Tun Abdul Razak yang sedang mempertimbangkan untuk membolehkan jenazah Tun Dr. Ismail disemadikan di Makam Pahlawan.

Credit: Google

Akhirnya, Tun Abdul Razak telah berjaya membuatkan jenazah Tun Dr. Ismail dikebumikan di situ. Di dalam buku Bukan Kerana Pangkat, kontroversi lain mengenai pengebumian itu terjadi apabila Menteri Kerja Raya ketika itu, Tun Sardon Jubir dinasihatkan oleh seorang mufti yang mengatakan bahawa haram dikuburkan jenazah pada kawasan yang berbumbung. 

Satu lagi babak yang membaurkan rasa sebak adalah pada babak Tun Hussein Onn (lakonan Hasnul Rahmat) menyampaikan berita kematian Tun Abdul Razak di televisyen. Kata Kak Marina, dia ingat benar peristiwa itu - bila Tun Hussein terlalu sebak dan tidak dapat meneruskan pengumuman itu sehingga siaran terpaksa dihentikan (skrin gelap). Memang pada babak ini, saya ikut terasa sedih atas kematian Tun Abdul Razak.

Watak Toh Puan Rahah (lakonan cemerlang Faezah Elai) pun cukup anggun kelihatannya. Memang cocok berdirinya di belakang suami yang sebahagiannya milik rakyat. Tidak berlebihan, tidak berkurang - sedang elok saja. Begitu juga watak Toh Puan Norashikin Mohd Seth, isteri Tun Dr. Ismail (lakonan Linda Hashim). 

Pada saya, filem ini adalah antara filem sejarah yang bermutu yang pernah dihasilkan di Malaysia. Saya memang selalu menanti-nantikan filem sebegini setelah melihat yang seumpamanya dari Barat. Rupanya, kita memang mampu. Tapi, bila sudah jadi begini, apalah yang kita boleh banggakan? Orang yang menentang penayangan filem ini mungkin adalah kalangan mereka yang tidak boleh menerima hakikat. Sayang seribu kali sayang. 

Sesungguhnya adalah amat rugi apabila filem ini tidak boleh ditayangkan kepada orang awam disebabkan alasan yang merepek dan bodoh (sedangkan cerita daripada Namawee yang bikin kontroversi mengenai Malaysia lepas bebas di kotak empat segi itu!). 

Sepatah dialog daripada Tun Abdul Razak (Rusdi Ramli) yang paling saya ingat:

"Dari mana datangnya kebencian ini semua?"


Dan, kebencian itu makin menjadi-jadi sekarang. Tanda Putera memang meninggalkan tanda ... dan tanda itu hanya mampu dikenang kerana amat sedikit yang mahu mengambil pengajarannya.

Aduhai ...


P/s: Saya suka ulasan dari penulis ini 


Update terkini: Dikhabarkan bahawa filem ini telah lulus tayangannya dan akan mula ditayang di panggung pada 29 Ogos 2013. 

Sunday, January 13, 2013

Les Misérables: Mengkomersilkan Kesengsaraan

Picture Credit: Google



Saya selalu juga mendengar tajuk cerita ini, tapi tak pernah kisah apakah ia. Rupanya, ia adalah naskhah novel terpanjang dunia yang ditulis oleh karyawan tersohor, Victor Hugo pada tahun1862. Karya Hugo tidak pernah masuk ke dalam senarai impian saya. Sebab mudah, saya tidak cukup kekuatan dan kesabaran untuk menghadapinya. Tapi, belum cuba, belum tahu. Tengoklah nanti J

Bila terbaca mengenai adaptasi naskhah ini ke filem, Kak Marina mula memberi input mengenai cerita ini. Mulalah dia bercerita mengenai excitement nya semasa menonton pementasan cerita ini di UK. Saya pun jadi sedikit excited.

Dimulakan dengan scene sebuah kapal besar dengan barisan pesalah menyanyikan lagu Look Down – Kak Marina sekali lagi excited mengenangkan kembali pementasan naskhah ini di West End dengan menyuruh saya membayangkan besarnya kapal yang diletakkan di atas pentas itu. Hmmm .. entahlah .. mungkin boleh, mungkin tidak. Tapi, gaya dari ceritanya, saya boleh bayang rasanya.

Pada permulaan cerita ini saya merasa sedikit intense dengan miserable situation yang digambarkan – watak Jean Valjean, pesalah bernombor 24601 yang dikenakan parol seumur hidup atas kesalahan mencuri sedikit roti buat anak kakaknya yang sedang sakit. Dia telah dicop sebagai seorang yang sangat merbahaya pada kad pengenalan dirinya dan menyebabkan dia berterusan akan menghadapi kesusahannya – tiada siapa yang mahu mengambil dia bekerja. Cuma, pada saat ini, saya sedikit keliru dengan scene di mana Javert, seorang polis menyuruh dia mengangkat tiang bendera kapal yang telah patah seorang diri. Tiang itu sangat besar dan berat, tapi Jean Valjean mampu mengangkatnya.

Valjean kemudian cuba meneruskan hidupnya yang sengsara itu – menghadapi kesengsaraan dihalau dan dihina, sehinggalah dia dilayan seperti seorang manusia di sebuah biara oleh seorang paderi tua. Namun, dek kerana insecurity dan mungkin naluri untuk survive seorang terhina sepertinya, dia kemudian mencuri hiasan perak paderi itu, namun kedapatan. Semasa dia ditangkap, paderi mengatakan bahawa Valjean tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana dai sendiri yang memberi hiasan perak ini. Detik itu kemudian menyedarkan Valjean (pada pandangan saya lah) bahawa berputus asa dengan kehidupan dengan menjadikan hidup itu lebih teruk dengan melakukan perbuatan buruk tidak mengubah apa-apa. Malah menjadikannya lebih buruk. Dia mengambil keputusan untuk mengoyak kad pengenalannya dan membina identiti baru (dan pastinya dia telah melanggar hukuman parolnya).

Enam tahun kemudian, Valjean menjadi seorang pemilik kilang yang berjaya dan dilantik menjadi datuk bandar Montreuil-sur-Mer dengan gelaran Monsieur Madeleine. Javert, si polis masih lagi memburu Valjean – dan semasa di sini, baru saya boleh mengaitkan peristiwa Valjean mengangkat tiang bendera dengan satu kejadian pasa masa ini – dia menolong mengangkat Fauchelevent yang ditimpa roda pedati di saat tiada sesiapa yang mahu membantu (uhhh.. teruknya kehidupan di situ!). Melihat cara Monsieur Madeleine melakukan aksi itu, membuatkan Javert sedikit suspicious kerana padanya, aksi begitu hanya mampu dilakukan oleh penjenayah yang dia buru selama ini, Jean Valjean. Namun, oleh kerana Monsieur Madeleine adalah datuk Bandar, adalah mustahil untuk Javert berfikiran begitu.

Aduh… panjang lagi ni ceritanya. Saya malaslah nak taip semuanya.Anda bacalah di sini sinopsis buku dan filemnya.

Secara rawak, ini antara perkara-perkara tersirat yang boleh saya simpulkan di dalam cerita tersebut:

