Thursday, December 31, 2009

Dimensi Cinta by Nora Fuad

Gambar dari sini
Akhirnya! Petang 31 Disember 2009, saya berjaya menghabiskan pembacaan saya ke atas novel ini. Sejujurnya, saya membaca kerana permintaan penulisnya. Andai tidak begitu, mungkin sampai saat ini, novel ini tiada dalam koleksi saya. (Dan, buat julung-julung kalinya saya berjaya menulis terus review novel ini di saat bas melambung-lambung!)

Terus saja la kan, dari membebel dan memberi mukaddimah panjang-panjang?

Pada saya Dimensi Cinta bergerak atas premis yang biasa – cinta dari pandangan pertama. Dibelek-belek blurbnya, saya sudah dapat mengagak bagaimana ceritanya, dan sejujurnya juga, apabila keadaan ini berlaku, ia akan menyebabkan daya tarikan novel ini kurang. Namun, saya masih terikat dengan rasa keterhutangan pada permintaan penulisnya (Kak Nora, jangan kecil hati ya dengan kebeterus-terangan saya ini!).

Dan, seperti yang lazimnya berlaku sekarang, novel setebal 441 halaman ini mengambil masa hampir 2 minggu dan dihabiskan semasa melayan kebosanan duduk di dalam bas. Mujur juga saya ini jenis yang boleh membaca dalam kenderaan – tidaklah rasa nak muntah atau pening seperti kebanyakan orang.

Berkisar kepada 3 watak utama, Lukhman, Zaid dan Nur Suraya, cerita bermula agak perlahan, lebih-lebih lagi apabila penulis mahu memperkenalkan siapa Lukhman dan Zaid. Namun, yang membuatkan saya tertarik untuk meneruskan pembacaan, kerana watak Lukhman sebagai seorang arkitek (oh, saya memang kagum dengan arkitek! Lebih-lebih lagi apabila penulis meninggikan imej Lukhman sebagai arkitek yang sangat berjaya. Mendapat anugerah BCI lagi! - saya siap cari lagi apa benda alah award ni :p).
Sinopsis:
Suraya adalah seorang gadis yang diwatakkan dengan perwatakan yang sangat menarik – berkulit sawa (atau sawo?) matang, lampai dan berlesung pipit di pipi kanan. Seorang guru sejarah yang kelihatan mempunyai banyak minat. Lukhman dan Zaid pula adalah 2 rakan karib yang menganggap diri mereka adalah saudara kembar dek kerana galur hidup yang hampir sama dan persahabatan ibu-ibu mereka. Zaid yang terlebih dahulu mengenali Suraya, meminati malah memuja, namun terlalu naïf untuk meluahkan perasaan. Lukhman pula, secara kebetulan terserempak Suraya di sebuah kedai gambar, tertarik, dan meminta nombor telefon gadis itu daripada orang kedai untuk tujuan perkenalan. Bila Zaid mempertemukan Lukhman dengan Suraya, ternyata Lukhman dan Suraya saling tertarik. Salah Zaid kerana tidak ‘menanda’ apa-apa sepanjang 3 tahun persahabatannya dengan Suraya, terus membuatkan Suraya membaca aksi Zaid mengenalkannya dengan Lukhman sebagai penggantinya (baik sungguhlah Zaid kalau begini!).

Yang lain-lain tu, anda baca sendiri.



Pada saya juga, novel ini seperti kisah-kisah cinta yang lain juga. Bertemu, berpisah seketika kerana halangan, dan di akhirnya, semua orang bahagia. Tiada yang terbunuh, dibunuh atau membunuh diri dalam cerita ini :p

Tapi, seperti yang saya katakan di awal tadi, profesion watak telah memenangi hati saya. Kemudian, pendedahan kepada tempat-tempat menarik di luar Negara (London, Adelaide dan Sydney), serta info berguna mengenai syurga pelancong di Malaysia (Pulau Langkawi), juga persekitaran yang agak familiar pada saya merupakan bonus. Penamat yang menggembirakan juga adalah sesuatu yang saya suka kerana saya tidak suka sad ending atau cliff hanger (ini juga kriteria untuk novel kategori suka-suki --adakah saya telah mengkategorikan novel ini?).

Antara perkara-perkara lain yang dapat saya kesani di dalam novel ini:
Penulis bijak menyesuaikan watak dan profesion – arkitek (Lukhman) orang yang seni, maka lebih terbuka dalam meluahkan perasaan, dan IT whizz seperti Zaid adalah lurus dan tulus. Lambat membaca maksud tersirat serta sering juga salah menterjemahkan isyarat-isyarat cinta. Suraya pula adalah seorang guru sejarah yang agak OK pengetahuan sejarahnya, namun saya kira Suraya lebih kepada ahli psikologi (mungkin disebabkan latar belakang penulis) apabila dia lebih berminat mentafsir benda-benda di sekelilingnya. Saya sebenarnya lebih berharap agar watak Lukhman dan Suraya tadi lebih terikat dengan hubungan kerja mereka – maksud saya, selain kecantikan, intelek Suraya boleh saja digabung dengan pengetahuannya dalam sejarah dengan seni bina kerana kedua-duanya ada perkaitan yang kuat. Namun, yang lebih dipaparkan tarikan kepada perkara-perkara kecil – seperti cantik, anggun, sensitif – perkara-perkara yang selalunya orang akan take for granted. Apapun, ia tetap menjadi sesuatu yang menarik.

Watak lelaki di dalam novel ini pada saya sangat obvious ditulis oleh seorang wanita. Kenapa saya berkata demikian?
Kerana watak Lukhman. Lukhman memanglah seorang lelaki yang romantis dan penuh pengertian, namun cara dan approach Lukhman pada saya adalah refleksi kehendak seorang wanita pada seorang lelaki. Memanglah ada dalam kehidupan realiti watak begitu, tapi dalam novel ini ia kelihatan begitu lah … anda faham apa yang saya maksudkan?

Watak Suraya pada saya agak tipikal. Dia diwatakkan sebagai punyai segalanya, kecantikan, keramahan, keanggunan, tidak kekok di dapur serta disenangi orang tua. Kadang-kadang saya rasa wataknya sedikit keterlaluan. Menyampah pun ada. namun, saya mengagumi cara penulis memperlihatkan keberanian dan kepandaian Suraya dalam memastikan cintanya. Saya paling suka cara Suraya menguruskan hal Zaid dan Elle serta helahnya pada Lukhman. Itu adalah klimaks yang menjadi untuk saya. Dan, selebihnya, saya memang kagum dengan orang yang tidak cepat melatah dengan keadaan di sekelilingnya.

Terlalu ideal? Memanglah .. itu sebab wujudnya novel-novel cinta, kan? Seideal persahabatan Lukhman dan Zaid sampai sanggup berkorban rasa. Ya, memang ada di realitinya, tapi ia tidaklah semudah itu (walaupun, mungkin perkara tersebut berlaku secara eksklusif kepada penulisnya), Ttpi saya kira itulah adunan realiti dan fiksi untuk menimbulkan rasa dramatik. Lebih-lebih lagi kalau novel cinta adalah satu bentuk escapism yang sangat menyenangkan, maka perkara-perkara ini adalah sesuatu yang kita maafkan.

Namun, dalam sekian banyak perkara, saya gagal mencari kepelbagaian dimensi cinta yang dilambangkan dengan tajuk novel ini. Andai dimensi itu bermaksud cinta antara sahabat (Zaid dan Lukhman), cinta dari mata turun ke hati (cinta Lukhman kepada Suraya) atau cinta lama yang disubur semula (seperti cinta Elle kepada Zaid atau cinta Taufik kepada Suraya), memang ia menepati tajuk. Setakat itu sahajalah. Tapi, saya memang tidak dapat mengesani yang selebihnya.

Saya juga mengesan beberapa blunders dalam novel ini:

Inconsistency penggunaan kata ganti nama – mungkin disengajakan – tapi, saya lebih suka kalau dialog Lukhman dan Zaid menggunakan kata ganti nama “aku” dan “kau” daripada “Man” dan “Zaid” … saya rasa macam janggal. Inconsistency berlaku apabila penulis menggunakan dua kata ganti nama yang berbeza di dalam satu ayat.

