Thursday, January 24, 2008

Sajak Untuk Melayu

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak

Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu (Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali

Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan; Suami pulang lapar tak makan"
"Kera di hutan disusu-susukan; Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?

Jangan takut melanggar pantang jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan jika percaya kepada keadilan

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

NOTA: Sajak ini adalah hasil nukilan Allahyarham Dato' Usman Awang, Sasterawan Negara1929-2001...

Wednesday, January 23, 2008

Kecek-kecek Awang Goneng



Buku ini asalnya adalah catatan di blog Tuan Awang Goneng (Wan A. Hulaimi) - seorang wartawan yang based di London. Saya menemukan blog dia apabila saya melayari blog isterinya, Kak Teh. Semuanya pun secara tidak sengaja. Memang itulah kebetulan dalam internet ini, kan? Ketidaksengajaan.

Buku ini saya baca sedikit demi sedikit, dan hingga ke hari ini, baru berkesempatan membaca kurang daripada 7 bab. Kenapa begitu? Pertama, kerana saya rasa sayang nak menghabiskan sekaligus (betul kah begitu? Hmmm). Keduanya, sebab saya nak merasai dan membayangkan apa yang ditulis oleh penulis. Jadi, saya masih tidak boleh mengulas dengan sepenuhnya apa yang saya perolehi daripada buku tersebut. Walau bagaimanapun, anda boleh ke blog penulis tersebut, dan nikmatilah tulisan beliau di sana.

Sebenarnya saya mempunyai "love-hate relationship" dengan negeri Terengganu (atau Trengganu seperti yang dirujuk oleh Awang Goneng). Saya datang kali pertama pada tahun 1995 sebagai pelajar UIA yang "digunakan" di dalam perjanjian menaikkan taraf KUSZA sebagai univeristi kolej. Datang secara paksa begitu memang membuatkan saya membenci apa sahaja di Terengganu ini - makanannya, orangnya dan segala-galanya!

Setelah meninggalkan bangku universiti, saya kembali semula ke Terengganu pada penghujung 2003 untuk mencari rezeki di sini dan bermula detik itu, saya mula jatuh cinta dengan negeri ini (belum lagi dengan sesiapa yang istimewa di sini!). Saya mula belajar memahami dan menghayati keunikan dan kecantikannya. Saya kira, kalau buku ini diterbitkan pada sekitar 1995, pasti saya tidak akan memandangnya langsung!

Gaya penceritaan Awang Goneng membuatkan saya boleh "relate" segala penceritaannya dengan apa yang saya saksikan selama ini di Terengganu. Gaya bahasa yang indah, membuatkan saya terbuai. Malah, beberapa kali saya tertawa sendirian apabila membaca perkataan-perkataan Terengganu yang kedengaran lucu dila dituturkan. Setakat ini, saya menggemari ceritanya berkenaan "beleda" ibunya. Kelakar! Ah, anda patut membacanya!

Saya juga bercita-cita untuk menulis sesuatu yang dekat dengan saya (seperti apa yang Awang Goneng buat) ... namun, tidak pasti sama ada ia akan menjadi nyata atau tinggal sebagai mimpi. Doa-doakanlah ya ...

Saya tak habis senyum pada catatan ini:

What is your neng? (name)

My neng is Awang Goneng ... hehehehe ...

Thursday, January 17, 2008

Tuhan Manusia by Faisal Tehrani

Picture credit: UjanaIlmu

Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama


Faisal Tehrani adalah seorang penulis yang cukup saya gemari karyanya. Melazimi karyanya di Dewan Siswa sekitar tahun 90-95, saya tidak akan melepaskan apa sahaja karyanya. Puas membaca, kerana usai membaca, banyak ilmu yang saya perolehi. Inilah sebenarnya kepuasan pembacaan pada saya.

Tuhan Manusia sebenarnya telah lama saya perhatikan. Namun, banyak benar halangan untuk saya memperolehinya. Berkunjung ke MPH Mid Valley penhujung tahun lalu, buku ini saya beli dengan harga baucer tawaran – RM1.90. Pun begitu, buku ini usai saya baca sebulan kemudian. Rasa sedih, bila pembacaan sampai ke akhirnya.

Banyak review yang telah diberikan oleh pembaca terhadap buku ini. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Malah, ada yang menuduh, Faisal sengaja mengunjukkan rasa marahnya terhadap orang-orang yang tidak dipersetujui beliau. Walau apapun bicara mereka, saya tetap akan membaca dan tidak akan menghiraukan kutukan atau pujian yang diterima Faisal kerana ilmu itu tidak dilihat kepada siapa yang memegangnya, tapi lebih kepada apa manfaatnya.


Berbalik kepada buku ini, kupasan Faisal mengenai logika konsep pluralisme dan liberalisme yang keterlaluan dalam agama memudahkan penghadaman saya sedikit sebanyak tentang falsafah di sebalik semua ini. (Oh, saya antara mereka yang ‘allergic’ membaca karya-karya yang berbentuk falsafah dan jarang saya ketemu titik akhir kefahaman saya di situ!).

Faisal memulakan cerita dengan sebuah kekecewaan seorang anak sekolah terhadap tragedi yang berlaku di dalam keluarganya. Abangnya murtad ke agama Kristian, ayahnya menjadi lebih pendiam dan memendam perasaan dan ibunya meniggal dunia. Bertitik tolak daripada semua itu, Ali Taqi menjadi seorang remaja yang matang dan lebih terkedepan pemikirannya.

Walaupun watak Ali Taqi is too good too be true, saya masih boleh menerima kerana saya tidak melihat ketidakwajaran seorang anak sekolah berfikiran begitu. Dan, bila Faisal memperkenalkan watak Zehra, saya makin teruja untuk memahami kupasan ilmu falsafah keagamaan di tangan Faisal.

Satu keistimewaan Faisal, adalah pada kemahirannya merungkai sesuatu yang relatifnya sukar kepada sesuatu yang mudah difahami. Lewat karya ini, saya belajar bagaimana pluralisme menjadi satu ancaman kepada kesyumulan Islam seluruhnya dan mengumpul lebih banyak idea untuk menjadikan justifikasi saya terhadap kehodohan liberalisme yang berlebihan yang disokong-sokong oleh sebahagian umat Islam sekarang ini.

Namun, saya sedikit terkilan pada pengakhirannya. Kerana apa?

Apabila Ali Taqi diusiakan sebagai orang dewasa (setelah selesai cerita dia pulang daripada umrah dan kematian abangnya), dan menyambung hubungan kekeluargaan dengan saudara sahabatnya Tse, Ali Taqi kelihatan seperti seorang profesor falsafah yang membosankan (seperti kebanyakan profesor yang ahli dalam bidang ini yang sering saya temui semasa di universiti dulu). Ini terlihat bila Ali Taqi memberikan jawapan-jawapan ‘biasa’ semasa beliau dipanggil berceramah kepada ahli FASEH. Tidaklah saya tahu apakah ini kesengajaan yang Faisal buat setelah memotretkan Ali Taqi sebagai remaja yang luar biasa kefahamannya mengenai Islam.

Apapun, karya hebat seperti ini akan saya baca berulang kali (mungkin saya akan skip bahagian akhir cerita ini!) dan insyaAllah, saya akan cuba untuk melazimi soalan-soalan falsafah keagamaan dengan sedikit serius. (hmmmm … bolehkah?)

Saturday, January 5, 2008

Kunjungan yang bermakna ...

Pada 31 Disember 2007 yang lalu, kotak email saya berbunyi menandakan ada pesanan yang masuk.

"Oh, ada seseorang memberi komen di blog saya rupanya ..."

Setelah login masuk, terus saya membuka komen tersebut. Komen daripada En. Adialhadi ... gembiranya saya ...

Setelah sekian lama saya menulis di blog ini, sudah 2-3 kali juga blog tak seberapa ini dikunjungi nama-nama pengarang yang saya baca buku atau tulisan mereka.

Bangga? Memang saya bangga ... ia ibarat berjumpa dengan idola kita dan berpeluang berborak dengan penuh keterujaan... terima kasih buat Amir Muhammad, Lydia Teh dan Adialhadi. Komen mereka, walaupun hanya 2-3 patah perkataan, sangat membuatkan hati saya berbunga-bunga ...

Saya rasa sangat terharu bila Adialhadi menyatakan bahawa beliau suka dengan cara saya menulis ... emmm ..

Seperti biasa, saya akan menjadikan diri penuh rasa rendah diri .. tapi dalam masa yang sama rasa sangat terawang-awang dipuji begitu .. hehehe!!!

Untuk semua yang sudi berkunjung dan 'membuang masa' anda membaca sesuatu yang mungkin "ntahapapantah" daripada saya .. sejuta perhargaan daripada saya ...

Semoga, apa yang saya tulis melalui jiwa dan rasa saya (seperti nama saudara Jiwarasa) ... akan boleh sampai ke jiwa dan rasa anda juga ...