Sunday, January 25, 2009

Oh, mereka ini!


Ingat cerita bengkel hari itu? Kali ini saya mahu ceritakan cerita yang saya KIV itu -- mengenai Datuk Abdul Halim "R" dan Tn. Hj. Ismail Restu.


Kenapa entri berasingan? Baca saja.


Nama Datuk Abdul Halim "R" tidak pernah saya dengar sebelum ini. Malah, saya tidak tahu wujudnya manusia ini. Tapi, kala pertama kali bersua dengannya di bengkel tersebut, saya macam tertanya-tanya, "eh, familiarnya muka orang tua ni .. (dia sudah berusia 71 tahun). Kat mana aku nampak?"

Dan, sememangnya saya tidak mengambil masa yang lama untuk mengorek laman minda saya -- kerana saya teringat sumbernya! Rupanya, saya pernah terlihat wajah "Atuk" ini di sebuah blog yang kerap saya singgah -- Dalam Dakapan Ibu (DDI) - dan, rupanya DDI adalah anaknya. Tapi saya tidaklah sampai pergi confront dan tanya beliau direct. Memang tidak perlu.

Rupanya Datuk Halim adalah seorang pakar pantun di Malaysia. Kalau berkunjung ke blognya, hampir satu halaman penuh tersiar resume beliau. Katanya, dia sekarang sedang belajar memblog. Cool! Untuk seorang atuk seusianya.

Datuk Halim juga pekat dialek Kedahnya. Dan, dengan penceritaan yang bersahaja, bersulam cerita-cerita peribadinya, semua orang ketawa terbahak-bahak dibuatnya. Cerita beliau terasa lebih kelakar kalau ada yang boleh berdialek utara seperti saya.

Salah satunya ...

"Tuan-tuan dan puan-puan tau dak, sakit ati sungguh kalau karya kita hantag (hantar) pi penerbit, lepaih tu (selepas itu) depa (mereka) salah eja? Saya ada pengalaman macam tu. Sakit ati sugguh!

Ada ka patut ayat saya yang patutnya bunyi "tahi-tahi bintang menikam dada", depa pi cetak "taik-taik binatang menikam dada ..." - nak buat apa taik binatang!"


Berderai tawa kami untuk tempoh yang agak lama.

Beliau bercerita mengenai evolusi pantun yang menjadi hak ekslusif masyarakat Melayu untuk sekian lama sebelum seni ini tersebar luas ke serata dunia, bagaimana sebuah pantun yang baik, teknik penulis pantun (oh, baru saya faham kenapa pantun patut ditulis sebegitu), serta banyaklah aspek-aspek yang berkaitan pantun.

Dalam masa yang sama, beliau juga meluahkan sedikit kekecewaan beliau terhadap pengiktirafan masyarakat mengenai seni pantun. Secara sinis beliau bercerita mengenai ramai pembesar-pembesar negara yang main hentam-keromo bila berpantun. Kala ditegur melenting tak sudah-sudah, tapi hakikatnya pantun mereka sangatlah tidak berseni untuk dinilai, malah tidak layak dipanggil pantun pun. Datuk Halim menoktahkan -- "nak buat macam mana .. depa orang berkuasa." Hmmm ...

Bahagian yang menarik perhatian saya adalah pada tajuk "Pencemaran Pantun". Saya sudah menulis mengenai ini tidak lama dahulu. Dan, saya rasa sangat gembira bila Datuk Halim bicara mengenai perkara ini. Tambah beliau, perbuatan mencemar inilah yang menyebabkan berlaku apa yang digelarkan beliau "pantun bangkrap" -- hilang seninya. Seperkara lagi, nasihat Datuk Halim, usah menulis pantun dengan pembayang ada nama orang. Contohnya:

Pergi ke kedai membeli barang,
Beli barang dengan Dayang; ....

Pantun yang berpembayang begitu ujar beliau adalah sesuatu yang perlu dielakkan kerana ia membayangkan kurangnya pengusaan kata si pemantun.

Seperti penceramah yang lain-lain juga, Datuk Halim meminta kami semua menyediakan serangkap pantun untuk penilaian beliau. Saya coretkan kemudian saja, ya.

OK, ini pula kisah Tn. Hj. Ismail Restu - penulis cerita kanak-kanak. Kelakar orangnya. Dan suka ketawa juga. Paling kelakar ...

En. Rejab FI:
"Mail, orang kata apa binatang kot orang putih?" (Merujuk kepada istilah satire / fables).

Tn. Hj. Ismail:
"Animal." -- dengan yakin dan selamba.

Gamat bilik seminar.

Beliau bercerita yang sebenarnya terdapat banyak peluang untuk seseorang apabila menceburi bidang penulisan cerita kanak-kanak kerana nature genre tersebut. Namun, hakikatnya tidaklah begitu kerana walaupun untuk kanak-kanak, penyesuaian pemilihan kata, grafik dan sebagainya adalah sangat mencabar. Ini kerana seperti yang semua maklum, span of attention kanak-kanak adalah yang paling singkat, dan, untuk mengekalkan minat mereka untuk terus minat untuk menghabiskan sebuah buku adalah elemen yang sangat perlu ditekankan.

Beliau seterusnya bercerita mengenai kelebihan menulis buku kanak-kanak - pembayaran yang diterima - serta ruang-ruang untuk berkarya dengan golongan cilik tersebut. Ramai jugalah yang menunjukkan minat kepada perkara tersebut. Banyak persoalan yang berkaitan ditanya kepada beliau (kenapakah para ini kedengaran seperti laporan berita?).

Hmmm ... itu sahaja cerita mereka. Biasa sajalah. Tapi mereka ini yang menarik saya untuk terus menghadiri bengkel hingga ke akhirnya.

Sekian, terima kasih. :p

2 comments:

NAJIBAH said...

Salam. Banyak betul entri penuh dengan ilmu2 bengkel. Saya kena datang sekali lagi dan baca satu2. Boleh saya salin dan simpan? Terima kasih kongsikan di sini. [saya orangnya tak sempat nak berbengkel :(]

Fisha Fawwaz said...

Salam.

Najibah (ke nak kena panggil Kak Najibah?) ...

Kalau ada yang baik untuk dikongsi, saya berbesar hati kalau ada yang menggunakannya .... Salin dan simpan sahaja .... Kalau ada ingatan, kirimkan doa kepada saya.

Selebihnya, pakat2lah kita mendorong kepada yang baik. Tak gitu?