Kemudian, Masita dikatakan kali pertama menaiki kapal terbang semasa penerbangan ke Adelaide sedangkan Masita pulang ke KL dengan Suraya dari Pulau Langkawi tatkala menziarah ibunya yang sakit dengan kapal terbang dan siap dijemput oleh Ali, abang Suraya.

Saya juga sedikit terganggu dengan print buku ini. Tulisannya besar, namun ada perkataan yang perlu di italic kan, tetapi tidak. Saya tak pasti kenapa saya kisahkan semua ini, namun sebagai orang yang sensitif dan sedikit endah dengan bahasa Melayu, saya memang rasa terganggu. Mungkin editor boleh semak betul-betul lain kali, ya?

Rasanya itu saja yang mahu saya kata. Semoga ulasan ini tidak mendukacitakan penulisnya dan tidak juga menghalang pembaca-pebaca lain untuk mencubanya.

Selamat membaca!


Tuesday, December 29, 2009

Teater Natrah: Cerita II

2 minggu yang lalu, semasa dalam perjalanan ke Shah Alam dengan bas (sebuah syarikat yang pernah accident di highway, tapi bukan Sani Ekspress!), saya menghabiskan masa dengan membaca banyak perkara seperti ingeredient roti dan air kotak, poster dan sticker di cermin bas, buku cerita dan akhirnya akhbar, Berita Minggu.

Bila membuka akhbar sisipan (Bi-Pop), mata saya tertancap pada tulisan seseorang – Khalid Salleh. Saya agak, dia mungkin Khalid yang selalu menjadi pelakon teater itu. Saya jadi ter’prihatin’ kerana tulisan itu mengulas mengenai teater Natrah di IB itu.

Dengan menggunakan tajuk “Natrah: Apa yang dilihat oleh Erma Fatima?”, saya membaca dengan pantas apa yang dikemukan oleh penulis ini. Muka saya mula berkerut, kening bertaut dan saya mula memuncung mulut. Kenapa?

Inilah sebabnya …

Pertama:
Dalam konteks Natrah, Erma Fatima bertindak sebaliknya. Tanggungjawab pengarah digunakan untuk menggerakkan misi ‘mengKristiankan’ Natrah atau nama asalnya Bertha Hertogh yang berbangsa Belanda. Imej Kristian terlalu menyerlah dan menonjol pada detik-detik penghujung persembahan dengan penampilan pintu yang gagah kukuh terbuka mengalu-alukan Natrah memasuki gereja yang terpasung patung Jesus pada tiang salib. Malah adegan sebelumnya Natrah dikelilingi rahib perempuan (Nun) selain imej patung St. Mary.


Apa yang saya fahami dari perenggan ini, Khalid menyalahkan Erma kerana mengangkat “Misi mengkristiankan Natrah” menjadi satu scene di dalam teater ini (walhal, mungkin bagi Khalid, banyak lagi perkara-perkara yang significant daripada hal ini).

Panggillah saya seorang penonton yang ignorant, tetapi apabila saya pergi menonton, saya tidak meninggalkan akal saya di luar pintu IB. Saya tidak merasakan apabila scene itu dihidupkan, ia merupakan satu perkara yang salah. Itu hanya penceritaan yang diadun dari realiti dan dicampur sedikit nilai dramatik dan artistik. Misi mengkristiankan Natrah? Bukankah itu sebenarnya yang terjadi? Kalau teater ini hanya menonjolkan kronologi, apakah ada kronologi yang perlu dikesampingkan? Dan, andai scene itu dibuang, adakah ia akan menukarkan fakta bahawa Natrah tidak dikristiankan semula? Saya pening! This such an insult to my intelligence!




Kedua:
Sutradara atau pengarah dalam konteks seni kreatif adalah pemangkin ke arah sebuah gagasan pemikiran yang mengandung pengertian muhasabah diri selain mengangkat sesebuah persoalan dan titik penyelesaiannya. Ertinya nilai pengarahan harus mengaplikasikan elemen kebenaran yang bersandarkan harga kedaulatan masyarakat setempat di samping mendukung persepsi ke arah amal maaruf nahi mungkar.

Teater bukan pentas permainan semata-mata. Ia adalah kebenaran manusia mengenalkan erti kebaikan dan keburukan. Definisi teater ialah lakon. Lakon adalah lakonan semula dari kehidupan sebenar. Nilai kebenaran pentas bukan mendokumentasikan apa yang pernah atau sudah terjadi. Ia berperanan memberi penghakiman tentang apa dan siapa yang membelakangkan nilai-nilai sejagat.

