Gambar pinjam tanpa izin dari sini
Bukan Yang Pertama - bukanlah novel gemuk yang pertama seperti ini yang saya baca. Saya sudah pun pernah menghabisi si gemuk buah tangan Faisal Tehrani - Tunggu Teduh Dulu. Maka, sungguh ironik tajuk novel ini.
Sudah lama saya beli buku ini. Awal Disember yang lalu. Saya simpan dan simpan tanpa ada minat untuk membaca (dah tu, beli, kenapa? -- sebab I'm the great book hoarder!). Dan, perkara ini bukanlah yang pertama berlaku.
Kenapa saya membelinya? Selain daripada alasan book hoarder, saya rasa saya ada rasa mahu memiliki yang pelik. Mahu memiliki sesuatu yang saya tidak berapa mahu. Itu pun bukan sesuatu yang pertama. Ish, berbelit-belit pulak! Bukan pertama kali!
Yang menarik minat untuk membaca ... tiada. Cumanya, pada satu malam yang syahdu (syahdu yang bertamu dengan tiada sebab pada waktu tertentu :p), saya terasa kasihan pada buku yang terletak di hujung katil. Saya mulakan pembacaan. Tertarik pada ulasan Dr. Amida mengenai frasa "bukan yang pertama", saya mulakan pembacaan dengan tanpa apa-apa rasa. Saya menjangka ia seperti novel lain juga -- walaupun novel ini pernah tersiar di akhbar, saya tidak pernah berminat untuk membacanya.
Haaa ... sekarang baru saya teringat, saya membelinya kerana buku itu dipamerkan dengan banyaknya di satu kawasan khas. Itulah sebabnya! Dan, pastinya itu juga bukan kali pertama belian saya bersifat begitu.
Usai membaca, telahan saya menjadi benar belaka. Ia adalah cerita biasa saja. Cerita kehidupan seorang gadis, bergelut dengan masalah kehidupan, percintaan, kematian dan pelbagai lagi. Dan, satunya kebiasaan novel Melayu ini, gambaran gadis yang baik itu seakan sama saja, tidak terkecualilah dalam novel ini.
Watak Yasmin Zulaikha dinukilkan sebagai gadis yang bijak, beragama dan anak yang ideal untuk ibu bapanya. Saya tak pasti Yasmin itu cantik atau tidak (tapi cantik kot, kalau tidak masakan tertawan betul Ustaz Mustakim dan Umar Khalil padanya). Bukan pertama kali begitu, kan?
Recap:
Yasmin Zulaikha adalah seorang graduan yang terpaksa menganggur selepas tamat pengajian. Tidak mendapat pekerjaan yang sesuai di bandar, dia pulang ke kampung. Kebetulan kampung mereka mahu memulakan projek homestay, dia berminat menyertainya. Dalam masa yang sama, dia membantu menguruskan urusan pemasaran kuih-kuih tradisional yang diusahakan oleh seorang ibu tunggal atas biaya modal ibunya. Dibantu oleh anak angkat ibunya, mereka bersungguh-sungguh mengusahakan semuanya.Opps, tercerita semua ke?
Yasmin Zulaikha kemudian menjadi perhatian Ustaz Mustakim, duda anak tiga selepas saling berurusniaga bersama. Namun, kasih disemai hampa di tengah jalan kerana Yasmin Zulaikha tak pasti dengan hatinya. Dalam masa yang sama hadirnya seorang kenalan lama, seuniversiti yang jarang ditegur, Umar Khalil. Bermula dengan membuat liputan mengenai lawatan menteri merasmikan projek homestay, persahabatan lama tertaup kembali.
Meneruskan kehidupan, Yasmin Zulaikha berhadapan dengan beberapa siri penting - kematian, pertemuan, percintaan, perkahwinan dan diakhiri dengan kebahagiaan.
Catat penulisnya:
"Sebuah cerita yang sederhana, andai dihayati sepenuhnya, akan jadi lebih bermakna dan berharga."
Ya, saya merasainya. Sungguh.
Dalam kesederhanaan, saya terusik dengan beberapa bahagian di dalamnya. Tertarik kepada hikmah ibu Yasmin Zulaikha dalam mendidik adik angkatnya yang lepas laku. Tertarik kepada pengertian Ustaz Mustakim pada penolakan lamarannya. Tertarik pada relevansi ayat-ayat Quran dan hikmah Rasulullah dan ulama silam yang dirangkaikan di dalam cerita ini.
Itu sahaja sebenarnya. Tidak lebih, tidak kurang.
Untuk saya tertarik pada watak Yasmin Zulaikha, saya lebih dulu sudah jumpa dengan Salsabila lewat Tunggu Teduh Dulu (tanpa niat membandingkan kedua wataknya) - watak yang penuh keazaman dan berhikmah menghadapi hidup.
Elemen cliff-hanger nya pun biasa sahaja kerana saya boleh menebak apa yang akan berlaku dan cara ia ditamatkan. Surprise nya juga sederhana saja. Tarikan emosi pada watak pun biasa - walaupun saya terkesan dengan keceriaan Kak Hasniah. Dan, saya memang tidak merasakan sangat kecintaan Umar Khalil pada Yasmin Zulaikha walau dibumbu penulis yang Umar itu penuh pengertiannya (tapi saya sedikit terasa kasih Pn. Khadijah terhadap orang sekelilingnya). Dan, itu sajalah.
Kecewa? Tidak berminat?
Jangan begitu. Baca dahulu. Pesanan penulis di awal itu memang banyak benarnya.
Sederhana, tapi pasti akan menjadi bermakna dan berharga - walau mungkin bukan dengan ceritanya, tetapi mungkin pada pesanan di dalamnya.
Memang bukan yang pertama saya berperasaan begini.
4 comments:
trima kaseh kerana singgah..Andalah Yang Pertama!
aku baru 3bulan di perlis,tidak tahu akan pergerakan geografi di perlis sejak 20 tahun yang lalu..namun ternyata Perlis mempunyai keunikan berbanding negeri asalku (Perak)..
(^-^)/
Fundie:
Aku yang pertama? Oh ... :p
Bukan dosa besar kalau kamu tidak mengenali negeriku nan satu itu ... Aku juga belum benar mesra dengannya ... kerana sering meninggalkannya ...
Sila lah berkunjung lagi ...
hihi..i'm a book hoarder too =)
yelah, semenjak da pegang duit sendiri ni, selamba je singgah MPH waktu lunch, belek2 sikit, terus beli.konon nak baca sambil makan tengahari(selalu lunch sorang2)..
saya mintak izin link blog ye =D
Ayscha:
The greatest hoarder just can't resist that I guess ... :p
Hmmm ... mcm terilham plak nak buat CONFESSION OF A HOARDER ...
Sila link ... saya sangat berbesar hati!
Post a Comment