Monday, May 26, 2008

Perlukah begitu?

Masih dalam emosi semangat Melayu yang berkobar-kobar (pasca Manikam Kalbu!).

Mutakhir ini saya sakit jiwa apabila membaca tulisan-tulisan dalam sekian banyak majalah, akhbar dan juga buku (lupakan blog, kerana blog itu lain cerita dan konsepnya).

Bukan sakit jiwa sebab penceritaan, tapi sakit jiwa kerana kecenderungan penulis-penulis menggunakan istilah asing atau saduran sedangkan kita punya sekian banyak kosa kata yang menjadi khazanah bahasa kita.

Sebagai contoh:
DESAIN daripada perkataan DESIGN – kata bahasa kita: corak, reka letak
TIM daripada perkataan TEAM - kata bahasa kita: kumpulan, pasukan
BAJET daripada perkataan BUDGET - kata bahasa kita: belanjawan
TENDENSI daripada perkataan TENDENCY - kata bahasa kita: kecenderungan

Itu belum masuk lagi kecelaruan ejaan sama ada perkataan saduran atau perkataan bahasa Melayu itu sendiri yang dieja sesuka hati.

Contoh:
NASKAH ejaan sebenar NASKHAH
ODIT ejaan sebenar AUDIT
OTORITATIF
ejaan sebenar AUTORITATIF

Saya bukanlah pakar bahasa Melayu. Namun, saya masih ada rasa peduli terhadap setiap kata yang tertulis dan penggunaannya. Kalau dengan bahasa Inggeris, bercakap dengan salah tatabahasa sedikit sahaja pun, sudah ditempelak orang yang kita ini tidak tahu berbahasa betul. Tapi, bila salah menggunakan bahasa sendiri, tiada siapa yang kisah.

Saya juga sebenarnya terganggu dengan bentuk penulisan sebegini:

“Dalam membicarakan tentang permasalahan ini kita perlu melihat aspek budaya (culture) dan penyerapan budaya asing (aculturation)”

Entah lah. Niat penulis mungkin baik kerana mahu menunjukkan terma khusus untuk perkataan tersebut. Saya pula rasa, ia menunjukkan bahawa kita tidak yakin kemampuan bahasa kita menerangkan sesuatu sehingga perlu dirujuk dalam bahasa asing! Lebih daripada itu, ia seolah-olah membuatkan saya macam tak faham maksud sebenar penulis, sekiranya tidak disokong oleh perkataan asing tersebut.

Konsep meminjam dan menyadur perkataan memang dapat mengayakan bahasa kita. Dan, bahasa Melayu itu sendiri pun terbina atas konsep ini juga. Namun, menyadurkan perkataan asing sewenang-wenangnya sedangkan perkataan sendiri sudah lama wujud adalah sesuatu yang menjengkelkan. Itu sebab saya rasa puas bila membaca karya saudara FT, Nisah dan yang lain-lain lagi kerana saya berpeluang untuk memperolehi sekian banyak perkataan yang rupanya ada di dalam bahasa Melayu untuk kesekian waktunya. Walaupun sukar kadang-kadang untuk memahami, namun saya rasa teruja untuk mengetahui dan menggunakannya di setiap kesempatan.

Moralnya, buat apa mahu menggunakan barang pinjam sekiranya barang sendiri masih elok malah masih molek digunakan? Mana mungkin kekuatan bahasa kita akan teruji sekiranya kita sendiri tidak yakin menggunakannya?

Saya pun sebenarnya ada kecenderungan berbuat perkara-perkara ini. Namun, sebolehnya saya cuba menghindarinya sekiranya saya mampu untuk bertemu perkataan-perkataan yang sedia ada dalam bahasa kita tanpa perlu menyadur bahasa lain. Yang seronoknya, bila sesekali saya berbahasa begitu, saya ditegur:
“Sedaplah bahasa yang you gunakan. I tak pernah dengar pun all the words. Perkataan baru ni!” – sedangkan apa yang mereka baca itu, adalah antara khazanah yang telah lama terhimpun di dalam bahasa kita.

Anda fikir, bagaimana?


7 comments:

Anonymous said...

Kak Fisha,

Antara dilema yang saya kira berlaku dalam masyarakat Malaysia. Nak cakap bahasa pasar/slanga atau bahasa betul. Cuma saya akui dilema sebegini dihadapi jika kita hendak menulis. Sudah biasa menulis bahasa pasar mahu pula menulis dalam bahasa serius.

Saya pernah teringat cikgu Bahasa Malaysia saya merungut katanya pelajar sudah berani menulis bahasa slanga dalam penulisan karangan, bagaimana nak atasi masalah? 'sayer,kenaper,tak suker' dan sebagainya.

Baru tadi saya terbaca komen Naib Canselor UM dan Hakim Gopal Sri Ram mengkritik graduan undang-undang Malaysia tidak pandai berbahasa Inggeris (saya juga antara menerima temnpias sebegini semasa belajar LLB dahulu) namun ada beberapa perkara yang tidak setuju. Mungkin itu adalah pandangan golongan 'senior' yang terdidik dalam Bahasa Inggeris tetapi kita yang muda terdidik dalam bahasa kebangsaan, jadi nak salahkan siapa, sistem atau pelajar? Tambahan pula saya kira tidak cukup sekadar bahasa sahaja tetapi integriti lebih utama.

Bahasa menunjukkan bangsa. Saya pernah dengar Ibnu Khaldun pernah berkata dalam Muqadimah bahawa bangsa yang kalah ialah yang suka meniru bangsa lain terutamanya dari segi bahasa.

Sama-sama kita fikirkan.

Anonymous said...

Fisha,

Sakit jiwa? Bukan setakat sakit jiwa Fisha, ia amat memalukan. Bak menconteng arang ke muka sendiri.

Pertama kali saya ternampak/terbaca/terdengar perkataan "bajet", saya rasa nak muntah.

Mengapa harus kita gantikan perkataan "belanjawan" yang lebih mencerminkan kemelayuan/kemalaysiaan? Alasan bahawa "bajet" itu "dibolehkan" penggunaannya dalam Bahasa Melayu untuk meluaskan kosa kata Bahasa Melayu (saya lebih suka guna istilah Bahasa Melayu berbanding Bahasa Malaysia) tidak boleh diterima sama sekali.

Cuba anda renungkan ...
Apabila seseorang warga England atau sesiapa sahaja yang bertutur dalam Bahasa Inggeris ingin mempelajari Bahasa Melayu ... tiada maknanya mereka hendak mempelajari Bahasa Melayu lagi kerana kebanyakan istilah-istilah dalam Bahasa Melayu mudah difahami disebabkan ia diceduk dari Bahasa Inggeris.

Pishaposh said...

Ikmal,

Itulah sistem kita ... tiada kesinambungan. Sekejap begitu, sekejap begini. Kita ini generasi yang penuh kekeliruan. Sudah lah apa yang diajar di sekolah dengan apa yang ada di luar pagar sekolah tidak sama ... kesan dan akibatnya sudah pasti dah boleh dijangkakan ... dan, menambah celanya, yang tua asyik menyalahkan kita, sedangkan mereka banyak berhutang dengan kita terhadap apa yang sudah mereka rancangkan untuk kita.



Anon:
Kalau istilah Bahasa Melayu itupun sekejap Bahasa Malaysia, sekejap Bahasa Melayu, jangan diharap suatu bentuk bahasa yang gagah ...

Dan, ya, apa guna belajar bahasa Melayu, kalau lebih banyak saduran daripada yang asli!

Terima kasih atas kunjungan.

Anonymous said...

zaman tok nenek kita lagi dah amalkan bahasa rojak ala inggeris tak inggeris...ambik "rizal" (result), komsen ("commission"), ntah macam2 lagi ..

cuba la tanya orang-orang tua tu..

pada aku..untuk percakapan harian suka hati la nak guna bahasa rojak ke apa....tapi bila perkara rasmi, mesti la guna bahasa yang tertib.

Anonymous said...

Salam fisha, tumpang beri pandangan...

Susah kan nak mengubah dari bawah ke atas, bila yang dari atas ke bawah nampak tak berapa peduli pun masalah istilah saduran ni.

Mungkin dasar bahasa golongan yang lebih muda ni dah terpisah jauh dari bahasa nenek moyang asal kita. Ada pendapat kata bahasa Melayu yang sebelum diformulakan tatabahasanya jauh lebih indah dan menusuk daripada yang sekarang.

Kalau tengok kebijaksanaan orang dulu cipta istilah untuk perkataan inggeris pun, lain gayanya. Contoh perkataan pilihan raya - agaknya kalau baru sekarang kita kenal pilihan raya, agak2 tentu jadi eleksi kot.

Anonymous said...

Hi Najibah,"eleksi" tu bukan dari perkataan inggeris ker ? tu la, secara tak sedar diri sendiri pun sama..hmm

Pishaposh said...

Anonymous @ May 27, 2008 2:14 PM:
Setuju.
Dalam percakapan, penggunaan bahasa rojak memang tidak dapat dielakkan ... tak ada masalah.

Yang saya ulas di sini, kecenderungan menggunakan perkataan saduran dalam penulisan, sedangkan kita sudah ada perkataan yang sedap dan senang diungkapkan.

Najibah:
Betul Najibah!

Tapi, itulah, kalau apa yang di mulut, tak sama dengan yang di hati, susah juga nak diubahkan ... Cumanya, kalau ada ruang dan peluang untuk orang-orang 'kecil' seperti kita ini, usahakanlah sesuatu. Sekurang-kurangnya, kita bisa menjadi burung-burung dalam cerita Nabi Ibrahim AS yang bersungguh-sungguh cuba memadam api walaupun api itu marak bakarannya -- (hmm .. mungkin cerita ini akan disanggah oleh mereka yang tidak bersetuju dengan konteks perkara ini!) ...

Anonymous @ May 30, 2008 8:36 AM:
Saya rasa maksud Najibah, sekiranya kita tiada perkataan pilihan raya, dan kita baru saja nak mengenalinya, kemungkinan kita akan gunakan istilah 'eleksi' tu ...

Apa pun, terima kasih atas ulasan dan komen anda.

Dan, terima kasih atas kunjungan. Kalau sudi, datanglah lagi ...