Sunday, May 11, 2008

My Sister’s Keeper by Jodi Picoult


Bersempena sambutan Hari Ibu pada hari ini (11 Mei 2008), saya mahu mengulas novel ini – yang mengambil masa hampir sebulan untuk dihabiskan. Buku ini saya baca atas recommendation Kak Marina, teman serumah. Saya tak pernah membaca karya Picoult, namun dek beria-ria benar dia, dan terpengaruh dengan ceritanya, saya pun membaca My Sister's Keeper. Saya tidak menyesal kerana novel ini memang sangat menarik.

Plotnya dimulakan dengan gambaran keluarga biasa Fitzgerald – Sara (ibu), Brian (bapa) dan anak-anak mereka – Jesse, Kate dan Anna yang tinggal di Province Plantation, Rhode Islands. Anak kedua keluarga ini, Kate, adalah penderita penyakit Acute promyelocytic leukemia (APL), sejenis ketumbuhan yang mengakibatkan kekurangan sel darah yang matang di dalam sel myeloid dan kelimpahan sel-sel kurang matang yang dikenali sebagai promyelocytes (itu hanyalah loose translation daripada definisi kanser tersebut). Penyakit ini memerlukan Kate mendapatkan penyumbang kepada tulang sum sumnya. Malangnya tiada penderma yang sesuai di dalam keluarga Fitzgerald.

Sara dan Brian kemudiannya mencuba kaedah kehamilan program genetik – ibu bapa mereka bentuk genetik anak yang akan dikandungkan supaya menurut karektor yang mereka mahukan (designer baby) – untuk menolong Kate iaitu Anna. Anna dilahirkan sebagai “Sister’s Keeper” kepada Kate – pembekal tulang sum sum, darah tali pusat dan sebagainya. Oleh yang demikian, Anna sentiasa perlu berada di sisi Kate. Menjadi “Sister’s Keeper” membuatkan Anna terpaksa melupakan keseronokan membesar. Dia tidak boleh melakukan apa yang dia mahu kerana dia terikat dengan keadaan Kate.

Cerita ini menjadi menarik selepas Anna memfailkan arahan pembebasan perubatan (medical emancipation) apabila ibunya meminta beliau mendermakan buah pinggangnya kepada Kate. Anna kemudiannya melantik Campbell Alexander sebagai peguamnya untuk mewakili dirinya, dan dalam masa yang sama ibunya, Sara bertindak sebagai peguam pendakwa dalam kes itu. Memandangkan Anna berusia 13 tahun dan tinggal serumah bersama ibunya, mahkamah telah melantik seorang “guardian ad litem” – Julia Romano untuk memastikan Sara tidak mempengaruhi keputusan Anna. Julia kebetulan adalah bekas teman wanita peguam Anna, Campbell.

Di akhirnya, Anna telah memenangi kes tersebut dan diberikan “medical emancipation”. Namun, sedihnya, Anna telah terbunuh di dalam kemalangan selepas meraikan kemenangannya bersama Campbell. Dan, telah ditakdirkan Anna sememangnya “Sister’s Keeper” kepada Kate, buah pinggang Anna kemudiannya diberikan kepada Kate.

Opps! Tercerita semuanya pula! Tak apa lah, masih banyak kejutan lain di dalamnya.

Novel ini menarik kerana ia membicarakan mengenai hak seorang anak dan hak ibu bapa ke atas anak itu, dan mengajak kita mempertimbangkan apakah yang kita lakukan itu benar. Sara, di dalam hujah penutupnya memberi analogi – bahawa keadaannya adalah seperti berada di dalam rumah yang sedang terbakar. Seorang anak terperangkap di dalam, dan anak yang terselamat di luar adalah anak yang paling mengetahui selok belok rumah tersebut. Adakah dia sendiri harus masuk ke rumah itu untuk menyelamatkan anak yang seorang lagi tanpa mengetahui selok belok rumah itu, atau sebaliknya.

Sara membayar harga yang paling mahal – Anna – untuk menyedari bahawa anak-anak semuanya perlukan perhatian. Kecil atau besar perhatian itu bukanlah hitungan kerana asal ada ia boleh mengubah perspektif anak itu. Anak-anak boleh diajar bertoleransi, namun sekiranya ibu bapa tidak mampu menunjukkan apa impak toleransi, anak tetap tidak akan memahaminya.

Bacalah, dan ambillah peringatan daripadanya.

Nota:
Cerita ini telah diadaptasikan ke layar perak dengan judul yang sama dan dilakonkan oleh Cameron Diaz (Sara), Abigail Breslin (Anna), Alec Baldwin (Campbell) dan Sofia Vassilieva (Kate) dan bakal ditayangkan pada tahun hadapan.

No comments: