Saturday, May 24, 2008

Bedar Sukma Bisu by Faisal Tehrani


Saya menekuni novel ini selama 2 hari tidak bekerja ini – sesudah selesai membaca Manikam Kalbu. Mengambil subjek pelayaran, lautan, dunia korporat serta sejarah keagungan sejarah perdagangan Melayu lama, novel ini agak lambat saya hayati. Kenapa ya? Mungkin sebab banyak perbicaraan tentang konsep ekonomi mudah yang mudah juga membuatkan jenera. Saya memang kalah sikit dengan persoalan ekonomi ini.

Mula membaca prolog, penulis memulakan penceritaan dengan mimpi Wefada mengenai nasihat neneknya serta kegelisahan Haiqal yang lemas di laut dan kemudiannya diselamatkan oleh seseorang yang bernama Ben Qortubi. Argh, novel ini tentunya menuntut pemerhatian yang tidak sedikit. Tak mengapa, saya cuba.

Bedar (hm, kamus Dewan lama saya belum ada entri ini rupanya) Sukma Bisu sebenarnya adalah cerita keseluruhan pertautan kasih sayang antara seluruh keluarga Wefada – bermula daripada leluhurnya Ben Qortubi, seorang arab merantau daripada Algiers dan Tengku Fatimah, kerabat istana Terengganu. Melalui cerita bedar itu, pembaca dibawa meneliti tentang banyak perkara – perniagaan keluarga, pertentangan, salah anggap, tragedi, kegemilangan lampau negara dan yang paling utama kasih sayang antara watak-watak yang berkait.

Wefada Marwan, seorang profesor ekonomi di UKM terpaksa melupakan bidang akademik apabila dia terpaksa mengambil tanggungjawab memimpin BSG Corporation setelah abangnya sekeluarga terbunuh dalam nahas kapal terbang di Luzon. Wefada digambarkan sebagai seorang yang sangat memahami mengenai lautan, hasil didikan neneknya yang sangat cinta (dan obses, kalau boleh saya katakan) dengan segara. Malah, keseluruhan hidup Wefada, bermula daripada lahirnya adalah berkaitan dengan lautan. Malah, suaminya, Muhammad Chen mati terkena renjatan arus laut tika usia perkahwinan masih dirai sebagai bulan madu, dan juga benih Chen bercambah dalam rahimnya ketika mereka bersama di atas kapal tersebut.

Memimpin BSG Corporation, bererti Wefada harus berdepan dengan sepak terajang dunia perniagaan – bagaimana untuk terus menggemilangkan syraikatnya. Dalam masa yang sama, dia terpaksa berdepan dengan bapa saudara yang dianggap mempunyai niat tersendiri terhadap perniagaan mereka – Tan Sri Muawiyah. Namun, sebagai seorang profesor di bidang kewangan antarabangsa, Wefada cergas dan tangkas memimpin, dan rupanya, bapa saudara yang dicurigai itu sebenarnya punyai cerita tersendiri yang menjadi rahsia leluhurnya (Tan Sri Muawiyah adalah adik kepada Marwan, bapa Wefada. Namun, kelahiran Muawiyah adalah disebabkan ibu mereka, Tengku Fatimah dirogol oleh tentera Jepun secara bergilir semasa zaman perang. Muawiyah menjadi asing kepada ibunya.)

Dalam sibuk Wefada memimpin BSG Corporation, hatinya kemudian dicuri Elemine, seorang pelajar seliannya yang juga sahabat anaknya Haiqal. Elemine, seorang arab daripada tanah leluhurnya, Algiers, jatuh cinta pada Wefada kerana kecerdasan wanita itu melayan inteleknya. [selebihnya anda baca sendiri, ya?]

Novel ini sebenarnya banyak bercerita mengenai kesuburan sebuah tanah yang dikenali sebagai Semenanjung Emas (Golden Khersonese), nama lain untuk tanah Melayu. FT mengungkap kembali sejarah kegemilangan Melaka sebagai pelabuhan entrepot yang amat terkenal pada kurun ke 16, dan yang paling penting kegemilangan Islam dan Melayu yang kian hilang setelah teguh terbina berkurun lama dulu. Seperti yang tercatat di blurb nya, di dalam novel ini kita akhirnya mengerti kenapa alam emas ini sering menjadi rebutan, menjadi tarikan dan tumpuan dan menjadi sukma di hati. Sampai sekarang pun, tanah ini menjadi pilihan pencari rezeki seluruh benua, dan tanah yang aman daripada mala petaka.

Namun, tanah yang sejahtera ini sering saja menarik riak-riak ribut yang meresahkan – yang mahu menodai kesuburan dan kegemilangannya. Saya tidak dapat menahan sebak apabila memikirkan ada anak tanah bonda ini yang sanggup bersekongkol musuh untuk menghancurkan ia dari dalam. Sebuah keluarga mungkin kuat dari luar, namun, dikhianati dari dalam, apa lagi yang akan tinggal menyelamatkannya? Itulah analogi mudahnya.

Menamatkan pembacaan kala Malaysia diberitakan gagal mempertahankan kedaulatan Pulau Batu Putih yang jatuh ke Singapura, membuatkan saya sayu bertambah.

Mengapa bedar sukma bisu?
Kerana ada masanya sukma tak perlu bersuara untuk menyentuh sukma yang lain. Dan, mungkin kadang kala, kebisuan bisa membuatkan segalanya kembali seperti yang kita impikan.

5 comments:

miss cloudy said...

salam perkenalan.. (got here from prof kamil's blog)

keep on writing..
suka bangat baca ur entries

Anonymous said...

Miss Cloudy,

Salam perkenalan juga.

InsyaAllah, saya akan terus cuba untuk menulis.

Terima kasih atas kunjungan dan saya amat berbesar hati di atas compliment.

Have a nice day

Anonymous said...

Salam
Susah jumpa buku ni. DBP sendiri tiada stok. Beli di mana?

Pishaposh said...

Anonymous @ Sept 5, 2009 4:51 PM:
Saya mendapatkan buku ini di Pesta Buku yang lalu. Anda boleh cuba membeli di http://www.ujanailmu.com.my/

Service yang cepat dan bagus. Cuba lah ...

Terima kasih kerana berkunjung ke sini

Gunalan Mogan said...

Kalau Ada sinopsis novel Bedar Sukma Bisu tolong share di email saya