Wednesday, March 9, 2011

Penantian yang mendebarkan ...

A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad

Saya tidak mengetahui mengenai perkara ini sehinggalah terbaca status seorang rakan di FB. Maka, dengan kepantasan siput, saya pun mencari maklumat lanjut di MPHOnline, dan sekarang sedang berdebar menanti ketibaannya! Oo la la la …


Saturday, February 12, 2011

Assalamualaikum .. =)


Untuk membuatkan orang minat membaca, lakukan paksaan!

- Tun Dr. Mahathir (Siti, 12-2-2011)

Friday, October 29, 2010

Cuit: Kalaulah FB ada sejak dahulu kala


Cuit sikit!

Pengganti entri yang masih belum boleh siap sampai ke akhir ini ... dikirim ke emel saya oleh seorang rakan.

Semoga dapat menikmatinya!



Tuesday, October 5, 2010

Found in Malaysia by [the Nut Graph]

Image credit: google

Buku ini adalah hadiah hari jadi saya daripada housemate saya - Kak Marina. Teruja bila dapat, sebab saya sekarang suka nak menekuni isu seputar Melayu vs. Pendatang. Kiranya hadiah ini sangat perfect, tepat pada masanya! Saya sayang housemate saya itu ... hehehehe!

Ada beberapa perkara yang boleh dibicarakan untuk buku ini - sebelum, semasa, selepas.


Sebelum:
Masa saya terima buku ini, perkara pertama yang menangkap pandangan saya adalah cover nya. Menarik pada saya, dengan kolaj wajah-wajah personaliti di Malaysia ini. Ada yang saya kenal, dan sebahagian besarnya, tidak.

Kemudian, mata tertancap pada nama publisher - ZI Publication. Saya tak ada isu pun dengan publisher ini, cuma saya rasa saya dah macam boleh agak bagaimana isi buku ini. Tapi, tidak mengapa, berbeza pendapat saja. Tak perlu kecoh-kecoh, raikan saja!

Perkara ketiga - The Nut Graph. Saya pernah dengar nama ini, tapi tak pernah ambil kisah apakah ia (sampai sekarang pun!). Ini pun bukan perkara besar. Err, perlukah saya mengambil kisah siapa yang menulisnya?


Semasa:
Pembacaan berlaku right away lepas dapat buku tersebut (Sept. 19, 2010) dan ditamatkan pada 4 Oktober 2010. Gila lama! Bukan isu ... next!

Pada halaman pengenalan, editor menjustifikasikan bahawa buku ini ditulis kerana melihat isu Melayu vs. Pendatang adalah sesuatu yang semakin menakutkan. Banyak sentimen-sentimen yang dimainkan oleh pihak-pihak yang berkepentingan - terutamanya ahli politik, selepas Pilihanraya Mac 2008. Maka, sebagai satu usaha untuk tidak memburukkan keadaan, buku ini dihasilkan. Ditulis dalam format interview questions, seramai 48 public figures Malaysia telah ditemuramah, dengan tambahan 4 special figures.

Editor memberitahu bahawa responden untuk buku ini adalah daripada pelbagai aspek - gender, sexual, generational and political diversity. Tapi, bila baca, saya rasa diversity itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Not my kind of diversity! Namun, editor juga mengakui bahawa ada ketidakseimbangan dalam interview kerana dari segi gender, hanya 10 orang wanita, selebihnya lelaki dan ... (saya tak pasti nak classify kan sebagai apa). Selebihnya, hampir semua responden adalah penduduk semenanjung dan 4 orang sahaja dari Sabah dan Sarawak.

Namun, walaupun tidak berapa nak kena pada saya, saya masih ok. Lagi pun, penulisan buku ini bukan untuk memuaskan hati saya, kenapa pula apa yang saya rasa menjadi masalah kepada penulis, kan? Baca tanggung sendiri lah!


Selepas:Bitter!
Bukan saya, tetapi, hampir 2/3 daripada responden yang ditemubual bercakap dengan perasaan itu. Ramai yang di akhirnya apabila ditanya, apakah impian mereka untuk Malaysia, ramai memberikan jawapan yang akhirnya boleh dipastikan ke mana perginya. Kalau dia Melayu, dia mahukan sesuatu untuk Melayu dan seterusnya lah. Namun, ironinya, yang bukan Melayu bila menyatakan impian, tersirat juga satu keinginan untuk bangsa mereka, tapi yang Melayu, berlainan nada. Serasa seolah jijik dan berdosa menjadi Melayu -- itu yang saya rasa bila membaca.



Ramai yang mahukan notion bangsa dan agama itu dihapuskan bila bercakap mengenai Malaysian (sekali lagi, yang non-Muslim tak ketara sangat nak buang notion religion tu, yang Muslim pulak bersimpul sirat cakap ... haih! -- dan juga, macam Islam tu adalah satu problem -- lebih ketara ramai yang mencadangkan agar freedom of religion tu perlu dibebaskan sebebas-bebasnya). Maksudnya, bila orang tanya, who are you? I'm Malaysian. Not Malay, Chinese or Indian or lain-lain tu ... Malaysian. Period.

Ada juga yang sampai berkata, oleh kerana setiap orang ada daya untuk berfikir, tak perlulah pemikiran kita ini dibataskan oleh unsur-unsur paksaan oleh kerajaan, seperti fatwa-fatwa itu. Ohhh!

Kemudian, ada yang mempersoalkan kenapa susah sangat Malaysia ni nak jadi melting pot macam di USA tu - sampai part ini, saya senyum sendiri. Kenapa senyum? Kelakar pertanyaan tu .. pada saya lah. Anda, mana saya tahu.

Secara sepintas, saya bersetuju bahawa kita patut hapuskan ketidakadilan. Seperti mengenakan kuota bangsa untuk belajar di universiti, dan juga pemberian biasiswa. Pada saya, sudah sampai masanya kita mengubah budaya mediocrity di kalangan kita-kita ini dan menggalakkan meritocracy. (Saya sedang menyaksikan mediocrity ini pada masa ini dan saat ini, dan memang saya berharap saya saya menggunakan meritocracy untuk mengubah bangsa saya!).
Betullah, macam yang setengah dari mereka kata, kenapa nak kena ada kuota-kuota ini, sedangkan niat untuk berbakti pada Malaysia ada pada mereka dan kita. Ini adalah tanah air bersama, maka, sama cecah kekayaan yang ada.

Namun, perkara yang termaktub dalam Perlembagaan itu usahlah didebat secara tidak rasional - kerana, walaupun kebanyakan kita pendatang, siapa yang terlebih dahulu memakmurkan tanah ini? Dosakah menjadi Melayu? Dan, apakah yang lain tidak terkena tempias kemakmuran itu? Berlebih-lebih, malahan.

Maka, boleh anda tebak saya bagaimana, kan? Rasis?

Semua pun ada perasaan itu. Bezanya, macam mana level kita nilaikan perkara itu. Simple. Semua ada interest masing-masing. Apa yang kita mahu, mungkin akan menidakkan hak orang lain, dan sebaliknya. Equal boleh buat, justice? Is this the case pot calls kettle black?



Kesimpulan:
Must read. Boleh bandingkan kita dengan mereka. Mereka kata mereka orang biasa (walaupun mereka public figure) dan itu pandangan mereka dari kehidupan mereka.

Dan, apa pula kata kita yang luar biasa ini (bukan public figure)?


P/s: Mungkin selepas ini the Nut Graph boleh buat Found in Malaysia II yang menemubual orang-orang luar biasa ini? Adakah orang luar biasa ini kisahkan perkara sama? Mari kita lihat siapa yang kena!

Thursday, September 23, 2010

Padang Bulan & Cinta di dalam Gelas by Andrea Hirata

Image: Google

Novel ini adalah berian teman dari tanah seberang yang datang berkonferensi di Terengganu awal Ogos yang lalu. Tapi, sebenarnya, saya yang minta dia belikan untuk saya. Dan, kerana dia terhutang budi dengan saya menempah hotel untuknya, bawak dia jalan-jalan, makanya novel ini jadi hadiah [kalau tak pun, saya akan paksa dia hadiahkan kepada saya … hahahaha].

Seperti biasa, saya dapat tahu mengenai novel ini di halaman Goodreads bila Najibah membuka topik karya terbaru Andrea Hirata. Sejujurnya, inilah karya Hirata yang saya baca dengan tekun dan habis! Yang lain tu, belumlah tercapai – walau tersimpan rapi di rak.

Oleh kerana naskhah ini adalah dari Indonesia, maka bahasanya memang bahasa Indonesia. Namun, saya tidak rasa ia terlalu payah difahami (kerana bahasa Indonesia banyak juga saduran daripada bahasa Inggeris. cuma 2-3 patah perkataan yang saya tak faham – tapi tidaklah mengganggu pembacaan sangat.

Di’compile’ dua novel dalam satu buku, saya rasa ini idea yang bijak. Apa tidaknya, momentum pembacaan boleh saya teruskan tanpa saya mencari naskhah yang lain. [Dasar seorang pemalas – nak tukar buku pun malas!].


Novel pertama: PADANG BULAN


Setelah habis baca, memang saya masih tak boleh memutuskan kenapa tajuk cerita ini Padang Bulan. Namun, kalau diterjemahkan secara literal, mungkin saya boleh buat sedikit perkaitan – Padang – kawasan yang luas. Bulan pula satu objek yang cantik, dan susah digapai. Cantumkan keduanya mungkin saja ia bermaksud – kehendak manusia ini pelbagai. Sedari awal dia boleh memikirkan apa mahunya, dia akan berangan-angan untuk mendapatkannya. Ada angan-angan yang tinggal angan-angan, namun ada juga angan-angan menjadi realiti dengan kemahuan yang bukan sebarang. Dan, walaupun bulan itu susah digapai, bukankah sudah ada angkasawan yang ke sana? Begitulah seadanya … hehehe.

Seperkara lagi, bandingan antara 2 cerita di dalam dwilogi ini – saya lebih suka Cinta di dalam Gelas berbanding Padang Bulan kerana saya lebih faham fokusnya.

Kenapa begitu?

Permulaan cerita Padang Bulan, pembaca disajikan mengenai kisah keluarga Syalimah dan Zamzami (ibubapa kepada Enong aka Maryamah Karpov – tak pastilah fakta ini sudah diberitahu dalam novel Maryamah Karpov itu – saya kan belum membacanya!) – yang hidup dalam kesederhanaan dan penuh kecintaan. Kecintaan seorang suami kepada isteri, seorang ayah kepada anak, dan kecintaan seorang kakak kepada adik-adiknya. Pastinya setiap rasa cinta itu ada buktinya, dan buktinya perlu dibaca pada novel itu =)

Kemudian, cerita terus beralih kepada Ikal (watak utama dalam Laskar Pelangi) – yang sekarang ini seorang lulusan universiti dan sedang berkonfrontasi dengan ayahnya dek kerana ayahnya itu menolak cintanya dengan A-Ling – gadis Tionghua yang sangat dicintainya itu. Dan, terus-terus cerita Ikal hinggalah ke akhirnya tanpa cerita Enong itu. Kalau ada pun, Enong hanya muncul secare cameo (boleh begitu?). Dek kerana itulah saya rasa sedikit tidak senang dengan jalan ceritanya.

Tapi, yang membuatkan saya melekat pada pembacaan adalah kerana gaya penceritaan Hirata. Kelucuan, suspense, sedih semuanya bergabung. Memang pada ketika saya betul-betul ketawa terutama apabila sampai pada cerita Ikal dan kawan baik merangkap PI nya – Detektif M.Nur dan burung merpati pengutus surat – Jose Rizal.

Menghiburkan. Itu perkataan yang saya rasa paling tepat untuk menggambarkan Padang Bulan. Terhibur dengan perkara-perkara karut dan bodoh yang dilakukan Ikal demi memenangi A-Ling daripada Zinar (lelaki yang disangkakan Ikal sebagai pilihan keluarga A-Ling untuk dijadikan suaminya) dan perangai eksentrik Detektif M.Nur. Ditambah dengan kritikan sosial pada ketika-ketika tertentu, tidak hairanlah kalau ramai pengulas mengatakan Hirata beridea segar dan mudah difahami meski pada perkara yang bersifat abstrak.

Dan, begitulah cerita Padang Bulan itu.

Cerita kedua, Cinta di dalam Gelas – berdiri dalam falsafah tersendiri.

Masih seputar cerita Ikal, Detektif M.Nur, dan Enong – namun kali ini perhatian lebih kepada Enong. Enong di dalam cerita pertama adalah seorang anak yang terpaksa melupakan zaman persekolahan dan keseronokan belajar Bahasa Inggeris selepas bapanya mati dalam kecelakaan di tempat kerjanya. Dia terpaksa bekerja untuk kelangsungan hidup dan keluarganya. Namun, Enong bercita-cita tinggi untuk terus belajar Bahasa Inggeris dan apabila bertemu Ikal, dia nyata terpegun dengan Ikal kerana kebolehannya berbahasa itu. Enong pada novel kedua ini sudah berusia lanjut dan menjadi janda kepada seorang lelaki yang salah (kerana lelaki itu tidak bertanggungjawab sepatutnya – dan kemungkinan Enong berkahwin demi mengelakkan stigma anak dara tak laku).

Ikal dalam pada itu masih mengganggur dan menjadi kemarahan ibunya (belajar hingga mendapat ijazah dari universiti luar negara tetapi tidak mahu bekerja), kemudiannya bekerja sebagai pelayan di kedai kopi milik pakciknya. Di sinilah rasanya tajuk Cinta di dalam Gelas itu diperincikan.

Sebagai pelayan, Ikal membuatkan kerja yang membosankan itu sesuatu yang menyeronokkan dengan melakukan sedikit kajian mengenai jenis-jenis peminum kopi yang singgah di kedai kopi itu. Dia siap menyediakan buku daftar observation nya dan membuat kesimpulan – orang yang minum kopi pekat itu kenapa dan bagaimana sifatnya dan seterusnya. Dan, sudah tentulah cinta di dalam gelas itu merupakan bagaimana tafsiran mengenai peminum kopi dan kehidupannya - gelas kopi sebagai perlambangan.

Pemerhatian ini juga akrab dalam memperincikan budaya Melayu Belitong itu (kecenderungan melepak di kedai kopi dan permainan catur – dan, saya tidaklah tahu bahawa catur menjadi sebahagian daripada budaya Melayu kerana saya fikir, permainan yang selalu di’associate’kan dengan kedai kopi adalah permainan dam!).

Dalam cerita ini, Hirata menggambarkan masyarakat Melayu Belitong itu masih kuat citra patriarchal nya – ini digambarkan melalui apa yang boleh dibuat oleh lelaki dan susila yang dituntut dari wanitanya.

Kemuncak cerita apabila Enong menyatakan hasrat untuk bertanding catur sebagai membalas dendam terhadap suaminya (suaminya adalah antara juara catur dan catur adalah serupa maruah yang perlu dipertahankan). Enong sebelum itu tidak pernah kenal papan catur dan bidak-bidak catur berazam untuk bertanding. Kumpulan pengurusannya siapa lagi kalau bukan si Ikal, Detektif M.Nur serta 2-3 watak lain (mewakili kelompok minoriti dan tidak punya banyak suara).

Ikal kemudian mendapatkan nasihat seorang Grand Master catur – Ninochka Stronovsky – yang merupakan rakan sekuliah Ikal yang boleh membantu Enong dalam memenangi pertandingan catur itu. Setiap permainan Enong dan lawannya direkodkan secara tersusun oleh Ikal dan Detektif M.Nur dan pembantu mereka, dan corak permainan ini kemudiannya diemelkan kepada Stronovsky untuk dianalisis. Setelah beberapa siri analisis permainan, Stronovsky mendapati Enong mempunyai bakat tersendiri dalam permainan itu – dan, hampir saja menyamai bakat Anatoly Karpov! Saya rasa anda boleh menduga kesudahannya.

Plot cerita inilah yang membuatkan saya lebih terpaku dengan ceritanya berbanding yang pertama itu. Memang jelas kebijaksanaan Hirata mengadun seluruh penceritaannya.

Ah, cakap banyak pun tak guna. Cepat baca dan nikmatinya!


Saya bagi 9/10 matanya.


Thursday, September 16, 2010

Bumi Cinta by Habiburrahman El-Shirazy


Image credit: Google


Selepas Ayat-Ayat Cinta (AAC), minat saya pada karya Habiburrahhman El-Shirazy (Kang Abik) serasa biasa-biasa sahaja. Apatah lagi, selepas saya membaca Rindu Cleopatra, saya jadi menyampah habis. Namun, apabila membaca Ketika Cinta Bertasbih (KCB) I dan II, saya ok kembali. Mungkin kerana watak yang hampir sempurna membuatkan saya tidak berapa selesa dengan karya-karyanya.

Itu cerita hari itu.

Hari raya kedua yang baru lalu, apabila tetamu sudah kurang berkunjung, dan saya pun malas mahu berkunjung ke mana-mana, selepas makan tengahari, saya berkurung di bilik. Saya capai novel gemuk yang saya beli hampir dua bulan yang lalu. Dan, pembacaan diulangkan [sebab dah mula awal Julai hari tu]. Larut dalam pembacaan … saya kemudian larut terus dalam mimpi tidur siang … hahaha.

OK, serius.

Sebelum menulis ulasan ini, saya ada membaca beberapa ulasan di banyak blog. Kebanyakannya menyatakan karya Kang Abik yang ini tidak semantap AAC dan KCB – kerana plotnya mendatar dan banyak perbincangan yang tidak berapa menarik. To each his own la, kan? – saya tak tahu kenapa saya gemar gunakan kata-kata itu sejak akhir-akhir ini! Bagi saya, selepas habis membaca, saya rasa puas. Walaupun tidak secara keseluruhannya, tapi pada skala 1-10, saya menarafkan kepuasan saya pada skala 8.5. Kenapa besar sangat skalanya? Mari saya ceritakan.

Watak Ada 4 watak utama – Muhammad Ayyas, pelajar sarjana bidang sejarah yang mahu mengkaji mengenai sejarah Islam moden dalam era Rusia moden, Yelenagadis Rusia teman serumah Ayyas, pelacur kelas pertama yang tidak mempercayai Tuhan. Linor EJ Lazarenko @ Sofia Corsova @ Sofia Ezzuddinjuga teman serumah Ayyas, ejen perisik Mossad yang menyamar sebagai wartawan dan pemain biola untuk orkestra, Dr. Anastasia Palazzo, pembimbingnya yang menggantikan pembimbing asal – Prof. Abramov Tomskii. Anastasia, gadis berdarah Rusia-Itali adalah pensyarah di MGU dan seorang pakar mengenai sejarah Asia Tenggara.

PlotAyyas diminta oleh profesornya di Aligarh, India, untuk pergi ke Rusia untuk mendapatkan first hand data mengenai sejarah Islam di Rusia bagi melengkapkan tesis sarjananya. Rencananya hanya tiga minggu di Rusia. Namun, dalam tempoh itu, pelbagai perkara yang berlaku yang menyebabkan hidup Ayyas terpusing 180 darjah kalau tidak 360 darjah. Dia terlibat dengan pembunuhan seorang ahli mafia, difitnah sebagai orang yang bertanggungjawab meletupkan hotel ternama Rusia, menjadi terkenal setelah berjaya mematahkan hujah seorang penulis kontroversi di dalam satu talk dan kemudiannya muncul di dalam sebuah talk show. Di samping itu, Ayyas menjadi pemuda idaman 3 gadis watak utama yang gedegang-gedegang kecantikannya. Happy ending untuk sebahagian, dan cliff hanger pada sebahagian. [Mungkin akan ada Bumi Cinta II?].


Nilaian saya:

Nilai tambah
Saya menyukai plot cerita ini kerana subjeknya sangat menarik – bagi saya lah. Subjeknya adalah mengenai negara Rusia – yang saya rasa sangat luas dan kompleks untuk diterokai. Saya selalu membayangkan Rusia itu adalah sebuah negara yang sentiasa dalam keadaan berkabus, misteri dan cold (bukan sebab cuasanya, tapi budayanya). Malah, membaca tentang Kremlin saja sudah menyeramkan saya – bukan kerana di situ tempat pembuat dasar – tapi kerana dibayangi cerita-cerita ganas Stalin dan Lenin. St. Petersburg pula kedengaran seperti kota yang kejam dan keras. Entah apa-apa, kan? Itulah padah kalau tidak mengetahui.


Perbahasan mengenai atheis. Fenomena (boleh dipanggil begitu?) atheis adalah sesuatu yang pada saya sangat menarik. Walaupun, dasarnya ia tidak mempercayai wujudnya kuasa Tuhan, atheis itu sendiri sebenarnya adalah satu kepercayaan [ini antara perkara-perkara yang membuatkan saya tidak ‘lalu’ dengan falsafah]. Menerusi Ayyas, Kang Abik menyajikan ilmu baru kepada saya mengenai jenis-jenis atheis serta evaluation setiap satunya. Dan, paling menarik bagi saya adalah part di mana Ayyas berlawan hujah dengan seorang penulis terkenal dan penuh kontroversi kerana tulisan yang bersifat provokatif, Viktor Murasov. Namun, ada sedikit kesalan, kerana setelah Ayyas berhujah, Murasov terus didiamkan oleh Kang Abik – sebagai tanda Murasov terkena pukulan KO dari Ayyas. Pada saya, Murasov perlu bangun menentang kerana dia adalah seorang yang kritis dan penuh provokasi [tapi, kalau nak masuk yang ini, mungkin mencecah ribuan halaman pula lah jadinya, kan?]


Sejarah Sabra dan Shatilla 1982 pembersihan umat Palestin oleh tentera Yahudi. Melalui watak ibu Linor, Ekatrina – seorang sukarelawan PRC ketika kejadian itu, Kang Abik memperincikan cebisan kejadian peristiwa itu, bermula dari serangan 16 September hingga 19 September 1982. Cerita ini mengingatkan saya kepada 2 perkara – satu, Dr. Ang Swee Chai, penulis Dari Beirut ke Jerusalem (yang setengah saja saya baca – saya akan cuba habiskan lain ketika), yang menjadi saksi kepada peristiwa itu, dan lagu Allahyarham Zubir Ali – Balada Seorang Gadis Kecil, yang dinukilkan bersempena peristiwa itu – dan satu lagi, tarikh peristiwa ini bersamaan dengan tarikh lahir saya – September 17.

Kekejaman bangsa Yahudi di dalam peristiwa ini memang sukar untuk dibayangkan. Andai mereka bijak melukis peristiwa holocaust demi menarik rasa simpati dunia kepada mereka, mereka juga sebenarnya bijak menyembunyi pembunuhan di Sabra dan Shatilla ini. Sehinggakan, kita (saya sebenarnya), lebih dulu mengetahui holocaust dan simpati terhadap ‘mangsanya’ daripada saudara seagama di Sabra dan Shatilla.

Paling mengesankan apabila watak ibu Linor menyuruh Linor merenung dalam-dalam kepada rakaman ke atas satu mayat seorang wanita yang dirobek perutnya, disiat payudaranya dan londeh pakaian serta tudungnya – kerana itu adalah mayat ibu sebenar Linor – Dr. Salma Abdul Aziz. Saya tidak pasti watak Dr. Salma fictional atau pun tidak, tetapi nama-nama yang disebutkan oleh ibu Linor seperti Azizah Khalid dan Ang Swee Chai itu memang saya ingat dari buku Dari Beirut ke Jerusalem itu. Tragedi sebuah bangsa yang entah bila akan tamat T_T


Saya sebenarnya kagum dengan ‘keperasanan’ penulis dengan negaranya dan rakyatnya – lewat watak Ayyas itu. Watak itu dilukis dengan penuh pesona dan Indonesia digambar sebagai negara yang indah dan muluk. Saya jarang sekali menemukan watak orang Melayu Malaysia digambarkan sebegitu – maksudnya, yang sampai memberi impak international sebegitu (seperti menjadi popular hingga dijemput ke dalam talk show pada waktu prime time di stesen TV Rusia).

Pengecualian mungkin kepada tulisan FT dalam 1511 dan yang sewaktu dengannya. Juga karya Ramlee Awang Murshid – ADAM (besar kemungkinan ramai yang telah menulis, cuma saya yang tidak terjumpa). Bagi kita yang maklum dengan keadaan Indonesia, pasti ada rasa lucu apabila membaca perkara-perkara ini, dan ini juga mengingatkan saya kepada Ideal-Type Construct theory dalam bidang Development Administration. Tapi, kekaguman saya mengatasi kelucuan itu, kerana kalau tidak kita yang bermegah dan berbangga dengan diri kita, siapa lagi? Tidak salah kalau memberi penarafan yang tinggi pada diri sendiri (walau hakikatnya kita tidak begitu bagus) – kerana itu adalah lambang kepada tingginya self-esteem dan self-confidence kita. Kuasa confidence itu sangatlah besar dan mengesankan walaupun over-confidence selalu mendajalkan kita.


Seperkara lagi, hikmah dalam berdakwah. Hikmah dalam berdakwah pada saya adalah kebolehan menerangkan dengan mudah perkara yang susah tanpa mengurangkan tuntutan kepada perkara tersebut untuk orang yang mahu didakwahkan. Ataupun, hikmah itu, bermaksud, sentiasa ada jawapan untuk perkara-perkara yang ditanya. Dan, hikmah juga bermaksud, pintar memilih tindakan mengikut keadaan. Dan, perkara ini tercermin benar pada Ayyas semasa di dalam talk show itu. Saya cemburu dengan watak Ayyas dan penulisnya kerana hikmah mereka!



Nilai susut
Hal- hal teknikal sahaja …

Pertamanya, pengulangan dan pengulangan. Mungkin, dek kerana novel ini agak tebal, penulis terpaksa mengulang beberapa kali benda yang sama supaya fokus pembaca tidak lari. Namun, ia sedikit mengganggu kerana kadang-kadang pengulangan itu sama panjangnya dengan bahagian asal yang sudah dibaca. Bagi orang yang jenis membaca laju, mungkin tak terasa, tetapi pembaca yang deep reading (baca: slow dan lembab) macam saya ia menerbitkan rasa kecewa kerana tiba-tiba kena baca benda yang baru dibaca pada 15 muka surat yang lepas …


Ejaan. Kalau novel itu tebal, dan tiada langsung kesalahan ejaan, ia merupakan bonus point kepada saya kerana saya tak tahu kenapa saya sangat sensitif dengan ejaan. Walaupun tak banyak salah, ia tetap mengganggu. Dan, masa terganggu itulah masa terbaik untuk saya larut sampai tidur … what an excuse! Lame sungguh! Tapi, seriously, ejaan salah memanglah mood spoiler.


Kebetulan. Apabila ramai pengulas mengatakan novel ini mendatar sahaja, saya menyedari ada kebenarannya apabila habis membaca. Banyak perkara yang anti-klimaks. Asalnya memang mendebarkan, tetapi, bila di pertengahan, sudah boleh ditebak apa jadinya. Mungkin ia bermaksud, oleh kerana Ayyas seorang yang berperibadi tinggi, segala kesulitan jarang menghinggapinya … ah, bosan!

Antaranya, bila Ayyas tergoda oleh Linor, tiba-tiba Ayyas tersedar perbuatannya, kemudian terus melumpuhkan Linor serta mengeluarkan Linor dari kamarnya. Kebetulan.

