Saturday, February 23, 2008

The Kite Runner by Khaled Hosseini


Buku ini saya baca atas saranan Kak Marina. Dan, buku ini sebenarnya telah selalu sangat saya temui di kedai-kedai buku utama, cuma tidak berapa berminat untuk membacanya sehinggalah dicadangkan dengan beriya-iya oleh teman tersebut.

Bahasa yang mudah difahami, menyebabkan saya hanya mengambil 4 hari untuk menyudahkannya (ya, saya tidak mampu untuk duduk dan terus membaca buku ini sehingga helaian terakhir kerana banyak benar halangannya). Selalunya, purata hari yang saya ambil untuk menyudahkan sebuah buku yang jumlah halamannnya 200-400 adalah seminggu. Satu pencapaian saya kira!


Ceritanya berkisar kepada kesetiaan hamba pada tuannya, kemurniaan sebuah persahabatan, pengkhianatan dan penyesalan. Cerita ini mengambil latar Afghanistan pada tiga zaman – zaman Zaher Shah sebagai raja, zaman Mujahideen dan zaman Taliban sehingga pasca September 2001.


Ceritanya disampaikan dalam bentuk penceritaan semula oleh watak utamanya – Amir, seorang anak orang ternama puak Pashtun. Ia dimulakan dengan cerita Amir di zaman kanak-kanaknya. Keluarga Amir mempunyai hamba – Ali dan Hassan – daripada golongan Hazara (Hazara dianggap sebagai the untouchable dan hanya layak dijadikan hamba). Namun begitu, keluarga Amir tidak melakukan sedemikian. Bahkan, Hassan dan Amir disusukan oleh seorang wanita yang sama semasa kecil.


Selepas peristiwa Hassan diliwat oleh Assef (musuh Amir – dan Amir hanya melihat tanpa melakukan apa-apa), Ali dan Hassan meninggalkan keluarga Amir setelah Amir menuduh Hassan mencuri jam hadiah hari jadinya. Dalam masa yang sama, berlakunya krisis politik di Afghanistan yang menyebabkan Amir dan bapanya berhijrah ke Amerika sebagai pelarian.


Memasuki bahagian kedua cerita ini, pembaca dibawa kepada kehidupan Amir di Amerika – kehidupannya, perkahwinannya dengan Soraya dan kematian bapanya disebabkan oleh kanser.


Ceritanya makin menarik apabila pada satu hari Amir menerima panggilan daripada Rahim Khan – sahabat bapanya yang memintanya pulang ke Afghanistan kiranya dia mahu menebus kesalahannya kepada Hassan. Rupanya, Rahim Khan mengetahui cerita Hassan, Ali dan Amir. Sesampai di Afghanistan, Rahim Khan membongkar banyak rahsia yang tersimpan antara keluarga Amir dan Hassan.


Ibu Hassan merupakan seorang hamba di rumah datuk Amir telah melahirkan seorang anak hasil perhubungan terlarang di antara dia dan bapa Amir. Untuk menutup rahsia, ibu Hassan dikahwinkan dengan Ali. Selepas melahirkan, ibu Hassan terus meninggalkan mereka. Setelah mendengar cerita tersebut barulah Amir sedar kenapa bapanya selalu melebihkan Hassan daripadanya.


Dengan penuh penyesalan terhadap apa yang berlaku kepada Hassan, akhirnya Amir menyanggupi untuk mencari Sohrab, anak Hassan yang diculik oleh puak Taliban.


Cukup di situ cerita saya. Kalau anda rasa ulasan saya menarik, bacalah buku ini.


Bagi saya, faktor utama yang mendorong saya melunasi buku ini dengan cepat adalah kerana perasaan kasihan saya kepada watak Hassan dan Ali. Hidup Hassan dan Ali sangat menderita hanya kerana mereka adalah golongan Hazara. Mereka kehilangan kemuliaan kehidupan sebagai manusia hanya kerana keturunan mereka. Seluruh penceritaan mengenai Hassan dan Ali adalah tragedi sebuah kehidupan.


Selain daripada itu, cerita ini juga membawa kita mengenali kebudayaan bangsa Afghanistan dan ini merupakan eye-opener kepada saya.


Bacalah, dan semoga anda juga akan terkesan seperti saya.


Ayat yang menyentuh hati saya:


“Hassan just incapable of hurting anyone.”


“For you, a thousand times over.”

No comments: