Andai kota itu peradaban, rumah kami adalah budaya, dan menurut ibu, tiang serinya adalah agama
Faisal Tehrani adalah seorang penulis yang cukup saya gemari karyanya. Melazimi karyanya di Dewan Siswa sekitar tahun 90-95, saya tidak akan melepaskan apa sahaja karyanya. Puas membaca, kerana usai membaca, banyak ilmu yang saya perolehi. Inilah sebenarnya kepuasan pembacaan pada saya.
Tuhan Manusia sebenarnya telah lama saya perhatikan. Namun, banyak benar halangan untuk saya memperolehinya. Berkunjung ke MPH Mid Valley penhujung tahun lalu, buku ini saya beli dengan harga baucer tawaran – RM1.90. Pun begitu, buku ini usai saya baca sebulan kemudian. Rasa sedih, bila pembacaan sampai ke akhirnya.
Banyak review yang telah diberikan oleh pembaca terhadap buku ini. Ada yang bersetuju dan ada yang tidak. Malah, ada yang menuduh, Faisal sengaja mengunjukkan rasa marahnya terhadap orang-orang yang tidak dipersetujui beliau. Walau apapun bicara mereka, saya tetap akan membaca dan tidak akan menghiraukan kutukan atau pujian yang diterima Faisal kerana ilmu itu tidak dilihat kepada siapa yang memegangnya, tapi lebih kepada apa manfaatnya.
Berbalik kepada buku ini, kupasan Faisal mengenai logika konsep pluralisme dan liberalisme yang keterlaluan dalam agama memudahkan penghadaman saya sedikit sebanyak tentang falsafah di sebalik semua ini. (Oh, saya antara mereka yang ‘allergic’ membaca karya-karya yang berbentuk falsafah dan jarang saya ketemu titik akhir kefahaman saya di situ!).
Faisal memulakan cerita dengan sebuah kekecewaan seorang anak sekolah terhadap tragedi yang berlaku di dalam keluarganya. Abangnya murtad ke agama Kristian, ayahnya menjadi lebih pendiam dan memendam perasaan dan ibunya meniggal dunia. Bertitik tolak daripada semua itu, Ali Taqi menjadi seorang remaja yang matang dan lebih terkedepan pemikirannya.
Walaupun watak Ali Taqi is too good too be true, saya masih boleh menerima kerana saya tidak melihat ketidakwajaran seorang anak sekolah berfikiran begitu. Dan, bila Faisal memperkenalkan watak Zehra, saya makin teruja untuk memahami kupasan ilmu falsafah keagamaan di tangan Faisal.
Satu keistimewaan Faisal, adalah pada kemahirannya merungkai sesuatu yang relatifnya sukar kepada sesuatu yang mudah difahami. Lewat karya ini, saya belajar bagaimana pluralisme menjadi satu ancaman kepada kesyumulan Islam seluruhnya dan mengumpul lebih banyak idea untuk menjadikan justifikasi saya terhadap kehodohan liberalisme yang berlebihan yang disokong-sokong oleh sebahagian umat Islam sekarang ini.
Namun, saya sedikit terkilan pada pengakhirannya. Kerana apa?
Apabila Ali Taqi diusiakan sebagai orang dewasa (setelah selesai cerita dia pulang daripada umrah dan kematian abangnya), dan menyambung hubungan kekeluargaan dengan saudara sahabatnya Tse, Ali Taqi kelihatan seperti seorang profesor falsafah yang membosankan (seperti kebanyakan profesor yang ahli dalam bidang ini yang sering saya temui semasa di universiti dulu). Ini terlihat bila Ali Taqi memberikan jawapan-jawapan ‘biasa’ semasa beliau dipanggil berceramah kepada ahli FASEH. Tidaklah saya tahu apakah ini kesengajaan yang Faisal buat setelah memotretkan Ali Taqi sebagai remaja yang luar biasa kefahamannya mengenai Islam.
Apapun, karya hebat seperti ini akan saya baca berulang kali (mungkin saya akan skip bahagian akhir cerita ini!) dan insyaAllah, saya akan cuba untuk melazimi soalan-soalan falsafah keagamaan dengan sedikit serius. (hmmmm … bolehkah?)
6 comments:
http://jimadieshah.blogspot.com/
Siaran Akhbar
5 Februari 2008
Middle-Eastern Graduates Centre (MEGC) berasa sangat terkejut dan sungguh kesal dengan tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) mengharamkan buku “Islam dan Pluralisme” terbitan MEGC, bersama 10 buku lain, seperti dilaporkan di media pada 29 Januari dan 30 Januari 2008.
Selain kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak KKDN berhubung pengharaman tersebut sangat kabur dan sewenang-wenangnya, kami juga melihat pengharaman ini sebagai suatu langkah yang bercanggahan dengan semangat keilmuan dan kemajuan seperti diharap-harapkan oleh idea-idea asas Islam Hadhari yang diterajui oleh YAB Dato’ Seri Perdana Menteri.
KKDN tidak memaklumkan perkara ini kepada pihak kami dan tidak juga menyertakan sebarang justifikasi atau bukti kukuh bagi menyokong tindakan mereka.
Buku “Islam dan Pluralisme” diterbitkan, bertujuan antaranya, sebagai satu perbahasan untuk mengulas fatwa Majelis Ulama Indonesia (MUI) yang mengharamkan pluralisme, liberalisme, dan sekularisme. Selepas fatwa ini, beberapa pihak di Malaysian telah menyusun beberapa rencana—menerusi perbincangan dan penulisan—bagi menyokong fatwa tersebut.
Pada waktu itu, tiada suatu usaha pernah diambil untuk memberikan penjelasan atau penerangan yang berimbang berhubung fahaman-fahaman tersebut di negara ini. MEGC menerbitkan “Islam dan Pluralisme” sebagai satu tawaran bagi melanjutkan perbahasan ilmiah tentang perkara tersebut.
Menyedari bahawa pluralisme bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam tradisi keilmuan Islam, kami mengutip dan menterjemahkan beberapa tulisan yang cuba menjelas realiti kejamakan (plurality) dan pluralisme keagamaan dalam teks-teks agama (Al-Quran dan hadis), sejarah, tradisi, dan idea-idea yang terkandung di dalam karya para sarjana agung Muslim, khususnya daripada aliran sufisme.
Kami juga berasa keliru dengan kenyataan pegawai KKDN Che Din Yusoh yang dipetik sebagai berkata, bahawa “Sekiranya penerbitan itu dibiarkan, ia boleh menimbulkan kekeliruan dan kegelisahan di kalangan umat Islam dan seterusnya boleh memudaratkan ketenteraman awam.”
Pada hakikatnya, penerbitan buku “Islam dan Pluralisme” itu dibuat sebagai salah satu usaha dan sumbangan kami ke arah mengembangkan masyarakat beragama yang lebih berlapang dada serta hidup dengan lebih harmoni di tengah kepelbagaian bangsa, agama, dan budaya seperti di Malaysia.
Justeru itu, kami berasa hairan dengan tindakan pengharaman buku ini kerana langkah ini tidak membantu usaha-usaha membentuk sebuah keluarga besar bangsa Malaysia yang saling memahami, berfikiran terbuka dan dipertalikan oleh semangat kemanusiaan.
MEGC akan menghantar surat kepada pihak KKDN secepat mungkin untuk meminta penjelasan, alasan terperinci, dan justifikasi bagi pengharaman tersebut. MEGC juga mengharapkan KKDN menimbangkan semula pengharaman ini dan menarik balik larangan ini.
Al-Mustaqeem Mahmod Radhi
Pengarah Eksekutif
Diambil dari blog http://gapuradiri.blogspot.com/
Thursday, October 30, 2003
Artikel di bawah adalah hasil ihsan saudara Fathi Aris Omar
Merobek-robek citra Cak Nun
Emha Ainun Nadjib, penyair dan penggiat masyarakat di Jawa Timur, datang ke Malaysia dengan acara seni yang ketat. Selain persembahan bersama kumpulan gamelan Kiai Kanjeng, budayawan ini juga menyampaikan pidato umum di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Emha, yang juga popular sebagai Cak Nun, memang sasterawan dan penulis kolum yang berani mencabar Orde Baru sejak awal 1980-an lagi. Beliau kini bergerak sangat aktif bersama kumpulan muziknya dalam pelbagai kegiatan masyarakat – seolah-olah seorang penggerak politik di peringkat akar umbi.
Dalam bicaranya Selasa lalu, dengan jimat tetapi tepat, Cak Nun merumuskan kedudukan seni, seniman, budaya, perjuangan bangsa Indonesia dan cabaran globalisasi. Dia juga tidak segan silu menyebutkan kewajiban seniman dalam proses politik.
"Saya sekarang tidak lagi bergiat aktif dalam politik. Tetapi jika pemimpin politik bersifat diktator (seperti presiden Soeharto), seniman (Indonesia) tentu akan berperanan lagi," katanya, sepintas lalu begitu, menjelaskan hubungan dirinya dengan tekanan politik, khasnya tangkapan polis.
Emha termasuk lima tokoh di republik itu, bersama sarjana besar Nurcholish Madjid (Cak Nur), menulis surat bagi menggesa presiden Soeharto meletakkan jawatan pada saat-saat genting reformasi Mei 1998.
Mereka berdua juga adalah antara tokoh yang mencadangkan pembentukan jawatankuasa reformasi bagi menggantikan kabinet Soeharto dan pembentukan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) yang baru – walaupun saranan ini digagalkan oleh projek politik Amien Rais (waktu itu bersama Adnan Buyong Nasution dan Goenawan Mohamad).
Kebangkitan siswa
Emha (kiri), teman rapat bekas presiden Abdurrahman Wahid (Gus Dur) dan WS Rendra, sudah banyak kali membela rakyat yang tertindas dan sering berada di belakang bantahan siswa reformasi lima tahun lalu. Dia juga dekat dengan anak-anak muda beraliran kiri Partai Rakyat Demokratik (PRD), kelompok awal yang mencabar Orde Baru sebelum kebangkitan sistematik siswa Indonesia pada awal 1998.
"Emha terus berjuang melalui kesenian bagi menyelamatkan jiwa raga rakyat yang bermasalah dari rejim Soeharto ke Habibie, ke Gus Dur dan kini Megawati," tercatat dalam buku ringkas terbitan pihak penganjur, Persatuan Penulis Nasional (Pena), sempena kunjungan seniman ini sejak 18 Oktober lalu.
Dalam wawancara ringkas dengan sekumpulan wartawan (termasuk saya), Emha mengingatkan kita agar tidak terlebih-lebih memandang tinggi seni dan seniman di mata masyarakat. Sebaliknya dia mencadangkan pendidikan politik – menggunakan seni – bagi memberdayakan rakyat, khususnya sebagai ‘pertahanan budaya’ ketika mendepani arus deras globalisasi yang ditunggangi kaum pemodal dan budaya konsumerisme.
Walau penuh warna-warni dan misali sekali Cak Nun – sama juga kedudukan Pramoedya Ananta Toer, Rendra atau Goenawan – tetapi seniman, budayawan dan intelektual kita selalunya juling atau rabun.
Oleh itu bicara Emha sebagai seniman independen dalam konteks kehidupan bernegara di republik itu, walau bernas dan relevan dengan kita di Malaysia, akan berlalu begitu sahaja.
Jika dia datang lagi dan berbicara beberapa kali di negara kita (termasuk kepada khalayak yang sama), begitulah sikap budayawan, seniman dan cendekiawan kita: menyaring dan terus menyaring Cak Nun!
Pendukung utama
Emha dan Kiai Kanjengnya akan hanya dinikmati serta diingati sebagai ketua kumpulan pemuzik gamelan, yang hadir bersama isterinya yang comel dan gemar berceloteh isu-isu semasa. Wawasan seninya, peranan kesenimanannya dan saranannya kepada kita boleh sahaja diabaikan.
Lihat laporan-laporan Berita Minggu (ruangan ‘Sang Lamri’ dan Mingguan Malaysia (bahagian ‘Pancaindera’) semalam – bagaimana media arus perdana menyaring citra menyeluruh Cak Nun dan membawa imej biasa selebriti, seolah-olah Britney Spears, Aishwarya Rai atau Sarimah Ibrahim.
Goenawan (kiri) pernah hadir atas jemputan rasmi birokrasi seni negara ini tetapi bekas pemimpin Tempo ini hanya dikenang sebagai penulis, budayawan atau pemikir Indonesia yang tinggi nilai prosa dan cendekianya.
Mas Goen, nama pendeknya di kalangan aktivis, tidak akan diingat sebagai pendukung utama kebebasan berfikir dan bersuara seperti pembabitannya menubuhkan Institut Studi Arus Informasi (ISAI) dan juga tulang belakang Aliansi Jurnalis Independen (AJI) bagi mendobrak tekanan politik Soeharto terhadap kebebasan media sejak 1994.
Novel Pram atau puisi Rendra mendapat ikutan yang luas juga di sini tetapi cukuplah nilai sastera karya mereka dinikmati. Lupakan proses politik dan peranan yang menjadikan dua tokoh ini bermakna dalam konteks karya dan negara mereka.
Kita sukar lekang daripada filem-filem Hindi, khususnya sebelum kebangkitan era filem cinta Kuch Kuch Hota Hai beberapa tahun lepas. Tetapi kita, khasnya kaum ibu dan wanita, tidak pernah mempelajari yang jernih daripada filem-filem Bollywood itu sejak 1970-an – tentang perjuangan menentang penindasan ke atas rakyat bawah, rasuah, kebejatan sistem kehakiman, penyelewengan polis atau sikap buruk golongan kaya.
Penyaringan budaya
Bagi kita, filem Hindi hanyalah lagu-lagu dan tariannya yang mengasyikkan, heronya yang kacak dan pasangannya yang manis! Penyaringan yang sama berlaku pada muzik underground dan pop kita.
Emha, ketika berbicara di DBP pada 21 Oktober, hanya seorang penyajak yang cuba memasyarakatkan puisi. Kita enggan mengangkat wawasan seninya. Malah, jika ada di kalangan kita yang mengangkat wawasan seni Emha, kumpulan ini dianggap pelik walaupun nada serta fokusnya sama sahaja dengan Emha.
Cak Nun – pada mata kita – bukan penggiat sosial independen serta seniman yang mempunyai peranan politik nasional dan pembina sosio-budaya rakyat bawahan di celah-celah kekalutan Indonesia.
Penyaringan budaya atau menyusun semula konteksnya daripada simbol atau makna asal sering terjadi di negara kita, sesuai dengan cita-cita kerajaan untuk menyahpekakan politik daripada segenap segi kehidupan, termasuk kesenian atau budaya pop.
Soeharto memang mahu budaya atau seni pop yang gersang politik, sementara presiden Soekarno pula ingin seni dan budaya dipolitikkan mengikut citarasa nasional dan ideologi negara.
Tetapi Rendra, Goenawan, Emha, Pramoedya, Iwan Fals atau Wiji Thukul sering mengembalikan makna serta resah kepolitikan seniman dalam luahan kreatif mereka walau terpaksa berdepan dengan kekuatan jentera politik pemerintah masing-masing.
Ruang idealisme
Namun dimensi seumpama inilah yang tidak mahu diiktiraf oleh budayawan dan seniman Malaysia. Mereka tidak sanggup bergelut dengan kesenimanan seumpama ini, lalu mereka merobek-robek makna dan citra syumul seniman-sasterawan Indonesia.
Budayawan dan seniman kita dihantu bayang-bayang estetik luahan seniman dari negara jiran tetapi tidak sanggup memikul peranan kepolitikan yang turut mengangkat darjat mereka di republik itu.
"Seperti yang disebut oleh (sasterawan muda berbakat dan terkenal) Faisal Tehrani … kita tidak boleh menggunakan situasi di Indonesia untuk mewajarkan ruang idealisme di Malaysia," tulis SM Zakir, juga pengerusi forum ‘Seni dan Politik’ awal tahun ini.
"Dan bagi saya pula, sehebat mana pun Goenawan Mohamad, WS Rendra dan Pramoedya di mata Fathi (Aris Omar), mereka tidak menyumbang apa-apa kepada pembentukan ruang awam di Malaysia," tambah penulis muda ini, dalam polemik ringkas kami tentang keperluan ruang awam untuk kelangsungan seni budaya.
Pada minggu lepas, di DBP, saya tidak fikir kumpulan seniman dan budayawan yang mengikuti bicara Emha itu dapat menerima kebulatan ideanya. Cak Nun akan disaring dan dirobek-robekkan.
Penyaringan itu pula sejajar dengan kehendak "meta-wacana" yang dipopularkan oleh pihak berkuasa negara ini – penyahpolitikan seni dan budaya. Kerana terlalu biasa, mungkin seniman, sasterawan dan cendekiawan kita tidak sedar mereka sering menapis.
Hakikatnya, pertembungan budaya asing di negara-negara lain, atau antara kumpulan-kumpulan sosial, sering berlaku. Gejala penyaringan atau penyusunan semula konteks tidak ganjil.
Budaya pop Amerika
Penafsiran semula simbol atau makna dalam hubungan antara budaya, atau interculturalism, selalunya berlaku untuk mengelak kesan-kesan yang dianggap "merugikan" kumpulan penerima. Sering, para pengawal dalam kumpulan penerima – atas nama politik, agama, budaya atau ekonomi – akan memburuk-burukkan kehadiran budaya baru.
Kedatangan budaya pop Amerika Syarikat di negara Eropah Barat atau Jepun sering digambarkan buruk. Misalnya, pihak berwajib di dua wilayah ini sering menuduh budaya pop Amerika membawa "kewanitaan yang berdaya seksual dan kejantanan yang berlebihan"
Pada hakikatnya, hujah Heide Fehrenbach dan Uta Poiger ialah negara Eropah Barat dan Jepun bertujuan menolak produk budaya yang diimport dari Amerika dan mengongkong tingkahlaku pengguna, khususnya wanita, yang menjadi sasaran utama iklan dari negara itu. Budaya pop Amerika menggoncang kepentingan ekonomi-politik mereka, bukan soal imej atau takrif kejantinaan.
Saya kira, usaha merobek- imej Pramoedya, Rendra, Goenawan atau Emha di sini, datang daripada kebaculan, kejahilan serta kemalasan seniman dan budayawan kita. Seniman dan budayawan yang terlalu lama dibelai oleh subsidi dan kebergantungan kepada kerajaan.
Seniman dan budayawan kita, khususnya yang tua-tua, tidak mungkin berjaya mencerahkan minda kita, apatah lagi menganjak peradaban bangsa. Mereka enggan melihat pertembungan budaya, dalam konteks ini, hubungan Malaysia-Indonesia, sebagai langkah menyiasat kelemahan diri dan akur pada kebenaran yang lebih tinggi.
Dalam bahasa lebih ilmiah, "wacana antarabudaya", kata Bonnie Marranca.
Mereka enggan mencari kebenaran yang lebih dalam dan tuntas, seperti telah disuarakan oleh wakil muda mereka, Faisal Tehrani dan SM Zakir.
http://habri.blogspot.com/2003_10_01_archive.html
Salam kak fisha,
Saya sempat menghadam novel ini dan sempat lagi mebacanya kali kedua di bumi UK ini. Saya memahami akan permasalahan Ali Taqi dan ancaman pluralisme dan liberalisme dalam Islam. Secara peribadi, saya pernah berhadapan dengan segelintir penyokong fahaman sonsang ini terutamanya di sekolah undang-undang saya hahahha...
Memang banyak persoalan berkaitan falsafah dan buku ini agak berat juga, macam baca khutbah pun ada,FT pun banyak berleter saya kira hahaha.. tapi leter-leter pun memang banyak ilmu saya pelajari.
Bagi saya walaupun polemik sebegini menuntut pemahaman dan sikap mencari ilmu yang tinggi, saya seronok dapat menghadamnya. Jarang orang-orang kita terutama yang muda mahu berfikir akan permasalahan melanda umat Islam kini.
Ikmal,
Rasanya ramai orang muda yang mahu cakna dan prihatin dengan masalah umat Islam - namun, kebanyakan karya yang membolehkan mereka sama turut membantu ditulis dengan rasa syok sendiri.
Syok yang bagaimana?
Kalau yang berpendidikan di timur tengah, penuh karyanya dengan nas-nas dan dalil bagi menunjukkan luas bacaan dan panjang pengetahuannya dan kalau berpendidikan barat penuh dengan teori yang sangat janggal dan tidak mesra pembaca. Bukan tak bagus begini … namun khalayak yang mampu memaham karya sebegini tidak banyak.
Mengajar dalam bahasa mudah dan popular lebih mudah dihargai daripada menerangkan teori dan dalil yang gah kedengaran, padahal yang menulis pun sekadar cut and paste sahaja. Teringat kata Puan Ainon PTS, jangan menulis kerana mahu meng”impress”.
Penulis yang bijak adalah orang yang boleh memahamkan benda yang susah dengan bahasa yang mudah.
Maka, karya FT antara yang mudah dicerna ... Malangnya, dia dituduh pula mempermudahkan urusan agama ...
Aduhai ...
Kak fisha,
Saya tertarik pada pandangan kak tentang menulis untuk memudahkan masyarakat memahami.Saya tak nafikan apabila menjadi pelajar undang-undang saya akan menulis dengan bahasa yang adakala agak 'tinggi' sampaikan layman juga sukar untuk mencerna.
Tetapi masalah yang timbul pula apabila saya cuba menulis dalam 'plain English' dianggapnya pula saya ini tidak fasih berbahasa 'Queen" English. Aduhai mesej yang saya adakala cuba sampaikan dikatakan 'rendah' kerana saya menggunakan bahasa yang mudah!
Aduh, bila masyarakat Malaysia mahu berubah?
Ikmal,
Satu hal yang saya beljar semasa menghadiri kursus English for Effective Teaching bulan lepas menerangkan konsep KISS - keep it short and simple.
Walaupun itu apply untuk memberi kuliah, saya rasa ia juga boleh diaplikasi dalam penulisan.
Ikmal,
Usahlah terkesan dengan tuduhan puak minoriti tu ... manfaat public lagi besar daripada tuduhan mereka. Pasti Ikmal pernah dengar: takkan hilang bisa ular menyusur akar, kan?
Ikmal sudah lupa nasihat Ikmal kepada saya dalam entri Ikmal "Pensyarah Kena Menulis"? Teruskan amalan nasihat yang itu ... lupakan yang laiiiin ...
Post a Comment