Sunday, June 8, 2008

Perlukah cerita rakyat diubah?

Saya adalah generasi yang membesar dengan dodoian cerita rakyat. Waktu senggang petang dan malam, saya leka diulit cerita-cerita lama seperti hikayat Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Merah Bawang Putih, Musang Berjanggut, Anak Buluh Betung, Air Mata Duyung, Raja Bersiung, dan Si Tanggang. Tidak ketinggalan juga cerita-cerita Sang Kancil yang popular sebagai filem animasi bersiri yang disiarkan melalui televisyen.

Cerita bentuk ini adalah warisan daripada generasi lama. Oleh kerana kita tiada budaya pendokumentasian yang teratur, cerita ini berkitar dari mulut ke mulut dan datangnya dalam pelbagai versi. Tidak kisahlah itu semua. Pokok pangkal, ini caranya nenek moyang kita membentuk peribadi kita melalui penceritaan.

Tatkala menonton kembali siri-siri Shrek pada suatu hari, saya terfikir, apa agaknya akan terjadi bila cerita rakyat kita diubah menjadi begini? Maksud saya – menafsir cerita-cerita itu semula. Dalam Shrek, kita diberitahu bahawa kedua-dua kakak tiri Cinderella, Doris dan Margaret adalah wanita yang ‘gagah perkasa’, Fairy Godmother pula adalah pari-pari jahat dan Rapunzel seorang yang suka menggoda lelaki.

Sekarang, cuba anda bayangkan, Bawang Merah yang baik itu (ya, cerita Bawang Putih Bawang Merah versi saya, Bawang Merah itu watak protagonis) sebagai penggoda lelaki, Mahsuri itu sebenarnya seorang mak nyah yang baru saja melakukan pembedahan kosmetik dan implan, dan si Tanggang itu pula seorang penjual goreng pisang? Bagaimana agaknya penerimaan masyarakat kita?

Mungkin ramai daripada kita tidak akan dapat menerima pentafsiran begitu. Namun, melihat daripada apa yang disajikan di TV dan media, saya rasa kita telah sedikit sebanyak mentafsir cerita rakyat dengan tafsiran yang berbeza. Tapi, tidak banyak perubahannya. Siri Bawang Putih Bawang Merah yang popular dari Indonesia itupun masih mengekalkan premis cerita yang sama – persengketaan dua beradik tiri, manakala Sindarela pula adalah tafsiran daripada cerita dongeng barat. Saya rasa kalaulah cerita Mahsuri tadi ditafsirkan seperti bayangan saya itu, harus kena saman keseluruhan produksi cerita itu ... “satu penghinaan” pasti akan tertulis di ulasan akhbar berulang kali.

Untuk mengelakkan kontroversi, saya rasa, kita tak payah ubah apa-apalah ...

Apa pendapat anda?

7 comments:

Umi Kalthum Ngah said...

Assalamualaikum warahmatullah,

Satu pertanyaan yang sangat bagus!

Apa kata saudari cuba baca entri saya mengenai Cerita Rakyat ini? Ini adalah hasil usaha 'revolutionary' dari Puan Ainon Mohd.(SifuPTS)

Di sini:

http://biasanembun.blogspot.com/2008/03/puteri-salsabilasiri-cerita-rakyat.html

Mahu juga mendengar pespektif dari kalangan orang di 'luar sana'...

Wasalam,

Dr. Umi Kalthum Ngah

Danielle_Corleone said...

Entri ini mengingatkan saya kepada rekonstuksi dongeng dalam blog Saharil! saya fikir apa yang ditampilkan oleh Saharil itu lebih berjiwa dan realist! memberi kita inspirasi dan semangat!

Anonymous said...

Kak Fisha,

Di UK bukan sekadar cerita fiksyen saja diolah menjadi perspektif yang lain tapi juga termasuk cerita-cerita sejarah negara mereka. Saya terbaca satu buku berjudul An Utterly Impartial History of Britain or 2000 years of upper-class idiots in change karya John O'Farell.

Buku ini lebih menceritakan tentang sejarah Britain dan dihuraikan dengan bahasa yang menarik dan lawak sungguh. Saya rasa pendekatan yang digunakan sangat menarik. tak taula apa reaksi pakar sejarah negara kita sekiranya 'approach' sebegini digunakan.

jeanbara said...

Fisha,
Saya dapat menjangkakan reaksi spontan kebanyakan 'mereka'. Tak boleh. Mesti kekalkan keasliannya. Kenapa mesti diubah-ubah?

Bagi saya, asas cerita ada wajarnya diaslikan, tetapi watak dan jalan penceritaan tidak sepatutnya terikat terus-menerus. Penyesuaian harus dibolehkan supaya cerita itu sentiasa hidup dan kekal hidup.

Saya tidak ingat namanya, tetapi ada sebuah penerbitan milik African-American yang mengubahsuai Robin Hood, Cinderella dan sebagainya. Watak-watak itu dikulithitamkan. Ia, saya kira sesuatu yang cukup menarik.

Pishaposh said...

Dr. Umi,
Saya dah membaca entri mengenai Puteri Salsabila tu, namun belum berkesempatan membaca buku tersebut. Dan, ya saya bersetuju dan menyokong usaha Dr. Tapi, saya tidak boleh berbicara tentang impaknya sampailah saya berpeluang menelaah Puteri Salsabila itu. Bila masanya, Allah saja yang mengetahuinya.

Terima kasih atas kunjungan Dr.

Danielle_Corleone:
Em, saya bersetuju juga dengan apa yang ditonjolkan oleh Saharil. Cumanya yang menjadi persoalan, bolehkah majoriti masyarakat menerimanya? Kita ini selalunya defensive dan sensitive dengan warisan kita walaupun kadang-kadang defensive itu berlaku pada kadar permukaan sahaja.

Cntoh mudah, beriya-iya menentang pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris kerana ditakuti bahasa kebangsaan akan tergadai, tapi dalam masa yang sama, bercakap sekarat belut, sekerat ular. Langsung tak menyokong.


Ikmal:
Mungkin juga sudah tiba masanya pelajaran Sejarah di sekolah perlu diubah orientasi pengajarannya. Kita tak perlu takut untuk merangsang generasi sekarang mempersoalkan sejarah kerana sekiranya mereka boleh melihat sejarah daripada perspektif yang berbeza, maka itulah tanda mereka telah belajar sesuatu daripada sejarah. Disebabkan pengajaran subjek ini masih tertumpu pada mengingati tarikh dan kronologi sesuatu peristiwa, saya menjadi sangat berang apabila pelajar saya tidak dapat memberikan pendapat yang berbeza tentang sesuatu perkara kecuali menerangkan apa, bila dan siapa yang terlibat. Tak boleh bayangkan apabila kita mentafsir semula sejarah dalam bentuk “idiot guide”seperti yang Ikmal sebutkan itu …

Wah, ni dah jadi satu perbahasan yang lain pulak! tapi, idea orang British tu ok what :p!

Jeanbara:
Pakcik Jean, saya sangat bersetuju! Penyesuaian memang satu keperluan supaya kelangsungan hidup dapat diteruskan seperti mana yang kita mahukan. Walau kadang-kadang perkara itu mungkin akan membuatkan kita diselar sebagai perosak sejarah atau pengkhianat budaya ... moralnya, yang mana perlu ubah, wajar kita ubah ...

em, saya pernah menonton Disney movie, CInderella, yang watak Cinderella diperan oleh Brandy dan The Witch itu kalau tak salah Whitney Houstan ... menarik juga ...

Irsa said...

Akak, saya share dan post entri akak kat fb saya. Takpe ye kak. Lawak sangat isunya. ;)

Pishaposh said...

Irsalina:

Boleh je ... No problem.

Terima kasih kerana sudi SHARE ;)