Monday, December 28, 2009

Teater Natrah - Cerita I

Disember sudah semakin ke penghujung. Banyak lagi sebenarnya nota perjalanan dan peristiwa 2009 yang belum saya coretkan di sini. Hati sentiasa mahu, namun fizikal tidak mahu memberikan kerjasama. Ditambah dengan faktor M, terbiarlah semuanya sebegitu. Hmmmm …

Teater Natrah sudah habis ditayangkan di Istana Budaya. Namun, seperti kisah yang sebenar, banyak perkara-perkara yang diperkatakan orang ramai – sebermula kontroversi pemegang watak utama dengan pengarah dan kemudian cerita naskhah itu sendiri dan yang terakhirnya peristiwa yang menimpa seorang lagi pelakon utamanya. Tapi, saya tidak mahu ceritakan yang itu. Ada banyak sisi lain yang menarik di mata saya.

Sejak diiklankan di dada akhbar, saya merasa sangat teruja untuk menonton teater ini, walhal, selama ini saya tidak pernah berminat dengan apa-apa persembahan teater. Bagi saya teater adalah membosankan. Saya ada stigma begini kerana andai anda masih ingat, dulu-dulu di RTM1 (sekitar awal tahun 80an), ada rancangan teater - sebagai satu usaha memperkenalkan culturally goods (agaknya) kepada masyarakat Malaysia. Tetapi, disebabkan masa itu saya masih belum faham mengenai perkara-perkara ini, maka, ia menjadi sesuatu yang amat membosankan. Pelakon yang bermonolog dengan monolog yang meleret-leret dalam laras bahasa yang tidak saya faham, persepsi ini berlanjutan hinggalah ke saya rasa tertarik untuk menonton Natrah.

Sejarah Natrah adalah sesuatu yang sangat saya gemari. Semasa ceritanya kembali hangat sekitar lewat tahun 80an dan awal 90an, saya membaca banyak catatan mengenai sejarah ini. Saya tak tahu apa yang membuatkan ia menarik pada pandangan saya. Mungkin ada persamaan kisahnya dan kisah saya (sounds cliché? -- tapi, percayalah, kerana ia BENAR!). Apa yang sama? Biarlah rahsia! (Kau ingat kau tu Siti Nurhaliza, ada orang nak sibuk percaya dengan kehidupan kau? Hahahaha).



Teater bermula 8.30 malam. Namun, dek asyik dengan perkara lain, saya dan seorang teman terlewat sampai 15 minit. Kiranya terlepas introduction nya. Mengambil tempat, cerita ini bermula dengan monolog Natrah (Sofea Jane). Oleh kerana mata saya semakin rabun (antara 7 tanda peningkatan usia), dan tempat duduk saya di aras dua, saya tidak dapat menatap jelas wajahnya. Puas saya kecil-kecilkan mata yang sudah sedia kecil ini untuk menonton dengan jelas wajahnya, tapi, hampa. Dan, suara Sofea ketika itu kedengaran seperti suara Azizah Mahzan (dahlah rabun, kurang pendengaran pula … haih!).

Selepas monolog, ceritanya pun bermula. Saya menikmati keseluruhan cerita (minus 15 minit yang awal) dengan penuh rasa – teruja, sedih, gembira, terharu. Semuanya ada. Saya menangis pada babak tertentu, ketawa pada ada ketika dan sudah tentu puas di akhirannya.


Picture kredit: Koishi

Walaupun ia hanya persembahan kronologi mengenai sejarah Natrah yang telah saya maklumi sejak sekian lama, ia tetap tidak menjemukan. Rasa kasihan dengan nasib seorang manusia sentiasa akan berlingkar di hati saya.

Saya kagum dengan Umi Aida yang membawa watak Che Aminah dengan berkesan (pada saya, orang lain tak tahulah). Che Aminah di tangan Umi Aida membawa saya kembali kepada satu perasaan yang sudah lama saya lupakan. Maya Karin sebagai Natrah di waktu kontroversi itu juga sangat menghiburkan. Malah, ketika dia bersama-sama memeran watak Natrah di usia 13 tahun itu tampak sangat real! Sangat comel, dan sangat mengesankan.

Andai ditanya, babak mana yang paling menyentuh, jawapan saya adalah babak monolog antara Che Aminah, Natrah dan Adeline Hertogh – kerana, pada saya itulah babak yang mengikat keseluruhan maksud cerita ini. Luahan Che Aminah sebagai penjaga yang sangat menyayangi Natrah, Adeline sebagai ibu yang melahirkan, dan Natrah, sebagai insan yang menanggung bahagia dan derita hidupnya. Mengharukan juga!


Hmmm … tak ada apa ulasan pun, kan? Memanglah, kerana saya pergi menonton for the sake of menonton. Di atas tu adalah apa yang saya rasa. Mengulas teater bukan niche saya (ulasan buku-buku pun!) …

Apa pun, tahniah untuk Erma Fatima sebagai pengarah dan keseluruhan pelakon dan krew yang menjayakan teater ini!

Saya senang dengan pentafsiran anda!

Posing wajib di poster ... sat lagi takdak la orang kata saya dok pekunun saja :=p

P/s: Andai saya di KL, pasti saya akan menonton tiap-tiap hari teater ini!

No comments: