Sunday, November 15, 2009

Pak, Vespa dan Surat Khabar.

Pagi tadi cuaca mendung. Gerimis semalam masih berbaki. Jalan licin dan sedikit becak. Saya memperlahankan kereta, kemudian memarkir dan mematikan enjin di hadapan kedai alat tulis. Seketika, ada seorang pakcik turut berhenti dan memakir motosikalnya di sebelah kereta saya. Dalam bakul motosikalnya terdapat sayur dan ikan. Mungkin baru pulang dari pasar. Saya tidak tahu kenapa mata saya tertarik untuk menuruti langkah pakcik tersebut. Saya masih diam di dalam kereta sambil mendengar celoteh FBI @ Hot.fm.

Pakcik itu kemudian mengambil senaskhah akhbar dari rak, membayar dan kemudiannya menaiki motosikal dan meneruskan perjalanannya. Mata saya menghantarnya sampai dia hilang dari pandangan. Kemudian saya tersenyum sendiri.

Sebenarnya, pakcik itu secara tiba-tiba telah menghantar saya ke dekad silam saya. Ke memori saya dengan cerita surat khabar.



Sedari dulu saya selalu menyenangi surat khabar. Masa sekolah rendah dan menengah, ruangan kesukaan saya adalah teka silang kata. Silang kata di akhbar Berita Harian paling saya suka. Mujur juga saya tak perlu berebut dengan sesiapa (kerana tiada orang yang berkongsi minat itu dengan saya di rumah). Masuk ke universiti, saya mula mencari catatan kolumnis tertentu. Antara yang menjadi kegemaran adalah tulisan Salleh Buang (Bila Peguam Menulis), Adam A. Kadir (Datuk), Ku Seman Ku Hussain (Getaran Seni), dan Komentar Abdullah Ahmad (Datuk) -- sekadar beberapa nama.

Melalut pula. Bukan itu sebenarnya yang mahu saya cerita.

Apabila melihat pakcik tadi, saya teringatkan pakcik (yang saya panggil Pak) saya. Apabila pulang dari kerja, saya suka menyelongkar 'bonet' Vespanya. Banyak sekali ole-olenya. Selalunya yang akan ada - sebungkus mihun goreng, sekotak Ribena dan senaskhah akhbar - selalunya Berita Harian. Semuanya itu untuk saya.

Saya tak pasti apa yang membuatkan Pak menyediakan semua itu untuk saya. Pak memang tidak kisah sekiranya saya yang membaca dulu akhbar tersebut (saya tidak rasa ia biadap sehinggalah ada seseorang yang mengatakan ia sesuatu yang kurang sopan kerana kita perlu mendahulukan orang tua. Akhirnya saya sedar, dia berkata begitu kerana dia mahu membaca akhbar itu dahulu daripada saya ..huh!). Namun, yang paling saya sedar, ia seakan menjadi kebiasaan yang menyenangkan. Hingga terbit persepsi, kalau mahu mencari bahan bacaan, selongkarlah bonet Vespa itu :)

Seperti yang saya pernah katakan dulu, Pak adalah antara pendorong kepada sikap membaca saya. Dia tidak melakukan secara ternag-terangan, tetapi secara latent (kalau boleh dikatakan begitu). Saya jarang memikirkankannya. Namun, sekali-sekala ia datang ke fikiran.

Kini, pemilik Vespa itu sudah lama mengadap Ilahi. Yang masih tersimpan, hanyalah memori. Dan, sesungguhnya, pakcik tadi telah membuatkan saya tiba-tiba teringatkan Pak, Vespa ME8302 dan surat khabar.

Ohhhh ....!
<--- Arwah Pak


[Maaf kalau entri ini agak beremosi :))

6 comments:

ajako said...

ooo anak bapak...alfatihah

Pishaposh said...

Ajako:
Ya ... forever and always.

Thanks bro.

Nora Isma Fuad said...

as salam, al fatihah, beremosi itu biasa sebagai tanda kita ini manusia biasa,tetapi mempunyai perasaan yang luar biasa.


nora fuad

Pishaposh said...

Pn. Nora:

Ya, manusia biasa perlu beremosi ... tak perlu menafikannya ...

Terima kasih atas kunjungan ... :)

Nora Isma Fuad said...

As salam, saudari pisha, tak perlulah berpuan-puan,membuatkan saya rasa bagai 'madam' zaman penjajahan British... suka akan rasa zaman merdeka..kalau mahu buat saya rasa muda,panggil saya 'adik'(he he)kalau mahu rasa saya tua,panggil saja 'makcik'tapi kalau panggil saya nama,lebih mesra dan terbuka..

Pishaposh said...

Nora:
OKlah, tak mahu buat anda seperi Mem zaman British .. tapi rasa, anda tidak berapa muda dari saya (hahaha, perasan!) .. maka, mulai sekarang, anda adalah NORA kepada saya!

:):):):)