  • Kemaafan itu memang suatu bentuk dendam yang terindah. Kerana, kemaafan mampu mengocak ego seseorang dan dalam kes Javert, membuatkan dia terus bunuh diri (indah bukan? – being cynical here).
  • Kesedaran pula membuatkan manusia itu mencari cara untuk menjadi bermanfaat dan mempunyai tujuan dalam kehidupan. Kesedaran untuk tidak berputus asa dengan hidup, membuatkan Valjean bangkit dan mengubah hidupnya dari dihina kepada orang yang bertaraf mulia.
  • Untuk survival, manusia akan melakukan apa sahaja – Fantine terpaksa menjual rambut dan 2 batang giginya dan menjadi pelacur untuk membiayai anaknya  Cosette yang dipelihara dan didera oleh pasangan Thenadiers. Pasangan Thenadiers menipu sepanjang masa untuk mendapatkan keselesaan hidup.
  • Anak-anak muda penggerak revolusi seharusnya jelas kemana hala tujunya revolusi mereka. Bukan sekadar menjatuhkan regim yang ada, namun tiada perancangan apa yang berlaku seterusnya. Harus sentiasa mendahulukan kehendak revolusi daripada kepentingan dan keselesaan diri.
  • Jalan menuju revolusi itu adalah sesuatu yang sukar dan berliku. Tiada manusia yang sukakan perubahan, apatah lagi perubahan kepada sesuatu yang tidak mereka ketahui hasilnya. Maka, para revolusioner tidak harus patah semangat. Saya paling tertarik pada watak Gavroche, anak gelandangan yang licik tetapi penuh semangat. Babbak di mana dia menyanyikan lagu Do They Hear the People Sing untuk menaikkan semangat Marius dan rakan-rakan yang hampir terjejas kerana masyarakat tidak menyokong revolusi mereka adalah yang terbaik. Gavroche mati ditembak oleh askar anti-revolusi
  • Adalah sangat kelakar pada babak Mr Thenadier salah sebut nama Cosette ketika Valjean mahu mengambil (menebus) Cosette dari jagaan mereka kerana janjinya pada Fantine. Sekejap disebut Cojette, sekejap Cobette. Ada penonton mat saleh di hadapan kami ketawa besar pada scene itu. Tapi Sacha Baron Cohen memang lucu!
  • Babak cinta berlainan jantina mesti ada dalam sesebuah penceritaan – kerana ia seperti penambah perisa. Namun, tidak perlu keterlaluan penonjolannya sehingga menenggelamkan topik utama cerita. Dan ini tidak terjadi dalam cerita ini (pada saya). Memang ada babak-babak cinta antara Cosette dan Marius serta babak Eponine yang menaruh hati dalam diam terhadap Marius – tapi ia hadir begitu begitu sahaja. Saya suka begini.
  • Eponine anak pasangan Thenadiers yang saya fikirkan seperti stereotype watak antagonis yang selalu saya temui, rupanya tidak begitu. Menyedari bahawa Marius lebih mencintai Cosette tidak membuatkan dia iri hati (tapi sangat kecewa).saya fikir dia akan mensabotaj surat yang ditinggalkan Cosette untuk Marius apabila bapanya (Valjean) bercadang untuk melarikan diri ke England bagi mengelak untuk ditangkap Javert, tetapi tidak. Dia menyalurkan rasa kecewa itu dengan menyertai kelompok revolusiner itu. Namun, Eponine mati ditembak askar.
  • Sekiranya kita tahu matlamat dan kenapa kita ini dijadikan Allah, pastinya kita boleh memaksimakan potensi diri – ini antara pencarian saya yang masih belum berhasil. Moga-moga, akan tercapai satu hari nanti.
  • Kata kak Marina, Russell Crowe sedikit mengecewakan dalam membawa watak Javert – mungkin kerana dia terlalu concern dengan nyanyiannya sendiri, maka watak Javert yang cold-hearted itu tidak sempurna jadinya (tapi suaranya nyanyinya sedap!)
  • Saya suka sekali lagu Do You Hear the People Sing dan terasa semangat revolusinya apabila dinyanyikan. Dan lagu Look Down itu pula mengingatkan saya kepada lagu Hoi Ho Ya Hoi nyanyian 40 orang penyamun di dalam Ali Baba Bujang Lapok!



Filem berdurasi 2 jam 30 minit ini pada saya sangat menarik (tapi sedikit meletihkan) – kerana dialognya semua di dalam bentuk lirik lagu soprano. Kak Marina kata, dia ada urge untuk berdiri dan sama-sama menyanyi dengan Valjean bila orang itu bersoprano pada satu babak tertentu. Saya rasa, kalau digalakkan sedikit sahaja lagi, pasti dia melakukannya! Saya sungguh pasti! Dan seharusnya saya terpaksa menapis telinga untuk mendengar suara Anne Hathway menyanyikan lagu I dreamed A Dream yang berbaur suara dia di tepi telinga saya! – Miserable kedengarannya .. namun masih OK.