Saya membaca perenggan ini dengan perasaan yang berbeza terutamanya pada ayat “Ertinya nilai pengarahan harus mengaplikasikan elemen kebenaran yang bersandarkan harga kedaulatan masyarakat setempat di samping mendukung persepsi ke arah amal maaruf nahi mungkar.”


Pada saya, ayat ini sangat bertentangan dengan apa yang dinyatakan di awal tadi. Mungkin Khalid mahukan seluruh naskhah ini terus-terusan mengajak penonton berusaha segigih mungkin dalam mencari kebaikan-kebaikan dan pengajaran. Maaf Khalid, kadang-kadang bila menonton, saya tidak kisah sangat apa pengajaran cerita itu. Itu hanya bonus. Saya tidak peduli. Saya pergi menonton, kerana saya tertarik pada ceritanya, bukan motif atau maksud yang mahu disampaikan oleh pengarah! Jangan membimbing saya untuk bertindak begini untuk scene ini, dan begitu untuk scene itu. Saya mahu berfikir sendiri.



Ketiga:
Peranan Erma menggerakkan teater Natrah sehingga ke saat Natrah menjadi Kristian selepas lapan tahun bergaul dengan kehidupan Islam bersama ibu angkatnya Aminah, adalah naratif yang sengaja dibangun untuk mendukung pemikiran ke arah betapa kuat dan agungnya agama Kristian. Sebab itu imej masjid hanya ditampilkan oleh Erma dalam bentuk slide di cyclorama berbanding imej Kristian yang megah dan gagah dari segi penampilan setnya.

Saya sangat tidak bersetuju kerana saya tidak melihat begitu. Maaf!


Keempat:


Dalam pengertian lain Erma tidak sensitif langsung mengenai nilai Islam yang menjadi agama rasmi negara ini. Apakah ia memang tidak disedari oleh pengurusan Istana Budaya (IB) sendiri?

Boleh saya ketawa dengan ayat-ayat ini? Hahahahaha!



Akhirnya …. Kata Khalid:
Maka tanda tanya yang merimaskan ialah: Apa yang dilihat Erma dari sejarah Natrah? Puas barangkali mempamer set yang gah dengan pintu yang kukuh serta artistik di mana lambang Kristian melimpahkan cahaya menuju ke palang salib sebagaimana dikatakan Esa anak Mariam terpasung di situ. Itukah kebenaran kerja Erma termasuk IB selaku pendukung wawasan budaya seni pentas yang diwarwarkan bertaraf dunia? Masya-Allah.
Saya biarkan perenggan ini untuk anda respon.





Satu persoalan / cadangan dari saya untuk Encik Khalid:

Cuba anda arahkan teater ini kembali menurut pentafsiran anda sebagai counter attack apa yang telah dilakukan oleh Erma. Saya juga berminat untuk menontonnya. Mungkin saat ini saya mempunyai bias terhadap apa yang anda tulis kerana saya menyukai teater ini.


Selamat Tahun Baru!


Monday, December 28, 2009

Teater Natrah - Cerita I

Disember sudah semakin ke penghujung. Banyak lagi sebenarnya nota perjalanan dan peristiwa 2009 yang belum saya coretkan di sini. Hati sentiasa mahu, namun fizikal tidak mahu memberikan kerjasama. Ditambah dengan faktor M, terbiarlah semuanya sebegitu. Hmmmm …

Teater Natrah sudah habis ditayangkan di Istana Budaya. Namun, seperti kisah yang sebenar, banyak perkara-perkara yang diperkatakan orang ramai – sebermula kontroversi pemegang watak utama dengan pengarah dan kemudian cerita naskhah itu sendiri dan yang terakhirnya peristiwa yang menimpa seorang lagi pelakon utamanya. Tapi, saya tidak mahu ceritakan yang itu. Ada banyak sisi lain yang menarik di mata saya.

Sejak diiklankan di dada akhbar, saya merasa sangat teruja untuk menonton teater ini, walhal, selama ini saya tidak pernah berminat dengan apa-apa persembahan teater. Bagi saya teater adalah membosankan. Saya ada stigma begini kerana andai anda masih ingat, dulu-dulu di RTM1 (sekitar awal tahun 80an), ada rancangan teater - sebagai satu usaha memperkenalkan culturally goods (agaknya) kepada masyarakat Malaysia. Tetapi, disebabkan masa itu saya masih belum faham mengenai perkara-perkara ini, maka, ia menjadi sesuatu yang amat membosankan. Pelakon yang bermonolog dengan monolog yang meleret-leret dalam laras bahasa yang tidak saya faham, persepsi ini berlanjutan hinggalah ke saya rasa tertarik untuk menonton Natrah.

Sejarah Natrah adalah sesuatu yang sangat saya gemari. Semasa ceritanya kembali hangat sekitar lewat tahun 80an dan awal 90an, saya membaca banyak catatan mengenai sejarah ini. Saya tak tahu apa yang membuatkan ia menarik pada pandangan saya. Mungkin ada persamaan kisahnya dan kisah saya (sounds cliché? -- tapi, percayalah, kerana ia BENAR!). Apa yang sama? Biarlah rahsia! (Kau ingat kau tu Siti Nurhaliza, ada orang nak sibuk percaya dengan kehidupan kau? Hahahaha).



Teater bermula 8.30 malam. Namun, dek asyik dengan perkara lain, saya dan seorang teman terlewat sampai 15 minit. Kiranya terlepas introduction nya. Mengambil tempat, cerita ini bermula dengan monolog Natrah (Sofea Jane). Oleh kerana mata saya semakin rabun (antara 7 tanda peningkatan usia), dan tempat duduk saya di aras dua, saya tidak dapat menatap jelas wajahnya. Puas saya kecil-kecilkan mata yang sudah sedia kecil ini untuk menonton dengan jelas wajahnya, tapi, hampa. Dan, suara Sofea ketika itu kedengaran seperti suara Azizah Mahzan (dahlah rabun, kurang pendengaran pula … haih!).

Selepas monolog, ceritanya pun bermula. Saya menikmati keseluruhan cerita (minus 15 minit yang awal) dengan penuh rasa – teruja, sedih, gembira, terharu. Semuanya ada. Saya menangis pada babak tertentu, ketawa pada ada ketika dan sudah tentu puas di akhirannya.


Picture kredit: Koishi

Walaupun ia hanya persembahan kronologi mengenai sejarah Natrah yang telah saya maklumi sejak sekian lama, ia tetap tidak menjemukan. Rasa kasihan dengan nasib seorang manusia sentiasa akan berlingkar di hati saya.

Saya kagum dengan Umi Aida yang membawa watak Che Aminah dengan berkesan (pada saya, orang lain tak tahulah). Che Aminah di tangan Umi Aida membawa saya kembali kepada satu perasaan yang sudah lama saya lupakan. Maya Karin sebagai Natrah di waktu kontroversi itu juga sangat menghiburkan. Malah, ketika dia bersama-sama memeran watak Natrah di usia 13 tahun itu tampak sangat real! Sangat comel, dan sangat mengesankan.

Andai ditanya, babak mana yang paling menyentuh, jawapan saya adalah babak monolog antara Che Aminah, Natrah dan Adeline Hertogh – kerana, pada saya itulah babak yang mengikat keseluruhan maksud cerita ini. Luahan Che Aminah sebagai penjaga yang sangat menyayangi Natrah, Adeline sebagai ibu yang melahirkan, dan Natrah, sebagai insan yang menanggung bahagia dan derita hidupnya. Mengharukan juga!


Hmmm … tak ada apa ulasan pun, kan? Memanglah, kerana saya pergi menonton for the sake of menonton. Di atas tu adalah apa yang saya rasa. Mengulas teater bukan niche saya (ulasan buku-buku pun!) …

Apa pun, tahniah untuk Erma Fatima sebagai pengarah dan keseluruhan pelakon dan krew yang menjayakan teater ini!

Saya senang dengan pentafsiran anda!

Posing wajib di poster ... sat lagi takdak la orang kata saya dok pekunun saja :=p

P/s: Andai saya di KL, pasti saya akan menonton tiap-tiap hari teater ini!

Thursday, December 3, 2009

Pabila hujan ...

November dan awal Disember 2009 ini sudah dua kali saya terpaksa berpindah kerana banjir. Tapi, tidaklah sampai ke Pusat Pemulihan Banjir. Cuma ke rumah seorang teman di tempat yang tidak terkesan dengan banjir.

Sampai ke hari ini, masih belum boleh pulang ke rumah kerana jalannya masih ditenggelami air yang sudah pasti 'sport car' saya tidak akan mampu mengharunginya.

Entri ini bukan mahu bercerita mengenai banjir, namun mahu mencatat sedikit aktiviti pembacaan saya.

Bila sudah menumpang di rumah orang, banyaklah perkara biasa yang tidak boleh saya lakukan - seperti berfacebooking dan blog hopping. Maka, terpaksalah bertukar kepada aktiviti yang lebih konvensional - baca buku. Sebelum banjir, saya sempat membeli 2 novel. Fikir saya, saya mahukan sesuatu bacaan yang menenangkan selepas habis menyelesaikan semua urusan peperiksaan. Tapi, rupanya novel-novel itu menjadi peneman untuk tempoh masa yang agak lama.

[Dan, dalam entri ini juga, saya tidak rasa mahu mengulas panjang novel-novel yang saya lunaskan itu ...]

Sebelum paper saya masuk, saya telah menghabiskan Menunggu Cinta Ilahi, karya Lily Haslina. Saya terpaut untuk membacanya kerana terpengaruh dengan review yang positif dari pembaca-pembaca lain. Lagi pula, saya sentiasa menyenangi karya Lily sedari dia berkarya di Dewan Siswa (sejujurnya, saya rasa, angkatan penulis MPR zaman awal 90an, sangat mengagumkan! Itu cerita lainlah puak ..). Walau saya senang membacanya, saya mengambil masa hampir 2 minggu untuk menghabiskannya. Sebab cliche - mak busy nyah! Nanti saya tuliskan penilaian saya.





Kemudian, tengkujuh gelombang kedua dan ketiga datang melanda.

Saya bermula dengan Memoir Seorang Guru garapan sasterawan Azizi Hj. Abdullah. Telah lama saya mencari novel ini. Nak pesan secara online saya rasa tak berbaloi sangat kerana harganya cuma RM13. Tambah dengan kos penghantaran lagi ... [ya, saya kadang-kadang kupik walaupun selalunya saya tidak kisah berbelanja untuk bahan bacaan saya]. Dan, semasa keluar bersarapan di pagi hari minggu ketika tengkujuh masih di peringkat mula, saya menemuinya di rak paling bawah di sebuah kedai alat tulis. Saya terus membelinya. Dan, saya hanya habis membacanya seminggu yang lalu [+ tarikh beli, buku yang relatifnya nipis ini mengambil masa leibh kurang 2 minggu! Ish .. ish .. ish ...] - dan ini pun saya ulas kemudian lah, ya?

Bersama Memoir Seorang Guru, saya turut membeli 'novel suka-suki' [ngehehee] - Yang Sebenarnya karya Aisya Sofea. Kenapa suka-suki? Kerana, saya membacanya untuk mencetus angan-angan, berperasaan yang bukan-bukan dan pendek kata ... bersuka-sukaan lah ... Maka, jadilah ia 'novel suka-suki' ... Sama ada saya akan masukkan reviewnya di sini atau tidak, belumlah saya putuskan lagi. Tapi, selalunya, novel suka-suki, saya tidak buat reviewnya.






Walaupun novel suka-suki, saya masih tetap memilih penulis tertentu. Aisya Sofea antaranya. Saya memang menyukai hampir semua garapannya. Paling membuai rasa tentulah Jendela Hati. Sampai ke hari ini masih teringat-ingat watak-wataknya meskipun ingatan sedikit compang-camping.

Yang Sebenarnya saya tamatkan malam tadi.







OK, itu sahaja yang saya nak tuliskan buat kali ini.


Hujan sudah berhenti. Udara juga masih dingin. Saya tiada mood untuk buat kerja. Perlu stimulasi. Moga selepas ini, segalanya boleh saya beresi!

Selamat hari Khamis!




P/s: Bonus - gambar pemandangan sekitar banjir dan cuaca hari ini untuk anda semua.