Sunday, April 20, 2008

Belanja Bahan Bacaan

Saya jarang mengira berapa banyak saya berhabisan untuk bacaan bulanan saya. Namun, pertanyaan daripada Ayue, sahabat baik saya membuatkan saya terfikir untuk menulis entri ini.

Mula-mula, ini senarai bacaan saya untuk sebulan:
1. Reader's Digest
2. Time
3. Newsweek
4. Mingguan Wanita
5. Wanita
6. Jelita
7. Majalah I
8. ANIS
9. NUR
10. Forward
12. Berita Minggu + Mingguan Malaysia (bacaan hujung minggu sahaja. Untuk bacaan harian, saya baca secara online)

Selebihnya ada 2-3 buah buku yang saya beli atau terbeli untuk bacaan santai seperti novel dan sebagainya.

Majalah di nombor 1-3 itu saya langgan dengan nilai hampir MYR800 setahun dan selebihnya saya beli secara berkala mengikut keluarannya. Dengan purata MYR7 bagi satu majalah, saya peruntukkan lebih kurang MYR70 sebulan - masih terkawal, bukan?

Sememangnya saya akan menjadi sangat pemurah untuk membeli majalah dan buku dan ternyata sikap ini menjadikan emak tidak senang (hampir setiap ruang di rumah saya dipenuhi majalah-majalah saya sahaja. Makin haru, bila koleksi majalah ini menjemput kehadiran anai-anai!).

Sebelum bekerja, saya sememangnya bergantung kepada ayah dan emak untuk membeli bahan bacaan. Masa itu saya selalu perlu menahan diri daripada membeli bahan bacaan yang saya sukai kerana elaun berian ayah selalunya cukup untuk belanja makan sebulan sahaja (itu cerita zaman sebelum tahun 2000!). Namun, itu tidak menghalang saya daripada menjadi pembekal bahan bacaan di asrama.

Itu sebabnya, sehingga sekarang, kalau ada kesempatan berbelanja, item yang selalu saya berhabisan adalah buku. Malah, penyata kad kredit pun banyak menyenaraikan 'hutang' saya di kedai-kedai buku seperti MPH, Kinokuniya dan Popular. Elok kah itu?

Apapun, saya bahagia dengan 'perbuatan' saya ini. Setiap orang ada "guilty indulgence" kan? Maka, ini adalah satu daripadanya.

P/s:
Kalau nak menarik perhatian saya, hadiahkan saya buku atau mulakan perbualan anda dengan buku yang baru saja anda habisi. Mahu berkenalan dengan saya? Hehe!

No comments: