Usai membaca buku ini, saya terus menjadikan buku ini sebagai antara kegemaran saya.
Temanya biasa – hubungan suami isteri, permulaan yang indah, tapi terkocak dek kehadiran orang ketiga.
Yang menjadikan cerita ini menarik pada pandangan saya, cara ia diolah serta penamatnya. Jiwa rasa saya terbuai dengan kesabaran dan ketulusan Khadijah. Walaupun watak itu too good to be true, saya boleh merasai perasaan Khadijah.
Khaled Irfan adalah seorang lelaki yang punya segala – kekacakan, kepandaian dan kekayaan – mengahwini Khadijah, gadis kampung yang terdidik dengan penuh nilai dan adab Melayu dan Islam. Permulaan yang boleh ditebak kesudahannya.
Namun, bila penulis mula memperkenalkan Wong Ai Leen, Andak Rabiah dan Syafiqah, saya jadi tertarik. Ketiga-tiga watak itu diceritakan secara imbas balik selari dengan kisah rumah tangga Khadijah dan Khaled Irfan.
Wong Ai Leen rapat dengan Andak Rabiah dan kemudiannya berkawan baik dengan Syafiqah. Namun, disebabkan peristiwa tragis yang berlaku kepada Syafiqah, perhubungan mereka terlerai. Sebelum terlerai, Wong Ai Leen dan Syafiqah mengikat janji akan bertemu di tempat mereka berpisah pada ketika dan waktu yang mengizinkan untuk menanti antara satu sama lain.
Hilang cerita mereka, cerita Khadijah yang setia dan tulus dilarikkan kembali. Khadijah, walaupun hanya gadis kampung yang tidak bersekolah tingggi digambarkan oleh penulis sebagai perempuan yang bijak – mungkin meminjam semangat dan peribadi Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah SAW. Khadijah bijak memimpin rumah tangganya, mengurus anak-anak, dan yang paling bagus tentang Khadijah, mengurusi kecurangan suaminnya.
Khadijah mengesan kecurangan suami lewat emel yang dikirimkan Khaled Irfan kepada seseorang yang bernama Aima Adawiyah. Hancur pada mulanya, Khadijah mempositifkan diri dengan segala kekuatan dirinya. Aima bersahabat dengan Khaled Irfan kerana dia saudara baru yang kepingin mencari kecintaan yang sama seperti kecintaan Rabiatul Adawiyah RA kepada Allah SWT seperti yang diceritakan oleh Andak Rabiah satu masa dahulu. (Ya, Aima dan Ai Leen adalah orang yang sama). Tetapi, Khaled Irfan melangkaui batas murid dan guru dengan menghulurkan cintanya kepada Aima di belakang Khadijah.
Khadijah isteri yang bijak, kemudian bersemuka dengan Aima untuk melamar Aima menjadi isteri kedua Khaled. Aima terpempan, Khaled malu sendiri kerana ketulusan isterinya. Namun, kerana Aima menyanjungi ketulusan seorang isteri bernama Khadijah, lamaran itu ditolak, dan Khaled Irfan tersedar dari kecurangannya.
Ingat saya penamatnya terhenti begitu dengan Khaled penuh kesesalan meratap kebodohan diri, namun, Samsiah memberikan lebih daripada itu. Samsiah menamatkan cerita dengan kehancuran hati Khadijah yang teramat oleh perbuatan Khaled Irfan walaupun kelihatan dia tenang menghadapi semuanya. Ending yang sebegini sebenarnya mengubat hati saya kerana ia tampak realistik dan tidak tergantung begitu sahaja.
Akhir pembacaan, saya merasa pening kerana terlalu banyak menangis dengan doa dan rayuan Khadijah lewat munajatnya kepada Allah.
Apapun, tahniah kepada Samsiah kerana cerita ini sangat mengesankan meskipun terasa mustahil untuk bertemu perempuan seperti Khadijah. Novel ini juga membuatkan saya mahu menjadi seperti Khadijah. Tapi, bolehkah?
5 comments:
InsyaAllah boleh..tapi untuk capai tahap seperti saidatina Khadijah pada zaman Rasulullah dengan zaman yang sekarang yang serba mencabar iman ini agak payah juga kalau tidak dikurniakan kesabaran yang tinggi..
Saya bersetuju ...
Kata orang, kalau tidak boleh sepenuhnya mencontohi Khadijah, jangan ditinggalkan semua apa yang telah beliau tunjukkan ...
Semoga kita semua sentiasa menjadi hamba yang bersyukur...
cerita ni begitu menyentuh perasaan sy..sampai sy menangis ketika membacanya....jalan cerita yang begitu menyayat hati..
novel ini meninggalkn kesan negatif kpd diri sy krn watak khaled irfan menyebabkn sy membenci dan tidak percaya kpd suami sy. kesan positif pula sy ingin mnjd spt khadijah. tahniah samsiah...u r the best. hancur hatiku dek krn novel ini...
Ainna:
Ya, saya bersetuju dengan anda.
Shah:
hah! sampai begitu sekali? oo .. oo ...
tapi, ye lah .. kdg2 kita gagal utk menghalau kemungkinan2 yang bakal terjadi apabila kita membaca sesuatu.
Namun, saya doakan anda dan suami sentiasa berbahagia ... seperti rumahtangga Rasulullah SAW dan Saidatina Khadijah RA. AMIN.
Sila datang lagi!
Post a Comment