Monday, April 28, 2008

Seindah Dafodil by Umi Kalthum Ngah


Kata penulisnya, Umi Kalthum Ngah, Seindah Dafodil adalah sequel daripada cerita Dafodil untuk Insyirah. Namun, saya belum berkesempatan membaca yang itu.

Novel ini berkisar pada kehidupan Sharifah Insyirah Syed Sofian (Insyirah), seorang pelajar perubatan di Sheffield. Insyirah digambarkan sebagai seorang yang berpegang teguh kepada agama, baik hati terhadap rakan-rakan, cerdik, rajin – dan semestinya cantik!

Bahagian pertama novel ini menceritakan bagaimana Insyirah bertemu dan berkasih dengan Ilham Budi Sayuti (Ilham). Ilham jatuh kasih pada Insyirah apabila berpapasan dengan Insyirah yang sering pergi bertemu abang sepupunya, Syed Iskandar. Sementelah Ilham adalah rakan kepada Syed Iskandar. Insyirah yang pada mula seperti menolak, akhirnya membalas cinta Ilham. Namun, oleh kerana Ilham tidak punya gelar nama yang sama seperti Insyirah, percintaan yang hampir ke jinjang pelamin ditentang hebat oleh datuknya, Tok Agil.

Bahagian kedua pula berkisar kepada kehidupan Insyirah sebagai pelajar PhD di Calgary, Kanada. Pada fasa ini, Insyirah semakin dewasa dalam kehidupannya. Dia menjadi lebih berdikari dan terbuka – berkawan dengan sesiapa sahaja yang mahu menghulurkan persahabatan. Pada ketika ini, Insyirah menjadi pujaan Sheikh Toriq (Toriq), anak hartawan dari Bahrain. Namun, Insyirah menolak cinta Toriq kerana hatinya masih teringatkan Ilham yang ditinggalkan. Toriq tidak berputus asa untuk memenangi hati Insyirah. Kesempatan membentangkan kertas kerja bersama Dr. Leo di Bahrain, digunakan oleh Toriq untuk memperkenalkan Insyirah kepada keluarganya. Malangnya, ibu Toriq beranggapan bahawa Insyirah hanya mahukan harta anaknya. Mujur juga datuk Toriq menjadi pembela yang menyelamatkan Insyirah daripada tuduhan tidak berasas itu.

Novel ini berakhir dengan kegembiraan pada Insyirah, Toriq dan Ilham.

Saya tak cerita semua, tak mahu menjadi spoiler :p

Mengangkat tema cinta berbeza darjat – keturunan Syed Sharifah yang tidak boleh berkahwin dengan orang biasa – novel ini pada saya sangat ringan. Permulaan cerita, saya menjadi sangat bosan kerana Insyirah sangat baik dan ideal wataknya (watak baik sangat pun memang meletihkan untuk dibaca!) dan ditambah dengan Ilham – lelaki yang sangat romantik dan penuh pengertian.

Tambahan bahasa pertuturan watak yang baku, lagi menambah haru saya untuk menghabiskan keseluruhan cerita. Satu lagi yang mengganggu saya, setiap istilah Inggeris yang digunakan diletakkan sekali terjemahannya. Saya hargai niat penulis berbuat begitu, tapi masalahnya ia menjadi tidak konsisten – kerana ada masanya Insyirah berbual dengan rakan asingnya tanpa menggunakan bahasa Inggeris, kadang-kadang tidak. Memang saya tidak dapat memahami kewajaran penekanan perkataan-perkataan tersebut.

Yang menarik hati saya untuk terus membaca novel ini adalah kerana penulis berjaya menulis mengenai perkara-perkara menarik di tempat Insyirah pergi belajar, seperti perjalanan Insyirah dan rakan serumah melancong ke Alberta dan kunjungan Insyirah ke Bahrain untuk membentangkan kertas kerja. Perkara-perkara ini menjadi menarik kerana ia membuatkan saya boleh sama merasai pengalaman indah orang lain (nak harap pengalaman sendiri, entah bila lah akan pergi ke tempat-tempat begitu).

Selain daripada itu, buku ini menarik kerana penulisnya. Sebelum ini, saya melihat Umi Kalthum Ngah sebagai penulis novel-novel berunsur cinta sahaja, tapi rupa-rupanya seorang profesor madya! Saya tabik kerana di sebalik kesibukannya, masih mampu menulis cerita-cerita begini! Memang dalam novel itu agak ketara juga penceritaan dari sudut golongan remaja ‘old-school’, tapi ia masih menjadi menarik untuk dibaca.

Sesungguhnya, PM Dr. Umi telah menginspirasikan saya mengenai sesuatu. Apa dia? Tunggu dan lihat …

5 comments:

Anonymous said...

Fisha,

Kalo ko ada intention nak buat novel cinta...biar la Heroin tu biasa2 jer (bukan cantik, terlalu baik hati, lemah lembut sampai kene buli hanya mampu redha and menangis jer. Too perfect macam tak realistik.

Anonymous said...

InsyaAllah, akan dipertimbangkan cadangan tu.

Tapi masalahnya, orang yang tak cantik, tak lemah lembut dan tak terlalu baik hati ni selalunya tak berapa best untuk diceritakan ...

Cemana ye?

Anonymous said...

Bukan tak berapa best untuk diceritakan, tapi tak berapa best untuk dibaca kut, Fisha. he3x.

Saya ni tak pandai menulis novel serius sikit (dan kurang kesabaran/waktu untuk menyiapkannya), kalau tidak, teringin juga nak cuba buat yang karektornya 'melawan arus' begitu.

Lama dulu saya pernah sembang-sembang dengan Uwie, suruh dia buat filem...Mahsuri tu tak secantik mana...Hang Tuah tak tampan, tak macho, tapi handal bermain senjata...

Secara peribadi, saya hauskan kelainan seperti itu..

Pishaposh said...

Tuan Adi,

Masalah kita ni, rupa adalah penentu. Cuba renung seketika (ni selalunya dalam kes saya la ...):

Ada lelaki hensem, buat salah, kdg2 saya boleh kata: "Em, mujur kau hensem, kalau tak ..."

TAPI:

Kalau ada yg rupa tak seberapa buat salah, cepat saja mulut ni: "Huh, dah la rupa macam jamban tak sudah, perangai pulak tak semenggah. Bodo piang!"

Hehehehe ...

Nak dinafikan macam mana pun, memang rupa akan menarik jiwa kita. Selalunya, usai menikmati rupa, baru kita menilai yg selainnya ...

Anonymous said...

Betul sangat-sangat Fisha.
Ada waktu saya keliru, bagaimana bermulanya skala yg digunapakai untuk membezakan yang cantik/hensem dgn yang tidak.
Hanya satu pendapat yang agak kuat mempengaruhi saya; kata-kata Steve Biko dalam 'Cry Freedom';
'Kalau dunia ini pernah dikuasai dan dijajah oleh bangsa kulit hitam, tentu sekarang ini semua yang hitam akan dilihat hebat dan cantik.'
(Saya tak ingat frasa sebenar...dah terlalu lama membacanya. Tapi maksudnya lebih kurang begitu).