Thursday, September 25, 2014

Reming... Dari Sungai Bayor ke Kalamazoo: Taaherah Zainuddin


Sekarang ini semakin ramai orang yang mula membukukan pengalaman hidup masing-masing. Bermula di blog, kemudian diteruskan menjadi naskhah bercetak. Fenomena ini sangat bagus kerana pastinya ia akan membanyakkan khalayak pembaca - kerana bukan semua orang mempunyai akses internet dan bukan semua yang tahan matanya membaca di skrin (saya salah seorangnya). Apatah lagi apabila satu-satu entri panjangnya bukan main.

Naskhah Reming... Dari Sungai Bayor ke Kalamazoo ini adalah hasilan rakan sekerja - Pn. Taaherah, pensyarah FSKM UiTM (Terengganu). Khabarnya dicetak dan dijual sendiri oleh penulis (banyak kerenah penerbit katanya).

Buku ini mempunyai sekuelnya - Taaherah... Dari Kalamazoo ke Teri Haute. Tapi buat masa ini, saya hanya baru selesai melunasi yang ini (setelah hampir satu sentengah bulan diperolehi daripada penulisnya sendiri). Yang lagi satu tu, entah bila lah pula akan mula dan berakhir. Jangan tak mula-mula, sudah. 

Pn. Taaherah yang saya kenali adalah seorang yang tidak banyak bercakap - namun bila membaca tulisannya di blog, ia seumpama mengenali seseorang yang lain - cool, funky dan penuh dengan kehidupan. Mungkin pada beliau menulis merupakan satu bentuk escapism dirinya. Semua orang pun mempunyai sifat ini. Saya pun tidak teerkecuali.

Bila beliau memberitahu bahawa buku-bukunya ini sudah dicetak, saya segera memesan. Macam yang saya selalu 'hint' kan - saya memang suka membaca catatan kehidupan orang lain. Setiap orang ada cerita sendiri. Cuma yang membezakan, bagaimana untuk mencantikkan penceritaan kita. Kira apa kalau realitinya ia sesuatu yang membosankan - asal kita pandai bercerita, ok sahaja. OK, itu sebenarnya persoalan lain. Mungkin boleh bikin kontroversi pula.

Reming merupakan nama timangan Pn. Taaherah di kalangan keluarganya - dan ia seakan kena dengan tema buku ini - to reminisce the past. 

Dengan menggunakan teknik penceritaan orang ketiga, Reming bercerita mengenai kehidupannya dari kecil sehinggalah beliau berjaya melanjutkan pelajarannya ke Universiti Western Michigan di Kalamazoo, USA. Cerita biasa, namun diceritakan dengan penuh 'innocent' dari mata seorang anak kecil. 

Reming dalam buku ini adalah anak manja ayah, dan adik yang disayangi abang-abangnya. Hidup dalam keluarga yang besar - sebelas beradik, Reming anak ke 8 - cerita Reming adalah nuansa biasa kehidupan keluarga Melayu sekitar tahun-tahun 1960an. Punyai ibubapa tipikal Melayu yang mencurah kasih sayang secara tidak langsung (bukan melalui peluk cium atau sentuhan fizikal), didikan yang lebih memberatkan perilaku tertib anak-anak gadis dan sebagaianya. Namun, Reming beruntung kerana ayahnya seorang yang agak terbuka pemikirannya - sanggup menghantar beliau ke sekolah aliran Inggeris di saat stigma belajar di sekolah Inggeris akan menjadikan anak-anak 'murtad' serta minat ayahnya yang suka membaca dan luas pembacaannya.

Selebihnya, cerita Reming juga membawa saya bersama 'pulang' ke daerah alam kanak-kanak saya kerana kebanyakan ceritanya punyai rasa yang sama apa yang saya lalui. Saya lahir di penghujung tahun 70an, dan cerita Reming banyak berkisar pada tempoh masa yang sama. Mungkin saya juga harus bercerita mengenai pengalaman itu juga. Tapi, ada yang mahu bacakah? Kisah saya yang bukan siapa-siapa .. hihihi.

Membaca cerita Reming juga memberikan rasa keterujaan kepada saya mengenai beberapa perkara - antaranya mengenai personaliti Kontek Kamariah, rancangan-rancangan radio dan televisyen yang digemari ramai seputar tahun-tahun itu, dan banyak lagi lah. Semua itu 'mengumpan' rasa seronok hidup di zaman itu - zaman yang kehidupannya sangat ringkas, santai dan penuh kebahagiaan. Saya kira, keterujaan itu besarnya pada familiarity cerita. Manusia kan aman dengan persekitaran yang familiar padanya?

Lagi satu yang menarik mengenai buku ini, adalah pada susunan penceritaannya. Ia tidak culang-caling walaupun pada sekilas pandang kenapa pada ketika ini kisah yang ini muncul? Kenapa tidak yang ini? Saya kira, susunannya buatkan saya menyaksikan sendiri bagaimana Reming membesar dari[pada anak kecil yang suka berseluar 'katok' dan tidak berbaju dan suka berendam lama-lama di sungai kepada anak gadis pintar yang cermat menjaga auratnya. 

Kekurangan buku ini?

Saya sangat sensitif dengan ejaan (walaupun saya menulis / menaip pun banyak yang salah). Bila bertemu dengan perkataan yang dieja dengan tidak sepatutnya, ia akan membuatkan saya rimas. Contohnya kata 'datok' (yang sepatutnya dieja datuk) dan 'tempohi' (sepatutnya dieja 'tempuhi' kerana 'tempoh adalah rujukan untuk masa dan keadaan). 

Selainnya, tiada kesalahan major - melainkan terkadang tanda bacaan yang diletakkan seakan tidak kena tempat serta setting spacing nya yang kadang-kadang terlalu rapat, dan ada kalanya agak jauh. Tapi, biarlah. Tak mencacatkan cerita pun. 

Mengenali Reming lewat buku ini, dan mengenali Pn. Taaherah secara peribadi, ia ibarat bertemu 2 orang yang berbeza. Sukar untuk percaya bahawa Reming itu, adalah Pn. taaherah yang sekarang. Pastinya ungkapan, tak kenal, maka tak cinta itu paling benar maksudnya. 

Kalau anda kenal Pn. Taaherah, bacalah buku ini, kemudian, ceritakan pada saya bagaimana anda memandang beliau sekarang? 

Hmmm ... Mmmm ... 


Thursday, September 4, 2014

Cabaran 10 buku

Ada trend terbaru di FB sekarang – List of 10 books that have stayed with you in some way challenge. Rasanya ini adalah cuplikan Ice bucket challenge yang sedang meriah berjalan di seantero dunia untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai penyakit ALS. Walau apa pun, ia tetap satu cabaran yang hebat.

Cabaran ini berakhir dengan meng’tag’ 10 orang rakan untuk melakukan benda yang sama.

Setakat ini, saya masih ‘selamat’ kerana belum ada yang tag saya. Tapi, ia juga adalah idea yang hebat untuk membuat satu entri di blog ini.


Maka, pilihan saya adalah:

(1) Budiku, Budimu – Mohd Ismail Sarbini

Image: Google

Buku ini say abaca semasa saya sekolah rendah. Ia sebenarnya adalah buku seorang rakan yang saya pindah milikkan kepada saya tanpa dia sedari. Cerita mudah mengenai Budin dan seorang remaja India (saya lupa namanya) yang tidak bermula dengan indah namun berakhir dengan menjadi sebuah perhubungan kekeluargaan apabila keluar Budin mengambil remaja India itu sebagai anak angkat 


(2) Cinta Seorang Guru – Mohd Ismail Sarbini

Image: Google

Merupakan bagaimana seorang guru lelaki (juga lupa namanya) menyintai seorang anak muridnya, Rasyidah kerana wajahnya yang mirip bekas tunangannya (kalau tak silap ingatan saya). Saya rasa, saya suka cerita ini kerana saya suka watak cikgu itu. Mungkin saya berharap saya juga akan jadi macam Rasyidah yang akhirnya berkahwin dengan cikgu sendiri. Hihi.


(3) The Client – John Grisham

Image: Google
Kisah bagaimana seorang peguam yang berusaha melindungi 2 beradik yang menjadi saksi kepada satu kes bunuh diri yang berdekatan kawasan tempat tinggal mereka. Selain plot yang menarik, saya suka bagaimana peguam itu membina hubungan dengan anak guam ciliknya.


(4) The Chamber - John Grisham 

Image: Google
Mengisahkan seorang peguam muda yang mewakili datuknya, seorang ahli Ku Klux Klan yang sedang menghadapi hukuman mati. Ingat-ingat lupa mengenai plotnya, yang saya ingat ada tusukan perasaan terharu apabila peguam itu (Adam) berbual dengan datuknya (Sam) saat-saat akhir sebelum hukuman mati dijalankan (tapi tak ingat juga apa yang dibualkan)… Arghh!


(5) Chicken Soup for teacher’s Soul – Jack Canfield and mark Victor (ed.)

Image: Google
Siri chicken soup for soul … Saya bukan berminat sangat untuk mengambil pengajaran daripada mana-mana buku self-help, tapi saya sangat menyukai topik yang satu ini kerana antara insan yang saya suka adalah mereka yang bergelar guru dan pendidik. Cerita-cerita bagaimana para pendidik ini menangani dan menanggapi masalah pelajar membuatkan buku ini seakan ‘bible’ saya yang sentiasa saya usung di dalam beg tangan saya,


(6) The kite Runner – Khaled Hosseini

Image: Google
Karya pertama Khaled yang say abaca atas desakan Kak Marina. Review nya di sini. Kisah mengenai persahabatan Amir dan Hasan, bermula sebagai anak tuan rumah dan anak orang gaji yang kemudian merungkai satu rahsia besar keluarga Amir.

Paling diingati:
"Hassan just incapable of hurting anyone."


(7) Travelog Cinta Abadi – Roza Roslan

Image: Google
Buku ini melekat di ingatan kerana latar tahun, pengalamannya tidak jauh beza dengan apa yang saya alami. Saya boleh menyelami rasa sedih dan gembira penulis kerana ada banyak persamaan cerita walau berbeza wataknya. Review nya di sini.


(8) Ketupat Cinta – Faisal Tehrani

Image: Google
Satira politik yang sangat mencuit hati. Pelbagai isu disatirakan. Apa yang buatkan saya teringat buku ini adalah kerana nama-nama watak yang boleh buat kita tersenyum-senyum gelihati. Habis baca, tapi malas mahu menulis review, akhinya terlupa hampir keseluruhan plot ceritanya.


(9) Bukan Kerana Pangkat – Tun Dr. Ismail dan Masanya (BM) – Ooi Kee Beng

Image: Google
Buku mengenai tokoh Negara yang jarang diceritakan – tidak habis baca. Kali pertama naskhah ini saya beli dalam Bahasa Inggeris, tapi akhirnya saya hadiahkan kepadaseorang rakan yang berpindah tempat kerja. Kemudian, saya beli pula naskhah di dalam Bahasa Melayu. Berkobar untuk baca dan menyelami semuanya, tapi dek banyak kerja yang entah apa-apa, masih tersimpan kaku di rak. Setakat yang dibaca, saya tertarik dengan budaya kerja yang ditunjukkan oleh  beliau dan ketegasannya.


(10) Madam Bokary - Sindiket Sol-Jah

Image: Yours Truly
Ini adalah buku indie terbitan Sindiket Sol-Jah. Pasti anda ada konotasi tersendiri apabila melihat perkataan indie itu, kan? Buku ini melekat di kepala, kerana, baru saja selesai baca masa cuti hari raya, dan duanya, berkira-kira mahu menulis review, tapi belum kesampaian. Serasa susahnya nak memilih kata yang sesuai. Kompilasi cerita pendek mengenai pandangan dan hubungan antara anak dan emak. Ada anak yang menulis dengan membayangkan mereka itu sentiasa dibuli oleh ibu mereka da nada yang bercerita bagaimana kasih saya emak mereka yang terus memberikan semangat untuk mereka hidup. Kerana buku ini juga, saya gigih mencari maklumat mengenai madame Bovary karya Gustave Flaubert. Baca, dan anda akan tahu kenapa.


Mengapa ada buku yang melekat untuk satu tempoh yang lama di dalam kepala kita, dan ada yang seusai habis membaca, terus terlupa jalan ceritanya?

Bagi saya, ia semudah perkataan “hubungan dan sentuhan”. Kerana ada rasa perhubungan dan sentuhan itulah, sesuatu buku kekal dalam ingatan. Dan, ia juga satu refleksi untuk kehidupan manusia. Perhubungan antara manusia punyai satu falsafah mudah, seperti yang ditulis oleh Maya Angelou:
“At the end of the day people won't remember what you said or did, they will remember how you made them feel.”


Maka, untuk sesiapa yang mahu turut serta cabaran ini, ini arahannya:

List of 10 books that have stayed with you in some way, go with your gut and don't think too hard. They don't have to be the 'right' book or great works of literature, just ones that have affected you in some way. 

Selamat mencuba!