Thursday, May 15, 2008

KISS Principle

Seorang teman blog, Ikmal, bercerita mengenai dilemanya untuk menulis dalam bahasa mudah. Beliau merupakan seorang penuntut peringkat sarjana bidang perundangan di Universiti Hull, UK.

Kata Ikmal, sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang perundangan, beliau teringin untuk menulis mengenai undang-undang untuk memahamkan orang awam dalam bahasa yang cukup mudah. Maksudnya, Ikmal mungkin mahu memahamkan orang awam bahawa res ipsa loquitur itu adalah sesuatu yang sangat jelas, dan tidak perlukan penjelasan berjela, atau bona fide itu adalah niat baik kita untuk melakukan sesuatu.

Ikmal cuba menulis dalam bahasa Inggeris mudah (simple plain English), namun, ada yang tak puas hati menuduhnya sebagai tidak fasih menulis dalam bahasa Inggeris Queen (Queen English).

Dilema Ikmal mengingatkan saya pesanan penceramah di dalam kursus “English for Effective Teaching” yang diadakan di kampus kami bulan lepas. Cik Ismi, penceramah tersebut menyatakan bahawa dalam penyampaian kuliah, kita seharusnya mengaplikasikan konsep KISS – Keep It Short and Simple. KISS akan membuatkan lebih ramai audien kita akan lebih memahami apa yang ingin kita sampaikan, dan natijahnya, penyampaian kita akan jadi lebih berkesan.

Kata saya kepada Ikmal, tak salah kalau menggunakan konsep ini di dalam penulisan juga. Lebih-lebih lagi kalau kumpulan sasaran kita adalah khalayak yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan gaya hidup. Lupakan saja mereka yang rasa tak puas hati mengenai cara penulisan kita. Lagi pula, kehidupan hari ini menyediakan kita kepada banyak peluang untuk memuaskan hati dan pemikiran kita – kenapa pula untuk perkara yang terbentang dengan puluhan malah jutaan pilihan mahu dipertikai kerana saja kita tidak berpuas hati mengenainya?

Analogi mudah: Antara kedai kek Nona (fictional name) dan Secret Recipe ™ yang menjual kek yang sama jenis, rasa yang sama sedap tapi berbeza harga – terpulanglah kepada anda untuk memilih yang mana pun. Kalau anda memilih kek di kedai kek Nona, sedangkan kedai Secret Recipe ™ bersebelahan saja, maka jangan dibandingkan keduanya. Tidak adil! Namun, analogi ini bukanlah untuk membandingkan kualiti penulisan yang ditulis dengan bahasa yang mudah dan senang difahami dengan bahasa yang ‘readability index’ nya sangat tinggi – Cumanya, analogi itu adalah mengenai banyaknya pilihan yang kita ada.

Khalayak ramai membaca mungkin untuk sekadar kefahaman – oleh itu penerangan yang mudah lebih dihargai. Lainlah kalau pembaca itu memerlukan teks sebagai platform untuk beliau menganalisis sesuatu penyelidikan, maka keperluan pembacaannya harus lebih khusus daripada khalayak yang ramai tadi.

Lagi analogi mudah: Anda mempunyai bilangan anak yang ramai, tapi anda hanya memilih kereta wira sahaja sedangkan anda mampu membeli sebuah MPV yang lebih selesa untuk tujuan itu – maka, buatlah analisis mengenai impak pembelian anda tadi.

Seperti kata Puan Ainon PTS, janganlah menulis untuk meng”impres” kerana meng”ekspres” adalah tujuan utama. Cuba baca buku yang ditulis dalam bahasa yang mudah, diluahkan secara jujur, nescaya pembacaan kita terlarut bersama (saya bercakap dari pengalaman peribadi).

Maka, Ikmal, harapnya selepas ini, tiadalah lagi dilema begini, ya? Usah hiraukan minda songsang ini kerana selamanya ia akan begitu.

Untuk Ikmal, selamat berjaya dalam menulis!

Saya menanti.

4 comments:

Anonymous said...

Kak Fisha,

Terima kasih atas posting membina semangat. Saya menerima terlalu banyak email spam yang menganggu jiwa mempertikaikan bahasa saya. Hampir saja kerja saya terganggu. Tapi saya percaya cabaran baru sudah bermula!

Anonymous said...

Well written article.

Anonymous said...

Maxime:
Thanks for stopping by

D Hillarious 4 said...

thanx miss...

now we're undrstd...insyaallah...in our next assgmnt we will make it short n simple as we can...

kamsahamida..xie2...merci..trimasS