Sunday, November 15, 2009

Pak, Vespa dan Surat Khabar.

Pagi tadi cuaca mendung. Gerimis semalam masih berbaki. Jalan licin dan sedikit becak. Saya memperlahankan kereta, kemudian memarkir dan mematikan enjin di hadapan kedai alat tulis. Seketika, ada seorang pakcik turut berhenti dan memakir motosikalnya di sebelah kereta saya. Dalam bakul motosikalnya terdapat sayur dan ikan. Mungkin baru pulang dari pasar. Saya tidak tahu kenapa mata saya tertarik untuk menuruti langkah pakcik tersebut. Saya masih diam di dalam kereta sambil mendengar celoteh FBI @ Hot.fm.

Pakcik itu kemudian mengambil senaskhah akhbar dari rak, membayar dan kemudiannya menaiki motosikal dan meneruskan perjalanannya. Mata saya menghantarnya sampai dia hilang dari pandangan. Kemudian saya tersenyum sendiri.

Sebenarnya, pakcik itu secara tiba-tiba telah menghantar saya ke dekad silam saya. Ke memori saya dengan cerita surat khabar.



Sedari dulu saya selalu menyenangi surat khabar. Masa sekolah rendah dan menengah, ruangan kesukaan saya adalah teka silang kata. Silang kata di akhbar Berita Harian paling saya suka. Mujur juga saya tak perlu berebut dengan sesiapa (kerana tiada orang yang berkongsi minat itu dengan saya di rumah). Masuk ke universiti, saya mula mencari catatan kolumnis tertentu. Antara yang menjadi kegemaran adalah tulisan Salleh Buang (Bila Peguam Menulis), Adam A. Kadir (Datuk), Ku Seman Ku Hussain (Getaran Seni), dan Komentar Abdullah Ahmad (Datuk) -- sekadar beberapa nama.

Melalut pula. Bukan itu sebenarnya yang mahu saya cerita.

Apabila melihat pakcik tadi, saya teringatkan pakcik (yang saya panggil Pak) saya. Apabila pulang dari kerja, saya suka menyelongkar 'bonet' Vespanya. Banyak sekali ole-olenya. Selalunya yang akan ada - sebungkus mihun goreng, sekotak Ribena dan senaskhah akhbar - selalunya Berita Harian. Semuanya itu untuk saya.

Saya tak pasti apa yang membuatkan Pak menyediakan semua itu untuk saya. Pak memang tidak kisah sekiranya saya yang membaca dulu akhbar tersebut (saya tidak rasa ia biadap sehinggalah ada seseorang yang mengatakan ia sesuatu yang kurang sopan kerana kita perlu mendahulukan orang tua. Akhirnya saya sedar, dia berkata begitu kerana dia mahu membaca akhbar itu dahulu daripada saya ..huh!). Namun, yang paling saya sedar, ia seakan menjadi kebiasaan yang menyenangkan. Hingga terbit persepsi, kalau mahu mencari bahan bacaan, selongkarlah bonet Vespa itu :)

Seperti yang saya pernah katakan dulu, Pak adalah antara pendorong kepada sikap membaca saya. Dia tidak melakukan secara ternag-terangan, tetapi secara latent (kalau boleh dikatakan begitu). Saya jarang memikirkankannya. Namun, sekali-sekala ia datang ke fikiran.

Kini, pemilik Vespa itu sudah lama mengadap Ilahi. Yang masih tersimpan, hanyalah memori. Dan, sesungguhnya, pakcik tadi telah membuatkan saya tiba-tiba teringatkan Pak, Vespa ME8302 dan surat khabar.

Ohhhh ....!
<--- Arwah Pak


[Maaf kalau entri ini agak beremosi :))

Sunday, September 27, 2009

Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok by Muhd Kamil Ibrahim

Gambar dari sini

Janjinya lain, tapi ulasnya lain ... Maaflah, untuk buku-buku yang saya janjikan pada entri yang sebelum ini belum mahu saya ulaskan betul-betul. Sebagai ganti, terimalah ulasan buku ini ...

Naskhah ini saya peroleh dari Prof. Muhd Kamil sendiri (belian secara pos) dan siap bertandatangan dan bertarikh 13/11/08. Dan, semalam baru saya khatam membacanya (setelah hampir setahun diperam .. tsk, tsk, tsk ...)

Seperti biasa, buku yang bersifat begini akan dibaca kala emosi menjadi sangat seni ... dan semalam adalah waktunya. Mata menjadi sangat segar (kesan dari tidur petang yang panjang setelah kelelahan memandu 10 jam untuk pulang ke tempat bertugas dari kampung!).

Pembacaan kali ini menjadi ringkas kerana banyak yang saya lompat-lompat. Kenapa? Kerana sebahagiannya sudah saya baca di blog beliau. Namun ada juga yang saya baca dengan sepenuh hati kerana saya sangat tertarik pada penceritaannya. Lagi sekali, ia menumpahkan rasa yang sama seperti yang saya rasa tatkala membaca TH:MSI. Deja vu gitu.

Secara ringkasnya, ia masih berkisar pada pengalaman Prof MKI dalam mencari makna penciptaan dirinya dan bagaimana mahu menjadi orang yang bermanfaat kepada orang lain. Kenapa begitu tanggapan saya? Kerana, hampir kesemua pengkisahannya diulang-ulang frasa "berdakwah kepada diri demi untuk mengajak yang lain". Maka, bila diri boleh konsisten dengan perkara-perkara yang bersifat "Syariah compliance", InsyaAllah, tempiasnya bukanlah kepada kita seorang sahaja.

Dan, bukan sedikit air mata yang menitis bila membaca buku ini [saya dah kata, pembacaan pada waktu emosi sangat seni memang akan menjadi melankolik segala!] - terasa sama kesusahannya, kesungguhannya, kerisauannya ...

Kekaguman pada pengakuan yang 'menelanjangkan' kelemahan diri adalah yang utama pada pembacaan ini. Saya tidak pasti adakah saya akan sanggup membuat pengakuan berani mati begitu - mengaku tidak boleh baca Quran kerana tidak kenal huruf di usia separuh abad dan lain-lainnya. Dan, saya juga tidak pasti adakah saya mampu mengubah kemungkaran di sekeliling saya supaya makna "khalifatullah" itu tercapai (seperti apa yang dilakukan oleh Prof MKI di UiTM Johor). Terlalu banyak perkara yang bergantayangan di minda. Seharusnyalah saya senak dan sakit kepala selepas usai membaca.

Ada ketikanya ia seakan memberi tamparan kepada saya apabila Prof MKI bicara mengenai ilmu tanpa amal. Saya ada ilmu, tapi saya kurang amal. Saya boleh memahami sebahagian ayat-ayat Quran, saya faham perselisihan pendapat untuk sesuatu hukum, namun, saya memilih untuk tidak berbuat apa-apa. Tidak mahu mendalami tafsiran dan maksud sepenuhnya ayat-ayat itu.

Mungkin itu bukan ilmu, tapi setakat pengetahuan. Maka, bila pengetahuan hanya kekal sebagai pengetahuan, ia mungkin tidak dapat sangat menolong kita untuk beramal -- ini hanyalah kesimpulan saya berdasarkan apa yang telah saya alami. Dan, ada ketika, saya berharap agar Allah mencabut pengetahuan itu dari saya - kerana ia membuatkan saya terasa lebih bersalah!

Tapi, akhirnya saya sedar, pengetahuan itu adalah alat untuk saya memahami amalan ibadat saya. Diam-diam saya berikrar, mohon diberikan kesabaran, diperteguhkan sedikit kekuatan yang ada dalam diri dan mohon dipermudahkan segala urusan. Juga mohon, diangkat rasa malas yang bergayut. Paling utama - mohon agar saya sentiasa boleh menjadi manfaat kepada sesiapa sahaja. Ikrar yang berat - yang saya sendiri tak pasti sejauh mana akan saya junjung dan pegang. Namun, setiap sesuatu itu kan bermula dengan niat?

Saya senang menguliti buku ini kerana gaya penyampaian yang sangat terkesan. Maksudnya, ia disampaikan dalam level lay-man yang bisa difahami oleh sesiapa sahaja. Tiada jargon atau frasa yang komplikated. Maka, ia lebih terasa di hati dan terkesan di minda.

Ah ... mungkin ada yang menyampah membaca entri yang mungkin tidak membantu anda menilai buku ini ... Namun, inilah yang saya rasa. Dan, ini juga yang saya fahami.

Apapun, saya berharap ia menjadi sesuatu yang bermanfaat kerana saya sudah berikrar begitu.

Wallahua'lam.

Saturday, September 26, 2009


Buat pembaca aktif dan senyap serta pengunjung yang setia ...

Jika ada langkah yang menoreh hati
Ada tingkah membekas luka
Ada lisan yang tak terjaga
Ada janji yang tak tertunai
Ada hati yang berprasangka
serta ucapan berbunga dusta

Mohon dibukakan pintu kemaafan ....

Salam Aidilfitri 1430 Hijrah ..

Tuesday, August 25, 2009

Nota sepatah Kata

Hanya mahu memberita ... saya masih ada. Cuma kelelahan untuk menulis sesuatu.

Saya juga mahu berkata ... saya telah menelusuri karya Tere Liye ... Hafalan Solat Delisa, Bidadari-Bidadari Syurga dan Moga Bonda disayangi Allah -- saya temui sesuatu. Nanti saya perincikan.

Saya juga telah menekuni Catatan di setiap Sujudku karya Asma Nadia, setelah tertarik dengan ulasan Najibah di Bukuria.

Sekarang, sedang menghabiskan Maryamah Karpov ... tapi belum ada hati untuk khatam Laskar Pelangi, Melarik Mimpi dan Edinsor.

Lentera Mastika juga tamat dibaca, tunggu masa untuk diulas bicara.

Banyaknya kerja saya di bulan puasa! (hey, berima pula :))

Sunday, July 5, 2009

The Soloist by Steve Lopez

Saya akui saya adalah antara manusia yang sedikit sekali daya curiosity. Maka, apabila disuruh memilih sesuatu isu untuk tujuan research, saya agak ‘lembab’ – kerana hanya ada sedikit perkara yang boleh membangkitkan daya curiosity itu – (kalau dah malas tu, macam-macamlah alasannya, kan?).


Balik kepada buku.

Pembacaan kali ini berlaku atas dasar DI BAWAH PENGARUH. Bukan pengaruh dadah, tapi terpengaruh dek excitement Kak Marina yang galak bercerita mengenai novel yang berdasarkan kisah benar ini.

Lalu, apa kena mengena dengan perasaan curiosity tadi? Mari saya ceritakan …



<-- picture credit



Novel ini berkisar kepada persahabatan yang bermula dengan perasaan curiosity. Pengarang, Steve Lopez adalah seorang kolumnis untuk Los Angeles Times. Semasa mencari bahan untuk kolumnya, dia telah terserempak dengan Nathaniel Anthony Ayers (Nathaniel), yang kelihatan seperti tidak terurus dan homeless yang sedang bermain biola yang hanya tinggal 2 tali. Tertarik dengan kombinasi perwatakan dan kebolehan itu, Lopez cuba mendekati Nathaniel.

Nathaniel sebenarnya adalah bekas pelajar sekolah muzik terkenal dunia, Juilliard. Namun, kerana menderita schizophrenia, dia terpaksa menamatkan pelajarannya sebelum waktu dan kemudian terus menyendiri di dalam dunianya. Walaupun menderita schizophrenia, Nathaniel adalah antara pemuzik yang genius. Dia sangat mengagumi Beethoven. Malah, menurut Nathaniel, dia datang ke LA dari Cleveland hanya kerana supaya dia dekat
dengan patung Beethoven yang menjadi inspirasi.

Saya tidak mahu menjadi spoiler! Maka saya tamatkan cerita saya dengan informasi itu sahaja :p

OK, berbalik kepada daya curiosity tadi.

Menurut Lopez, dia tertarik untuk mengenali Nathaniel kerana dia mendapati personaliti Nathaniel sangat provokatif – mungkin kepada curiositynya sebagai seorang jurnalis. Cuba bayangkan diri kita, sejauh mana curiosity kita apabila berhadapan dengan orang gila? Terus-terang saya katakan, saya akan menjauhkan diri kerana dia berpotensi melakukan perkara-perkara yang boleh menyusahkan saya. Tak kiralah banyak mana pun perasaan kasihan saya kepadanya.

Kedua, curiosity boleh saja dibangunkan melalui percantuman informasi. Seperti dalam kes Lopez, apabila dia mengesani yang Nathaniel mempunyai banyak pengetahuan mengenai muzik (biarpun dia gila), Lopez terus mencari siapa sebenarnya Nathaniel dan pencariannya kemudian menemukan dia dengan triumph and tragedy life of Nathaniel. Dan, setelah mengetahui sejarah hidup Nathaniel, Lopez membina persahabatan dengannya.

Ketiga, kerana curiosity juga, Lopez kemudian memberi kesan di dalam hidup Nathaniel – bila dia dapat menemukan Nathaniel dengan adiknya yang telah lama terpisah, Jennifer, bekas gurunya, Harry Barnoff, dan rakan-rakannya di Juilliard.

Nah, betapa banyaknya impak curiosity itu, kan?

Paradoks kepada saya, tentunya.


Apa yang terkesan pada saya mengenai novel ini adalah bagaimana pembaca diberitahu (bukan diajar) mengenai salah faham mengenai schizophrenia. Ia bukanlah merujuk kepada keadaan gila semata-mata, tetapi lebih daripada itu (menyamakan keadaan ‘gila’ pada schizophrenia mungkin sesuatu yang understatement). Dalam masa yang sama, Lopez juga membangkitkan dilema penggunaan wang pembayar cukai untuk menangani masalah golongan sebegini. Di akhirnya ia membuatkan saya merasa – I rest my case over those questions.

Selain daripada itu, saya tertarik dengan idea Lopez mengenai bandingan kehidupannya dengan Nathaniel. Manusia dibekalkan Allah dengan sifat pelupa – teringat kata Ustazah saya, perhatikan akrabnya ejaan Arab mengenai manusia (insaan) dan lupa (nisyaan) – yang selalunya dianggap sebagai satu kelemahan.

Namun, dalam cerita Nathaniel, kelupaannya pada sisi kewarasannya membuatkan hidupnya lebih mudah. Dia tidak perlu bimbang mengenai bil, kerjaya dan keluarganya. Dan, perkara inilah yang ‘menjengkelkan’ Lopez kepada Nathaniel:

"As the winter of my discontent settles in, Nathaniel goes about his days and nights with little awareness of my angst … for him, the thoughest decision in a day is figuring out whether to play his original violin, the new one or the cello.” (The Soloist, page 136)


Maka, perlukah kita menjadi gila untuk melupakan sisi negatif kehidupan kita? Pada saya, ya, kita perlu. Dan sememangnyalah pada skala yang berpatutan … menjadi gila sebenarnya adalah blessing in disguise. Kenapa? Orang gila tidak dikira mukallaf, dan boleh bertindak mengikut apa yang difikirkan. Namun, derita menjadi orang gila, ngeri untuk saya fikirkan.

Ada sesiapa yang mahu mendekati dan menyeluruhi hidup orang gila yang di sekeliling kita seperti yang Lopez lakukan?

Mahukah anda mencabar dan menguji daya curiosity anda?

Saya? Belum terfikir lagi … ha!

Terakhirnya, telah saya tegaskan berkali-kali bahawa saya jarang mahu mempercayai buku boleh mengubah seseorang, dan ia masih menjadi pegangan saya. Namun, melalui novel ini, saya tersedar (sekali lagi untuk kesekian kali), kepercayaan yang kuat terhadap sesuatu akan sentiasa memungkinkan yang mustahil. Dan, entah kenapa, kesimpulan saya ini mengingatkan saya kepada kata-kata Menteri propaganda Hitler, Joseph Goebbels:
“If you tell a lie big enough and keep repeating it, people will eventually come to believe it."

Anda bacalah novel ini, dan mungkin kemudiannya anda akan faham maksud saya.


P/s:
Satusoloist memberi maksud – somebody performing solo, especially a musical solo – dan saya kira, Nathaniel adalah soloist untuk keseluruhan kehidupannya (dan kita juga!).

Duabuku ini telah difilemkan dengan menggunakan judul yang sama lakonan Jamie Foxx dan Robert Downey Jr.


My favorite quote:
I don’t know if I’ve ever been a very good friend to anyone, maybe because friendship is too much about the past … friendship is easier when it has no history, no time for broken promises and a little piques that fill a running tally sheet. (The Soloist, page 210)

Tuesday, June 9, 2009

Tranformasi. Boleh kah?

Wah, lamanya tiada entri di sini. Inilah masalahnya kalau berbicara tentang apa yang kita baca. Lebih-lebih lagi kalau kadar pembacaan makin menurun. Boleh saja dipaksa diri, tapi, tahu sajalah, mana ada paksaan yang melahirkan rasa bahagia, kan?


OK, kali ini saya mahu bicara mengenai rancangan untuk memindahkan karya Ahadiat Akashah - Lagenda Budak Setan (LBS) ke layar perak. Tapi bukanlah mahu bicara tentang karya beliau secara keseluruhan.

Apabila membaca satu artikel di NST (saya lupa siapa yang menulis, bila disiarkan dan muka surat berapa) mengenai projek buku-filem Ahadiat ini, saya terasa mahu respon. Dalam artikel itu, penulis cuba membayangkan bagaimana turn out filem ini - adakah akan menjadi filem yang akan memecahkan kotak pejabat (box office :p) atau menerima nasib seperti buku-filem sebelum ini - dan beliau memberikan contoh seperti Ranjau Sepanjang Jalan tulisan Datuk Shahnon Ahmad, serta Badai Semalam dan Mira Edora karya Khadijah Hashim.

<-- Gambar dari sini


Saya kemudian bertanyakan KakMarina - apa pendapatnya. Dia itu macam-macam idea ada, cumanya lebih malas daripada saya untuk menulis! Heee ...

Dia kata sebenarnya masalah projek buku-filem di Malaysia yang lebih banyak flop daripada berjaya adalah disebabkan oleh pemilihan karya yang mahu difilemkan. Hmmm ... ya juga!

Katanya lagi, filem orang putih pun yang diadaptasi bukanlah semuanya berjaya. Dia memberikan contoh filem Twilight - yang padanya lebih enak dibaca daripada ditonton filemnya. Boraknya lagi .... bidang penulisan kita tak pernah kekurangan karya yang menarik, namun, kemungkinan disebabkan pentafsiran filem itu tidak berapa kena dengan setting semasa, ia membuatkan adaptasi tersebut gagal. Dan, pada saya pula, kebanyakan filem kita yang diadaptasi daripada buku kebanyakan gagal mengambil semangat yang dibawa oleh buku itu. Kak Marina membantah, katanya bukan sebab itu, tapi kadang-kadang ia disebabkan oleh keupayaan pengarah luar menutup kelemahan adaptasi dengan props yang canggih kerana mereka mempunyai modal yang besar.

Hmmm ... banyak sebenarnya yang boleh diperkatakan mengenai perkara ini.

Berbalik kepada cerita Ahadiat Akashah - saya rasa ia satu perancangan yang bijak kerana LBS saya kira masih relevan dengan setting sosial semasa - kisah cinta remaja. Dan, sementelah dulu ada ura-ura KOMSAS mahu ditukar dengan karya pop komersial dan karya Ahadiat adalah antara yang disebut-sebut, kemungkinan besar filem ini boleh berjaya.

Saya sebenarnya tak kisah mengenai filem ini - kalau reviewnya nanti bagus dan menarik, mungkin saya akan tonton, kalau tidak, tunggu saja ditayangkan di TV masa hari raya tahun hadapan-hadapan ...

Kesimpulannya?

Malas mahu disimpulkan kerana isu ini akan berulang-alik begitu juga. Yang penting, pengarah mesti tahu menafsir cerita dengan menarik dan berupaya meramal bagaimana tanggapan penonton terhadap filemnya. Selebihnya, pilihlah karya yang dekat dengan khalayak. Kalau sasarannya remaja, usahlah difilemkan cerita yang ditulis berabad yang lalu kecualilah kalau karya itu boleh disesuaikan dengan imaginasi mereka - boleh saja pengkarya kita belajar daripada siri Lord of the Ring itu ...

Anda rasa, bagaimana?


P/s: Saya tidak berapa gemar kepada LBS, tapi, BUNGA JANTAN akan sentiasa melekat di minda. Kenapa? Adalah rahsianya .... :p

Friday, May 22, 2009

Slumdog Millionaire - antara buku dan filem

Amaran: Entri ini mungkin mengandungi unsur-unsur spoiler




Saya ini boleh dikatakan seorang yang lambat mengikut trend (atau lebih buruk, tidak mengikut langsung). Bila trend tu dah habis atau berlalu, barulah terhegeh-hegeh mahu ikut serta. Akhirnya, out dated jadinya. Tapi, tidak mengapa. Bukan dosa pun, kan?

Samalah kisahnya dengan cerita nan satu ini. Di saat kemenangannya diraikan dalam Academy, saya hanya bercita-cita menontonnya di pawagam bersama Kak Marina. Tunggu punya tunggu, rupanya ia tidak berkunjung ke pawagam pantai timur (atau, adakah saya yang terlepas?). Kak Marina pula telah 'curang' kepada saya dengan menontonnya di KL dengan Cik WD semasa mereka pergi menonton PGL.

Setelah lama hal itu berlalu, bersempena KLIBF yang lalu, saya mendapatkan naskhah ini di Kinokuniya. Mulanya saya bertemu dengan naskhah yang berilustrasi begini (gambar). Namun, bila diselak, tulisannya serasa akan mendera mata saya. Kak Marina mengambilnya.

Kemudian, berlegar-legar antara rak-rak di situ, kemudiannya saya bertemu dengan naskhah berilustrasi seperti yang di atas itu. Saya buka novelnya, dan berpuas hati dengan saiz tulisannya. Maka, naskhah itu terus saya beli.

Dengan tempo penceritaan yang pantas dan bahasa yang mudah difahami - kerana ceritanya seolah meringkaskan complexity sebuah kehidupan - saya sangat menyenanginya. Dan, saya akui, cerita ini akan berkemungkinan boleh dibaca berulang kali.

Bagaimana cerita ringkas complexity sebuah kehidupan itu?

Ia hanyalah cerita seorang manusia biasa yang datang daripada kelompok sosial paling rendah, namun mampu membuatkan orang kagum dan tertanya-tanya bagaimana dia boleh menjawab semua soalan kuiz Who Will Win a Billion? - adakah dengan nasib baiknya atau dengan menipu?

Ram Mohammad Thomas, anak yatim dan seorang pelayan restoran yang tidak pernah bersekolah telah menjadi juara untuk rancangan tersebut. Namun, kejayaannya mengundang padah kerana syarikat yang bertanggungjawab tidak menyangka yang Ram akan mampu menjawab kesemua soalan dan tawaran 1 billion itu sebenarnya hanyalah sebuah commercial gimmick. Untuk mengelak daripada membayar duit kemenangan Ram, syarikat itu telah mendakwa Ram atas tuduhan menipu. Tuduhan yang kelihatan wajar kerana hakikat kehidupan Ram. Logiknya, kalau tidak pernah bersekolah, masakan mampu menjawab soalan yang bukan calang-calang susahnya?

Ram kemudiannya dibawa ke balai polis untuk soal siasat usai rancangan tersebut. Dia kemudiannya didera oleh polis bagi mendapatkan kepastian mengenai kemenangan dan kebolehannya untuk menang sehinggalah seorang peguam wanita muda bernama Smita tampil untuk membelanya. Dalam usaha menyelamatkan Ram, dia kemudiannya bercerita kepada Smita apa yang berlaku.

Ceritanya diceritakan mengikut nilai duit yang dimenangi (bermula daripada 1,000 rupees hinggalah ke 1,000,000,000 rupees) kerana setiap soalan yang mampu dijawab olehnya berbetulan dengan apa yang dia alami di dalam hidupnya.

Kesudahan yang menggembirakan.

Usai membaca, saya menonton ceritanya pula. Banyak juga perkara yang diubah untuk maksud dramatik filem itu. Antaranya - watak utamanya bukan Ram Mohammad Thomas, tetapi Jamal Malik. Jamal bersaudara dengan Salim sedangkan dalam novel, Salim adalah kawan baiknya. Cuma yang sama - di dalam filem, Jamal menyertai rancangan kuiz itu kerana mahu bertemu dengan kekasih lamanya - Latika, sedangkan di dalam novel, Ram mencuba nasibnya untuk membalas dendam kerana hos rancangan itu, Prem Kumar adalah orang yang beronar pada kekasihnya Nita dan bekas majikannya, Neelima Kumari. seorang pelakon.

Kata Kak Marina, dia suka kedua-duanya - versi novel dan filem. Tapi, saya lebih menyukai novelnya kerana apa yang penulis sampaikan lebih terasa. Dalam filem, nuansa cinta antara Jamal dan Latika yang menggerakkan cerita, tetapi di dalam novel seluruh kehidupan Ram yang lebih memberi makna.

Novel itu membuatkan saya merasa seluruh pahit manis hidup Ram - sebermula kehidupannya sebagai bayi yang dibuang di dalam tong sampah di depan sebuah gereja hinggalah kepada kegembiraannya mendapat wang kemenangan dan cinta hatinya - Nita. Saya paling terkesan pada babak 100,000,000 rupees - X Gkrz Opknu (or A Love Story) - cerita Ram mengenai Shankar, anak autistik dan istimewa yang tidak diingini oleh ibunya, seorang bangsawan, Swapna Devi. Swapna Devi dikenali sebagai seorang yang pemurah. Dia mempunyai ramai pembantu dan mempunyai ramai penyewa. Shankar itu diberitahu kepada semua orang sebagai seorang anak cacat dan terbiar, dan atas ihsan Swapna Devi, Shankar diambil tinggal bersama. Cerita Swapna Devi terbongkar apabila diari Shankar yang maut akibat penyakit rabies ditemui oleh Ram dengan lukisan Shankar mengenai ibu yang tidak pernah mengakuinya anak.

Ah, novel ini sangat membuatkan saya beremosi pelbagai!

Apapun, saya memang puas membaca novel ini. Saya jadi takjub dengan keupayaan penulisnya, Vikas Swarup menjalin cerita kehidupan yang 'biasa' dengan pelbagai warna emosi. Dan, saya masih tercari-cari kalau-kalau ada penulis-penulis kita yang bisa menulis sebegini (kemungkinan besar ada, tapi mungkin saya belum jumpa cari!).

Untuk filemnya, walaupun saya kurang menyukainya, saya masih boleh menerima seluruh idea penceritaannya yang masih bergalur pada temanya. Tidak seperti cerita kita, mahu tiru konsep Grey's Anatomy, tapi yang banyak ditonjolkan cinta sesama doktor, lantas mengirim mesej bahawa itu sahajalah perkara yang paling penting dalam apa jua keadaan. Oppss .. off topic pula ... tapi, saya yakin anda faham apa maksudnya, kan?
Selamat membaca dan menonton!