picture credit: Google
Buku ini dah lama saya nantikan - sedari PBAKL 2011 yang lalu -- sehinggalah berkesempatan membelinya pada minggu lepas selepas habis menonton Kung Fu Panda 2 yang kelakar itu. Saya dapat beli di Popular Jusco Bukit Raja (bersama diskaun Ramadhan 10% katanya). Dan, sekejap sahaja saya khatam ~~ boleh cepat habis sebab saya menunggu lama di Subang Airport untuk balik ke Terengganu (hampir 2 jam tanpa ada aktiviti yang menarik).
Seperti buku yang terdahulu, buku ini juga diambil dari entri di dalam blog Pn. Roza ~~ yang sudah saya baca kesemuanya. Tapi, bila dibaca dalam bentuk buku begini, lain cerita dan perasaannya. =)
Kalau yang pertama dulu, berkisar pada cerita penulis pada usia kanak-kanak dan awal remajanya, yang kedua ini berkisar pada fasa kedua kehidupannya - kehidupan semasa dan selepas universiti. Kiranya Travelog Impian Abadi membawa kita menikmati sama apa impian penulis dan bagaimana dengan impian ia menjadi satu realiti.
Satu perkara yang saya senang bila membaca karya Pn. Roza adalah kerana saya masih boleh 'relate' banyak perkara yang diceritakan - maksudnya, saya masih boleh membayangkan apa yang dikisahkan kerana latar zaman yang saya kira tak jauh daripada zaman yang saya lalui.
Moral: Sejarah lebih mudah dikenang dan dihayati sekiranya yang mahu mengingatnya dapat 'relate' dengan apa yang diceritakan --- moral sangatlah tu ...
Dan, ya, ada ketika apabila sampai pada halaman tertentu, ia sangat mengganggu emosi saya - kerana Pn. Roza sangat jujur mengakui apa yang dia rasa. Tanpa segan silu. Ada fragmen tertentu dalam buku ini yang sangat dekat di hati saya - namun yang berbeza, saya tidak akan mampu menzahirkannya seperti apa yang ditulis oleh penulis. Berkali-kali saya menahan diri dari tidak cembeng bila membacanya (mujurnya tiada siapa yang duduk di sebelah saya semasa saya menunggu flight dan di dalam penerbangan -- kalau tak, haru juga).
Kisah Mak Wa masih juga yang menjadi yang paling menarik pada saya - terutamanya pada bab Bersama Mak Wa dan Mas Kahwin Mak Wa. Saya menjadi lebih emosi kerana saya pernah ada 'Mak Wa' yang begitu, namun saya mengambil keputusan untuk menjauhi diri daripada Mak Wa saya itu apabila saya makin berusia. Saya tak tahu di mana silapnya, dan saya tidak pernah cuba untuk memperbaiki perhubungan itu. Saya memang pandai menafi dan menyembunyikan perasaan sehingga tidak tahu bagaimana mahu meluah perasaan. 'Mak Wa' saya masih ada, tapi saya tak pasti apakah saya mahu memilih untuk memperbaiki hubungan itu atau meratap sendiri apabila salah seorang dari kami pergi nanti. Doa saya kepada Allah -- permudahkanlah bagi saya dalam perhubungan ini. Amin.
Selain itu, saya selalu tertarik pada orang yang percaya kepada impian mereka dan berusaha untuk menzahirkan impian itu. Saya adalah berlainan - kerana saya sudah lama tidak berimpian. Kalau ada pun, entah lah, susah nak digambarkan. Mungkin kerana kemahuan saya pun tidak banyak -- bukanlah kerana terlalu selesa dengan kehidupan .. tapi ... ah, susahlah.
Tercuit jiwa saya pada bualan mengenai persiapan menangkap ikan besar antara penulis dengan Mak Wa. Ya, perkara itu juga pernah jadi bualan saya dengan 'Mak Wa' saya lama dahulu, tapi kini saya lupakan segala. Saya tak pasti bilakah semua ini saya buangkan jauh-jauh. Oh, sungguh depressi!
Cerita-cerita penulis selama belajar di UiTM Dungun juga membuat saya senyum sendiri. Pertama, kerana saya sekarang sedang berkhidmat di sini - dan setiap apa yang diceritakan masih boleh saya nikmati. Kedua, tulisan Pn. Roza juga membawa saya ke zaman indah belajar dahulu. Suka orang ini, bergaduh dengan orang itu ... indahnya!
Banyak rasa yang terbangkit daripada buku ini. Tapi, satu saja pengakuan saya: saya masih mahu menafi dan menyembunyikan rasa hati saya pada mereka yang tertentu. Saya tak pasti apa rasionalnya, dan saya faham akan natijahnya. Moga Allah mempermudahkan segalanya. Amin.
P/s: Ini macam buat ulasan diri sendiri sahaja, instead of book review? =p