Sunday, June 8, 2008

Perlukah cerita rakyat diubah?

Saya adalah generasi yang membesar dengan dodoian cerita rakyat. Waktu senggang petang dan malam, saya leka diulit cerita-cerita lama seperti hikayat Batu Belah Batu Bertangkup, Bawang Merah Bawang Putih, Musang Berjanggut, Anak Buluh Betung, Air Mata Duyung, Raja Bersiung, dan Si Tanggang. Tidak ketinggalan juga cerita-cerita Sang Kancil yang popular sebagai filem animasi bersiri yang disiarkan melalui televisyen.

Cerita bentuk ini adalah warisan daripada generasi lama. Oleh kerana kita tiada budaya pendokumentasian yang teratur, cerita ini berkitar dari mulut ke mulut dan datangnya dalam pelbagai versi. Tidak kisahlah itu semua. Pokok pangkal, ini caranya nenek moyang kita membentuk peribadi kita melalui penceritaan.

Tatkala menonton kembali siri-siri Shrek pada suatu hari, saya terfikir, apa agaknya akan terjadi bila cerita rakyat kita diubah menjadi begini? Maksud saya – menafsir cerita-cerita itu semula. Dalam Shrek, kita diberitahu bahawa kedua-dua kakak tiri Cinderella, Doris dan Margaret adalah wanita yang ‘gagah perkasa’, Fairy Godmother pula adalah pari-pari jahat dan Rapunzel seorang yang suka menggoda lelaki.

Sekarang, cuba anda bayangkan, Bawang Merah yang baik itu (ya, cerita Bawang Putih Bawang Merah versi saya, Bawang Merah itu watak protagonis) sebagai penggoda lelaki, Mahsuri itu sebenarnya seorang mak nyah yang baru saja melakukan pembedahan kosmetik dan implan, dan si Tanggang itu pula seorang penjual goreng pisang? Bagaimana agaknya penerimaan masyarakat kita?

Mungkin ramai daripada kita tidak akan dapat menerima pentafsiran begitu. Namun, melihat daripada apa yang disajikan di TV dan media, saya rasa kita telah sedikit sebanyak mentafsir cerita rakyat dengan tafsiran yang berbeza. Tapi, tidak banyak perubahannya. Siri Bawang Putih Bawang Merah yang popular dari Indonesia itupun masih mengekalkan premis cerita yang sama – persengketaan dua beradik tiri, manakala Sindarela pula adalah tafsiran daripada cerita dongeng barat. Saya rasa kalaulah cerita Mahsuri tadi ditafsirkan seperti bayangan saya itu, harus kena saman keseluruhan produksi cerita itu ... “satu penghinaan” pasti akan tertulis di ulasan akhbar berulang kali.

Untuk mengelakkan kontroversi, saya rasa, kita tak payah ubah apa-apalah ...

Apa pendapat anda?

Thursday, June 5, 2008

Salah tu ..!

Dalam kehidupan seharian, bercanggah pendapat adalah sesuatu yang normal.

Pendapat saya begini, pendapat anda begitu. Tak ada masalahnya.

Tetapi, apabila saya mahukan pendapat anda menjadi seperti saya, maka di situlah masalahnya akan bermula.

Ada hikmahnya Allah menjadikan manusia ini berbeza-beza. Allah ciptakan sesuatu yang dinamakan pertemuan, Allah hiaskan dengan persamaan untuk kita saling bergantungan dan menjadikan perbezaan untuk membuatkan kita belajar memaham perasaan. Namun, bila ada segelintir yang tidak mahu memaham, asyik mahu menegak kemahuannya sahaja, maka, mengalah adalah jawapannya.

Agak tidak adil, namun, dunia memang tidak adil – hidup sajalah dengan ketidakadilan itu.

Kenapa saya bicara hal ini?

Kerana, saya rasa terganggu dengan sikap sesetengah orang yang cepat sahaja menjatuh hukum apabila pandangan orang itu tidak sehala dengannya. Asal tidak sama, orang itu bodoh. Dia sajalah yang pandai, kerana tulisannya amat didokong dengan fakta yang pelbagai yang menyerlahkan daya keintelektualannya.

Kita berbeza. Itu hakikatnya. Maka, apa pun pandangan saya, itu adalah hak saya. Nasiblah, pemikiran saya tak setanding dengan dia yang sangat memahami. Namun, saya juga punya fikiran. Saya tidak perlukan dia untuk menyatakan apa yang saya mahu fikir. Kalaupun fikiran saya salah, apa hak dia untuk menyatakannya salah? Mengapa tidak dibetulkan secara berhemah?

Sudahlah. Bukan selamanya fikiran kita itu cerdas dan benar sentiasa. Ada masa kecundang juga. Moga anda akan sentiasa waras dalam memberi buah fikiran.

Confessions of an Old Boy, The Dato' Hamid Adventures by Kam Raslan


Hari ni semua orang bercakap pasal minyak yang naik 78 sen saja … It just 78 cents man … why worry? :p

Untuk melupakan kegusaran fenomena barang naik ini, saya mahu bercerita mengenai sebuah buku yang baru saja saya habiskan pembacaannya hujung minggu lalu – Confessions of an Old Boy, the Dato’ Hamid Adventures.

Buku ini adalah karya Karim Raslan (Kam Raslan), kolumnis di The Edge dan majalah Off the Edge. Karya Kam yang telah saya baca termasuklah Ceritalah dan Ceritalah Lagi – namun, memori saya tidak menyimpan apa yang diceritakan di dalam kedua-dua buku tersebut. Lagipun saya baca buku-buku tersebut waktu saya belajar dulu … cerita 5-6 tahun dulu. Wajarlah saya terlupa, kan?


Saya pernah berkira-kira untuk mendapatkan buku ini sejak sekian lama. Namun ada saja halangannya – stok habis di kedailah, ada buku lain yang lebih menarik perhatianlah, dan pelbagai alasan lain. Dan, bila kak Marina sudah mendapatkannya, maka tumpang sajalah! (Alah, buku ini bukan luak pun kandungannya kalau dikongsi baca … :p).

Selepas membaca, kami berdua tertanya-tanya, betulkah Dato’ Hamid ni? Wujudkah orang begini? Macam betul, tapi macam banyak yang tak logik. Tambahan pula, komen Hishamuddin Rais di bahagian hadapan buku ini sangat menyokong rasa curiga kami:

“As an Old Boy of MCKK, I was so convinced that Dato’ Abdul Hamid bin Dato’ Sidek was indeed my school senior. Then one day, I was told that Dato’ Hamid was the creation of Kam Raslan. I was dumfounded. How could Kam Raslan create such an illusion and I fall for it. I am not willing to accept Dato’ Hamid as a fictional character. To me Dato’ Hamid is the missing link between secular Malaysia and the born again Malay Muslim of today’s Malaysia.”

Kemudian, bertemu ulasan Sharon Bakar, maka sahlah, Dato’ Hamid adalah seseorang yang “You’ll never meet anyone quite like Dato’ Hamid, but you’ll know him.”

Karektor Dato’ Hamid yang pelbagai – penakut, pentingkan diri sendiri, lebih mat salleh dari mat salleh, suka buat kerja tak ‘semenggah’ – membuatkan buku ini sangat menarik. Walaupun saya merasa terganggu dengan wataknya, namun ada sisi Dato’ Hamid yang membuatkan saya juga jatuh cinta dengannya. Manakan tidak terganggu bila membaca watak Dato’ yang meminum minuman keras seperti air mineral dan meniduri perempuan cantik sewenangnya! Saya memang konsevertif bila bicara mengenai perkara itu.


Satu hal mengenai Dato’ Hamid, dia menganggap dirinya adalah Melayu sejati – The Malayan, dan sangat tidak bersetuju dengan anaknya yang dipanggil Ayatollah (the new Malay) – yang berjanggut sejemput dan berbini dua dan sering bercakap mengenai bangsa Melayu dan sebagainya. Namun, Dato’ Hamid sangat cocok dengan cucunya – The Grandson – animator komputer di Hollywood yang berambut ungu dan bertindik hidung. Dia tidak memahami kenapa Ayatollah menjalani kehidupan yang berbeza dengan dirinya.

Selain daripada itu, Dato’ Hamid juga seorang yang sangat menyanjungi ‘apa-apa yang British’ – pakaiannya, pelat percakapan dan segalanya lah. Tidak hairanlah kalau ‘kepelikan’ Dato’ yang begini sangat mengujakan!

Dalam buku ini, saya juga menyenangi watak The Wife yang saya rasa sangat bijak dalam menangani suami yang ‘tak berapa nak betul’ tindak dan kelakuan. Bab yang menceritakan bagaimana The Wife mendapatkan kembali paspot mereka yang dirampas oleh seorang pemilik pub sebagai balasan kepada perbuatan kawan Dato’ yang meniduri isteri pemilik pub tersebut di Algiers sangat menggelikan hati saya. The Wife jugalah kemudiannya menulis dan menjemput bapa Dato’ Hamid ke England untuk melihat sendiri keadaan beliau yang berseronok dan melupakan pelajarannya (Dato’ Hamid sangat takutkan ayahnya!).

Selebihnya buku ini memberikan saya pandangan dalam orientasi yang berbeza – melihat segala gaya hidup dari kaca mata mereka yang menganggap moden itu barat serta pertembungan nilai antara timur dan barat. Pertembungan yang sangat ketara saya temui di bab akhir – the Malayans – dengan watak George.

Itulah Dato’ Hamid. Cintai dia, benci dia, semuanya boleh. Namun di akhirnya, saya rasa saya mahu mempunyai kenalan atau saudara seperti dia, kerana dia sangat eccentric. Dan, eccentric kadang-kadang sangat memikat!

Selamat membaca.

Wednesday, June 4, 2008

Tenung dan Renung

Saya tak pasti dari mana saya mendapatkan kata-kata ini. Ia tersimpan di PC saya sejak sekian lama. Tenung dan renung - mungkin lepas ini kita akan termenung. Namun, menung tanpa renung, jadilah kita seperti kodok rebus ...

We are born with two eyes in front because we must not always look behind but see what lies ahead beyond ourselves.

We are born with two ears, one left and one right; so that we can hear both sides, collect both the compliments and criticisms.

We are born with a brain concealed in a skull, then no matter how poor we are, we are still rich and no one can steal what our brain contains.

We are born with two eyes, two ears but one mouth for the mouth is a sharp weapon. It can hurt, flirt and kill: remember our motto -- talk less, listen and see more.

We are born with only one heart, deep in our ribs and it reminds us to appreciate and give love from deep within.

Ada Apa dengan Sistem Beraja?

Hari ini terbaca di ruangan forum utusan.online, tulisan Dr. Gunawan Mahmood mengenai Belajar kejatuhan institusi Raja Nepal. Beliau kemudiannya menyeru agar orang Malaysia, khususnya orang Melayu supaya mengambil pengajaran mengenai perkara ini. Saya petik sedikit daripada tulisan beliau di sini:

… Jangan mempersendakan raja khususnya dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam. Pemimpin dan raja mestilah sentiasa berbincang mencari jalan terbaik agar rakyat dan negara terus kekal harmoni.

Apabila raja dan rakyat tiada sepakat, maka berlakulah peristiwa hitam sebagaimana yang terjadi kepada Raja Gyanendra. Sebuah kerajaan yang lama akhirnya luruh di tangan rakyat. Rakyat pula janganlah bangga menjatuhkan rajanya.

Sistem monarki mewujudkan satu cara hidup yang tertib dan bersopan lengkap dengan adat istiadat. Lihatlah Jepun dan England, sistem monarki telah melalui pelbagai cabaran dan hingga kini utuh menjadi lambang kebesaran bangsa mereka.

Marilah kita pelihara institusi beraja di Malaysia kerana ia menjadi naungan dan simbol taat setia rakyat jelata. Tanpa raja, rakyat dan pemimpin menjadi sama.

Rakyat pula akan menjadi tuan dan itulah yang disebut 'ketuanan rakyat'. Hindarkan perkataan itu dari kamus bangsa kita! …


Saya melihat seruan ini sebagai sesuatu yang sangat baik dan menarik. Selain daripada mempertahankan warisan lampau yang kita ada, adalah sesuatu yang mulia. Tambahan apa yang kita warisi itu adalah sesuatu yang bermanfaat kepada kita (untuk ini, anda semua rujuklah semula Perlembagaan Persekutuan, perkara 33A), terutama dalam konteks mempertahankan kedaulatan negara secara tersurat dan ketuanan Melayu secara tersirat.

