Image: Google |
Selesai baca novel ini, terus ingatan saya melayang kepada kata-kata pengarah ternama, Allahyarhamah Yasmin Ahmad (lebih kurang yang saya ingat kala ditanya mengenai pembikinan filem Rabun kalau tak salah saya):
Filem Malaysia jarang yang mahu memaparkan keseronokan berkasih sayang dan keindahannya. Apa yang selalu diulang berkali-kali scene suami pukul isteri, anak derhaka kepada ibu bapa. Keluarga yang penuh gelak ketawa kelihatan amat pelik dalam filem (Melayu) Malaysia.
Novel gemuk ini mengambil masa yang agak lama untuk dihabiskan. Saya kira, kalau saya tidak cuti 2 minggu ini, harus 2 tahun lagi pun mungkin belum lunas pembacaannya. Berketebalan 985 halaman, saya menghabiskan sekurang-kurangnya 5 jam untuk 3 malam dengan mengorbankan masa tidur saya! Kecoh betul kan?
Saya tak ingat bilakah kali terakhir saya membaca karya Norhayati Berahim (NB) - tapi rasanya memang sangat lama. Mungkin ada rasa mengganggu pada beberapa karya terakhir beliau yang menyebabkan saya kehilangan minat. Novel ini pun tak tahu apa yang menyebabkan saya membelinya. Namun, saya gembira membacanya.
Seperti tajuknya, premis cerita bermula dan berakhir dengan dua juadah itu - roti canai dan salad taco. Roti canai itu biasa, tapi salad taco? Tak pula saya tahu bahawa orang buat taco tu sebagai salad -- maklumlah selera saya tidaklah se'internasional' mana. =)
Menggabungkan banyak perkara - kewartawanan, kehidupan setinggan, hubungan platonik, kehidupan yang bersifat hedonisme, ilmu sihir santau dan pembenci, RCST ini masih cerita cinta. Namun, complexity (mild sifatnya) plotnya itu yang membuatkan novel ini mampu saya habiskan.
Watak utama berkisar pada cerita Raniah, seorang anak tunggal yang tidak berayah dan dibesarkan oleh ibunya Delima yang mengusahakan warung roti canai. Raniah digambarkan sebagai seorang anak yang sangat ringkas dan baik sifatnya. Berdikari dan matang. Bahagian pertama novel ini bercerita mengenai Raniah sebagai gadis yang masih bersekolah dan tinggal di kawasan setinggan yang mempunyai corak kehidupan yang berwarna-warni. Dalam bahagian ini juga, kita diperkenalkan dengan watak Hanum, Hawa, Amirul, Daim dan beberapa watak lain.
Bahagian kedua (sebenarnya NB tidak membahagikan bahagiannya, saya yang melakukannya) - cerita berkisar kepada Raniah sebagai wartawan dan pengembangan watak Hawa yang digambarkan sekarang bersuamikan seorang lelaki Muslim warga negara Jerman dan kehidupannya. Suka duka hidup Raniah sebagai wartawan banyak diceritakan di dalam bahagian ini. Kemudian, muncul watak Haji Ismail dan anaknya Mukmin. Sedikit mengelirukan, namun tidaklah menyesatkan.
Bahagian ketiga, perubahan hidup Raniah, daripada bekerja sebagai wartawan fesyen dan hiburan kepada wartawan berita masyarakat. Beliau berubah hala setelah ibunya menasihatinya agar mencari sesuatu yang bernilai dalam penulisannya. Dalam bahagian ini, kita ditemukan dengan watak Janis yang namanya mula disebut secara am di dalam bahagian pertama - sebagai idola Raniah dalam mendorongnya menjadi wartawan. Bersama Janis, banyak perkaitan watak mula terjadi.
Bahagian keempat, segala permasalahan watak diselesaikan - cerita berakhir dengan perkahwinan Raniah dan Amirul Mukmin. OK, saya cerita mereka berkahwin sebagai penamat cerita, tapi sebelum berkahwin, banyak benda yang berlaku. Biasalah, elemen dramatik penyedap cerita. Keseluruhan, saya beri penarafan 3.5 / 5 bintang.
OK, berbalik kepada quote dari Allahyarham Yasmin Ahmad yang saya tulis secara bebas di atas, saya sebenar tertarik kepada lukisan watak-watak di dalamnya. Raniah digambarkan sebagai seorang yang vokal, berterus terang, kuat beragama dan tegas pendirian. Yang buatkan saya senang dengan watak itu, kesederhanaannya. Sempurna, tapi tidak melampau. Raniah wartawan cantik (tetaplah kan?), tidak berkahwin di usia 35 tahun dan amat ringkas dalam kehidupan dan perasaan. Diseimbangkan dengan watak Daim dalam perhubungan platonik mereka, kita masih boleh berasa realistiknya hubungan mereka.
Highlight cerita ini pada saya adalah watak Haji Ismail dan Mak Tua - ayah tiri kepada Amirul Mukmin dan madu yang tersangat baik kepada Jamiah, ibunya. NB memplotkan watak ini sebagai pasangan yang sangat bahagia dan penuh pengertian dalam kehidupan bermadu dan penerimaannya terhadap anak-anak tirinya. Ya, bukan tiada cerita sebegini dalam novel lain, tapi saya tetap suka membacanya.
Berikut adalah hal-hal trivial dalam novel gemuk ini:
- Novel gemuk selalu banyak pengulangan. Begitu juga novel ini. Saya merasa rimas apabila cara Raniah berinteraksi dengan Zawi, ketua editor tempat dia bekerja diterangkan secara berulang-ulang. Saya faham Zawi seorang yang kasar, dan cara Raniah bercakap tanpa basa-basi dengannya, namun tak perlulah diulang-ulang frasa "dengan Zawi, memang begitulah selalunya Raniah bercakap."
- Banyak kritikan semasa dalam novel ini, terutamanya apabila melibatkan perkara yang ditumpukan oleh Raniah dan Janis dalam artikel berita mereka. Isu peniaga Bazar Ramadhan atas angin dan keadilan sosial antara yang dibwakan di dalam novel ini. Malah, gambaran Harian Kota, akhbar Janis dan Raniah bekerja mengingatkan saya kepada Sinar Harian.
- Watak Zawi mengingatkan saya kepada seorang wartawan hiburan yang kadang-kadang pada saya kurang etika kewartawan dan penuh kesombongan. Zawi digambarkan suka menghimpit artis-artis muda dan cantik untuk keseronokannya. Saya terkedu apabila sebelum Raniah berhenti kerja, dia berjabat tangan dengan Zawi tanda perpisahan - sedangkan Raniah digambarkan sebagai seorang muslimah yang sangat menjaga agama. Tapi, ia melegakan saya apabila Zawi sebenarnya adalah Zawiyah.
- Watak artis seperti Lina, Yunis, dan Firus Sindhu itu semacam boleh ditebak saja siapa yang mereka wakilkan.
- Nama sebenar Mak Tua pada mulanya dikatakan Zaitun, tapi kemudian menjadi Hajah Salmah. Makcik Miah pula, sebelum itu dipanggil Milah, bukan Miah. (tapi saya malas nak cari balik halamannya).
- Hawa kadang-kadang membahasakan dirinya mama, dan tiba-tiba umi. Begitu juga dengan Razali Teoh, bapa Janis, mula-mula papa, kemudian ayah, kemudian papa semula.
- NB banyak menggunakan ungakapan yeap daripada ya apabila ada pertanyaan / perbualan antara watak.
- Banyak perkataan yang diitalickan pada saya merupakan perkataan yang bersifat slanga atau bahasa pasar. Namun, saya pelik kenapa perkataan cemuih tidak diitalickan. Saya fikir ia slanga perbualan orang utara yang menggambarkan rasa meluat atau benci. Mungkin juga perkataan itu diterima sebagai bahasa standard di dalam Bahasa Melayu, nantilah saya semak.
Hmmm .. sebenarnya saya sendiri tak berapa puas hati menulis review sebegini ... Macam tak ada apa-apa yang diulaskan pun ... Pendek kata, macam melepaskan batuk di tangga sahaja .. Tapi, ini sajalah yang mampu ... adeh!
2 comments:
Ish, pada saya review seperti inilah yang paling bagus, penuh kesederhanaan...membaca kan tak perlu terlalu serius.
Did you say so because I am your friend?
Tapi bila hati rasa tak seronok, maka, tetap tak best walau ada org lain kata ok ... T_T
Thank you my friend for your support =)
Post a Comment