Saturday, March 22, 2008

A Thousand Splendid Suns by Khaled Hosseini


Kalau The Kite Runner mengambil masa kurang seminggu untuk saya baca, A Thousand Splendid Suns hanya dua hari telah diberesi. Mungkin kerana saiz buku yang besar berbanding yang sebelumnya membuatkan pembacaan saya lebih cepat. Atau, mungkinkah disebabkan akhir-akhir ini saya sering sukar tidur? Mana-manalah.

Kalau The Kite Runner mengambil latar kehidupan di Afghanistan melalui pandangan lelaki, A Thousand Splendid Suns adalah sebaliknya.


Ia bermula dengan kisah Mariam, seorang anak tidak sah taraf yang tinggal bersama ibunya di sebuah kawasan terpencil di Deh-Mazang. Walaupun Mariam anak tidak sah taraf, ‘bapa’ Mariam – Jalil Khan, seorang saudagar kaya seirng mengunjunginya dengan membawa hadiah yang menyenangkan dia. Jalil juga sering melayannya dengan baik dan lemah lembut. Ibu Mariam selalu mengingatinya bahawa Jalil hanya berpura-pura, namun Mariam tidak mengendahkannya.


Cerita Mariam menjadi tegang apabila dia pergi ke bandar untuk ke rumah Jalil tetapi kedatangannya tidak dialu-alukan. Apabila dia pulang ke kampungnya, ibunya telah menggantungkan dirinya kerana menyangka Mariam meniggalkannya untuk tinggal bersama Jalil.


Kesan daripada peristiwa itu, Mariam yang ketika itu berusia 15 tahun telah dikahwinkan oleh Jalil dengan seorang duda yang kematian isteri dan anak yang berusia lebih 20 tahun daripada usianya bernama Rasheed. Mariam menyimpan dendam terhadap Jalil dan belajar menerima Rasheed. Pada mulanya Rasheed digambarkan seperti “the gentle giant”, namun setelah Mariam keguguran anak, Rasheed mula menunjukkan sisi hitamnya. Dia menjadi lelaki yang tidak menghormati isteri dan memperlakukan Mariam semahunya. Dan, dengan sifat seorang perempuan yang naif, Mariam menerima segalanya.


Kemudian ditampilkan watak Laila – anak Fariba dan Hakim, jiran Mariam dan Rasheed yang lahir pada malam Revolusi Mujahideen, 1978. Laila adalah gadis ceria dan keletah. Dia juga seorang yang sangat bijak di kalangan kawan-kawannya. Laila menyimpan perasaan terhadap Tariq, anak seorang jiran yang lain.


Watak Laila dan Mariam dipertemukan sebagai madu setelah Rasheed mengahwini Laila apabila dia menolong Laila yang cedera parah semasa mahu berpindah keluar dari Afghanistan akibat terkena serangan peluru berpandu. Kedua ibu bapa Laila turut terkorban.


Oleh kerana Laila baru berusia 14 tahun, Rasheed sangat teruja dengan Laila. Dia kemudian memberikan layanan yang sangat istimewa kepada Laila dan ini membuatkan Mariam tertekan dengan cemburu. Peristiwa Laila mempertahankan Mariam daripada dipukul Rasheed akhirnya membuatkan Mariam mula menerima Laila.


Seperti The Kite Runner, Mariam adalah cuplikan watak Hassan – watak manusia yang tidak bernasib baik dalam kehidupan. Di akhirnya, Mariam dijatuhi hukuman mati oleh puak Taliban kerana kesalahannya membunuh Rasheed walaupun tindakannya adalah untuk mempertahankan Laila yang dibelasah Rasheed kerana bertemu Tariq, bekas kekasihnya di rumahnya. Laila sangat terhutang dengan Mariam dan cuba mencari cebisan yang hilang dalam kehidupan Mariam.


Cukuplah kan? Nanti kurang suspense nya.


Termenung seketika selepas membaca cerita ini. Walaupun ia adalah fiksyen, namun, kerana ia adalah adunan daripada realiti, saya tidak dapat menahan diri daripada menyesali nasib Mariam. Betapalah takdir Allah ke atasnya. Tak tahulah sama ada kita harus begitu, menuruti takdir dengan menerima segalanya dengan penuh kesabaran atau menjadi seperti Laila, sentiasa cuba untuk mengubahnya. Mungkin peringatan Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hinggalah kaum itu mengubahnya sendiri patut kita fahami dengan sebenar faham?


Mariam adalah lambang kekuatan seorang wanita yang tidak pernah bernasib baik dan Laila adalah simbol kecergasan akal seorang wanita. Adunan keduanya adalah sesuatu yang menyebabkan novel ini indah pada saya.


Novel ini juga memberitahu saya mengenai kebenaran mengenai puak Taliban yang dilabel sebagai ekstremis agama. Dengan segala bentuk dikri (decree) serta tindak tanduk mereka semasa memerintah, patut juga kita berasa gundah menghadapi kaum yang begitu. Saya menerima kekejaman Taliban kerana ia datang daripada true account mereka yang mengalami kesan pemerintahan kejam puak itu.


Akhirnya, yang dapat saya simpulkan – kita ini dijadikan Allah penuh dengan perbezaan dan ketidaksempurnaan. Jangan dipandang pada perbezaan itu, tapi tanggapilah ketidaksempurnaan kita sebagai melengkapi kesempurnaan sebuah kehidupan. Tidak faham?


Bacalah di antara baris-baris itu …

No comments: