Sunday, April 27, 2008

Antara CINTA dan LOVE

Menonton LOVE sebenarnya membalikkan kembali perasaan menonton CINTA kerana kedua-duanya adalah buah tangan pengarah yang sama. Namun, ada sedikit diskaunnya kali ini. Kenapa?

Saya pergi menonton cerita ini dengan Kak Marina dan Nadhrah. Perancangan asal, mahu menonton Definitely, Maybe ataupun Over Her Dead Body, namun keduanya tak sampai-sampai ke Kuantan. Dan, disebabkan saya perlukan suatu filem untuk keperluan psikologi bulan ini, kami pun bersetuju menonton cerita ini. Better something than nothing. Kak Marina jadi OK sebab ada Fauzi Baadila – dia peminat mati keras Fauzi. Nadhrah pula mengikut saja.

Kalau dulu, saya pergi menonton CINTA dengan penuh rasa keterujaan kerana thriller cerita itu sangat menarik. Namun, bila menonton, serasa tertipu sahaja. Semuanya biasa-biasa yang terlalu sangat biasa, kecuali cerita cinta cikgu Elyas (Datuk Rahim Razali) dan Makcik Rubiah (Fatimah Abu Bakar). Dengan LOVE pula saya menonton dengan tiada sebarang pengharapan, sekadar tontonan sahaja. Dan, ternyata apabila tiada pengharapan, minda dan hati lebih mudah mencerna dan memaafkan.

(WARNING: Ini pandangan saya. Kalau anda tak bersetuju, tulis sesuatu tentang ini di blog sendiri! -- dan entri ini agak panjang untuk anda baca)

Pada dasarnya, plotnya amat mudah dan ringan – penangan bercinta kot, semua pun jadi indah dan mudah! Memang sebenar cuplikan CINTA, namun masih ada twistnya. Ini sebahagian perbandingan ceritanya:

Kisah satu:
CINTA – Taufiq dan Arianna (Pierre dan Sh. Amani)
LOVE – Rama dan Iin (Fauzi dan Acha)



Saya lebih suka kisah Rama dan Iin daripada Taufiq dan Arianna kerana ada kewajarannya cerita cinta mereka. Bermula dengan premis yang sama, twistnya pada cerita Rama yang mengizinkan kekasihnya berkahwin dengan abangnya dan kemudiannya sengsara sendiri kerana mereka tinggal bersama. Rama tidak dapat melepaskan cintanya walaupun gadis itu sudah menjadi saudaranya. Iin pula kisahnya sama seperti Arianna, gadis muda mencari kekasihnya di kota. Akhirnya hampa apabila sang kekasih sudah berubah hati. Bezanya, dalam CINTA, Taufiq dan Arianna mula jatuh cinta sesama, sedang dalam LOVE, Rama bersedia bercinta dengan Iin dan menerima anak luar nikah Iin.


Kisah dua:
CINTA – Harris dan Airin (Rashidi Ishak dan Rita Rudaini)
LOVE – Gilang dan Miranda (Surya Saputra dan Wulan Guritno)

Gilang dan Miranda berkahwin setelah Miranda mengandung anak mereka – Icha, yang menghidap autism. Setelah berkahwin, Gilang dibuang keluarga. Kehidupan adalah di sekitar rumah dan tempat jagaan Icha. Gilang sangat marah apabila Miranda berselingkuh di belakangnya, dan melarang Miranda mendekati Icha. Namun, oleh kerana dalam cintanya juga pada Icha, akhirnya dia membenarkan Icha bersama Miranda kerana ibu lebih tersiksa kalau tidak bersama anknya.
Harris pula arkitek yang berjaya, bercita-cita membina mahligai untuk Airin kerana sayangnya kepada Airin sangat mendalam. Namun, cinta Airin bukan untuk Harris – mungkin kerana lama bersama – Airin mahu mencari cinta yang lain. Oleh kerana cinta bermaksud melepaskan yang tersayang pergi, akhirnya Harris mengizinkan Airin mencari cintanya.


Kisah tiga:
CINTA – Azura dan Azlan (Fasha Sandha dan Eizlan Yusof)
LOVE – Tere dan Awin (Luna Maya dan Darius Sinathrya)


Dalam LOVE, si gadis yang memulakan percintaan sedang dalam CINTA, si jejaka yang bersungguh-sungguh memikat si gadis. Latar percintaan masih sama – bermula di kedai / toko buku. Bezanya, Tere adalah seorang penulis ternama dan Azlan, pengusaha majalah. Awin dan Azura pula, pembantu kedai yang sangat ideal (sangat berpengetahuan mengenai susun atur dan buku-buku yang dijual di toko tersebut).
Dalam CINTA, Azlan meragui cintanya terhadap Azura kerana Azura hanyalah gadis pekerja kedai buku sedangkan dia adalah korporat yang berjaya – enggang dan pipit tidak boleh terbang sama. LOVE pula menggambarkan Tere, penulis berjaya dan Awin pula berhadapan dengan perasaan inferiority complex yang berat. Tere sangat berbangga dengan Awin, namun Awin lebih merasakan bahawa dia hanya menumpang populariti Tere. Akhirnya, mereka semua bersatu, setelah disedarkan kebodohan mereka mengaitkan pandangan orang dengan perasaan hati mereka.


Kisah empat:
CINTA – Rubiah dan Cilkgu Elyas (Fatimah Abu Bakar dan Datuk Rahim Razali)
LOVE – Pak Nugroho dan Ibu Lestari (Sophan Sophiaan dan Widyawati)


Pak Nugroho, bekas guru yang menderita alzheimer, dijaga oleh cucunya Arif, namun dipanggil Amir kerana dalam ingatannya hanya ada Amir, anaknya. Sama seperti karektor cikgu Elyas dan cucunya Amin, anak Amir. Rubiah, janda yang membuka gerai laksa di kedai cikgu Elyas selalu membaiki jam, dan ibu Lestari, juga seorang janda membuka kedai soto.
Rubiah dan ibu Lestari tertarik kepada cikgu Elyas dan Pak Nugroho kerana karektor lelaki itu – bijak dan menyenangkan. Dan selepas mengetahui kisah sebenar, makin lebih cinta mereka terhadap lelaki-lelaki itu. Kalau dalam CINTA, Rubiah menyanggupi untuk menjadi isteri cikgu Elyas supaya dia boleh menjaga cikgu Elyas dengan sempurna, di dalam LOVE, ibu Lestari berjanji dengan Arif untuk mejadi kawan Pak Nugroho yang sanggup menemaninya ke mana saja.


Kisah lima:
CINTA – Dyan dan Dhani (Nanu dan Que Haidar)
LOVE – Restu dan Adinda (Irwansyah dan Laudya Chintya Bella)


Dyan dan Dhani bersaudara, sedang Restu dan Adinda jatuh cinta bila sering berpapasan di dalam bas. Dyan kakak yang tidak sanggup melihat adiknya hidup bersusah mencari rezeki dengan menjadi pelukis jalanan sedang dia sendiri pemilik sebuah galeri. Dhani, remaja mencari identiti, pertolongan kakak umpama gambaran ketidakupayaannya. Mematah hujah kakaknya tentang kebahagiaan menjadi teman berseronok kepada seorang lelaki yang telah berkeluarga, Dhani memberontak dengan cara tersendiri. Cinta Dyan pada Dhani sangat mahal apabila Dyan meninggal setelah menderma buah pinggangnya kepada Dhani.
Restu dan Adinda cerita cerita orang biasa. Bertemu di tempat yang biasa, mereka melarik cinta mereka, melewati masa-masa bahagia. Saat Restu mahu lebih serius, Adinda mengkhabarkan bahawa dia bukanlah orang yang tepat untuk Restu cintai kerana segala yang ada padanya adalah palsu – Adinda penderita kanser yang telah kehilangan payudara dan rambutnya. Akhirnya, Adinda meninggal dunia, namun Restu bahagia kerana masih sempat untuk memberitahu Adinda bahawa dia mencintai gadis itu sepenuh hatinya.

Pada saya tema cinta pada dasarnya sama sahaja – bertemu, bercinta, gangguan pihak-pihak yang tidak senang dengan cinta, kehidupan yang sama ada akan happily ever after, atau kewalangan hingga mati. Namun, oleh kerana cinta adalah satu elemen yang tersangat akrab dengan manusia, olahan mengenai cinta jarang yang kerugian.

Kesimpulan mudah: Orang akan terus bercinta, dan mereka memerlukan bukti untuk mengukuhkan percintaan, maka kisah cinta di mana-mana medium pun akan menjadi rujukan yang paling berkuasa.

OK, pendapat tentang LOVE?

Dalam skala 1-10, LOVE pada saya di skala 5.0. Ya, sangat mudahkan mengkritik dan memberi markah kepada kerja orang? Tapi, hei, ini pendapat saya. Anda boleh saja untuk tidak bersetuju. Tak ada masalah.

Ada 2 perkara yang saya suka tentang filem LOVE:

Pelakon-pelakonnya tampak bersungguh-sungguh memeran peranan masing-masing (kecuali watak Adinda dan bekas kekasih Rama – waduh, lupa pula namanya!). Dalam CINTA saya tak terkesan langsung dengan lakonan Rita (maaf ya) kerana pada saya, Rita sangat plastik kalau membawakan watak lemah-lembut (tapi kalau watak gedik, I’m her biggest fan! So real!).

Lontaran kata-kata dan puisi yang mengiringinya sangat indah. Tapi, dalam CINTA, saya terpaku pada kata-kata cikgu Elyas: "Isteri bukanlah hak milik, tapi anugerah ..." -- Inilah antara pencarian saya di dalam filem-filem yang saya tontoni, selain daripada keseronokan menonton.

Tapi, yang paling saya tidak boleh terima adalah ketika Adinda mengambil tangan Restu dan diletakkan di bahagian payudaranya yang tiada supaya Restu boleh merasakannya. Aduh, tak boleh kah dinyatakan saja bahawa 'khazanah'nya itu telah dibuang akibat kanser? Sebal!

Akhirnya, apapun yang saya telah katakan di atas, saya masih boleh menghargai kedua-dua versi cerita tersebut. Betapa, cinta itu bahasa yang sangat universal dan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Tertarik pada kata-kata di akhir filem (itu bukan exact word, hanya apa yang boleh saya kutip dan ingat!):


"Tika kita merasakan bahawa cinta untuk kita telah tiada, yakinlah, cinta itu hanya bersembunyi dan ia akan muncul apabila kita mengingininya."

P/s: Gambar dipinjam tanpa diberitahu daripada www.budiey.com

No comments: