Tuesday, November 27, 2007

Searching for Anne Frank, Letters from Amsterdam to Iowa by Susan Goldman Rubin


Buku dibeli pada 27 Julai 2007 di Kedai buku Popular, Berjaya Megamall, Kuantan.


Sebenarnya, bila membaca buku yang 'besar' kaitannya dengan bangsa Yahudi, saya rasa sangat berdosa. Tambah berdosa sekiranya, pada akhirnya membuak rasa simpati saya. Apa boleh saya buat, kerana saya suka nak membaca mengenai holocaust ini.

Kali pertama saya rasa berdosa kerana membaca ialah sewaktu saya membaca Anne Frank: the Dairy of a Young Girl -- ini kerana semakin lama membaca, saya semakin larut dengan perasaan simpati kepada anak-anak Yahudi yang dibunuh dengan gas beracun. Saya makin berbelah perasaan kerana tahap simpati yang tidak sama saya berikan kepada anak-anak Palestin yang dicabul Israel durjana.

Akhirnya saya mewaraskan fikiran, saya tidak boleh menghalang perasaan saya. Kalau saya suka, gembira, marah, simpati atau apa-apa, ia tetap akan ada kerana ia menggambarkan saya. Lagipun, saya pernah terbaca bahawa Allah tidak akan menghisab soal perasaan kita. Moga-moga benarlah begitu.

Atas nama pengetahuan, saya mula membaca buku ini jam 5 petang semalam. Oleh kerana jumlah muka surat kurang daripada 200 helai, saya melunasi buku ini sebelum waktu Isyak.

Buku ini diceritakan oleh penulis, Susan Goldman Rubin secara parallel mengenai keadaan di Iowa dan di Amsterdam (tahun sama, latar tempat dan peristiwa yang berbeza).

Searching for Anne Frank bermula apabila seorang wanita daripada Iowa, Betty Wagner mendapati bahawa potret gadis yang tertera pada kulit novel Anne Frank: the Diary of a Young Girl yang terkenal selepas perang dunia ke 2 itu sama seperti gambar sahabat pena yang dikenalinya lewat tahun 1930. Apabila cerita mengenai Anne Frank tersebar dengan meluas, barulah Betty mengetahui bahawa Anne Frank adalah antara mereka yang dibunuh dalam peristiwa holocaust.

Betty dan adiknya, Juanita berkenalan dengan Anne dan kakaknya, Margot melalui program sahabat pena yang dianjurkan oleh guru kelas mereka, Miss Birdie. Persahabatan mereka terputus setelah German di bawah pemerintahan Hitler menyerang Belanda dan sebahagian negara-negara Eropah pada awal tahun 1940an. Anne ketika itu tinggal di Amsterdam bersama keluarganya. Setiap hari Betty dan Juanita sentiasa tertanya-tanya bagaimana keadaan keduanya sehinggalah berpuluh tahun selepas itu.

Semasa kisah Anne Frank masih menjadi perbualan masyarakat dunia, Betty telah menyatakan kepada rakan-rakannya yang dia merupakan sahabat Anne dengan menunjukkan gambar dan surat-surat mereka. Malangnya, tiada siapapun yang memberi respon sehinggalah dia bertemu dengan Sam (seorang pencari barang-barang lama) yang kemudiannya menyebarkan cerita ini kepada pihak yang sepatutnya. Tidak lama kemudian, cerita mengenai persahabatan ini menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk dikongsi bersama orang lain.

Keseluruhan buku ini sebenarnya menceritakan tentang nasib sebuah keluarga yang bahagia dan tidak berdosa, menjadi mangsa kekejaman jenayah perkauman. Sebagai manusia biasa, saya akan simpati. Namun, apabila dikenangkan apa yang Israel perlakukan kepada Palestine lebih menyakitkan. Mengapa mereka (Israel) tidak mengambil pengajaran tentang apa yang telah pernah berlaku kepada bangsa mereka? Patut jugalah Ahmedinejad, presiden Iran mengatakan holocaust adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi, kerana perbuatan Israel itu adalah satu refleksi bahawa mereka tidak terkesan dengan peristiwa tersebut.

Persoalan sama ada holocaust berlaku ataupun tidak, tidak menjadi persoalan. Kalau ia terjadi, ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan atau dikesampingkan begitu sahaja, dan sekiranya ia sesuatu yang diada-adakan, maka ternyata propagnda Yahudi sangat berjaya.

Hakikatnya, mencari keadilan untuk saudara seagama kita yang dihina oleh bangsa lain juga memerlukan propaganda begini. Namun, keran kita tidak menguasai apa-apa, kita hanya mampu buat demonstrasi, mengutuk dan menolong mana yang terdaya..


Nota: Teringat Diari Zlata, catatan seorang gadis Bosnia, Zlata Filapovic (the Anne Frank of Sarajevo)

No comments: