Sunday, November 11, 2007

Membaca vs. Menulis

Saya pernah membaca satu catatan memoir seorang penulis (maaf, saya sudah lupa siapa dia), tika ditanya oleh wartawan kenapa beliau mengambil masa untuk menghasilkan karyanya.

Beliau menjawab, "saya tidak menulis kerana saya rasa saya belum banyak membaca."

Saya menyimpan kata-kata itu hingga sekarang. Namun, sedar tak sedar kata-kata itu telah memberikan dua orientasi yang berbeza kepada saya, berserta dengan satu soalan kesimpulan: Wajarkah saya menulis kerana saya rasa saya kurang membaca?


Saya tidak pasti apakah benar persoalan tentang kewajaran itu.

Di satu sisi, saya menanggapi bahawa persoalan itu benar, kerana kurang membaca bermaksud kurang ilmu. Kurang ilmu, apa yang hendak ditulis. Namun, persoalan lain timbul, sekiranya saya berpegang kepada falsafah itu, saya tidak akan menulis sampai bila-bila kerana saya selalu merasakan pembacaan saya tidak berapa meluas. Arghhh!!!

Bila saya berpeluang menduduki sisi tebing akademik, saya memaksa diri untuk sedikit rajin membaca - ini adalah sesuatu yang mesti kerana saya adalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada orang lain dan apa halnya sekiranya saya tidak membaca? Namun, minat untuk menulis tidak lebih daripada perasaan yang meluap-luap tetapi dikekang oleh kekurangan minat dan pembacaan yang meluas.

Keadaan saya menjadi lebih haru apabila kerjaya ini memaksa saya menulis. Orang di sekeliling ramai yang menulis. Tapi yang menjadi persoalan, ramai yang menulis kerana keterpaksaan dan hasilnya, penulisan mereka menjadi lompong dan reflektif kepada apa yang mereka baca. Walaubagaimanapun, mereka masih boleh tersenyum kerana sekurang-kurangnya mereka telah menulis. Saya? Banyak sangat alasan, tapi satu makalah pun tak tertulis.

Saya rasa saya memerlukan strategi yang baru. Membaca dan menulis. Sedikit membaca, sedikit ditulis, banyak bacaan, banyaklah penulisan. Saya tidak mahu menulis kerana bertaklik sesuatu (tapi, andai terpaksa, mungkin prinsip ini terpaksa dikorbankan). Saya mahu menulis dengan penuh jiwa dan rasa. Tak guna menulis, tapi tidak menyentuh jiwa dan rasa sesiapa. Paling tidak, tulisan anda diketawakan orang. Sakitnya perasaan itu.

Agaknya saya ini terlalu ideal dan banyak sangat retoriknya!

Nota: Penulisan saya di blog ini, anda rasa ok ke?

No comments: