Sunday, May 12, 2013

Memories of Our Mothers

Credit: NiniTalk (by Google)

Andai anda mahu menulis mengenai ibu anda, apa yang mungkin anda coretkan tentangnya? Kecantikannya, kebaikannya, kegarangannya, dan seribu satu sifat ibu yang pasti menyentuh naluri kita sebagai anak. Namun, untuk mengungkapnya dalam bentuk perkataan bukanlah satu perkara yang mudah. Andai ditanya kepada saya, saya tak rasa saya mampu melakukannya. Tapi, mungkin tiba masanya, akan terucap juga ... bila masanya? Entah.

Himpunan cerita-cerita mengenai ibu oleh anak perempuan mereka ini membuatkan saya tertanya-tanya sendiri, bagaimana saya mahu mengenang mak saya?

Hubungan saya dengan Mak berlangsung biasa-biasa saja. Tidak lebih, tidak kurang. Mungkin pada saat saya membesar, saya tidak bersama Mak. Tugas membesarkan saya diserahkan kepada seorang ibu saudara. Amalan biasa tapi natijahnya amat besar.


Apabila sudah terbiasa begitu, Mak kurang signifikan dalam kehidupan. Mak bukan rujukan utama, Mak bukan tempat mengadu masalah, Mak hanya yang biasa-biasa. Mak hanya Mak.


Saya cuba untuk mencipta kenangan dengan Mak, namun ia susah untuk melekat dan menjadi. Terkadang saya cemburu dengan adik-adik kerana mereka punya peluang itu. 


Mungkin akan ada yang berkata, kan kamu masih punya masa kerana Mak masih hidup?


Entahlah ... 


Saya pernah mahu mencuba untuk menjadikan Mak di dalam letak perhubungan yang indah dan selayaknya - seperti di dalam cerita-cerita di buku ini - namun, saya rasa kekok. Saya rasa Mak juga rasa begitu. Akhirnya, saya mengambil keputusan, saya relakan impian membina rasa istimewa ini kekal pada lubuk hati yang paling dalam kalau ini tidak membuatkan Mak kekok dengan saya. Biarlah ia berlangsung pada keadaan yang biasa, walau sebenarnya pasti akan menjadi luar biasa sekiranya saya mampu melakukan apa yang sepatutnya.


Mak akan berada di situ hingga tiba masanya. Dan, saya akan cuba untuk memperindahkan ingatan itu selama dizinkan - InsyaAllah.



Maaf, kerana ulasan tidak kepada buku, tapi lebih kepada luahan perasaan sendiri. Namun, banyak manalah yang boleh diulas pada tulisan yang berbentuk cerita-cerita kecil begitu? yang pasti, ia membuatkan anda mahu mencari apa yang terindah mengenai ibu untuk dikenang selamanya.


A perfect reading on Mother's Day. 


Selamat membaca :)

No comments: