Thursday, September 4, 2014

Cabaran 10 buku

Ada trend terbaru di FB sekarang – List of 10 books that have stayed with you in some way challenge. Rasanya ini adalah cuplikan Ice bucket challenge yang sedang meriah berjalan di seantero dunia untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai penyakit ALS. Walau apa pun, ia tetap satu cabaran yang hebat.

Cabaran ini berakhir dengan meng’tag’ 10 orang rakan untuk melakukan benda yang sama.

Setakat ini, saya masih ‘selamat’ kerana belum ada yang tag saya. Tapi, ia juga adalah idea yang hebat untuk membuat satu entri di blog ini.


Maka, pilihan saya adalah:

(1) Budiku, Budimu – Mohd Ismail Sarbini

Image: Google

Buku ini say abaca semasa saya sekolah rendah. Ia sebenarnya adalah buku seorang rakan yang saya pindah milikkan kepada saya tanpa dia sedari. Cerita mudah mengenai Budin dan seorang remaja India (saya lupa namanya) yang tidak bermula dengan indah namun berakhir dengan menjadi sebuah perhubungan kekeluargaan apabila keluar Budin mengambil remaja India itu sebagai anak angkat 


(2) Cinta Seorang Guru – Mohd Ismail Sarbini

Image: Google

Merupakan bagaimana seorang guru lelaki (juga lupa namanya) menyintai seorang anak muridnya, Rasyidah kerana wajahnya yang mirip bekas tunangannya (kalau tak silap ingatan saya). Saya rasa, saya suka cerita ini kerana saya suka watak cikgu itu. Mungkin saya berharap saya juga akan jadi macam Rasyidah yang akhirnya berkahwin dengan cikgu sendiri. Hihi.


(3) The Client – John Grisham

Image: Google
Kisah bagaimana seorang peguam yang berusaha melindungi 2 beradik yang menjadi saksi kepada satu kes bunuh diri yang berdekatan kawasan tempat tinggal mereka. Selain plot yang menarik, saya suka bagaimana peguam itu membina hubungan dengan anak guam ciliknya.


(4) The Chamber - John Grisham 

Image: Google
Mengisahkan seorang peguam muda yang mewakili datuknya, seorang ahli Ku Klux Klan yang sedang menghadapi hukuman mati. Ingat-ingat lupa mengenai plotnya, yang saya ingat ada tusukan perasaan terharu apabila peguam itu (Adam) berbual dengan datuknya (Sam) saat-saat akhir sebelum hukuman mati dijalankan (tapi tak ingat juga apa yang dibualkan)… Arghh!


(5) Chicken Soup for teacher’s Soul – Jack Canfield and mark Victor (ed.)

Image: Google
Siri chicken soup for soul … Saya bukan berminat sangat untuk mengambil pengajaran daripada mana-mana buku self-help, tapi saya sangat menyukai topik yang satu ini kerana antara insan yang saya suka adalah mereka yang bergelar guru dan pendidik. Cerita-cerita bagaimana para pendidik ini menangani dan menanggapi masalah pelajar membuatkan buku ini seakan ‘bible’ saya yang sentiasa saya usung di dalam beg tangan saya,


(6) The kite Runner – Khaled Hosseini

Image: Google
Karya pertama Khaled yang say abaca atas desakan Kak Marina. Review nya di sini. Kisah mengenai persahabatan Amir dan Hasan, bermula sebagai anak tuan rumah dan anak orang gaji yang kemudian merungkai satu rahsia besar keluarga Amir.

Paling diingati:
"Hassan just incapable of hurting anyone."


(7) Travelog Cinta Abadi – Roza Roslan

Image: Google
Buku ini melekat di ingatan kerana latar tahun, pengalamannya tidak jauh beza dengan apa yang saya alami. Saya boleh menyelami rasa sedih dan gembira penulis kerana ada banyak persamaan cerita walau berbeza wataknya. Review nya di sini.


(8) Ketupat Cinta – Faisal Tehrani

Image: Google
Satira politik yang sangat mencuit hati. Pelbagai isu disatirakan. Apa yang buatkan saya teringat buku ini adalah kerana nama-nama watak yang boleh buat kita tersenyum-senyum gelihati. Habis baca, tapi malas mahu menulis review, akhinya terlupa hampir keseluruhan plot ceritanya.


(9) Bukan Kerana Pangkat – Tun Dr. Ismail dan Masanya (BM) – Ooi Kee Beng

Image: Google
Buku mengenai tokoh Negara yang jarang diceritakan – tidak habis baca. Kali pertama naskhah ini saya beli dalam Bahasa Inggeris, tapi akhirnya saya hadiahkan kepadaseorang rakan yang berpindah tempat kerja. Kemudian, saya beli pula naskhah di dalam Bahasa Melayu. Berkobar untuk baca dan menyelami semuanya, tapi dek banyak kerja yang entah apa-apa, masih tersimpan kaku di rak. Setakat yang dibaca, saya tertarik dengan budaya kerja yang ditunjukkan oleh  beliau dan ketegasannya.


(10) Madam Bokary - Sindiket Sol-Jah

Image: Yours Truly
Ini adalah buku indie terbitan Sindiket Sol-Jah. Pasti anda ada konotasi tersendiri apabila melihat perkataan indie itu, kan? Buku ini melekat di kepala, kerana, baru saja selesai baca masa cuti hari raya, dan duanya, berkira-kira mahu menulis review, tapi belum kesampaian. Serasa susahnya nak memilih kata yang sesuai. Kompilasi cerita pendek mengenai pandangan dan hubungan antara anak dan emak. Ada anak yang menulis dengan membayangkan mereka itu sentiasa dibuli oleh ibu mereka da nada yang bercerita bagaimana kasih saya emak mereka yang terus memberikan semangat untuk mereka hidup. Kerana buku ini juga, saya gigih mencari maklumat mengenai madame Bovary karya Gustave Flaubert. Baca, dan anda akan tahu kenapa.


Mengapa ada buku yang melekat untuk satu tempoh yang lama di dalam kepala kita, dan ada yang seusai habis membaca, terus terlupa jalan ceritanya?

Bagi saya, ia semudah perkataan “hubungan dan sentuhan”. Kerana ada rasa perhubungan dan sentuhan itulah, sesuatu buku kekal dalam ingatan. Dan, ia juga satu refleksi untuk kehidupan manusia. Perhubungan antara manusia punyai satu falsafah mudah, seperti yang ditulis oleh Maya Angelou:
“At the end of the day people won't remember what you said or did, they will remember how you made them feel.”


Maka, untuk sesiapa yang mahu turut serta cabaran ini, ini arahannya:

List of 10 books that have stayed with you in some way, go with your gut and don't think too hard. They don't have to be the 'right' book or great works of literature, just ones that have affected you in some way. 

Selamat mencuba!


2 comments:

cafiena said...

saya dah buat!!

pertama kali saya tahu tentang penulis Mohd Ismail Sarbini.

http://thought-dumpsite.blogspot.com/

Pishaposh said...

Cafiena:

Tahniah! Dan buku2 yang anda senaraikan, sebahagiannya juga adalah kegemaran saya - cuma tak cukup untuk menjadi 10 yg tersenarai :)

Mohd Ismail Sarbini adalah penulis novel remaja prolifik sekitar tahun 80 - 90an dululu. Sayangnya beliau telah pulang ke rahmatullah pada 4 September 2006.

Terima kasih atas kunjungan.