Thursday, May 1, 2008

Aku Terima Nikahnya by Hasrizal Abdul Jamil


Buku ini saya beli secara pos daripada wakil Ustaz Hasrizal kerana saya terlepas membelinya di KLIBF 2008 yang lalu. Saya terima pada Ahad, 27 April 2008.

Fathiyah mengusik saya bila melihatkan saya memegang buku ini:
"Amboi, hang nak kawin ka? Tak habag kat aku pun?"

Saya balas:
"Tu la hampa. Aku baca sikit buku macam ni, dah tuduh nak kawin. Pertuduhan melampau tu. Ni ilmu. Ilmu. Ilmu ..." 

Fathiyah tersengih saja.

Saya mula baca buku ini malam tadi kira-kira jam 12.05am. Setelah hampir setengah buku saya baca, saya berkira-kira untuk tidur. Malangnya mata jadi semakin segar. Maka saya sambung bacaan dan habis kira-kira pukul 2.15am. Bila membaca waktu-waktu begini, pembacaan akan menjadi sedikit teremosi dan terbawa-bawa. Kiranya, apa yang penulis nukilkan, membuatkan kita menjadi larut. Usai semuanya, kepala sakit, mata basah dek air mata, lalu saya tertidur begitu sahaja. Arghh ... itulah antara nikmat membaca. Alhamdulillah.

Secara dasar, Aku Terima Nikahnya adalah catatan nasihat dan pengalaman peribadi Ustaz Hasrizal. Saya cukup kagum dengan penyampaian Ustaz yang saya rasa tak sakit hati, sakit otak atau pening kepala untuk saya cernakan. Bahasa yang mudah, cukup membuatkan saya sekarang lebih memahami hikmah dalam beragama. OK, ketepikan soal kekaguman itu dahulu.

Walaupun hampir semua artikel di dalam ATN itu telah saya baca, namun ia tidak pernah menjemukan. Teringat catatan Shaharom TM Sulaiman:
"Membaca kembali memang sulit dilakukan, malah mungkin dianggap satu pembaziran. Tetapi membaca karya baru tidak selalu memperkayakan batin kita. Penulis percaya bahawa membaca kembali karya yang pernah kita baca dengan mendalaminya sentiasa membuka kemungkinan baru. Kita dapat memaknakan, mentafsir dan menghayati, yang akhirnya berkemungkinan menemukan mutiara-mutiara baru." - Buku Kekasih (2004)

ATN memberi pesan bagaimana seharusnya konsep perkahwinan itu perlu difahami oleh mereka yang berhajat kepadanya. Ia satu konsep yang teramat penting dalam pembentukan peribadi dan perilaku seorang Muslim - kalau tidak masakan Rasulullah SAW berpesan bahawa perkahwinan itu adalah pelengkap separuh daripada keimanan kita kepada Allah?

Ramai yang melihat perkahwinan sebagai tiket untuk menghalalkan persetubuhan. Namun, perkahwinan membawa maksud yang lebih jauh daripada itu. Kehalalan hubungan intim itu tidak lebih daripada "perks of a marriage". Selebihnya ia menuntut kesefahaman, keterbukaan, saling menyokong antara satu sama lain demi menempa satu maksud yang maha mulia - Mencari dan menuju keredhaan Allah SWT.

Perkahwinan juga adalah satu usaha dalam memberi nilai tambah kepada perhubungan manusia dengan Allah - fitrah manusia untuk berpasangan, serta perhubungan manusia dengan manusia - meluaskan perhubungan persaudaraan melalui perkahiwinan. Ia adalah satu madrasah yang boleh mendidik manusia bagaimana untuk memperelokkan muamalat sesama insan, yang terhias bersama adab-adab yang manis - perhatikan bagaimana dianjurkan proses merisik, bertunang dan berkahwin. Yang lebih penting, madrasah tadi berupaya melahirkan graduan-graduan cemerlang di dunia dan di akhirat.

Perkahwinan bagi mereka yang telah memperolehinya adalah antara nikmat terbesar yang dianugerahkan Allah. Bajailah ia dengan penuh kemurnian dan kesempurnaan Islam itu. Apabila berkahwin, anda telah mendapat separuh daripada iman - yang mana separuh lagi perlu anda cari dengan amal soleh yang lain. Sentiasa bersyukur.

Bagi yang belum bertemu jodoh (nasihat untuk diri saya juga) - ingatlah, bahawa Allah tidak pernah mungkir dengan kata-kataNya bahawa manusia ini diciptakan berpasang-pasangan. Pohonlah janji Allah itu lewat munajat kita. Kalau sampai saat ini belum ketemu, ketahuilah bahawa Allah masih mahu mendidik kita supaya kita lebih bersedia apabila tiba masanya. Jangan bersedih.

Ha, kan saya dah kata, pembacaan saya ini tersangat larut dengan emosi?

8 comments:

Anonymous said...

Macam best je cerita,nak beli la nanti bila balik Msia huhuhu

Pishaposh said...

Ikmal,

Harus beli... tambahan kalau kamu itu rencananya untuk menjadi pensyarah, pengkeluarga ... :p

Anonymous said...

Dear Fisha,

Banyak betuk koleksi buku ko..boleh pinjam? hehe

Anonymous said...

Erm ... mujur jugak den keje .. boleh la buat banyak koleksi cenggini ...

Nak pinjam? Buku ni kategori red-spot. Ikut hours. Kalau sanggup, silakan ...

Anonymous said...

Assalamu'alaikum...buku nih mmg best. Honestly,sgt bermanfaat! syukran ustaz..

Pishaposh said...

Anonymous @ April 14, 2009 4:55 AM:
Wslm.

Ya, buku ini memang banyak manfaatnya.

Terima kasih kerana singgah!

~ℵ ♥ Pearl Lilac ♥ ℵ~ said...

salam,

dah bace jugek..sambungan nye ATN2 juge..sangat bermanfaat, ye jodoh itu ditentukan, walau sejauh mane pun dicari, kalo ditentu yang depan mate, itulah dier...

wassalam, aisya

Pishaposh said...

Soft Musk:
Ye ... betul ... kalau bukan tu, dah start jabat tgn kadhi pun boleh terkelu dan terpesong hati ... huhu.

Thanks for coming Aisya :)