Rating: 4 / 5

Saturday, September 29, 2012

Untuk Tiga Hari : Catatan Rawak

Saya selalu bias dengan banyak perkara. Kalau ada orang mengunjukkan satu buku baharu, saya akan pastikan penulis itu saya kenali – kerana, kalau tidak, buku itu mungkin akan kekal di rak tanpa dibaca. Begitu juga dengan benda lain. Dalam konteks filem, apabila filem ini dikatakan suatu produk daripada Afdlin Shauki, saya terus excited mahu menonton kerana baik atau buruk filem Afdlin, ia akan sentiasa baik pada saya. Begitulah biasnya saya.



Picture by Google

Filem ini saya tonton pada hari PM membentangkan belanjawan 2013. Saya memang tidak berminat untuk mengetahui mengenai perkara itu dan tidak kisah apa yang saya akan dapat. Lantas, ada kawan yang menulis di FB saya: “Berhati-hati Pisha … PM takkan bagi bonus kepada orang yang tidak menonton pembentangan bajet petang ini..”

Pedulikan!

Seperti biasa, partner in crime saya, Kak Marina saya heret sekali. Dia pun suka juga nak menonton filem ini kerana tertarik dengan Behind the scene yang ditayang beberapa kali di ASTRO. Tiada expectation yang tinggi (walaupun ia filem Afdlin) kerana fenomena pembikinan dan penayangan filem di Malaysia ketika ini adalah bersifat monotonous. Tema dan topik yang dikitar semula berkali-kali.

Seperkara lagi, filem ini adalah adaptasi daripada novelis prolifik – Ahadiat Akashah. Antara penulis kegemaran pada zaman remaja saya dulu – walau bagaimanapun, saya tidak membaca karya epiknya LBS itu. Saya paling suka novel Bunga Jantan (tapi saya sudah lupa plotnya).


Ok, ini catitan rawak saya mengenai filem itu:



  • Jodoh itu ketentuan Allah – siapalah kita yang boleh mengubahnya? – namun, saya lebih tertarik pada pengajaran bahawa kita masih boleh memilih apa yang kita mahu. Ketentuan Allah itu satu hal, namun, Allah masih sudi memberikan kita peluang memilih. Mungkin keupayaan manusia untuk memikirkan hikmah suatu kejadian menjadikan kita redha dengan apa yang dibentangkan kepada kita. Cliché bukan? Tapi itulah yang selalunya terjadi. 
  • Apa yang ada tidak disyukuri, apa yang tiada sering dirisaukan. Bukan bait nasyid kumpulan Raihan, tapi menggambarkan apa yang selalunya kita buat. Walaupun ada nasihat yang mengatakan bahawa fight till the end, ada perkara yang seharusnya kita sedar dan faham telah sampai ke hujungnya. Afin patutnya sedar bahawa, apabila Ujie bernikah dengan orang lain, perjuangan cinta itu harus selesai. Itu noktahnya. Namun,Afin masih mahu mencuba – dan akhirnya melepas semuanya. 
  • Babak bagaimana Armin (Afdlin) memulangkan telefon bimbit Ujie yang ditinggalkan di dalam kereta paling saya suka. Ia seolah trade mark Afdlin untuk cerita komedi romantiknya. Momen yang begitu serupa juga berlaku dalam filem Soalnya Hati dan Soalnya Siapa dulu. 
  • Pada saya, adalah lebih baik kalau Zizan Nin itu menggantikan Rashidi kerana Zizan lebih sesuai sebagai mommy’s boy daripada Rashidi. Memek muka dan geraknya lebih meyakinkan. 
  • Vanida Imran sangat cantik dan pakaiannya cantik-cantik belaka. Terutamanya dress yang dipakai dalam babak mereka di kelab. Memukau!
  • Saya sebenarnya lebih mahu tahu tahu kisah Balqis (Dira Abu Zahar) – patut dikembangkan juga sedikit. 
  • Cerita ini pada keseluruhannya mendatar sahaja, kerana boleh diteka apa yang akan berlaku seterusnya. Saya terlelap beberapa kali, namun masih tidak ketinggalan ceritanya. 
  • Kontroversi yang ditimbulkan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak itu saya tidak pasti berlaku pada babak mana. Andai cadangan Afin untuk menyuruh Ujie dan dirinya bercerai dari pasangan masing-masing setelah tiga hari berkahwin itu membawa maksud boleh merungkaikan ikatan perkahwinan Vee dan Shidi, saya kena mentelaah lebih lagi bab Munakahat. Tidak pasti sama ada Satuk Mufti menonton filem ini untuk membuat kesimpulan tersebut atau disuruh orang untuk memberi komen.

Picture by Orang Perlis


Picture by Orang Perlis

2.5 bintang dari 5 bintang keseluruhannya.


Sunday, July 15, 2012

Ice Age 4: Continental Drift

Banyak filem animasi menarik tahun ini - dan banyak juga yang saya tonton. Ice Age 4 adalah yang terbaru - ditonton di TGV Mesra Mall bersama Kak Marina semalam (14 Julai 2012).

Picture by Google

Masih berkisar mengenai kehidupan Manny, Ellie, Sid, Diego dan rakan-rakan mereka yang lain. Filem dimulakan dengan kisah bagaimana dunia ini terpecah menjadi benua-benua terpisah - adalah kerana kegilaan / obsesi Scrat memburu acorn (kamus Dewan menterjemahkan ia sebagai buah pokok ok - bukan oak). Kalau mahukan spoiler, baca di sini.
  • Babak keluarga Sid berusaha mencari Sid kerana mahukan Sid menjaga Granny yang sudah renta (dianggap dead weight) dan kemudiannya meninggalkannya sedikit menyentuh hati. 
  • Rupanya anak remaja mammoth juga punya masalah yang sama seperti anak remaja manusia! - Peaches menaruh harapan pada Ethan yang cool dan hip, yang tidak takut pada bahaya. Namun, Ethan seperti tidak menyedari kehadirannya. Dalam masa yang sama, rakan baik Peaches, seekor molehog (tiada terjemahan yang saya jumpa) bernama Louis menaruh harapan kepadanya. Plot biasa dalam cerita-cerita high school atau teenagers - mengingatkan saya kepada siri Lizzie McGuire, watak Gordon, kawan Lizzie
  • Manny sangat over-protective terhadap Peaches. Banyak perkara yang Peaches tak boleh lakukan. Saya paling suka dialog ini:
          Peaches: So tell me, when exactly will I be allowed to hang out with boys?
          Manny: When I'm dead. Plus three days, just to make sure I'm dead.

  • Diego yang kononnya garang dan mungkin tiada perasaan akhirnya terpaut pada Shira, watak antagonis yang memihak kepada Captain Gutt. Paling kelakar (pada sayalah) apabila Manny mengusik Diego yang mengadu mengapa dia tidak keruan selepas Shira balik semula ke Captain Gutt.

        Manny: Looks like you got the L word.
          Sid: Yeah leprosy.
          Manny: No, it's 4 words, starts with L, ends with E.
          Sid: Ohh yeah, lice. 

          hahaha ... good one Sid!

  • Imej dalam cerita ini sangat cemerlang. Saya rasa kalau saya menonton versi 3D, mungkin boleh terasa cemasnya bila teroleng-oleng di atas bongkah ais sambil menempuh ombak ribut.
  • Watak antagonist selalu susah nak mati. Kenapa ya?
  • Granny itu sangat bijak. Dialognya banyak yang lucu. Kata Kak Marina, tanpa Sid dan Granny, filem ini mungkin tidak berapa menarik.
  • Filem ini masih selamat untuk ditonton seisi keluarga. Banyak moral yang dilupakan dibangkitkan kembali dalam ceritanya. 

Rating saya: 4.5 / 5 (Kak Marina sampai hairan kenapa saya pemurah sangat. Saya kata, why not, cerita menarik, grafik cantik ... saya bukannya kritikal sangat!).

Sunday, June 24, 2012

BRAVE - If you had a chance to change your fate, would you?


Walaupun dalam review yang saya baca ditulis yang filem ini mengangkat tema cliché kasih antara ibu dan dan anak, ia tetap tidak menghalang saya daripada menontonnya. Sementelah tiada apa yang hendak dilakukan di petang Sabtu, saya mengheret Kak Marina sekali. Dia tak mahu pada mulanya.

"Best sangat ke cerita ni?"

"Kau kalau tak best cerita ni, jangan harap I bayar tiket filem tu!" ancamnya.

"Hah, 3D pulak tu! You'd better sure this movie is worth watching." -- Saya respond: WHATEVER!


Sampai di Mesra Mall Kerteh, nak mencari parking di petang Sabtu agak mencabar. Namun, alhamdulillah, tidaklah sampai kena berpusing 2-3 kali. Setelah mengambil tiket dan membeli jajan untuk menonton, kami menuju ke panggung.

Sebelum certia bermula, ada cerita mini mengenai 2 orang lelaki yang mengajar pekerjaan mereka kepada seorang budak lelaki - kerja bagaimana untuk membuatkan bulan penuh menjadi bulan sabit. Comel ceritanya.

Filem bermula. Perkara pertama yang menangkap minat, adalah karekter utama - Princess Merida. Kak Marina kata rambut Princess Merida paling menarik - sangat hidup dan 'menggeramkan'. Apabila Princess Merida bermanja dengan ibunya, rambutnya kembang beralun. Cantik!




Princess Merida
Picture by Google

Perlukah saya ceritakan plotnya? Malaslah. Anda boleh baca di sini. Maka, apa yang tinggal untuk ditulis?



Saya mahu menulis seperti catatan rawak saya pada cerita The Hunger Game.




King Fargus dan Queen Elinor
Picture by Google


  • Ibu itu tetaplah ibu. Walau bertukar fizikal, masih dia seorang ibu yang menyayangi tanpa syarat, menggadai nyawa memastikan anaknya selamat - mata saya masuk habus di setiap babak Princess Merida bersama ibunya
  • Saya sukakan dialog ini: 
  • Princess Merida: I want my freedom!
  • Queen Elinor: But are you willing to pay the price your freedom will cost?
  • If you had a chance to change your fate, would you? -- saya kira ini yang diajar dalam Islam, belajar menerima takdir. Ada takdir boleh berubah dengan usaha dan doa, maka sebenarnya kita banyak pilihan dalam menentukan hidup kita. Allah memberi terlalu banyak buat kita, namun adakah kita telah berterima kasih dengan sewajarnya? 
  • Saya sukar memahami apa yang dituturkan oleh Princess Merida - kerana semacam sahaja bunyi pelatnya - pelat Scottish kot. Kalau tak kerana subtitle nya, mungkin saya dapat enjoy sedikit sahaja cerita ini. Namun, dialog King Fergus, Queen Elinor, The Witch dan lain-lain ok. Kak Marina sebaliknya pula - dia kata dialog Princess Merida sangat jelas. Ye lah, dia kan pernah belajar di UK dan berkawan-kawan dengan orang Scottish? =p
  • Kenakalan Harris, Hubert dan Hamish sangat menawan. Comel sahaja ketiga-tiganya - watak tanpa dialog, namun pergerakannya sangat best!
  • King Fergus adalah raja yang sangat cool - yang membenarkan anaknya explore banyak perkara dalam kehidupan. Ayah saya juga begitu - jarang menghalang .. maka, ayah saya pun cool! Hehehe.
  • Perlukah ibu bapa menetapkan kehidupan anak-anak? Kalau ya, rasional makan garam itukah yang harus digunakan? Atau, kalau tidak, sejauh mana anak-anak dibenarkan lepas bebas?
  • Proses pembelajaran itu adalah sesuatu yang dinamik - ia boleh berlangsung dalam setiap masa yang berjalan. Saya tertarik bagaima Queen Elinor yang telah bertukar menjadi beruang, masih lagi berusaha mengajar Princess Merida bertingkah seperti seorang puteri dengan cara makan dan berjalan dengan betul
  • Be careful what you wish for - barangkali kamu tidak suka apa yang kamu dapat, sedangkan ia sangat bermanfaat kepada kamu - saya kadang-kadang (most of time sebenarnya) selalu mahukan jalanan hidup saya menjadi lain seperti yang saya mahukan walaupun sebenarnya saya tiada idea adakah itu sesuai dengan saya atau pun tidak. Saya cuba merasionalkan banyak perkara, namun dek kerana batasan akal, saya menjadi pemarah dan kecewa sendiri. Dengan peningkatan umur, saya mula menstabilkan diri dengan cuba untuk tidak expect banyak perkara, menerima seadanya. Dan, alhamdulillah, saya rasa ok. Saya hanya berdoa semoga saya akan lebih banyak memberi daripada menerima. InsyaAllah. 



Harris, Hubert dan Hamish - The Triplet
Picture by Google

Keseluruhan, rating saya adalah 4.5 bintang. Memang boleh ditonton berkali-kali. Temanya mungkin cliché habis, namun saya percaya ia masih perlu diulang-ulang kerana manusia selalu lupa. Apatah lagi pada perkara yang sentiasa berlaku di sekeliling kita.

Kita mudah untuk ambil mudah - take things for granted. Kemudian, sampai pada satu ketika, kita mungkin akan tersedar - hard way or easy way - tapi, yang penting, bagaimana kesudahannya nanti.

Selepas habis menonton, ingatan saya terlayang pada seorang yang saya kenal. Katanya:

"Saya tak punya hubungan baik dengan mak dan ayah. Saya tak pasti apakah saya akan ok kehilangan keduanya. Pada masa sekarang, hubungan saya dan mereka, hanya adalah di peringkat surface sahaja. Saya tak pasti, kalau jauh di lubuk hati ada tersembunyi sayang itu. Tapi, yang saya pasti, mereka sentiasa ada untuk saya. Saya rasa saya selfish, but I couldn't help it. Semuanya berpunca pada bagaimana mereka layan saya semasa kecil. Saya tidak berdendam, cuma saya tak tahu bagaimana mahu menyayangi mereka. Mereka seolah-olah benda yang ada pada saya, yang saya tak tahu nak apakan. 

Walaupun perasaan tidak akan dihisab, saya tak mampu nak lari dari rasa bersalah kerana menyayangi ibu bapa saya begitu sahaja. Dan, kamu tahu bagaimana saya memujuk diri untuk terus berhadapan dengan masalah ini?

Saya akan menonton cerita bertema kasih sayang ibu dan ayah atau membaca buku-buku sebegitu kerana dari cerita itu saya boleh berangan saya pernah melalui walau hakikatnya tidak. Saya tak kisah untuk itu .. after all, saya masih berhutang nyawa dengan mak dan ayah yang masih sudi membela saya. Mungkin mereka sebenarnya sayang, cuma tidak tahu meluahkan."


Saya doakan kamu yang terbaik, kawan.

Saya dan Kak Marina menuju ke Pizza Hut selepas itu.

Sunday, March 25, 2012

The Hunger Game: Catatan Rawak


** Ini bukan review untuk keseluruhan cerita dan novel - hanya catatan rawak 



Novel
Picture by Google

Berkunjung ke kedai buku berdekatan, mata selalu tertancap pada novel di atas. Tapi, rasa untuk lihat dan apatah untuk membaca tidak pernah ada. OK, satu pengakuan, saya bukanlah pembaca yang adventurous, kerana saya amat jarang membaca karya dalam genre begini. Saya jadi lambat faham dan kurang apresiasi. Ini juga menerangkan kenapa di saat ramai yang tergila-gilakan si Edward Cullen dan Harry Potter, saya bagai tak kisah untuk mempedulikannya. Saya kira, imaginasi saya bagai melantun di tembok keras dan tebal kala menghadapi cerita-cerita fiksyen.

Berbalik kepada cerita asal.

Bila tidak pernah ada rasa untuk membelek blurb novel ini (walau illustrasi luarnya sangat menggoda!), maka, tiadalah usaha untuk mencari apa ceritanya mengenai novel ini. Sampailah ke hari Sabtu lepas bila rasa tiada kerja yang mahu dibuat, saya mengajak Kak Marina untuk pergi menonton ceritanya pula (dan, cerita ini dipilih setelah tiada cerita lain di panggung yang rasa seronok untuk ditonton). Waktu tayangan adalah pada 12:40pm, dan sementara menunggu waktu tayangan, kami melepak di kedai buku berhampiran. Kata Kak Marina, hati bagai dicuit-cuit untuk mengambil naskhah novel tersebut dan buat skimming reading bagi mengetahui apa yang terjadi akhirnya. Tapi, mujur boleh ditahan perbuatan itu.

Dan, saya menonton filem ini tanpa sebarang expectation dan idea mengenainya! Saya suka!



Filem
Picture by Google


12:40pm - cerita bermula dengan naratif ringkas mengenai "The Reaping", satu aktiviti tahunan penduduk Panem di utara Amerika bersempena 'perayaan' (?) The Hunger Game. Saya tertarik pada pesanan penaja The Reaping: May the odds ever be in your favor -- pesanan yang baik tetapi menggerunkan bagi mereka yang bakal bertanding. 

(Saya tidak akan bercerita mengenai filem ini secara terperinci. Ini kan catatan rawak.)
  • Cara Jennifer Lawrence memeran watak Katniss Everdeen sangat memukau. Saya hanya tertarik pada dia dan dia sahaja. Liam Hemsworth sebagai Gale Hawthorne memang seperti candy .. namun, ketiadaan dia dalam cerita ini tidak akan memberi kesan pun. Liam muncul di awal, dan di akhir cerita. Pemeran watak Peeta Mellark (Josh Hutcherson) pun seakan tidak sampai pada saya. Keseluruhannya, saya hanya tertarik pada watak Katniss Everdeen (semestinya), Stanley Tucci dengan watak ala penyampai E-News, Ceaser Flickerman, penasihat Katniss, Cinna (Lenny Kravitz) dan Rue, pesaing Katniss yang baik (Amandla Stenberg).
  • Semangat 'hunger' itu seakan tidak terasa langsung. Waktu semua tributes itu berlatih dan berlawan sekalipun, rasa 'hunger' tiada. No adrenalin pumping, no suspense, nothing at all. Ia ibarat menyaksikan budak-budak baru belajar tae-kwan-do. Begitu sahaja. Tapi, babak sewaktu Katniss cuba menarik perhatian para penaja dengan membidik epal di atas babi panggang sedikit menarik.
  • Shot camera sewaktu babak tribute berlawan sangatlah tidak jelas. Ibarat memasang kamera pada seekor kucing untuk menyelidik apa yang dilakukannya. Saya tak nampak cantik atau ganasnya babak itu walau ada adegan tumbuk-menumbuk dan tikam-menikam. Berbeza sungguh dengan, contohnya filem Avatar ataupun Ong Bak. Adakah ini disengajakan atau pengarahnya memang tidak menyedarinya? 
  • Babak binatang aneh seakan harimau rekaan pihak produksi untuk menambah suspen kepada pertandingan itu juga tidak jelas. Walau pun kali pertama ia muncul membuatkan Kak Marina terjerit kecil, tapi setakat itu sajalah. Tak terasa ngerinya, walau pun setelah binatang itu mengkeroyok seorang lagi tribute.
  • Saya tak faham mengenai seorang tribute yang mati dengan beri di genggamannya (dan tidak menyangka itu beri beracun sehinggalah Katniss mencadangkan agar dia dan Petta sama-sama memakannya sebagai protes dan cabaran team produksi yang sesuka hati mengubah syarat pertandingan). 
  • Ikatan antara Rue dan Katniss sangat indah kerana Rue mengingatkan Katniss kepada adiknya, Primrose. Mocking trail (?) yang dicadangkan oleh Rue untuk memberitahu keadaan masing-masing adalah selamat apabila mereka berjauhan adalah sangat unik Mungkin perkara ini biasa pada mereka yang biasa berada di dalam hutan. Namun, bagi saya ia sesuatu yang baharu. Kak Marina kata, dia mungkin akan jadi macam Kassim Baba dalam Ali Baba Bujang Lapok kalau dia kena buat mocking trail tu sebab dia berpotensi akan lupa lagu yang menjadi kod mocking trail tu. Macam-macam!
  • Saya berminat untuk mendapatkan Mockingjay pin tu. Awesome!


Penilaian terhadap filem: 2/5