Saturday, May 24, 2008

Manikam Kalbu by Faisal Tehrani


Puas!

Itulah perasaan saya apabila telah selesai membaca naskhah FT yang ini. Puas dengan cerita, puas dengan ilmu yang tertulis di dalamnya, puas dengan kupasan falsafahnya, dan kepuasan yang paling besar di antara semuanya adalah rasa puas dilahirkan sebagai Melayu Islam – walaupun mungkin akan ada sedikit keraguan tentang fakta tersebut.

Dilabelkan sebagai ‘novel humor dua zaman yang langka dalam kesusasteraan’, saya amat bersetuju. Saya rasa penceritaan FT di dalam novel ini juga membuatkan pembacaan menjadi sangat laju. Dalam kurang 5 jam, novel ini sudah saya khatam (walaupun 5 jam itu mungkin bukan rekod yang bagus pada sesetengah orang bila membaca!)

Dalam zaman kini, FT memperkenalkan kita dengan watak Ziryab Za’im, anak yatim piatu yang tinggal bersama neneknya, Zainon Abdullah, seorang bekas jurubusana istana yang masyhur suatu ketika, namun mula kalah dengan hidup apabila diserang alzheimer. Ziryab bersekolah teknik dalam jurusan rekaan fesyen dan sering mengagumkan rakan-rakan serta guru-gurunya melalui kehalusan dan ketelitian rekaan dan jahitannya. Selain daripada bijak mereka fesyen, Ziryab juga seorang anak remaja yang sangat elok perilaku hingga menarik perhatian rakan-rakan perempuan sekelas dan menimbulkan kecemburuan di kalangan pelajar lelaki lain.

Dalam zaman yang paralel, kita diperkenalkan kepada Manikam Kalbu melalui penceritaan manira, seekor kucing Madura. Manikam Kalbu adalah seorang anak kepada seorang khadam istana bernama Melekek Sukma. Manikam Kalbu hidup di zaman Sultan Muhammad Syah, sultan Melaka di zaman kegemilangannya.

Penceritaan yang dipenuhi dengan konsep pakaian yang menurut syariat dan pengertian pemakaian Melayu tradisi, saya terkagum dengan segala fakta dan data yang diumpan FT dalam novel ini. Paling tertarik dan menarik, apabila Sultan Muhammad Syah menemui Tuan Guru Haji Nuh Ha Min untuk mendapatkan pandangan ulama itu mengenai pertandingan mereka busana Melayu yang terilham daripada mimpi ngeri baginda melihat puterinya Puteri Kecil Cempaka Lana yang berpakaian “serupa kafir tapi tak kafir, serupa Islam tapi tak Islam.” Tuan Guru kemudian memperihalkan 5 syarat yang patut diletakkan di dalam pertandingan tersebut.

Walaupun anda akan membacanya, saya suka juga untuk mengulang catat mengenai syarat-syarat tersebut:

Pertama: Busana Melayu itu hendaklah pantang membuka aurat. Adat orang Melayu jati, berkain baju berhati-hati.

Kedua: Busana Melayu itu pantang kainnya nipis kerana berkain baju yang tipis, disitulah tempat setan dan iblis.

Ketiga: Busana Melayu itu mestilah pantan ia berpotongan yang ketat, kerana memakai yang ketat menghilangkan agama, membinasakan adat.

Keempat: Busana Melayu itu pantang ia mengada-ada. Membuat baju harus sejudu, jangan suka meniru-niru dan menjatuhkan maruah.

Kelima: Busana Melayu itu dilarang sekali memandai-mandai, kerana apabila berpakaian memandai-mandai, aib tersingkap, malu terburai.

Indahnya syarat ini kalau kita tekuni. Malangnya, tak ramai yang mahu jadi Melayu sejati, kerana tersangat lelah usahanya. Lagi pula, siapa yang mahu memakai baju yang serupa saja potongan dan tiada variasi sedangkan fesyen bertukar gilir?

Pada zaman kini, Ziryab pula perlu memikirkan pesanan cikgu Natasya mengenai usaha “mentajdidkan busana Melayu” – mengembalikan kepada tuntutan falsafah asalnya. Pada cikgu Natasya, busana Melayu sekarang telah dilacurkan tanpa sedar oleh pereka-pereka fesyen itu sendiri kerana mereka tidak mampu menghadam falsafah pemakaian Islam dan Melayu itu. Akhirnya, kadang-kadang menjadi canggung dalam berfesyen – dipanggil cantik walaupun begitu jelas jeliknya. [OK, cukup ceritanya di sini!]

Banyak perkara di dalam novel ini membuatkan saya tertawa dan dalam masa yang sama melongo berfikir. Paling tergelak besar apabila mengenangkan peristiwa si Manikam Kalbu nekad untuk menikahi Nenek Tafsinar yang berusia tua renta demi membuatkan dirinya boleh mendapat ilmu rahsia dalam bertenun masyarakat negeri Pandai Sikek. Juga, peristiwa ala-ala Nujum Pak Belalang, bila Maharaja Cina menaruhkan negeri Melaka dengan kebolehan Manikam Kalbu mentafsirkan teka-teki baginda dalam sulaman lima sepatu. Saya terpegun dengan kebijakan FT mengolah cerita ini! Sungguh.

Membaca Manikam Kalbu sebenarnya membuatkan saya bertambah yakin bahawa Melayu itu memang suatu bangsa yang istimewa dan tidak perlu dimalukan. Yang penting, cara kita memahami falsafah Melayu yang sejati itulah yang bakal mencorakkan bangsa kita. Menjadi masalah sekarang, generasi muda tidak punya rujukan utuh atas watak siapa Melayu jati itu. Boleh saja Melayu jati itu berwatak Hang Tuah, setia melulu walaupun sudah terang siapa yang salah? Atau, Melayu sejati itu wataknya terjelma dalam pemimpin hari ini? Cakap berdegar-degar, tahi tersangkut di gelegar. Akhirnya, bila ketiadaan model yang terkesan, generasi ini mencari haluan sendiri – maka termodellah Melayu daripada watak Superman atau Melayu ala fantasi-realiti? Maafkan patriotisme yang berlebihan ini, ya?

Ini semua ‘padah’ membaca karya FT mengenai Melayu jati. Makin dibaca, terkobar semangat seketika.

Apapun, ini antara karya FT yang puas saya baca! Percayalah!

2 comments:

Anonymous said...

Kak Fisha,

Memang membaca karya FT boleh membuatkan kita jadi berkobar-kobar, kalau membaca Tuhan Manusia pun begitu, mau saja berkobar2 untuk menentang golongan liberalism lepas membacanya.Begitu kuatnya penangan orang yang dianggap 'Siti Nurhaliza' dalam dunia kesusasteraan ini.

Pishaposh said...

Ya, saya sangat bersetuju ...

Dan, seronok pulak baca polemik baju kurung / baju karung di blog FT ... yang juga terkait dengan isu baju kurung sekolah punca gangguan seks ...