Tuesday, December 11, 2007

Ku Usir Lara Ini by Aminah Mokhtar

Picture credit: Alaf 21



Dah lama buku ni saya beli, baru minggu lepas saya berkesempatan membacanya. Saya habis membaca buku ini sewaktu perjalanan balik daripada bengkel penggubalan soalan peperiksaan akhir di Shah Alam. Sebab saya ni cengeng (walaupun nampak tough macam Hulk Hogan), saya menangis sepanjang membaca cerita ini.

Ini cerita mengenai anak-anak yang ditinggalkan bapa. Hidup dalam kemiskinan, dihina saudara sendiri – potret biasa dalam kebanyakan cerita / novel melayu. Namun, ada pengecualian untuk beberapa perkara di dalam cerita ini.

Cerita berkisar pada watak Nilam, Abang Han, Muaz, Tariq dan beberapa watak tambahan. Nilam adik kepada Abang Han, seorang penuntut bidang kejururawatan di UUA (Universiti Ukhuwah Antarabangsa) – hem, kenapa penulis tak mahu tulis UIA saja ya, kerana banyak deskripsinya seperti UIA?.

Nilam dan Abang Han dan adik-adik mereka hidup penuh sukar selepas kematian ibu mereka. Abang Han seorang yang kaut bekerja dan Nilam seorang gadis pintar dan aktif di dalam kerja-kerja amal membantu remaja bermasalah. Kehidupan Nilam berputar di hospital (tempat dia melakukan praktikal), di universiti serta bersama Abang Han dan adik-adiknya.

Semasa menjalani praktikal di hospital, Nilam banyak membuat kajian kes terhadap pesakit yang kebanyakannya adalah remaja yang hamil di luar perkahwinan – sama ada secara paksa, atau rela. Nilam banyak memberi nasihat dan motivasi untuk mereka-mereka ini supaya terus berjuang dalam kehidupan mereka walaupun merasakan bahawa hidup mereka tidak berguna. Nilam digambarkan sebagai seorang yang sangat positif dalam hidupnya dan kuat semangatnya untuk membela bangsa, agama dan negaranya.

Ditambah pula dengan sahabat-sahabat yang datang dari Palestin dan Iraq, kecintaan Nilam pada agama dan bangsanya menjadi lebih kental. Dia berusaha sedaya mungkin untuk menjadi pejuang kecil di kalangan mereka yang memerlukan. Dia adalah hero dalam hidup Nurain, Puteri dan yang lain-lain yang menjadi mangsa keadaan.

Lara Nilam terkesan pada kekesalannya terhadap kemungkaran yang berlaku di sekitarnya – seperti peristiwa dia mengingkari arahan Prof. Aristotle yang mahu pesakit yang tidak boleh diselamatkan lagi diselamatkan – hanya kerana pesakit itu adalah dermawan kepada hospital tempat mereka bekerja, dan peristiwa mengingkari Dr. Yazmin yang mahu mengambil keuntungan sekiranya pesakitnya dapat dipujuk untuk melakukan rawan pemandulan. Nilam berjuang sehabisnya walaupun dia diancam digantung belajar dan dibuang daripada univerisiti. Keberanian Nilam mengatasi segala dan akhirnya, semua yang buruk mendapat balasan yang setimpal.

Lara Nilam juga adalah pada cerita bapanya, yang meninggalkan keluarga dalam penuh keperitan hidup. Nilam sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan bapanya.

Di akhir cerita, Nilam bertemu bapanya, seseorang yang selalu ditemui oleh dia dan Abang Han – malah mereka bekerja untuk orang itu – Tuan Tajul. Tuan Tajul yang membuka keseluruhan rahsia keluarga mereka. Penulis mengakhiri cerita dengan menggambarkan bahawa Nilam seperti tidak dapat menerima hakikat Tuan Tajul adalah bapanya.

Keseluruhan cerita ini berbekas di hati saya pada keberanian Nilam menegakkan kebenaran dan kematangan Nilam dalam memperkasakan dirinya. Sesuatu yang susah nak didapati dalam lehidupan hari ini, tetapi tidak mustahil ada.

Ku Usir Lara ini mungkin akan saya baca sekali lagi sekiranya saya mahu mencari jawapan kepada kerunsingan saya kepada bangsa dan agama saya. Tidaklah banyak apa yang ditawarkan, tapi saya rasa penulis mempunyai idea yang sangat baik untuk di ketengahkan sekiranya kita mahu bercakap tentang apa yang patut kita lakukan untuk remaja kita.

Bulan Berbisik by Samsiah Mohd Nor


Usai membaca buku ini, saya terus menjadikan buku ini sebagai antara kegemaran saya.

Temanya biasa – hubungan suami isteri, permulaan yang indah, tapi terkocak dek kehadiran orang ketiga.

Yang menjadikan cerita ini menarik pada pandangan saya, cara ia diolah serta penamatnya. Jiwa rasa saya terbuai dengan kesabaran dan ketulusan Khadijah. Walaupun watak itu too good to be true, saya boleh merasai perasaan Khadijah.

Khaled Irfan adalah seorang lelaki yang punya segala – kekacakan, kepandaian dan kekayaan – mengahwini Khadijah, gadis kampung yang terdidik dengan penuh nilai dan adab Melayu dan Islam. Permulaan yang boleh ditebak kesudahannya.

Namun, bila penulis mula memperkenalkan Wong Ai Leen, Andak Rabiah dan Syafiqah, saya jadi tertarik. Ketiga-tiga watak itu diceritakan secara imbas balik selari dengan kisah rumah tangga Khadijah dan Khaled Irfan.

Wong Ai Leen rapat dengan Andak Rabiah dan kemudiannya berkawan baik dengan Syafiqah. Namun, disebabkan peristiwa tragis yang berlaku kepada Syafiqah, perhubungan mereka terlerai. Sebelum terlerai, Wong Ai Leen dan Syafiqah mengikat janji akan bertemu di tempat mereka berpisah pada ketika dan waktu yang mengizinkan untuk menanti antara satu sama lain.

Hilang cerita mereka, cerita Khadijah yang setia dan tulus dilarikkan kembali. Khadijah, walaupun hanya gadis kampung yang tidak bersekolah tingggi digambarkan oleh penulis sebagai perempuan yang bijak – mungkin meminjam semangat dan peribadi Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah SAW. Khadijah bijak memimpin rumah tangganya, mengurus anak-anak, dan yang paling bagus tentang Khadijah, mengurusi kecurangan suaminnya.

Khadijah mengesan kecurangan suami lewat emel yang dikirimkan Khaled Irfan kepada seseorang yang bernama Aima Adawiyah. Hancur pada mulanya, Khadijah mempositifkan diri dengan segala kekuatan dirinya. Aima bersahabat dengan Khaled Irfan kerana dia saudara baru yang kepingin mencari kecintaan yang sama seperti kecintaan Rabiatul Adawiyah RA kepada Allah SWT seperti yang diceritakan oleh Andak Rabiah satu masa dahulu. (Ya, Aima dan Ai Leen adalah orang yang sama). Tetapi, Khaled Irfan melangkaui batas murid dan guru dengan menghulurkan cintanya kepada Aima di belakang Khadijah.

Khadijah isteri yang bijak, kemudian bersemuka dengan Aima untuk melamar Aima menjadi isteri kedua Khaled. Aima terpempan, Khaled malu sendiri kerana ketulusan isterinya. Namun, kerana Aima menyanjungi ketulusan seorang isteri bernama Khadijah, lamaran itu ditolak, dan Khaled Irfan tersedar dari kecurangannya.

Ingat saya penamatnya terhenti begitu dengan Khaled penuh kesesalan meratap kebodohan diri, namun, Samsiah memberikan lebih daripada itu. Samsiah menamatkan cerita dengan kehancuran hati Khadijah yang teramat oleh perbuatan Khaled Irfan walaupun kelihatan dia tenang menghadapi semuanya. Ending yang sebegini sebenarnya mengubat hati saya kerana ia tampak realistik dan tidak tergantung begitu sahaja.

Akhir pembacaan, saya merasa pening kerana terlalu banyak menangis dengan doa dan rayuan Khadijah lewat munajatnya kepada Allah.

Apapun, tahniah kepada Samsiah kerana cerita ini sangat mengesankan meskipun terasa mustahil untuk bertemu perempuan seperti Khadijah. Novel ini juga membuatkan saya mahu menjadi seperti Khadijah. Tapi, bolehkah?

Tuesday, November 27, 2007

Searching for Anne Frank, Letters from Amsterdam to Iowa by Susan Goldman Rubin


Buku dibeli pada 27 Julai 2007 di Kedai buku Popular, Berjaya Megamall, Kuantan.


Sebenarnya, bila membaca buku yang 'besar' kaitannya dengan bangsa Yahudi, saya rasa sangat berdosa. Tambah berdosa sekiranya, pada akhirnya membuak rasa simpati saya. Apa boleh saya buat, kerana saya suka nak membaca mengenai holocaust ini.

Kali pertama saya rasa berdosa kerana membaca ialah sewaktu saya membaca Anne Frank: the Dairy of a Young Girl -- ini kerana semakin lama membaca, saya semakin larut dengan perasaan simpati kepada anak-anak Yahudi yang dibunuh dengan gas beracun. Saya makin berbelah perasaan kerana tahap simpati yang tidak sama saya berikan kepada anak-anak Palestin yang dicabul Israel durjana.

Akhirnya saya mewaraskan fikiran, saya tidak boleh menghalang perasaan saya. Kalau saya suka, gembira, marah, simpati atau apa-apa, ia tetap akan ada kerana ia menggambarkan saya. Lagipun, saya pernah terbaca bahawa Allah tidak akan menghisab soal perasaan kita. Moga-moga benarlah begitu.

Atas nama pengetahuan, saya mula membaca buku ini jam 5 petang semalam. Oleh kerana jumlah muka surat kurang daripada 200 helai, saya melunasi buku ini sebelum waktu Isyak.

Buku ini diceritakan oleh penulis, Susan Goldman Rubin secara parallel mengenai keadaan di Iowa dan di Amsterdam (tahun sama, latar tempat dan peristiwa yang berbeza).

Searching for Anne Frank bermula apabila seorang wanita daripada Iowa, Betty Wagner mendapati bahawa potret gadis yang tertera pada kulit novel Anne Frank: the Diary of a Young Girl yang terkenal selepas perang dunia ke 2 itu sama seperti gambar sahabat pena yang dikenalinya lewat tahun 1930. Apabila cerita mengenai Anne Frank tersebar dengan meluas, barulah Betty mengetahui bahawa Anne Frank adalah antara mereka yang dibunuh dalam peristiwa holocaust.

Betty dan adiknya, Juanita berkenalan dengan Anne dan kakaknya, Margot melalui program sahabat pena yang dianjurkan oleh guru kelas mereka, Miss Birdie. Persahabatan mereka terputus setelah German di bawah pemerintahan Hitler menyerang Belanda dan sebahagian negara-negara Eropah pada awal tahun 1940an. Anne ketika itu tinggal di Amsterdam bersama keluarganya. Setiap hari Betty dan Juanita sentiasa tertanya-tanya bagaimana keadaan keduanya sehinggalah berpuluh tahun selepas itu.

Semasa kisah Anne Frank masih menjadi perbualan masyarakat dunia, Betty telah menyatakan kepada rakan-rakannya yang dia merupakan sahabat Anne dengan menunjukkan gambar dan surat-surat mereka. Malangnya, tiada siapapun yang memberi respon sehinggalah dia bertemu dengan Sam (seorang pencari barang-barang lama) yang kemudiannya menyebarkan cerita ini kepada pihak yang sepatutnya. Tidak lama kemudian, cerita mengenai persahabatan ini menjadi sesuatu yang sangat menarik untuk dikongsi bersama orang lain.

Keseluruhan buku ini sebenarnya menceritakan tentang nasib sebuah keluarga yang bahagia dan tidak berdosa, menjadi mangsa kekejaman jenayah perkauman. Sebagai manusia biasa, saya akan simpati. Namun, apabila dikenangkan apa yang Israel perlakukan kepada Palestine lebih menyakitkan. Mengapa mereka (Israel) tidak mengambil pengajaran tentang apa yang telah pernah berlaku kepada bangsa mereka? Patut jugalah Ahmedinejad, presiden Iran mengatakan holocaust adalah sesuatu yang tidak pernah terjadi, kerana perbuatan Israel itu adalah satu refleksi bahawa mereka tidak terkesan dengan peristiwa tersebut.

Persoalan sama ada holocaust berlaku ataupun tidak, tidak menjadi persoalan. Kalau ia terjadi, ia bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan atau dikesampingkan begitu sahaja, dan sekiranya ia sesuatu yang diada-adakan, maka ternyata propagnda Yahudi sangat berjaya.

Hakikatnya, mencari keadilan untuk saudara seagama kita yang dihina oleh bangsa lain juga memerlukan propaganda begini. Namun, keran kita tidak menguasai apa-apa, kita hanya mampu buat demonstrasi, mengutuk dan menolong mana yang terdaya..


Nota: Teringat Diari Zlata, catatan seorang gadis Bosnia, Zlata Filapovic (the Anne Frank of Sarajevo)

Tuesday, November 13, 2007

Malaysian Politicians Say the Darndest Things, Vol 1 by Amir Muhammad



Akhirnya, saya berjaya jugak melunasi buku ini. Masa tengah boring marking paper students semalam, saya berhenti sebentar, membelek buku ini. Tahu-tahu, saya 'terbaca' sampai ke halaman terakhir. Potong stim betul! Tengah syok-syok baca, habis la pulak.

Nama Amir Muhammad sudah sering saya dengar, cuma menikmati karyanya saja yang belum (sebab banyak yang kena banned, dari yang lulus.) Saya tak pasti daripada mana saya mendapat info tentang buku ini, namun ia ada di dalam senarai buku wajib baca bulanan saya. Saya sungguh menikmati buku ini dari kulit ke kulit. Satu pengamatan yang bagus.

Quote yang saya sangat best adalah quote tentang pen-pal ...
"it is disgraceful that you should be used by adult for the purpose of trying to shame us ..."

The darndest thing said by Tun M, but I loooooove it. Hehehe...

Betul apa, dia dah tebang semua hutan dia untuk jadi kaya, sibuk nak suruh kita jaga hutan kita sebab dia nak belajar pasal binatang ... apa cerita ..?

Satu lagi ... pasal amok.
"Please don't test the Malays. They know amok."
Rasanya betul tu. Bila perkataan tu dah masuk dalam entri mat salleh, kira penangan dia sangat dahsyat. Sekarang ni pun, silap sikit semua nak run amok.. Elok juga dinilai balik kata-kata Tok Mat tu. Sarang tebuan jangan dijolok. Kalau jolok, keluar tebuannya ... hahaha.

Bila ada politicians yang selalu 'menembak' wartawan atas alasan misquote, saya rasa sukar nak terima. Bukan tak ada orang yang salah sewaktu bercakap, tapi, bila itu yang keluar dari mulut empunya cerita, ia adalah refleksi apa yang kita fikir dan rasa. Dan ditambah sedikit dengan suasana di sekitar kita, itulah sebenarnya yang kita mahu sampaikan. Dalam hal ini, pepatah Melayu ada mengatakan "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya." - Nyatanya, bila perkataan yang dikeluarkan tidak dipertimbangkan sewajarnya, ia memang mencerminkan kita.

Nak komen banyak tentang buku yang berbentuk quotable quotes ni susah, tapi saya rasa apa yang K. Das petik daripada Churchill ada benarnya ...

Saya menunggu yang siri ke-2!

Sunday, November 11, 2007

Bila nak sudah ni ...?

Bukan Kerana Pangkat (The Reluctant Politician)
Tun Dr. Ismail - bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia


Salah satu kerja 'sia-sia' saya, membeli buku, tapi membacanya tidak. Saya selalunya suka melihat banyak buku di rak, tapi kalau ditanya orang setiap satunya, pasti tergagap-gagap juga mahu menerangkannya.

Ramai yang kagum apabila melihat deretan buku di atas rak buku di pejabat saya. Tapi, ada sesuatu yang mereka tidak tahu, semua buku itu hanyalah perhiasan. Hanya ada sebahagian sahaja yang dibaca, selebihnya ... heheheheh!

Buku di atas adalah contoh buku yang saya 'galak' nak beli, tapi dibacanya tidak. Mula nampak buku ini di dalam versi bahasa Inggeris - The Reluctant Politician - saya berazam untuk membeli. Tapi, tangguhlah dulu. Kemudian, apabila saya menemui buku ini versi bahasa Melayu, saya terus membeli.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, saya memulakannya dengan bersungguh-sungguh. Tapi, disebabkan "span of attention" saya sikit sahaja, lajak baca 3 bab, saya menguap bersungguh-sungguh. Saya rasa menyesal pulak membeli versi bahasa Malaysia, kerana terjemahannya tidak halus (bagi saya). Agaknya mengantuk sebab terjemahannya menggelikan!

Lagi satu justifikasi yang boleh saya bagi untuk tidak menghabiskan buku ini adalah kerana Tun Dr. Ismail bukanlah antara tokoh yang familiar selain daripada sebuah taman perumahan di KL yang meminjam namanya. Kejam bukan? Tapi saya rasa, betullah perasaan itu. Saya beli kerana saya nak tahu siapa dia, tetapi, sebab dia antara tokoh yang jarang diketengahkan, maka saya sedikit demi sedikit hilang minat untuk terus membaca. Dahsyatnya pemikiran sebegitu! Tapi, saya tahu, anda juga kalau tidak habis baca buku ini, pasti ada secebis ingatan begitu, kan?

Walau bagaimanapun, saya berjanji dengan diri saya, yang saya akan menghabiskan pembacaan saya dalam waktu terdekat ini. Apa bukti saya akan habis baca? Saya akan buat ulasan daripada jiwa dan perasaan saya dan bukan sekadar menyalin blurb dan ditambah info sana sini secukup rasa. Boleh begitu?


Dibeli, tapi belum dibaca ... siri 1

Buku-buku yang dibeli pada 8 November 2007 - Popular, Kuantan.



Cuti sempena Deepavali tempoh hari, saya berkesempatan ke Kuantan. Tujuan utama adalah untuk menonton Bee Movie. Saya mengheret Nadhrah bersama kerana K. Marina sibuk marking. Hajat hati sebenarnya nak juga menonton filem Otai lakonan Apek, tapi disebabkan sampai ke Kuantan jam 12 lebih, saya membatalkan hajat (Nadhrah mencebik bila saya beritahu dia yang saya mahu menonton filem tersebut. Dia tak tahu yang saya adalah big fan slapstick comedy!).

Sebelum filem bermula pada pukul 1.40pm, saya pun menuju ke kedai buku Popular, (kenapalah MPH tak nak buka outletnya di sini?). Ramainya orang. Hari cuti kot, semua pun nak keluar mencari sesuatu yang menyenangkan. Saya ke bahagian fiksyen untuk mencari karya Sohaer Kashoggi. Saya nak mencarinya kerana tertarik dengan ulasan di dalam tabloid KOSMO! tempohari. Tapi, malangnya, tidak ketemu satupun. Tak apalah, mungkin saya boleh berjumpa buku-buku tersebut bila saya ke KL nanti.

Kemudian saya ke bahagian "new arrival" mencari karya Amir Muhammad, Malaysian Politicians say the Darndest Things. Oh, ada 2 naskhah sahaja yang tinggal - cepat-cepat saya ambil. Kemudian mata saya menangkap karya Lydia Teh, Life's Like That, Scenes from Malaysians Life.

Kemudian saya terus ke bahagian fiksyen Melayu, mencari cerita-cerita lain daripada yang sedia ada ... Mata tertancap pada karya Shamsiah Mohd Noor - Bulan Berbisik, dan Aminah Hj. Mokhtar, Ku Usir Lara Ini. Saya sebenarnya menyenangi fiksyen Melayu, namun kadang-kadang sesak rasa dengan naskhah-naskhah cinta asyik maksyuk. Agaknya, bila bertambah usia, makin pening otak nak menggarap karya-karya ini. Tapi, saya salute penulis-penulis muda yang gigih menulis.

Berjalan mundar-mandir, mata terlekat pulak pada sebuah buku: Malaysia Public Policy and Marginalised Group. Bagus ni, untuk diajar semester hadapan. Saya ambil lagi. Di sebelah buku tersebut, ada sebuah lagi buku yang menggamit saya - Mad about Malaysia karya Dean Johns. Saya perhatikan blurb nya, saya rasa lebih kurang macam buku Lydia Teh saja, lantas saya letak semula. Kemudian, saya dapati Nadhrah membeli buku tersebut. Ah, pinjam sajalah dari dia ...

Sedar tak sedar, hampir RM150 saya berbelanja untuk semua buku-buku tersebut. Tapi, hati saya puas, walaupun saya tak pasti bilalah saya mampu membaca kesemuanya.

Falsafah saya yang sering membuatkan emak berbulu dengan saya:
"beli, kena beli. baca, bila-bila pun boleh... yang penting, ada depan mata."

Nota: Sampai ke hari ini, saya masih lagi membaca buku Lydia Teh. Rasanya buku Malaysia Public Policy and Marginalised Group adalah yang paling akhir dibaca. Nasib tak baik, saya akan baca secara skipping and screening untuk topik tertentu sahaja. Tengoklah macam mana...

Membaca vs. Menulis

Saya pernah membaca satu catatan memoir seorang penulis (maaf, saya sudah lupa siapa dia), tika ditanya oleh wartawan kenapa beliau mengambil masa untuk menghasilkan karyanya.

Beliau menjawab, "saya tidak menulis kerana saya rasa saya belum banyak membaca."

Saya menyimpan kata-kata itu hingga sekarang. Namun, sedar tak sedar kata-kata itu telah memberikan dua orientasi yang berbeza kepada saya, berserta dengan satu soalan kesimpulan: Wajarkah saya menulis kerana saya rasa saya kurang membaca?


Saya tidak pasti apakah benar persoalan tentang kewajaran itu.

Di satu sisi, saya menanggapi bahawa persoalan itu benar, kerana kurang membaca bermaksud kurang ilmu. Kurang ilmu, apa yang hendak ditulis. Namun, persoalan lain timbul, sekiranya saya berpegang kepada falsafah itu, saya tidak akan menulis sampai bila-bila kerana saya selalu merasakan pembacaan saya tidak berapa meluas. Arghhh!!!

Bila saya berpeluang menduduki sisi tebing akademik, saya memaksa diri untuk sedikit rajin membaca - ini adalah sesuatu yang mesti kerana saya adalah orang yang bertanggungjawab menyampaikan ilmu kepada orang lain dan apa halnya sekiranya saya tidak membaca? Namun, minat untuk menulis tidak lebih daripada perasaan yang meluap-luap tetapi dikekang oleh kekurangan minat dan pembacaan yang meluas.

Keadaan saya menjadi lebih haru apabila kerjaya ini memaksa saya menulis. Orang di sekeliling ramai yang menulis. Tapi yang menjadi persoalan, ramai yang menulis kerana keterpaksaan dan hasilnya, penulisan mereka menjadi lompong dan reflektif kepada apa yang mereka baca. Walaubagaimanapun, mereka masih boleh tersenyum kerana sekurang-kurangnya mereka telah menulis. Saya? Banyak sangat alasan, tapi satu makalah pun tak tertulis.

Saya rasa saya memerlukan strategi yang baru. Membaca dan menulis. Sedikit membaca, sedikit ditulis, banyak bacaan, banyaklah penulisan. Saya tidak mahu menulis kerana bertaklik sesuatu (tapi, andai terpaksa, mungkin prinsip ini terpaksa dikorbankan). Saya mahu menulis dengan penuh jiwa dan rasa. Tak guna menulis, tapi tidak menyentuh jiwa dan rasa sesiapa. Paling tidak, tulisan anda diketawakan orang. Sakitnya perasaan itu.

Agaknya saya ini terlalu ideal dan banyak sangat retoriknya!

Nota: Penulisan saya di blog ini, anda rasa ok ke?

Tuesday, November 6, 2007

Akhbar pilihan anda?

Anda gemar membaca akhbar?

Atau, adakah anda mesti memulakan hari anda dengan membaca akhbar?

Saya, biasa sahaja. Ada kesempatan, saya membaca naskhah fizikalnya, tapi selalunya klik saja, terbentang berita maya, itu lebih memudahkan.

Apakah akhbar pilihan anda?

Bagi saya yang menerima pendidikan awal di sekolah beraliran kebangsaan, pastinya saya mesra dengan Utusan Malaysia dan Berita Harian. Biarpun apa pun kata orang, saya tetap setia dengan keduanya. Selalunya Utusan Malaysia saya baca pada hari Ahad, Isnin, dan Sabtu, manakala selebihnya Berita Harian. Tapi, kiranya ada kesempatan, saya baca semuanya sekali. Termasuk tabloid, Harian Metro dan KOSMO!

Waktu kecil dahulu, saya suka menyuruh Pak membeli Berita Harian waktu beliau balik kerja kerana saya menggemari segmen Teka Silang Katanya. Teka Silang Kata di Utusan Malaysia saya rasakan sangat susah kerana perkataan yang 'disilangnya' bersifat "out of my vocabulary context".

Masuk ke universiti, saya mencuba membaca The New Straits Time (NST) dan The Star. Ada rakan memperkenalkan The Malay Daily dan saya menyukainya kerana bahasanya mudah saya faham. Saya selalu rasa penat membaca NST dan The Star kerana, sudah lah tebal, bertulisan kecil, agak sukar untuk saya faham. Namun, sedikit sebanyak ia menolong mengayakan perbendaharaan kata bahasa Inggeris saya.

Dalam hal membaca akhbar, saya suka memerhatikan sikap ayah saya bila dia membaca akhbar. Dia akan mencari kawasan lapang (lapang dari kerusi meja atau apa saja), dia akan bentangkan luas-luas muka akhbar dan mula membaca daripada tarikh hingga ke kaki akhbar. Macam mana saya tahu dia membaca begitu? Kerana, apabila saya menyoal tentang apa yang ada di muka tersebut, dia boleh menyebut tentang semua perkara, tanpa meninggalkan sebarang detail! Saya sangat kagum, tapi mak saya tidak boleh menerimanya. Lambat, rungutnya.

Biar apa cara sekalipun anda menikmati akhbar anda anda perlu menjadikannya satu rutin. Kerana apa? Kerana, biarlah anda bukan seorang pembaca, namun jangan biarkan minda menjadi jumud tnapa mengetahui apa yang berlaku di sekitar anda, dan akhbar adalah wadah yang sangat tepat untuk tujuan ini ... cubalah!

Kenapa perlu membaca?

Persoalan yang mudah, namun menjawabnya agak sukar.

Orang membaca kerana pelbagai alasan ...

"Hendak menjadi orang berilmu," kata si pencinta ilmu.

"Hendak mengetahui perihal dunia," kata penggemar isu semasa.

"Hendak mengisi waktu terluang," kata penggemar hobi ini.




Pelbagai justifikasi boleh dibuat mengenai membaca.


Secara peribadi, saya membaca kerana saya suka membaca. Namun, saya bukanlah seorang yang "sukaaa" sangat membaca. Membaca adalah proses yang berterusan. Tambahan, kerjaya saya mewajibkan saya menjadi pembaca.


Saya menjadi gemar membaca setelah saya mengenal huruf (saya hanya kanak-kanak biasa yang mengenal huruf bila sudah masuk tadika) dan jangan terkejut kalau saya katakan bahan bacaan saya yang pertama adalah longgokan majalah GILA-GILA. Saya menjadi obses dengan majalah itu. Selain tertarik dengan kisah kartun-kartun di dalamnya, saya turut menggemari segala rencana di dalamnya. Bagi saya, rencana mereka yang menulis ketika itu sangat mempengaruhi. Kiranya, dek sebab selalu membaca karya-karya penulis-penulis tersebut (seperti A. Samad Ismail, Adi Alhadi - sekadar beberapa nama), saya rasa saya mempunyai fikiran yang agak terkedepan daripada kawan-kawan sebaya. Saya tidak tahu, tapi kiranya karangan di waktu saya bersekolah sering menjadi persoalan kepada guru-guru. Ada yang kagum saya boleh menulis begitu, dan ada juga yang tidak segan-segan menyatakan saya meniru. Saya biarkan saja. Dipuji saya berterima kasih, dikeji, saya hanya angkat bahu.


Orang yang mendorong saya menjadi seorang yang gemar membaca adalah arwah bapa saudara saya - En. Johan Bakar, yang mesra saya panggil Pak. Ketika kecil, saya dipelihara oleh Pak, kerana Pak tiada anak sendiri. Dialah yang membelikan saya majalah-majalah tersebut. Saya tidak tahu kenapa beliau berbuat demikian dan pastinya saya tidak akan mengetahui kerana Pak meninggalkan saya pada usia saya 12 tahun (1990).


Saya boleh membaca apa sahaja - namun saya terpaksa menolak bab ekonomi, kewangan atau apa sahaja yang berkaitan dengan sesuatu yang bersifat numerikal dan teknikal. Entah mengapa, saya memang tidak menggemari genre-genre tersebut. Mungkin pencapaian saya di dalam subjek matematik dan sains boleh diambil kira mengenai kecenderungan menjauhkan diri daripada genre ini.


Selain daripada membaca, saya juga mempunyai hobi membeli buku. Sehingga ke hari ini, masih ada beberapa buku yang saya beli, namun masih belum dibuka daripada plastik pembalutnya. Kekangan masa? Entahlah...


Anda bagaimana? Orientasi dan sejarah pembacaan anda, siapa yang mempengaruhinya?