Monday, March 31, 2008

Ayuh, berpesta lagi!

Pesta Buku datang lagi!

Ayuh ... kekalkan semangat suka berpesta itu ...
Janganlah lagi kita dikatakan hanya suka berpesta
Untuk benda yang lagha ...
Untuk benda yang sia-sia ...
Untuk benda yang tidak bermakna ...

Buktikan .. Kita bukan orang yang tidak berguna!
Buktikan .. Kita sentiasa tahu dan pandai memilih waktu untuk berpesta!
Buktikan .. Kita ini masyarakat berguna!


Adat orang berkasih
tika berjauhan gundah-gulana
menghitung waktu bilakah dapat bersua.
Kala di sisi, segenap jiwa bernyanyi ria.
Kekasih hadir mengubat banyak perkara.
Begitu ibaratnya jika buku menjadi kekasih.
Sentiasa mengerti dan memberikan harapan.
Acap kali manusia dikecewakan sesama manusia
tetapi buku tidak pernah mengecewakan
walau bagaimana sekalipun "dia" dilayan.
Dia kekasih abadi bagi yang mengerti.
- Shahrom TM Sulaiman - Buku Kekasih (2004) -

Tuesday, March 25, 2008

Pandai Pinjam, Pandailah Jaga ...

Saya memang pembeli majalah dan buku. Ada majalah yang saya langgan saban bulan dan tahunan daripada agen yang datang ke pejabat saya dan ada juga belian langsung setiap hari, minggu dan bulan.

Bagi buku pula, saya akan pastikan, setiap dua bulan saya boleh membeli sebuah buku yang mampu saya habiskan (namun, sudah banyak yang dibeli, tapi belum dibaca-baca!).

Pada saya, koleksi majalah dan buku-buku adalah harta yang sangat saya sayang -- seperti saya sayangkan harta yang lain-lainnya. Kiranya berlaku sesuatu (nauzubillah!), yang saya paling khuatir adalah koleksi-koleksi ini. Di rumah, bila emak terpaksa memusnahkan sekotak besar majalah saya yang dimakan anai-anai, saya menjadi sangat depresi. Seharian saya membelek puing-puing buku dan majalah-majalah itu. Saya menjadi sangat sedih. Manakan tidak, koleksi saya yang bermula seawal saya tingkatan satu pada tahun 1990 terpaksa dimusnahkan ...

Tapi itu tidak terbanding kesedihan saya menghadapi peminjam buku-buku dan majalah saya yang tidak pandai menguruskannya. Tak diberi, kawan-kawan yang tidak berkira memberi pinjam barang mereka. Tapi, bila diberi, akan menangis tak berlagu saya kerana barang kita tak diumpamakan langsung.

Kalau saya meminjam buku orang, apa yang saya buat:

Pertama:
Saya akan pastikan keadaannya - adakah sebarang kecacatan pada majalah / buku tersebut. Sekiranya ada, saya akan buat nota (tak buatlah benda ni di hadapan tuan yang emmpunya kerana nanti apa pula katanya).

Kedua:
Sebelum meminjam juga, saya akan perhatikan bagaimana layanan tuan buku tersebut terhadap bukunya. Sekiranya dia seorang yang baik pengurusannya, saya akan menjadi extra sensitif apabila meminjam bukunya. Kalau pemiliknya biasa-biasa saja, saya masih mahu menghormati buku itu.

Ketiga:
Andai semasa meminjam saya terlihat kecacatan pada buku, saya akan membaiki buku tersebut mengikut yang termampu. Adalah sejumlah buku orang yang saya pinjam, saya tolong balutkan kerana saya rasa saya perlu berbuat begitu. Saya puas melakukannya.

Keempat:
Pulangkan buku yang pinjam pada masa yang dijanjikan.

Malangnya, ramai peminjam buku + majalah saya tidak mengumpamakan harta saya langsung. Mereka wewenang menanggapinya. Saat mula mereka menyelak helaian-helaian buku dan majalah sudah bisa merobek hati saya. Kadang-kadang, rasa seperti tak mahu bagi pinjam langsung -- biar buruk di rak daripada diperlakukan sedemikian.

Paling menjerut rasa, bila buku + majalah yang cantik dan elok rupa bentuk pada mulanya, dipulangkan dalam keadaan yang sangat nazak. Siap ada tandatangan daripada selebriti yang tidak sepatutnya. Lebih malang ada bekas sambal, ubi lenyek dan sebagainya di muka surat tertentu. Sakit jiwa!

Berhadapan orang begini, memang awal-awal lagi dia akan masuk senarai hitam -- dan sememangnya tidak akan diputihkan walau hebat mana dia merayu.

