Wednesday, April 30, 2008

Seungu Lavender by Umi Kalthum Ngah


Wah, nampaknya bacaan saya berbunga-bunga akhir-akhir ini. Mula dengan dafodil, kini disajikan pula dengan lavender. Indahnya!

Saya tertarik untuk membeli buku ini kerana kulit luarnya dan blurb nya. Nampaknya peribahasa "don't judge a book by its cover" tidak boleh diaplikasi untuk buku ini!

Membaca buku ini menghimbau kembali kenangan saya menjadi remaja pada akhir 80an dan awal 90an. Walaupun apa yang diceritakan oleh pengarang merujuk kepada zaman akhir 60an, saya masih boleh relate kepada keadaan zaman itu.

Seungu lavender tidak banyak bercerita mengenai tempat-tempat menarik seperti dalam Seindah Dafodil. Ia lebih kepada cerita pahit manis seorang anak perempuan bernama Umi Hanis (saya kira sebahagian memoir Dr. Umi ...).

Hanis anak ketiga keluarga Ngah dan Gayah. Membesar sebagai anak yang cerdik dan cerdas, gaya penceritaannya agak pantas. Pembaca dibawa menulusuri kehidupan keluarga ini - bermula dengan kisah Ngah (ayah Hanis) yang terpaksa melupakan zaman persekolahan dan masa depannya kerana kemiskinan hinggalah kepada cerita Hanis yang berjaya melanjutkan pelajarannya ke England, bumi pohon lavender.

Saya paling seronok membaca mengenai kehidupan Hanis di TKC - gelagat senior yang mendera junior semasa minggu suaikenal - sesuatu yang kurang atau hampir tiada kini! Walaupun kehidupan generasi sekarang teramat senang, saya tidak pernah cemburu kepada mereka, kerana menjadi remaja di tahun 80an lebih menguja dan bermakna!

Namun, yang membuat saya ketawa besar ialah penggunaan perkataan tertentu yang amat menunjukkan betapa utaranya Dr. Umi. Ada 2 perkataan - jelum (merujuk perbuatan Lijah mengurangkan kepanasan badan adiknya, Zainab dengan air asam jawa) dan tokak (merujuk kepada perbuatan kawan-kawan Hanis semasa menyampaikan surat dari peminatnya).

Selalunya, di dalam buku-buku cerita, jarang penulis menggunakan perkataan "jelum" dan "tokak" pulak lebih merujuk kepada sejenis penyakit. Tak pastilah sama ada ini satu kesengajaan atau kesalahan yang tidak tersedar. Tapi, tak kisahlah, yang pasti saya faham dan saya merasai sekali keterujaannya.

Kalau anda mahu menghimbau kembali kenangan zaman persekolahan sekitar tahun 70-80an, novel ini sangat OK.

Selamat membaca.

Tuesday, April 29, 2008

P/s: Seindah Dafodil

Setelah saya membaca entri Pn. Ainon PTS, saya rasa, kini saya faham kenapa bahasa pertuturan yang digunakan oleh pengarang Seindah Dafodil begitu.

Saya cadangkan anda juga baca kuliah Pn. Ainon mengenai:
Selamat membaca.

Monday, April 28, 2008

Seindah Dafodil by Umi Kalthum Ngah


Kata penulisnya, Umi Kalthum Ngah, Seindah Dafodil adalah sequel daripada cerita Dafodil untuk Insyirah. Namun, saya belum berkesempatan membaca yang itu.

Novel ini berkisar pada kehidupan Sharifah Insyirah Syed Sofian (Insyirah), seorang pelajar perubatan di Sheffield. Insyirah digambarkan sebagai seorang yang berpegang teguh kepada agama, baik hati terhadap rakan-rakan, cerdik, rajin – dan semestinya cantik!

Bahagian pertama novel ini menceritakan bagaimana Insyirah bertemu dan berkasih dengan Ilham Budi Sayuti (Ilham). Ilham jatuh kasih pada Insyirah apabila berpapasan dengan Insyirah yang sering pergi bertemu abang sepupunya, Syed Iskandar. Sementelah Ilham adalah rakan kepada Syed Iskandar. Insyirah yang pada mula seperti menolak, akhirnya membalas cinta Ilham. Namun, oleh kerana Ilham tidak punya gelar nama yang sama seperti Insyirah, percintaan yang hampir ke jinjang pelamin ditentang hebat oleh datuknya, Tok Agil.

Bahagian kedua pula berkisar kepada kehidupan Insyirah sebagai pelajar PhD di Calgary, Kanada. Pada fasa ini, Insyirah semakin dewasa dalam kehidupannya. Dia menjadi lebih berdikari dan terbuka – berkawan dengan sesiapa sahaja yang mahu menghulurkan persahabatan. Pada ketika ini, Insyirah menjadi pujaan Sheikh Toriq (Toriq), anak hartawan dari Bahrain. Namun, Insyirah menolak cinta Toriq kerana hatinya masih teringatkan Ilham yang ditinggalkan. Toriq tidak berputus asa untuk memenangi hati Insyirah. Kesempatan membentangkan kertas kerja bersama Dr. Leo di Bahrain, digunakan oleh Toriq untuk memperkenalkan Insyirah kepada keluarganya. Malangnya, ibu Toriq beranggapan bahawa Insyirah hanya mahukan harta anaknya. Mujur juga datuk Toriq menjadi pembela yang menyelamatkan Insyirah daripada tuduhan tidak berasas itu.

Novel ini berakhir dengan kegembiraan pada Insyirah, Toriq dan Ilham.

Saya tak cerita semua, tak mahu menjadi spoiler :p

Mengangkat tema cinta berbeza darjat – keturunan Syed Sharifah yang tidak boleh berkahwin dengan orang biasa – novel ini pada saya sangat ringan. Permulaan cerita, saya menjadi sangat bosan kerana Insyirah sangat baik dan ideal wataknya (watak baik sangat pun memang meletihkan untuk dibaca!) dan ditambah dengan Ilham – lelaki yang sangat romantik dan penuh pengertian.

Tambahan bahasa pertuturan watak yang baku, lagi menambah haru saya untuk menghabiskan keseluruhan cerita. Satu lagi yang mengganggu saya, setiap istilah Inggeris yang digunakan diletakkan sekali terjemahannya. Saya hargai niat penulis berbuat begitu, tapi masalahnya ia menjadi tidak konsisten – kerana ada masanya Insyirah berbual dengan rakan asingnya tanpa menggunakan bahasa Inggeris, kadang-kadang tidak. Memang saya tidak dapat memahami kewajaran penekanan perkataan-perkataan tersebut.

Yang menarik hati saya untuk terus membaca novel ini adalah kerana penulis berjaya menulis mengenai perkara-perkara menarik di tempat Insyirah pergi belajar, seperti perjalanan Insyirah dan rakan serumah melancong ke Alberta dan kunjungan Insyirah ke Bahrain untuk membentangkan kertas kerja. Perkara-perkara ini menjadi menarik kerana ia membuatkan saya boleh sama merasai pengalaman indah orang lain (nak harap pengalaman sendiri, entah bila lah akan pergi ke tempat-tempat begitu).

Selain daripada itu, buku ini menarik kerana penulisnya. Sebelum ini, saya melihat Umi Kalthum Ngah sebagai penulis novel-novel berunsur cinta sahaja, tapi rupa-rupanya seorang profesor madya! Saya tabik kerana di sebalik kesibukannya, masih mampu menulis cerita-cerita begini! Memang dalam novel itu agak ketara juga penceritaan dari sudut golongan remaja ‘old-school’, tapi ia masih menjadi menarik untuk dibaca.

Sesungguhnya, PM Dr. Umi telah menginspirasikan saya mengenai sesuatu. Apa dia? Tunggu dan lihat …

Sunday, April 27, 2008

Aku ingin bersama-samanya*

Ketika tunas ini tumbuh
Serupa tubuh yang mengakar
Setiap nafas yang terhembus adalah kata.

Angan, debur dan emosi
Bersatu dalam jubah terpautan.

Tangan kita terikat
Lidah kita menyatu
Maka, setiap apa yang terucap
Adalah sabda pendita ratu.

Ah … di luar itu pasir
Di luar itu debu
Hanya angin meniup saja
Lalu, terbang hilang tak ada.
Tapi kita tetap menari
Menari cuma kita yang tahu.

Jiwa ini tandu
Bukan duduk saja.

Maka, akan kita bawa, semua.
Kerana, kita adalah satu.

* Puisi Cinta** untuk pertandingan menulis puisi.
**Petikan puisi daripada filem
"Ada Apa Dengan Cinta"

Puisi ini bagi saya sangat indah. Malah ceritanya juga indah. Tidak hairan kalau ia menjadi kegilaan ramai. Bagi yang remaja, mungkin kekacakan Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo menjadi tarikan. Bagi saya pula, siri-siri puisinyalah, apa lagi.

Puisi ini sebenarnya mudah untuk difahami - (ikut fahaman saya lah):
Ia menceritakan tentang keakraban sebuah perhubungan - tak kiralah apa bentuknya - persahabatan atau percintaan - bagaimana ia terbina dan melalui keseluruhan proses. Banyak yang menghalang dalam perhubungan - harapan, kekecewaan, kegembiraan dan sebagainya. Kiranya kita mengalah kepada perkara-perkara ini, apa yang tinggal hanyalah kenangan.

Maka, cara yang terbaik, fahami setiap orang yang terlibat dalam sesuatu perhubungan. Fahami apa kebenciannya, dan kesukaannya. Kemudian, cubalah memahamkan orang itu untuk memahami kita. Steven Covey pun berpesan - Seek first to understand, then to be understood. Masalah berlaku bila masing-masing tidak mahu memahami. Jangan gundah kalau kita sahaja yang memahami, kerana itu bermaksud, kita lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan. Mungkin orang yang kita hadapi itu sendiri kurang faham dengan dirinya sendiri. Anda faham apa yang saya katakan ini?

"Jiwa ini tandu, bukan duduk saja. Maka, akan kita bawa, semua.Kerana, kita adalah satu"

Hati kita bukan hanya tempat letaknya perasaan, tetapi lebih daripada itu. Ia tempat kemanusiaan dan kebinatangan yang sama-sama akan mendominasi hidup manusia. Sekiranya perhubungan didominasi dengan jiwa yang tidak selaras dengan nalurinya, maka perhubungan itu pasti tidak akan berjaya. Maka, dalam perhubungan, imbangilah naluri manusia secukupnya supaya pada akhirnya ia akan memberikan sesuatu yang sangat tenang dan damai sifatnya.

Hmmm, rasa macam pemuisi agung pulak. Hee! Sekali-sekala perasan, ok la tu!

Antara CINTA dan LOVE

Menonton LOVE sebenarnya membalikkan kembali perasaan menonton CINTA kerana kedua-duanya adalah buah tangan pengarah yang sama. Namun, ada sedikit diskaunnya kali ini. Kenapa?

Saya pergi menonton cerita ini dengan Kak Marina dan Nadhrah. Perancangan asal, mahu menonton Definitely, Maybe ataupun Over Her Dead Body, namun keduanya tak sampai-sampai ke Kuantan. Dan, disebabkan saya perlukan suatu filem untuk keperluan psikologi bulan ini, kami pun bersetuju menonton cerita ini. Better something than nothing. Kak Marina jadi OK sebab ada Fauzi Baadila – dia peminat mati keras Fauzi. Nadhrah pula mengikut saja.

Kalau dulu, saya pergi menonton CINTA dengan penuh rasa keterujaan kerana thriller cerita itu sangat menarik. Namun, bila menonton, serasa tertipu sahaja. Semuanya biasa-biasa yang terlalu sangat biasa, kecuali cerita cinta cikgu Elyas (Datuk Rahim Razali) dan Makcik Rubiah (Fatimah Abu Bakar). Dengan LOVE pula saya menonton dengan tiada sebarang pengharapan, sekadar tontonan sahaja. Dan, ternyata apabila tiada pengharapan, minda dan hati lebih mudah mencerna dan memaafkan.

(WARNING: Ini pandangan saya. Kalau anda tak bersetuju, tulis sesuatu tentang ini di blog sendiri! -- dan entri ini agak panjang untuk anda baca)

Pada dasarnya, plotnya amat mudah dan ringan – penangan bercinta kot, semua pun jadi indah dan mudah! Memang sebenar cuplikan CINTA, namun masih ada twistnya. Ini sebahagian perbandingan ceritanya:

Kisah satu:
CINTA – Taufiq dan Arianna (Pierre dan Sh. Amani)
LOVE – Rama dan Iin (Fauzi dan Acha)



Saya lebih suka kisah Rama dan Iin daripada Taufiq dan Arianna kerana ada kewajarannya cerita cinta mereka. Bermula dengan premis yang sama, twistnya pada cerita Rama yang mengizinkan kekasihnya berkahwin dengan abangnya dan kemudiannya sengsara sendiri kerana mereka tinggal bersama. Rama tidak dapat melepaskan cintanya walaupun gadis itu sudah menjadi saudaranya. Iin pula kisahnya sama seperti Arianna, gadis muda mencari kekasihnya di kota. Akhirnya hampa apabila sang kekasih sudah berubah hati. Bezanya, dalam CINTA, Taufiq dan Arianna mula jatuh cinta sesama, sedang dalam LOVE, Rama bersedia bercinta dengan Iin dan menerima anak luar nikah Iin.


Kisah dua:
CINTA – Harris dan Airin (Rashidi Ishak dan Rita Rudaini)
LOVE – Gilang dan Miranda (Surya Saputra dan Wulan Guritno)

Gilang dan Miranda berkahwin setelah Miranda mengandung anak mereka – Icha, yang menghidap autism. Setelah berkahwin, Gilang dibuang keluarga. Kehidupan adalah di sekitar rumah dan tempat jagaan Icha. Gilang sangat marah apabila Miranda berselingkuh di belakangnya, dan melarang Miranda mendekati Icha. Namun, oleh kerana dalam cintanya juga pada Icha, akhirnya dia membenarkan Icha bersama Miranda kerana ibu lebih tersiksa kalau tidak bersama anknya.
Harris pula arkitek yang berjaya, bercita-cita membina mahligai untuk Airin kerana sayangnya kepada Airin sangat mendalam. Namun, cinta Airin bukan untuk Harris – mungkin kerana lama bersama – Airin mahu mencari cinta yang lain. Oleh kerana cinta bermaksud melepaskan yang tersayang pergi, akhirnya Harris mengizinkan Airin mencari cintanya.


Kisah tiga:
CINTA – Azura dan Azlan (Fasha Sandha dan Eizlan Yusof)
LOVE – Tere dan Awin (Luna Maya dan Darius Sinathrya)


Dalam LOVE, si gadis yang memulakan percintaan sedang dalam CINTA, si jejaka yang bersungguh-sungguh memikat si gadis. Latar percintaan masih sama – bermula di kedai / toko buku. Bezanya, Tere adalah seorang penulis ternama dan Azlan, pengusaha majalah. Awin dan Azura pula, pembantu kedai yang sangat ideal (sangat berpengetahuan mengenai susun atur dan buku-buku yang dijual di toko tersebut).
Dalam CINTA, Azlan meragui cintanya terhadap Azura kerana Azura hanyalah gadis pekerja kedai buku sedangkan dia adalah korporat yang berjaya – enggang dan pipit tidak boleh terbang sama. LOVE pula menggambarkan Tere, penulis berjaya dan Awin pula berhadapan dengan perasaan inferiority complex yang berat. Tere sangat berbangga dengan Awin, namun Awin lebih merasakan bahawa dia hanya menumpang populariti Tere. Akhirnya, mereka semua bersatu, setelah disedarkan kebodohan mereka mengaitkan pandangan orang dengan perasaan hati mereka.


Kisah empat:
CINTA – Rubiah dan Cilkgu Elyas (Fatimah Abu Bakar dan Datuk Rahim Razali)
LOVE – Pak Nugroho dan Ibu Lestari (Sophan Sophiaan dan Widyawati)


Pak Nugroho, bekas guru yang menderita alzheimer, dijaga oleh cucunya Arif, namun dipanggil Amir kerana dalam ingatannya hanya ada Amir, anaknya. Sama seperti karektor cikgu Elyas dan cucunya Amin, anak Amir. Rubiah, janda yang membuka gerai laksa di kedai cikgu Elyas selalu membaiki jam, dan ibu Lestari, juga seorang janda membuka kedai soto.
Rubiah dan ibu Lestari tertarik kepada cikgu Elyas dan Pak Nugroho kerana karektor lelaki itu – bijak dan menyenangkan. Dan selepas mengetahui kisah sebenar, makin lebih cinta mereka terhadap lelaki-lelaki itu. Kalau dalam CINTA, Rubiah menyanggupi untuk menjadi isteri cikgu Elyas supaya dia boleh menjaga cikgu Elyas dengan sempurna, di dalam LOVE, ibu Lestari berjanji dengan Arif untuk mejadi kawan Pak Nugroho yang sanggup menemaninya ke mana saja.


Kisah lima:
CINTA – Dyan dan Dhani (Nanu dan Que Haidar)
LOVE – Restu dan Adinda (Irwansyah dan Laudya Chintya Bella)


Dyan dan Dhani bersaudara, sedang Restu dan Adinda jatuh cinta bila sering berpapasan di dalam bas. Dyan kakak yang tidak sanggup melihat adiknya hidup bersusah mencari rezeki dengan menjadi pelukis jalanan sedang dia sendiri pemilik sebuah galeri. Dhani, remaja mencari identiti, pertolongan kakak umpama gambaran ketidakupayaannya. Mematah hujah kakaknya tentang kebahagiaan menjadi teman berseronok kepada seorang lelaki yang telah berkeluarga, Dhani memberontak dengan cara tersendiri. Cinta Dyan pada Dhani sangat mahal apabila Dyan meninggal setelah menderma buah pinggangnya kepada Dhani.
Restu dan Adinda cerita cerita orang biasa. Bertemu di tempat yang biasa, mereka melarik cinta mereka, melewati masa-masa bahagia. Saat Restu mahu lebih serius, Adinda mengkhabarkan bahawa dia bukanlah orang yang tepat untuk Restu cintai kerana segala yang ada padanya adalah palsu – Adinda penderita kanser yang telah kehilangan payudara dan rambutnya. Akhirnya, Adinda meninggal dunia, namun Restu bahagia kerana masih sempat untuk memberitahu Adinda bahawa dia mencintai gadis itu sepenuh hatinya.

Pada saya tema cinta pada dasarnya sama sahaja – bertemu, bercinta, gangguan pihak-pihak yang tidak senang dengan cinta, kehidupan yang sama ada akan happily ever after, atau kewalangan hingga mati. Namun, oleh kerana cinta adalah satu elemen yang tersangat akrab dengan manusia, olahan mengenai cinta jarang yang kerugian.

Kesimpulan mudah: Orang akan terus bercinta, dan mereka memerlukan bukti untuk mengukuhkan percintaan, maka kisah cinta di mana-mana medium pun akan menjadi rujukan yang paling berkuasa.

OK, pendapat tentang LOVE?

Dalam skala 1-10, LOVE pada saya di skala 5.0. Ya, sangat mudahkan mengkritik dan memberi markah kepada kerja orang? Tapi, hei, ini pendapat saya. Anda boleh saja untuk tidak bersetuju. Tak ada masalah.

Ada 2 perkara yang saya suka tentang filem LOVE:

Pelakon-pelakonnya tampak bersungguh-sungguh memeran peranan masing-masing (kecuali watak Adinda dan bekas kekasih Rama – waduh, lupa pula namanya!). Dalam CINTA saya tak terkesan langsung dengan lakonan Rita (maaf ya) kerana pada saya, Rita sangat plastik kalau membawakan watak lemah-lembut (tapi kalau watak gedik, I’m her biggest fan! So real!).

Lontaran kata-kata dan puisi yang mengiringinya sangat indah. Tapi, dalam CINTA, saya terpaku pada kata-kata cikgu Elyas: "Isteri bukanlah hak milik, tapi anugerah ..." -- Inilah antara pencarian saya di dalam filem-filem yang saya tontoni, selain daripada keseronokan menonton.

Tapi, yang paling saya tidak boleh terima adalah ketika Adinda mengambil tangan Restu dan diletakkan di bahagian payudaranya yang tiada supaya Restu boleh merasakannya. Aduh, tak boleh kah dinyatakan saja bahawa 'khazanah'nya itu telah dibuang akibat kanser? Sebal!

Akhirnya, apapun yang saya telah katakan di atas, saya masih boleh menghargai kedua-dua versi cerita tersebut. Betapa, cinta itu bahasa yang sangat universal dan datang dalam pelbagai bentuk dan rupa.

Tertarik pada kata-kata di akhir filem (itu bukan exact word, hanya apa yang boleh saya kutip dan ingat!):


"Tika kita merasakan bahawa cinta untuk kita telah tiada, yakinlah, cinta itu hanya bersembunyi dan ia akan muncul apabila kita mengingininya."

P/s: Gambar dipinjam tanpa diberitahu daripada www.budiey.com

Sunday, April 20, 2008

Belanja Bahan Bacaan

Saya jarang mengira berapa banyak saya berhabisan untuk bacaan bulanan saya. Namun, pertanyaan daripada Ayue, sahabat baik saya membuatkan saya terfikir untuk menulis entri ini.

Mula-mula, ini senarai bacaan saya untuk sebulan:
1. Reader's Digest
2. Time
3. Newsweek
4. Mingguan Wanita
5. Wanita
6. Jelita
7. Majalah I
8. ANIS
9. NUR
10. Forward
12. Berita Minggu + Mingguan Malaysia (bacaan hujung minggu sahaja. Untuk bacaan harian, saya baca secara online)

Selebihnya ada 2-3 buah buku yang saya beli atau terbeli untuk bacaan santai seperti novel dan sebagainya.

Majalah di nombor 1-3 itu saya langgan dengan nilai hampir MYR800 setahun dan selebihnya saya beli secara berkala mengikut keluarannya. Dengan purata MYR7 bagi satu majalah, saya peruntukkan lebih kurang MYR70 sebulan - masih terkawal, bukan?

Sememangnya saya akan menjadi sangat pemurah untuk membeli majalah dan buku dan ternyata sikap ini menjadikan emak tidak senang (hampir setiap ruang di rumah saya dipenuhi majalah-majalah saya sahaja. Makin haru, bila koleksi majalah ini menjemput kehadiran anai-anai!).

Sebelum bekerja, saya sememangnya bergantung kepada ayah dan emak untuk membeli bahan bacaan. Masa itu saya selalu perlu menahan diri daripada membeli bahan bacaan yang saya sukai kerana elaun berian ayah selalunya cukup untuk belanja makan sebulan sahaja (itu cerita zaman sebelum tahun 2000!). Namun, itu tidak menghalang saya daripada menjadi pembekal bahan bacaan di asrama.

Itu sebabnya, sehingga sekarang, kalau ada kesempatan berbelanja, item yang selalu saya berhabisan adalah buku. Malah, penyata kad kredit pun banyak menyenaraikan 'hutang' saya di kedai-kedai buku seperti MPH, Kinokuniya dan Popular. Elok kah itu?

Apapun, saya bahagia dengan 'perbuatan' saya ini. Setiap orang ada "guilty indulgence" kan? Maka, ini adalah satu daripadanya.

P/s:
Kalau nak menarik perhatian saya, hadiahkan saya buku atau mulakan perbualan anda dengan buku yang baru saja anda habisi. Mahu berkenalan dengan saya? Hehe!

Wednesday, April 16, 2008

Apa maksudnya, ya?

Saya ini selalu diketawakan kawan-kawan kerana selera muzik saya mirip kepada generasi yang lahir pada tahun-tahun awal kemerdekaan. Saya pun tak tahu mengapa kecenderungan saya begitu. Tak kisah lah tu.

Saya ada membeli kaset kompilasi lagu-lagu nyanyian Aishah dan Ramlah Ram - lagu-lagu lama yang saya suka. Salah satu lagunya yang berbunyi:

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan


Sudah sekian lama mendengar, saya masih tidak boleh merungkaikan apakah maksud "hendak mati di hujung kuku, hendak berkubur di tapak tangan."

Adakah ia berkenaan niat untuk mati di halaman sendiri?

Atau hendak mati berhampiran atau di kelilingi orang-orang tersayang?

Ada sesiapa yang tahu maksudnya?