Sebenarnya perhubungan antara yang memerintah dan yang diperintah bersifat simbiosis – bergantung antara satu sama lain. Yang menjadi masalah, apabila persamaan simbiosis ini dikhianati. Yang memerintah mahu kekal memerintah dan mahu sentiasa disokong tanpa mahu membayar atau membalas sokongan yang diperintah. Yang diperintah pula, apabila perkara ini berlaku, merasa mereka ditindas, dan bangun memberontak.

Dalam keadaan biasa, setelah rakyat memberi taat setia dan bersetuju dengan ‘kontrak sosial’ serta membenarkan kerajaan membuat keputusan bagi pihak mereka, mereka akan sentiasa menyokong kerajaan (bagi yang melawan, itu keadaan biasa – tidak akan ada yang bersetuju dengan kita 100%). Rakyat berharap, kesetiaan mereka itu dibalas dengan keselesaan hidup dan ketenangan. Tidak kurang, tidak lebih.

Namun, yang menjadi masalah, bila kesetiaan dikhianati dan rakyat mula mentafsirkan perbuatan kerajaan sebagai ketua yang pengecut. Maka, tidak hairanlah kalau rakyat menolak kerajaan begitu – yang tidak berguna untuk dipertahankan.

Dalam konteks mempertahankan sistem monarki pula, sekiranya rakyat gagal melihat kemampuan sistem ini, maka tidak mustahil rakyat akan menolaknya seperti yang berlaku di Nepal itu.

Namun, Alhamdulillah, walaupun PRU yang ke 12 lalu dikatakan tsunami yang banyak membawa kemusnahan, hikmahnya juga banyak. Rakyat mula belajar memahami perlembagaan, mula sedar apa yang mereka mahukan – dan yang paling penting, mereka mula nampak kuasa YDPA yang mungkin sebelum ini diceritakan berulang kali hanya berfungsi sebagai rubber stamp sahaja, tak berkuasa apa-apa.

Saya kira, dengan apa yang berlaku dalam negara kini, insyaAllah, tragedi Istana Nepal mungkin dapat dielakkan. Tetapi, dalam jangka masa yang panjang, sekiranya monarki masih leka dan berasa selesa, jangan salahkan rakyat jika takhtanya roboh nanti.

Prinsip politik mudah:
Kerajaan yang bagus dan baik adalah kerajaan yang boleh membuatkan rakyatnya kenyang. Jangan sesekali membiarkan mereka lapar, kerana kelaparan itu adalah sesuatu yang merosakkan.

Pepatah Melayu:
Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah.

Tuesday, June 3, 2008

Arkib Negara Menjawab

Walaupun kebarangkalian wartawan KOSMO itu terinspirasi daripada entri saya yang lalu adalah hampir tiada, tapi, saya suka nak masukkan artikel ini sebagai respon kepada apa yang saya tulis terdahulu ...

Silalah baca ...

Contohi sikap Zaaba - Belajar cara orang Barat simpan dokumentasi penting

Sunday, June 1, 2008

Chop! Anda telah di'tag'!

Hari minggu ... saya telah di tag oleh Ikmal. Dan, sebab tiada topik sesuai untuk dibuat entri, dan banyak lagi buku yang belum habis dibaca, maka, dengan senang hati saya menjawab soalan-soalan beliau ...

Dia tulis, kita kena letak peraturan dulu. Maka, inilah peraturan-peraturannya:
  1. Each blogger must post these rules first.
  2. Each blogger starts with eight random facts/habits about themselves.
  3. Bloggers that are tagged need to write on their own blog about their eight things and post these rules. At the end of your blog, you need to choose eight people to get tagged and list their names.
  4. Don’t forget to leave them a comment telling them they’ve been tagged, and to read your blog.
OK, senang! Maka, inilah jawapan saya ... (oh, dia tanya tentang 8 fakta mengenai diri saya ...):
  • Fakta 1
  • Saya seorang yang kidal. Kebanyakan aktiviti, bahagian kiri yang dominan - kecuali makan. Orang kata, orang kidal ini berseni. Ya, mungkin juga ... kawan-kawan semua menyukai tulisan tangan saya, dan saya juga selalu disuruh menulis sijil-sijil mereka. Tulisan jawi saya pun diaorang kata cantik. Emmm, itu diaorang yang kata ... tapi saya rasa, betul lah! Hehehe.

  • Fakta 2
  • Saya mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang Fiqh dan Usul dan Ijazah sarjana dalam bidang Sains Politik. Bila saya beritahu orang sekeliling tentang perkara itu, ramai yang tidak percaya. Kata mereka, saya tak sesuai ada ijazah dalam Fiqh. Sangat tak kena! Saya pun tak tahu kenapa dengan mereka ni.

  • Fakta 3
  • Saya selalu dianggap berasal dari Selangor atau pun KL kerana dialek yang saya gunakan bila bertutur dengan orang yang tidak senegeri dengan saya. Yang sebenarnya, saya orang Perlis .. bangga wooo ... saya memiang suka makan puluit ... wouit!

  • Fakta 4
  • Rekod memandu saya yang paling best setakat ini ialah -- 7 jam memandu terus-menerus dari Terengganu ke Perlis dengan Wira Aeroback 1.5 keluaran tahun 2003. Mujur juga tak dapat surat cinta. Dan, masa tu, jalan baru di Baling tu belum dibuka. Sekarang ni dah malas nak buat macam tu. Selalunya, sekarang masa yang diambil untuk sampai ke kampung dalam 8-9 jam. Saya cuba menghayati keindahan alam iang mengitari seluruh puncak Titiwangsa itu

  • Fakta 5
  • Saya sebenarnya seorang yang 'cengeng' walaupun saya selalunya nampak keras dan garang dan tidak-mungkin-akan-menangis-bila-menonton-drama! Tapi saya pandai 'cover' ... Tengok Lion King saya menangis, tengok 27 dressers' pun saya nangis. Tengok 'Harry Potter' pun ... Tapi, saya syukur, tak ada orang percaya kan fakta ini. Oleh yang demikian, saya terselamat daripada kata nista dan gelak setan mereka itu!

  • Fakta 6
  • Saya suka kumpul resepi, beli buku resipi, menonton rancangan masakan dan makan. Namun, seni kulinari saya hanyalah setakat menggoreng telur, masak maggi, buat sandwich ayam + telur + sardin dan ... itu saja! Sebab saya tak memasak? Saya gerun tengok bahan-bahannya ... terutama kalau ia melibatkan bahan yang saya tak pernah lihat! Maka, saya lebih suka makan apa yang orang masak. Saya memasak bila terpaksa.

  • Fakta 7
  • Saya suka membaca. Namun, banyak di antara buku yang terkumpul di rak saya hanya separuh jalan saja yang saya baca. Saya pun tak tahu bila nak habis. Da Vinci Code, Digital Fortress, Angels and Demons, Memoirs of Geisha adalah antara buku-buku yang masih ada 2-3 bab yang belum saya habiskan. Dan, buku-buku itu saya mula baca sejak 3 tahun lalu! Dan, ada buku "The Reluctant Politician" yang saya beli dan berhajat nak baca, tapi tak kesampaian. Akhirnya, buku itu saya jadikan hadiah perpisahan kepada seorang teman. Kurang lah sikit buku untuk saya baca ... hehehe.

  • Fakta 8
  • Saya adalah "frustrated law student". Saya mahu jadi peguam, tapi dihampakan oleh orang yang tak ada kena mengena dengan saya! Saya sangat marah! Mujur juga masa belajar dulu, saya ada kursus elektif, dan saya telah cuba mengambil satu paper law. Alhamdulillah, saya dapat A untuk kursus tersebut. Tapi, lepas tu, saya rasa macam serik nak belajar law, dan bersyukur saya tidak buat law! Namun, saya masih suka ikut memerhati persoalan-persoalan yang melibatkan soal-soal perundangan. Dan, kalau ada peluang, mungkin satu hari nanti saya akan read law untuk kepuasan diri saya ...
Wah, nampaknya banyak yang telah saya luahkan ... Makanya, saya pun akan melakukan peraturan ke 3 dan ke 4 ... Dan, mereka yang terpilih adalah:
Ermm ... saya tak banyak sangat lagi kawan-kawan di arena blog ni. Ada antara nama di atas, saya masukkan kerana saya menemui link saya di blog mereka, dan ada yang lain tu mereka yang berkunjung dan memberi ulasan di sini.


Saya harap mereka-mereka ini akan sudi di'tag' oleh saya ... Silakan jawab ... kalau ada masa dan kesempatan ...