Monday, March 31, 2008

Ayuh, berpesta lagi!

Pesta Buku datang lagi!

Ayuh ... kekalkan semangat suka berpesta itu ...
Janganlah lagi kita dikatakan hanya suka berpesta
Untuk benda yang lagha ...
Untuk benda yang sia-sia ...
Untuk benda yang tidak bermakna ...

Buktikan .. Kita bukan orang yang tidak berguna!
Buktikan .. Kita sentiasa tahu dan pandai memilih waktu untuk berpesta!
Buktikan .. Kita ini masyarakat berguna!


Adat orang berkasih
tika berjauhan gundah-gulana
menghitung waktu bilakah dapat bersua.
Kala di sisi, segenap jiwa bernyanyi ria.
Kekasih hadir mengubat banyak perkara.
Begitu ibaratnya jika buku menjadi kekasih.
Sentiasa mengerti dan memberikan harapan.
Acap kali manusia dikecewakan sesama manusia
tetapi buku tidak pernah mengecewakan
walau bagaimana sekalipun "dia" dilayan.
Dia kekasih abadi bagi yang mengerti.
- Shahrom TM Sulaiman - Buku Kekasih (2004) -

Tuesday, March 25, 2008

Pandai Pinjam, Pandailah Jaga ...

Saya memang pembeli majalah dan buku. Ada majalah yang saya langgan saban bulan dan tahunan daripada agen yang datang ke pejabat saya dan ada juga belian langsung setiap hari, minggu dan bulan.

Bagi buku pula, saya akan pastikan, setiap dua bulan saya boleh membeli sebuah buku yang mampu saya habiskan (namun, sudah banyak yang dibeli, tapi belum dibaca-baca!).

Pada saya, koleksi majalah dan buku-buku adalah harta yang sangat saya sayang -- seperti saya sayangkan harta yang lain-lainnya. Kiranya berlaku sesuatu (nauzubillah!), yang saya paling khuatir adalah koleksi-koleksi ini. Di rumah, bila emak terpaksa memusnahkan sekotak besar majalah saya yang dimakan anai-anai, saya menjadi sangat depresi. Seharian saya membelek puing-puing buku dan majalah-majalah itu. Saya menjadi sangat sedih. Manakan tidak, koleksi saya yang bermula seawal saya tingkatan satu pada tahun 1990 terpaksa dimusnahkan ...

Tapi itu tidak terbanding kesedihan saya menghadapi peminjam buku-buku dan majalah saya yang tidak pandai menguruskannya. Tak diberi, kawan-kawan yang tidak berkira memberi pinjam barang mereka. Tapi, bila diberi, akan menangis tak berlagu saya kerana barang kita tak diumpamakan langsung.

Kalau saya meminjam buku orang, apa yang saya buat:

Pertama:
Saya akan pastikan keadaannya - adakah sebarang kecacatan pada majalah / buku tersebut. Sekiranya ada, saya akan buat nota (tak buatlah benda ni di hadapan tuan yang emmpunya kerana nanti apa pula katanya).

Kedua:
Sebelum meminjam juga, saya akan perhatikan bagaimana layanan tuan buku tersebut terhadap bukunya. Sekiranya dia seorang yang baik pengurusannya, saya akan menjadi extra sensitif apabila meminjam bukunya. Kalau pemiliknya biasa-biasa saja, saya masih mahu menghormati buku itu.

Ketiga:
Andai semasa meminjam saya terlihat kecacatan pada buku, saya akan membaiki buku tersebut mengikut yang termampu. Adalah sejumlah buku orang yang saya pinjam, saya tolong balutkan kerana saya rasa saya perlu berbuat begitu. Saya puas melakukannya.

Keempat:
Pulangkan buku yang pinjam pada masa yang dijanjikan.

Malangnya, ramai peminjam buku + majalah saya tidak mengumpamakan harta saya langsung. Mereka wewenang menanggapinya. Saat mula mereka menyelak helaian-helaian buku dan majalah sudah bisa merobek hati saya. Kadang-kadang, rasa seperti tak mahu bagi pinjam langsung -- biar buruk di rak daripada diperlakukan sedemikian.

Paling menjerut rasa, bila buku + majalah yang cantik dan elok rupa bentuk pada mulanya, dipulangkan dalam keadaan yang sangat nazak. Siap ada tandatangan daripada selebriti yang tidak sepatutnya. Lebih malang ada bekas sambal, ubi lenyek dan sebagainya di muka surat tertentu. Sakit jiwa!

Berhadapan orang begini, memang awal-awal lagi dia akan masuk senarai hitam -- dan sememangnya tidak akan diputihkan walau hebat mana dia merayu.

Nasihat saya:
Elokkanlah urusan anda dengan harta orang, nescaya orang akan berlaku sama terhadap harta anda.

Saturday, March 22, 2008

A Thousand Splendid Suns by Khaled Hosseini


Kalau The Kite Runner mengambil masa kurang seminggu untuk saya baca, A Thousand Splendid Suns hanya dua hari telah diberesi. Mungkin kerana saiz buku yang besar berbanding yang sebelumnya membuatkan pembacaan saya lebih cepat. Atau, mungkinkah disebabkan akhir-akhir ini saya sering sukar tidur? Mana-manalah.

Kalau The Kite Runner mengambil latar kehidupan di Afghanistan melalui pandangan lelaki, A Thousand Splendid Suns adalah sebaliknya.


Ia bermula dengan kisah Mariam, seorang anak tidak sah taraf yang tinggal bersama ibunya di sebuah kawasan terpencil di Deh-Mazang. Walaupun Mariam anak tidak sah taraf, ‘bapa’ Mariam – Jalil Khan, seorang saudagar kaya seirng mengunjunginya dengan membawa hadiah yang menyenangkan dia. Jalil juga sering melayannya dengan baik dan lemah lembut. Ibu Mariam selalu mengingatinya bahawa Jalil hanya berpura-pura, namun Mariam tidak mengendahkannya.


Cerita Mariam menjadi tegang apabila dia pergi ke bandar untuk ke rumah Jalil tetapi kedatangannya tidak dialu-alukan. Apabila dia pulang ke kampungnya, ibunya telah menggantungkan dirinya kerana menyangka Mariam meniggalkannya untuk tinggal bersama Jalil.


Kesan daripada peristiwa itu, Mariam yang ketika itu berusia 15 tahun telah dikahwinkan oleh Jalil dengan seorang duda yang kematian isteri dan anak yang berusia lebih 20 tahun daripada usianya bernama Rasheed. Mariam menyimpan dendam terhadap Jalil dan belajar menerima Rasheed. Pada mulanya Rasheed digambarkan seperti “the gentle giant”, namun setelah Mariam keguguran anak, Rasheed mula menunjukkan sisi hitamnya. Dia menjadi lelaki yang tidak menghormati isteri dan memperlakukan Mariam semahunya. Dan, dengan sifat seorang perempuan yang naif, Mariam menerima segalanya.


Kemudian ditampilkan watak Laila – anak Fariba dan Hakim, jiran Mariam dan Rasheed yang lahir pada malam Revolusi Mujahideen, 1978. Laila adalah gadis ceria dan keletah. Dia juga seorang yang sangat bijak di kalangan kawan-kawannya. Laila menyimpan perasaan terhadap Tariq, anak seorang jiran yang lain.


Watak Laila dan Mariam dipertemukan sebagai madu setelah Rasheed mengahwini Laila apabila dia menolong Laila yang cedera parah semasa mahu berpindah keluar dari Afghanistan akibat terkena serangan peluru berpandu. Kedua ibu bapa Laila turut terkorban.


Oleh kerana Laila baru berusia 14 tahun, Rasheed sangat teruja dengan Laila. Dia kemudian memberikan layanan yang sangat istimewa kepada Laila dan ini membuatkan Mariam tertekan dengan cemburu. Peristiwa Laila mempertahankan Mariam daripada dipukul Rasheed akhirnya membuatkan Mariam mula menerima Laila.


Seperti The Kite Runner, Mariam adalah cuplikan watak Hassan – watak manusia yang tidak bernasib baik dalam kehidupan. Di akhirnya, Mariam dijatuhi hukuman mati oleh puak Taliban kerana kesalahannya membunuh Rasheed walaupun tindakannya adalah untuk mempertahankan Laila yang dibelasah Rasheed kerana bertemu Tariq, bekas kekasihnya di rumahnya. Laila sangat terhutang dengan Mariam dan cuba mencari cebisan yang hilang dalam kehidupan Mariam.


Cukuplah kan? Nanti kurang suspense nya.


Termenung seketika selepas membaca cerita ini. Walaupun ia adalah fiksyen, namun, kerana ia adalah adunan daripada realiti, saya tidak dapat menahan diri daripada menyesali nasib Mariam. Betapalah takdir Allah ke atasnya. Tak tahulah sama ada kita harus begitu, menuruti takdir dengan menerima segalanya dengan penuh kesabaran atau menjadi seperti Laila, sentiasa cuba untuk mengubahnya. Mungkin peringatan Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hinggalah kaum itu mengubahnya sendiri patut kita fahami dengan sebenar faham?


Mariam adalah lambang kekuatan seorang wanita yang tidak pernah bernasib baik dan Laila adalah simbol kecergasan akal seorang wanita. Adunan keduanya adalah sesuatu yang menyebabkan novel ini indah pada saya.


Novel ini juga memberitahu saya mengenai kebenaran mengenai puak Taliban yang dilabel sebagai ekstremis agama. Dengan segala bentuk dikri (decree) serta tindak tanduk mereka semasa memerintah, patut juga kita berasa gundah menghadapi kaum yang begitu. Saya menerima kekejaman Taliban kerana ia datang daripada true account mereka yang mengalami kesan pemerintahan kejam puak itu.


Akhirnya, yang dapat saya simpulkan – kita ini dijadikan Allah penuh dengan perbezaan dan ketidaksempurnaan. Jangan dipandang pada perbezaan itu, tapi tanggapilah ketidaksempurnaan kita sebagai melengkapi kesempurnaan sebuah kehidupan. Tidak faham?


Bacalah di antara baris-baris itu …

Wednesday, March 12, 2008

Lagu Kita

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap diarus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Pribumi merintih sendiri.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutup lah hati terkunci mati,
Maruah pribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kini sudah tiada masa,
Majulah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayukan gagah dinusantara,
Melayukan gagah dinusantara.


Saya tidak pasti asal-usul lagu ini. Tapi lagu inilah yang sering dilagukan semasa saya masih bersekolah lewat pertengahan tahun 80an. Saya dengar penciptanya adalah Naib Canselor UUM - Dat'' Nordin Kardi lah, kan? I like this man ...

Kali pertama mendengarnya, hati terus terpaut. Saya tidak faham mulanya, tapi bila diterangkan oleh seseorang yang memperkenalkan lagu ini, terus kagum saya pada setiap kata-katanya. Betapa lagu ini menceritakan apa yang kita lalui dan alami sekarang ini hasil daripada kelalaian kita.

Kenapa anak kecil main api?
Kerana apabila anak kecil yang belum pandai membezakan baik dan buruk bermain dengan sesuatu yang kecil menjadi kawan, dan besar menjadi lawan, padah yang maha besar akan menimpa. Lihat saja sekarang, padah pemimpin tidak mendengar nasihat orang lama, sengsara juga hidupnya.

Sekarang tidak pasti untuk menyatakan sama ada kita ini dalam masa berkabung atau kita sendiri yang ditalkinkan. Ramai yang bergembira dengan apa yang berlaku sekarang dan berpuas hati. Nampak seperti semuanya optimis dengan kelangsungan bangsa kita walaupun diperintah orang lain. Semoga optimistik itu ada asasnya untuk 5 tahun ini.

Namun, kiranya kita mengambil tetap bersorak biarpun kampung telah tergadai dan baju kertas telah terkoyak dan menelanjangkan sebahagian susuk kita, harungilah ia seperti mana kita mahukan sedari awal.

Ini pilihan kita. Pilihan yang telah kita timbangkan baik dan buruknya. Pilihan yang kita buat dan asaskan daripada pemikiran orang dewasa, bukan asas pemikiran anak kecil tadi.

Apapun, Melayukan gagah di Nusantara.

Retorik? Tunggu dan tengok sajalah.