Tuesday, November 6, 2007

Kenapa perlu membaca?

Persoalan yang mudah, namun menjawabnya agak sukar.

Orang membaca kerana pelbagai alasan ...

"Hendak menjadi orang berilmu," kata si pencinta ilmu.

"Hendak mengetahui perihal dunia," kata penggemar isu semasa.

"Hendak mengisi waktu terluang," kata penggemar hobi ini.




Pelbagai justifikasi boleh dibuat mengenai membaca.


Secara peribadi, saya membaca kerana saya suka membaca. Namun, saya bukanlah seorang yang "sukaaa" sangat membaca. Membaca adalah proses yang berterusan. Tambahan, kerjaya saya mewajibkan saya menjadi pembaca.


Saya menjadi gemar membaca setelah saya mengenal huruf (saya hanya kanak-kanak biasa yang mengenal huruf bila sudah masuk tadika) dan jangan terkejut kalau saya katakan bahan bacaan saya yang pertama adalah longgokan majalah GILA-GILA. Saya menjadi obses dengan majalah itu. Selain tertarik dengan kisah kartun-kartun di dalamnya, saya turut menggemari segala rencana di dalamnya. Bagi saya, rencana mereka yang menulis ketika itu sangat mempengaruhi. Kiranya, dek sebab selalu membaca karya-karya penulis-penulis tersebut (seperti A. Samad Ismail, Adi Alhadi - sekadar beberapa nama), saya rasa saya mempunyai fikiran yang agak terkedepan daripada kawan-kawan sebaya. Saya tidak tahu, tapi kiranya karangan di waktu saya bersekolah sering menjadi persoalan kepada guru-guru. Ada yang kagum saya boleh menulis begitu, dan ada juga yang tidak segan-segan menyatakan saya meniru. Saya biarkan saja. Dipuji saya berterima kasih, dikeji, saya hanya angkat bahu.


Orang yang mendorong saya menjadi seorang yang gemar membaca adalah arwah bapa saudara saya - En. Johan Bakar, yang mesra saya panggil Pak. Ketika kecil, saya dipelihara oleh Pak, kerana Pak tiada anak sendiri. Dialah yang membelikan saya majalah-majalah tersebut. Saya tidak tahu kenapa beliau berbuat demikian dan pastinya saya tidak akan mengetahui kerana Pak meninggalkan saya pada usia saya 12 tahun (1990).


Saya boleh membaca apa sahaja - namun saya terpaksa menolak bab ekonomi, kewangan atau apa sahaja yang berkaitan dengan sesuatu yang bersifat numerikal dan teknikal. Entah mengapa, saya memang tidak menggemari genre-genre tersebut. Mungkin pencapaian saya di dalam subjek matematik dan sains boleh diambil kira mengenai kecenderungan menjauhkan diri daripada genre ini.


Selain daripada membaca, saya juga mempunyai hobi membeli buku. Sehingga ke hari ini, masih ada beberapa buku yang saya beli, namun masih belum dibuka daripada plastik pembalutnya. Kekangan masa? Entahlah...


Anda bagaimana? Orientasi dan sejarah pembacaan anda, siapa yang mempengaruhinya?


3 comments:

Unknown said...

Salam kenal.

Selamat lahir ke dunia blog. Moga bertambah lagi tulisan yang meningkatkan budaya membaca!

Pishaposh said...

Sdr. jiwarasa,
salam kenal untuk anda juga.

terima kasih kerana sudi menjenguk laman yang tidak seberapa ini..

semoga saya berupaya menyumbang sesuatu untuk orang lain. doakanlah ...

Anonymous said...

Assalamualaikum Fisha,

Dunia siber ini memang banyak anehnya. Kerap benar, lain yang kita cari, lain yang kita temui; lain yang kita harap, lain yang kita dapat.

Keanehan itulah sebenarnya yang membawa saya ke sini. Saya sedang mencari segala sesuatu tentang Pak Samad (Tan Sri Samad Ismail) dan susulan itu saya sampai ke mari. Saya tidak hanya temui dia, tetapi juga 'saya'.

Saya tidak menulis komen ini kerana nama saya turut Fisha sebut di blog ini. Sebaliknya, ia didorong secara jujur oleh keinginan untuk menyatakan rasa tertarik pada cara Fisha menulis.

Saya ingin terus membacanya. Teruskan.