Kenal pasti budaya membaca
KUALA LUMPUR 5 Feb. - Benarkah rakyat Malaysia hanya membaca purata dua buah buku setahun? Persoalan itu dibangkitkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang percaya bahawa keadaan itu jauh lebih baik pada masa sekarang.
"Tidak mungkin rakyat Malaysia masih lagi membaca dua buku setahun. Industri buku negara telah meningkat dengan purata 16,000 judul buku diterbitkan setahun. Jadi kita merumuskan keadaan itu telah berubah kini," katanya....
Bila saya membaca berita ini, saya tak tahu apa respon sepatutnya. Apa yang sebenarnya yang cuba disampaikan oleh pak menteri ini?
Rais berkata, kementeriannya akan menjalankan kajian terbaru bagi mengenal pasti situasi terkini terhadap budaya membaca dan tahap pembacaan di kalangan rakyat Malaysia. Katanya, kajian yang mengambil masa enam bulan itu akan dilaksanakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia bermula April ini….
Saya sebenarnya hairan. Dengan perkembangan industri buku di Malaysia, sambutan orang ramai yang datang ke PBAKL saban tahun, kementerian masih bergantung kepada kajian yang berusia puluhan tahun itu? Seingat saya, sedari saya mula pandai memaham data dan fakta, kajian itulah termasuk dalam fakta yang saya kumpul. Itu cerita 20 tahun lepas. Tak kan lah masih tiada kajian baru mengenai trend pembacaan rakyat Malaysia. Sungguh aneh.
Kalau beginilah keadaannya, patutlah dalam hal buku-buku di Malaysia ini, dasarnya kelihatan tidak berapa memberangsangkan. Sebagai contoh, pelepasan cukai hanya RM1000 bagi pembelian buku, mungkin polisi kerajaan menggunakan hasil kajian yang lapuk ini!
Tak fahamlah!
Tapi, saya masih optimis dengan janji menteri nan seorang ini. Moga-moga ada hasil yang bakal melegakan kita semua - kerana saya tak mahu menjadi sebahagian daripada statistik yang statik itu!
P/s: Pak Menteri, ini buku terbaru yang saya beli. Saya dah baca sampai ke halaman 31 dan ia bermula semalam! Tapi saya tak tahulah bila pembacaan saya akan habis T_T