Nasihat saya:
Elokkanlah urusan anda dengan harta orang, nescaya orang akan berlaku sama terhadap harta anda.

Saturday, March 22, 2008

A Thousand Splendid Suns by Khaled Hosseini


Kalau The Kite Runner mengambil masa kurang seminggu untuk saya baca, A Thousand Splendid Suns hanya dua hari telah diberesi. Mungkin kerana saiz buku yang besar berbanding yang sebelumnya membuatkan pembacaan saya lebih cepat. Atau, mungkinkah disebabkan akhir-akhir ini saya sering sukar tidur? Mana-manalah.

Kalau The Kite Runner mengambil latar kehidupan di Afghanistan melalui pandangan lelaki, A Thousand Splendid Suns adalah sebaliknya.


Ia bermula dengan kisah Mariam, seorang anak tidak sah taraf yang tinggal bersama ibunya di sebuah kawasan terpencil di Deh-Mazang. Walaupun Mariam anak tidak sah taraf, ‘bapa’ Mariam – Jalil Khan, seorang saudagar kaya seirng mengunjunginya dengan membawa hadiah yang menyenangkan dia. Jalil juga sering melayannya dengan baik dan lemah lembut. Ibu Mariam selalu mengingatinya bahawa Jalil hanya berpura-pura, namun Mariam tidak mengendahkannya.


Cerita Mariam menjadi tegang apabila dia pergi ke bandar untuk ke rumah Jalil tetapi kedatangannya tidak dialu-alukan. Apabila dia pulang ke kampungnya, ibunya telah menggantungkan dirinya kerana menyangka Mariam meniggalkannya untuk tinggal bersama Jalil.


Kesan daripada peristiwa itu, Mariam yang ketika itu berusia 15 tahun telah dikahwinkan oleh Jalil dengan seorang duda yang kematian isteri dan anak yang berusia lebih 20 tahun daripada usianya bernama Rasheed. Mariam menyimpan dendam terhadap Jalil dan belajar menerima Rasheed. Pada mulanya Rasheed digambarkan seperti “the gentle giant”, namun setelah Mariam keguguran anak, Rasheed mula menunjukkan sisi hitamnya. Dia menjadi lelaki yang tidak menghormati isteri dan memperlakukan Mariam semahunya. Dan, dengan sifat seorang perempuan yang naif, Mariam menerima segalanya.


Kemudian ditampilkan watak Laila – anak Fariba dan Hakim, jiran Mariam dan Rasheed yang lahir pada malam Revolusi Mujahideen, 1978. Laila adalah gadis ceria dan keletah. Dia juga seorang yang sangat bijak di kalangan kawan-kawannya. Laila menyimpan perasaan terhadap Tariq, anak seorang jiran yang lain.


Watak Laila dan Mariam dipertemukan sebagai madu setelah Rasheed mengahwini Laila apabila dia menolong Laila yang cedera parah semasa mahu berpindah keluar dari Afghanistan akibat terkena serangan peluru berpandu. Kedua ibu bapa Laila turut terkorban.


Oleh kerana Laila baru berusia 14 tahun, Rasheed sangat teruja dengan Laila. Dia kemudian memberikan layanan yang sangat istimewa kepada Laila dan ini membuatkan Mariam tertekan dengan cemburu. Peristiwa Laila mempertahankan Mariam daripada dipukul Rasheed akhirnya membuatkan Mariam mula menerima Laila.


Seperti The Kite Runner, Mariam adalah cuplikan watak Hassan – watak manusia yang tidak bernasib baik dalam kehidupan. Di akhirnya, Mariam dijatuhi hukuman mati oleh puak Taliban kerana kesalahannya membunuh Rasheed walaupun tindakannya adalah untuk mempertahankan Laila yang dibelasah Rasheed kerana bertemu Tariq, bekas kekasihnya di rumahnya. Laila sangat terhutang dengan Mariam dan cuba mencari cebisan yang hilang dalam kehidupan Mariam.


Cukuplah kan? Nanti kurang suspense nya.


Termenung seketika selepas membaca cerita ini. Walaupun ia adalah fiksyen, namun, kerana ia adalah adunan daripada realiti, saya tidak dapat menahan diri daripada menyesali nasib Mariam. Betapalah takdir Allah ke atasnya. Tak tahulah sama ada kita harus begitu, menuruti takdir dengan menerima segalanya dengan penuh kesabaran atau menjadi seperti Laila, sentiasa cuba untuk mengubahnya. Mungkin peringatan Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hinggalah kaum itu mengubahnya sendiri patut kita fahami dengan sebenar faham?


Mariam adalah lambang kekuatan seorang wanita yang tidak pernah bernasib baik dan Laila adalah simbol kecergasan akal seorang wanita. Adunan keduanya adalah sesuatu yang menyebabkan novel ini indah pada saya.


Novel ini juga memberitahu saya mengenai kebenaran mengenai puak Taliban yang dilabel sebagai ekstremis agama. Dengan segala bentuk dikri (decree) serta tindak tanduk mereka semasa memerintah, patut juga kita berasa gundah menghadapi kaum yang begitu. Saya menerima kekejaman Taliban kerana ia datang daripada true account mereka yang mengalami kesan pemerintahan kejam puak itu.


Akhirnya, yang dapat saya simpulkan – kita ini dijadikan Allah penuh dengan perbezaan dan ketidaksempurnaan. Jangan dipandang pada perbezaan itu, tapi tanggapilah ketidaksempurnaan kita sebagai melengkapi kesempurnaan sebuah kehidupan. Tidak faham?


Bacalah di antara baris-baris itu …

Wednesday, March 12, 2008

Lagu Kita

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang.

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap diarus zaman.

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ke tangan yang lain,
Pribumi merintih sendiri.

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutup lah hati terkunci mati,
Maruah pribadi dah hilang.

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri.

Kini sudah tiada masa,
Majulah dengan gagah perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Melayukan gagah dinusantara,
Melayukan gagah dinusantara.


Saya tidak pasti asal-usul lagu ini. Tapi lagu inilah yang sering dilagukan semasa saya masih bersekolah lewat pertengahan tahun 80an. Saya dengar penciptanya adalah Naib Canselor UUM - Dat'' Nordin Kardi lah, kan? I like this man ...

Kali pertama mendengarnya, hati terus terpaut. Saya tidak faham mulanya, tapi bila diterangkan oleh seseorang yang memperkenalkan lagu ini, terus kagum saya pada setiap kata-katanya. Betapa lagu ini menceritakan apa yang kita lalui dan alami sekarang ini hasil daripada kelalaian kita.

Kenapa anak kecil main api?
Kerana apabila anak kecil yang belum pandai membezakan baik dan buruk bermain dengan sesuatu yang kecil menjadi kawan, dan besar menjadi lawan, padah yang maha besar akan menimpa. Lihat saja sekarang, padah pemimpin tidak mendengar nasihat orang lama, sengsara juga hidupnya.

Sekarang tidak pasti untuk menyatakan sama ada kita ini dalam masa berkabung atau kita sendiri yang ditalkinkan. Ramai yang bergembira dengan apa yang berlaku sekarang dan berpuas hati. Nampak seperti semuanya optimis dengan kelangsungan bangsa kita walaupun diperintah orang lain. Semoga optimistik itu ada asasnya untuk 5 tahun ini.

Namun, kiranya kita mengambil tetap bersorak biarpun kampung telah tergadai dan baju kertas telah terkoyak dan menelanjangkan sebahagian susuk kita, harungilah ia seperti mana kita mahukan sedari awal.

Ini pilihan kita. Pilihan yang telah kita timbangkan baik dan buruknya. Pilihan yang kita buat dan asaskan daripada pemikiran orang dewasa, bukan asas pemikiran anak kecil tadi.

Apapun, Melayukan gagah di Nusantara.

Retorik? Tunggu dan tengok sajalah.

Saturday, February 23, 2008

The Kite Runner by Khaled Hosseini


Buku ini saya baca atas saranan Kak Marina. Dan, buku ini sebenarnya telah selalu sangat saya temui di kedai-kedai buku utama, cuma tidak berapa berminat untuk membacanya sehinggalah dicadangkan dengan beriya-iya oleh teman tersebut.

Bahasa yang mudah difahami, menyebabkan saya hanya mengambil 4 hari untuk menyudahkannya (ya, saya tidak mampu untuk duduk dan terus membaca buku ini sehingga helaian terakhir kerana banyak benar halangannya). Selalunya, purata hari yang saya ambil untuk menyudahkan sebuah buku yang jumlah halamannnya 200-400 adalah seminggu. Satu pencapaian saya kira!


Ceritanya berkisar kepada kesetiaan hamba pada tuannya, kemurniaan sebuah persahabatan, pengkhianatan dan penyesalan. Cerita ini mengambil latar Afghanistan pada tiga zaman – zaman Zaher Shah sebagai raja, zaman Mujahideen dan zaman Taliban sehingga pasca September 2001.


Ceritanya disampaikan dalam bentuk penceritaan semula oleh watak utamanya – Amir, seorang anak orang ternama puak Pashtun. Ia dimulakan dengan cerita Amir di zaman kanak-kanaknya. Keluarga Amir mempunyai hamba – Ali dan Hassan – daripada golongan Hazara (Hazara dianggap sebagai the untouchable dan hanya layak dijadikan hamba). Namun begitu, keluarga Amir tidak melakukan sedemikian. Bahkan, Hassan dan Amir disusukan oleh seorang wanita yang sama semasa kecil.


Selepas peristiwa Hassan diliwat oleh Assef (musuh Amir – dan Amir hanya melihat tanpa melakukan apa-apa), Ali dan Hassan meninggalkan keluarga Amir setelah Amir menuduh Hassan mencuri jam hadiah hari jadinya. Dalam masa yang sama, berlakunya krisis politik di Afghanistan yang menyebabkan Amir dan bapanya berhijrah ke Amerika sebagai pelarian.


Memasuki bahagian kedua cerita ini, pembaca dibawa kepada kehidupan Amir di Amerika – kehidupannya, perkahwinannya dengan Soraya dan kematian bapanya disebabkan oleh kanser.


Ceritanya makin menarik apabila pada satu hari Amir menerima panggilan daripada Rahim Khan – sahabat bapanya yang memintanya pulang ke Afghanistan kiranya dia mahu menebus kesalahannya kepada Hassan. Rupanya, Rahim Khan mengetahui cerita Hassan, Ali dan Amir. Sesampai di Afghanistan, Rahim Khan membongkar banyak rahsia yang tersimpan antara keluarga Amir dan Hassan.


Ibu Hassan merupakan seorang hamba di rumah datuk Amir telah melahirkan seorang anak hasil perhubungan terlarang di antara dia dan bapa Amir. Untuk menutup rahsia, ibu Hassan dikahwinkan dengan Ali. Selepas melahirkan, ibu Hassan terus meninggalkan mereka. Setelah mendengar cerita tersebut barulah Amir sedar kenapa bapanya selalu melebihkan Hassan daripadanya.


Dengan penuh penyesalan terhadap apa yang berlaku kepada Hassan, akhirnya Amir menyanggupi untuk mencari Sohrab, anak Hassan yang diculik oleh puak Taliban.


Cukup di situ cerita saya. Kalau anda rasa ulasan saya menarik, bacalah buku ini.


Bagi saya, faktor utama yang mendorong saya melunasi buku ini dengan cepat adalah kerana perasaan kasihan saya kepada watak Hassan dan Ali. Hidup Hassan dan Ali sangat menderita hanya kerana mereka adalah golongan Hazara. Mereka kehilangan kemuliaan kehidupan sebagai manusia hanya kerana keturunan mereka. Seluruh penceritaan mengenai Hassan dan Ali adalah tragedi sebuah kehidupan.


Selain daripada itu, cerita ini juga membawa kita mengenali kebudayaan bangsa Afghanistan dan ini merupakan eye-opener kepada saya.


Bacalah, dan semoga anda juga akan terkesan seperti saya.


Ayat yang menyentuh hati saya:


“Hassan just incapable of hurting anyone.”


“For you, a thousand times over.”

Monday, February 4, 2008

Respon terkini terhadap isu KOMSAS

Hapuskan saja Komsas
KHABAR angin yang mengatakan Komponan Sastera Dalam Bahasa Melayu (Komsas) akan diisi dengan novel-novel ringan pada masa depan sebenarnya tidak ada suatu yang luar biasa. Ini kerana Komsas diwujudkan setelah desakan daripada kalangan sasterawan bahawa sastera itu penting untuk membina manusia. Tetapi hakikatnya kewujudan Komsas bukanlah iltizam yang datang daripada jiwa yang tulus. Sastera dan kesusasteraan di sekolah-sekolah seboleh-bolehnya mahu dipancung. Semuanya kerana tidak banyak yang duduk dalam barisan pembuat dasar pendidikan faham peripenting kesusasteraan kepada sesuatu bangsa...

Saya amat bersetuju dengan pendapat Ku Seman ini, dan saya kira, inilah yang sepatutnya kita lakukan - penuhkan sahaja kepentingan pihak-pihak tertentu tanpa mengira masa depan generasi sendiri. Persetankan masa depan! Pergi mampus dengan sastera Malaysia! Siapa sahaja yang nak pening-pening kepala nak cari makna prosa, memaham sajak, atau mengambil tauladan daripada karya sastera lama itu? Bukannya semua nak bekerja jadi sasterawan, tak minat pun.

Bosan! Bosan! Bosan!

Semuapun mahu dipolitikkan. Arghh!

Saturday, February 2, 2008

Novel Komersial sebagai teks sastera? - Pandangan Saya

Komsas: Di mana sastera kita? - oleh Putera Ahmad

TINDAKAN (keputusan?) Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) tidak memilih karya-karya sasterawan negara (SN), penerima S.E.A. Write Awards, dan pengarang-pengarang penting Malaysia untuk teks baru Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) dapat dianggap menghina dan memperleceh para pengarang/sasterawan mapan dan sastera Melayu...

Jawapan PKK tentang isu teks KOMSAS
Teks Komsas dalam pemilihanPERKEMBANGAN Kurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada surat bertarikh 20 Januari 2008 oleh Putera Ahmad bertajuk Komsas: Di mana sastera kita? PPK ingin menyatakan bahawa pemilihan teks komponen sastera dalam bahasa Melayu (Komsas) dan Kesusasteraan Melayu Elektif (KM) belum muktamad dan masih dalam proses pemilihan...


Saya ini tiada kemahiran pun untuk bercakap mengenai bidang kesusasteraan kerana saya bukanlah di antara mereka yang berada di bidang ini secara terus.

Namun, saya masih boleh memahami kebimbangan dan keresahan pencinta sastera negara apabila ada ura-ura Pasukan Penilai Kurikulum Kementerian Pelajaran untuk menukarkan teks sastera sekolah menengah dengan novel komersial karya penulis-penulis genre terbabit. Ini bermakna, tidak akan ada lagi kajian mengenai novel-novel yang memenangi hadiah sastera dan sebagainya.

Saya melihat perkara ini sebagai satu tindakan "pembunuhan terancang" kepada sastera melayu dan kesusasteraan negara secara keseluruhannya. Walaupun polemik mengenai adakah novel komersial itu termasuk dalam bicara kesusasteraan telah seperti ditamatkan, namun masih kedengaran suara-suara tidak puas hati. Mereka yang tersigung dan disigung masing-masing bercakap di atas rasa keperluan mereka. Maka, siapakah yang akan menang?

Menjadikan novel komersial yang melambak di pasaran dengan tema cinta-cintaan sahaja memang patut menjadi kerisauan yang bukan sedikit. Berhujah dengan mengatakan keharusan menukar teks klasik kepada teks komersil adalah berkaitan dengan dimensi pelajar bukanlah sesuatu yang wajar. Terlalu mudah penghujahan itu. Janganlah dek kerana kehadiran novel jenis ini boleh membuatkan pelajar-pelajar membaca, maka kita juga membuat perubahan dasar yang mengikut aliran tersebut. Nampak sangat kedangkalannya.

Naluri remaja memang tertarik kepada kisah-kisah komersial begitu kerana pada waktu inilah mereka belajar meluaskan konteks sosial mereka. Namun, tidak semestinya kita harus menjadikan kecenderungan mereka sebagai satu sebab untuk menukarkan orientasi pemahaman sastera negara untuk mereka. Sebagai kajian perbandingan, novel komersial memang wajar dibaca secara tuntas, tetapi, dijadikan teks? Tolonglah..!

Orang Inggeris walaupun menerima aliran dan lambakan novel komersial, karya-karya Shakespear, Jane Austin, Virginia Woolf dan sebagainya masih menjadi karya yang dimestikan untuk pelajar mempelajarinya. Dan, selalunya mereka dapat mengungkap apa perkara terbaik yang penulis mereka telah tulis.

Pelajar kita? Nak menikmati kesyahduan puisi Ke Makam Bonda pun tak tahu. Lagi teruk, tidak kenal langsung siapakah barisan SN kita.Tak usahlah bercakap memperkasakan bahasa kalau persoalan mula beginipun tak mampu mempunyai pendirian yang teguh.

Apakah pembuat dasar tidak mengambil erti nasihat orang-orang tua dahulu bahawa untuk mendidik, jangan dipenuhi semua kemahuan si anak, kelak naik lemak, dan akhirnya anak menjadi mua, ibu bapa juga menyesal tidak sudah.

Jangan kerana trend pembacaan yang cenderung ke arah novel komersial (maksud lain untuk picisan saya kira!), kitapun sanggup menurunkan martabat sastera ke kedudukan yang tidak sepatutnya. Satu pertanyaan berdasarkan analogi mudah saya: Adakah perlu lagu rock dimasukkan ke dalam lagu warisan negara hanya kerana genre itu mendapat sambutan anak-anak muda?

Fisha: Sokong apabila SN A. Samad Said melepaskan gelaran tersebut kerana isu ini.

Dan terima kasih kepada damantim kerana pertanyaan beliau membuatkan saya teringat untuk menulis mengenai perkara ini.