Tuesday, December 11, 2007

Ku Usir Lara Ini by Aminah Mokhtar

Picture credit: Alaf 21



Dah lama buku ni saya beli, baru minggu lepas saya berkesempatan membacanya. Saya habis membaca buku ini sewaktu perjalanan balik daripada bengkel penggubalan soalan peperiksaan akhir di Shah Alam. Sebab saya ni cengeng (walaupun nampak tough macam Hulk Hogan), saya menangis sepanjang membaca cerita ini.

Ini cerita mengenai anak-anak yang ditinggalkan bapa. Hidup dalam kemiskinan, dihina saudara sendiri – potret biasa dalam kebanyakan cerita / novel melayu. Namun, ada pengecualian untuk beberapa perkara di dalam cerita ini.

Cerita berkisar pada watak Nilam, Abang Han, Muaz, Tariq dan beberapa watak tambahan. Nilam adik kepada Abang Han, seorang penuntut bidang kejururawatan di UUA (Universiti Ukhuwah Antarabangsa) – hem, kenapa penulis tak mahu tulis UIA saja ya, kerana banyak deskripsinya seperti UIA?.

Nilam dan Abang Han dan adik-adik mereka hidup penuh sukar selepas kematian ibu mereka. Abang Han seorang yang kaut bekerja dan Nilam seorang gadis pintar dan aktif di dalam kerja-kerja amal membantu remaja bermasalah. Kehidupan Nilam berputar di hospital (tempat dia melakukan praktikal), di universiti serta bersama Abang Han dan adik-adiknya.

Semasa menjalani praktikal di hospital, Nilam banyak membuat kajian kes terhadap pesakit yang kebanyakannya adalah remaja yang hamil di luar perkahwinan – sama ada secara paksa, atau rela. Nilam banyak memberi nasihat dan motivasi untuk mereka-mereka ini supaya terus berjuang dalam kehidupan mereka walaupun merasakan bahawa hidup mereka tidak berguna. Nilam digambarkan sebagai seorang yang sangat positif dalam hidupnya dan kuat semangatnya untuk membela bangsa, agama dan negaranya.

Ditambah pula dengan sahabat-sahabat yang datang dari Palestin dan Iraq, kecintaan Nilam pada agama dan bangsanya menjadi lebih kental. Dia berusaha sedaya mungkin untuk menjadi pejuang kecil di kalangan mereka yang memerlukan. Dia adalah hero dalam hidup Nurain, Puteri dan yang lain-lain yang menjadi mangsa keadaan.

Lara Nilam terkesan pada kekesalannya terhadap kemungkaran yang berlaku di sekitarnya – seperti peristiwa dia mengingkari arahan Prof. Aristotle yang mahu pesakit yang tidak boleh diselamatkan lagi diselamatkan – hanya kerana pesakit itu adalah dermawan kepada hospital tempat mereka bekerja, dan peristiwa mengingkari Dr. Yazmin yang mahu mengambil keuntungan sekiranya pesakitnya dapat dipujuk untuk melakukan rawan pemandulan. Nilam berjuang sehabisnya walaupun dia diancam digantung belajar dan dibuang daripada univerisiti. Keberanian Nilam mengatasi segala dan akhirnya, semua yang buruk mendapat balasan yang setimpal.

Lara Nilam juga adalah pada cerita bapanya, yang meninggalkan keluarga dalam penuh keperitan hidup. Nilam sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan bapanya.

Di akhir cerita, Nilam bertemu bapanya, seseorang yang selalu ditemui oleh dia dan Abang Han – malah mereka bekerja untuk orang itu – Tuan Tajul. Tuan Tajul yang membuka keseluruhan rahsia keluarga mereka. Penulis mengakhiri cerita dengan menggambarkan bahawa Nilam seperti tidak dapat menerima hakikat Tuan Tajul adalah bapanya.

Keseluruhan cerita ini berbekas di hati saya pada keberanian Nilam menegakkan kebenaran dan kematangan Nilam dalam memperkasakan dirinya. Sesuatu yang susah nak didapati dalam lehidupan hari ini, tetapi tidak mustahil ada.

Ku Usir Lara ini mungkin akan saya baca sekali lagi sekiranya saya mahu mencari jawapan kepada kerunsingan saya kepada bangsa dan agama saya. Tidaklah banyak apa yang ditawarkan, tapi saya rasa penulis mempunyai idea yang sangat baik untuk di ketengahkan sekiranya kita mahu bercakap tentang apa yang patut kita lakukan untuk remaja kita.

Bulan Berbisik by Samsiah Mohd Nor


Usai membaca buku ini, saya terus menjadikan buku ini sebagai antara kegemaran saya.

Temanya biasa – hubungan suami isteri, permulaan yang indah, tapi terkocak dek kehadiran orang ketiga.

Yang menjadikan cerita ini menarik pada pandangan saya, cara ia diolah serta penamatnya. Jiwa rasa saya terbuai dengan kesabaran dan ketulusan Khadijah. Walaupun watak itu too good to be true, saya boleh merasai perasaan Khadijah.

Khaled Irfan adalah seorang lelaki yang punya segala – kekacakan, kepandaian dan kekayaan – mengahwini Khadijah, gadis kampung yang terdidik dengan penuh nilai dan adab Melayu dan Islam. Permulaan yang boleh ditebak kesudahannya.

Namun, bila penulis mula memperkenalkan Wong Ai Leen, Andak Rabiah dan Syafiqah, saya jadi tertarik. Ketiga-tiga watak itu diceritakan secara imbas balik selari dengan kisah rumah tangga Khadijah dan Khaled Irfan.

Wong Ai Leen rapat dengan Andak Rabiah dan kemudiannya berkawan baik dengan Syafiqah. Namun, disebabkan peristiwa tragis yang berlaku kepada Syafiqah, perhubungan mereka terlerai. Sebelum terlerai, Wong Ai Leen dan Syafiqah mengikat janji akan bertemu di tempat mereka berpisah pada ketika dan waktu yang mengizinkan untuk menanti antara satu sama lain.

Hilang cerita mereka, cerita Khadijah yang setia dan tulus dilarikkan kembali. Khadijah, walaupun hanya gadis kampung yang tidak bersekolah tingggi digambarkan oleh penulis sebagai perempuan yang bijak – mungkin meminjam semangat dan peribadi Saidatina Khadijah, isteri Rasulullah SAW. Khadijah bijak memimpin rumah tangganya, mengurus anak-anak, dan yang paling bagus tentang Khadijah, mengurusi kecurangan suaminnya.

Khadijah mengesan kecurangan suami lewat emel yang dikirimkan Khaled Irfan kepada seseorang yang bernama Aima Adawiyah. Hancur pada mulanya, Khadijah mempositifkan diri dengan segala kekuatan dirinya. Aima bersahabat dengan Khaled Irfan kerana dia saudara baru yang kepingin mencari kecintaan yang sama seperti kecintaan Rabiatul Adawiyah RA kepada Allah SWT seperti yang diceritakan oleh Andak Rabiah satu masa dahulu. (Ya, Aima dan Ai Leen adalah orang yang sama). Tetapi, Khaled Irfan melangkaui batas murid dan guru dengan menghulurkan cintanya kepada Aima di belakang Khadijah.

Khadijah isteri yang bijak, kemudian bersemuka dengan Aima untuk melamar Aima menjadi isteri kedua Khaled. Aima terpempan, Khaled malu sendiri kerana ketulusan isterinya. Namun, kerana Aima menyanjungi ketulusan seorang isteri bernama Khadijah, lamaran itu ditolak, dan Khaled Irfan tersedar dari kecurangannya.

Ingat saya penamatnya terhenti begitu dengan Khaled penuh kesesalan meratap kebodohan diri, namun, Samsiah memberikan lebih daripada itu. Samsiah menamatkan cerita dengan kehancuran hati Khadijah yang teramat oleh perbuatan Khaled Irfan walaupun kelihatan dia tenang menghadapi semuanya. Ending yang sebegini sebenarnya mengubat hati saya kerana ia tampak realistik dan tidak tergantung begitu sahaja.

Akhir pembacaan, saya merasa pening kerana terlalu banyak menangis dengan doa dan rayuan Khadijah lewat munajatnya kepada Allah.

Apapun, tahniah kepada Samsiah kerana cerita ini sangat mengesankan meskipun terasa mustahil untuk bertemu perempuan seperti Khadijah. Novel ini juga membuatkan saya mahu menjadi seperti Khadijah. Tapi, bolehkah?