Bila Linor memasukkan beg yang mengandungi bukti palsu yang akan mengaitkan Ayyas dengan letupan hotel Metropole, beg itu boleh pula tertinggal semasa Ayyas berpindah dan Ayyas tidak langsung melihat beg itu. Kecuaian seorang perisik? Kebetulan yang pelik. Dan banyak lagi lah …


Kesimpulan:
Selepas membaca novel ini, terasa semangat Islam itu sedikit membara. Memang ia boleh membangunkan jiwa sedikit sebanyak. Semangat untuk melakukan sesuatu untuk agama, bangsa dan negara melambai-lambai. Namun, selama mana? Hanya Allah yang tahu.

Hidayah itu kerja Allah. Namun, usaha untuk mencarinya tidak pernah Allah halangkan. Semoga kita semua menemukan makna pada kehidupan yang sementara ini, InsyaAllah.



**Sebab novel ini tebal, maka, ulasannya juga panjang.

Friday, August 27, 2010

Ogos yang semakin habis ... dan Ramadhan juga!

Salam Ramadhan. Salam Merdeka. Salam 1Malaysia. Heh!

Wah, pelajaran di Madrasah Ramadhan hampir nak habis. Tinggal dua minggu sahaja lebih kurang. Apa yang sudah kita belajar? Belajar menjadi redha dengan ujian? Belajar bersabar dan bertenang? Belajar menggandakan amalan? Dan, andai Ramadhan ini yang terakhir, bagaimana? -- ah, ala-ala Ustazah pula.

Apahal ni? -- Saja. Ingat mengingati. Semoga dipermudahkan semuanya. =)

Kemudian, bicara tentang ulang tahun kemerdekaan negara yang menghampiri usia 53 tahun - adakah makin matang pemikiran warga di dalamnya? Buat pertama kali, bulan hadapan menyambut Hari Malaysia pula ... apa yang sudah kita lakukan untuk negara? Sudah cukupkah bakti kita pada tanah yang sejahtera ini? -- persoalan-persoalan yang membuatkan saya rasa syahdu. Kenapa? Entah, saya pun tak pasti.

Entri kali ini belum ada ulasan, cuma sedikit nota untuk berita apa yang saya baca.

Yang sudah habis baca, tapi belum rasa mahu review:


Suka betul saya baca buku Ustaz Ismail Kamus yang ini. Ceria seperti gambaran muka depannya. Terkekeh-kekeh saya ketawa dengan cara Ustaz menjawab. Dan, saya tak rasa saya akan ulas apa-apa mengenai buku ini. Buku tentang bagaimana mahu beribadah - bagaimana nak ulas? Melainkan, gambaran yang diberikan, dapat mempermudahkan pembaca dan menepati tajuknya.

Buku yang di sebelahnya itu saya dapatkan dari Sindiket Sol-Jah. Kalau anda adalah regular readers buku-buku terbitan mereka, anda mungkin boleh imagine diversity penceritaannya. Ini saya akan ulas kemudian. Saya dah nak tulis dah sebelum ni, tapi bila ada ulasan lain yang bercerita, saya rasa inferior betul idea saya. Maka, saya akan fikirkan semula -- macamlah rajin sangat nak mengulang baca ni! Haih!


Yang baca separuh, sebahagian besar yang tertangguh!

Kebanyakan semua yang ini, mula baca dah lama, tapi tak habis-habis juga. Cuba nak baca sebelum tidur, tapi, belum sempat buka buku, dan habis baca doa, sudah berdengkur. Habis, macam mana? Alasan! Lame lah!


Paling lama, Qur’an and Cricket tu lah. Mula bulan Jun lagi, sampai nak habis Ogos pun tak habis-habis. Dari Abu Bakar Bashir kena tangkap, dilepaskan, kena tangkap semula pun, saya tak habis-habis baca. Sekarang, saya tersangkut di bab penulis bertemu mata dengan Abu Bakar Bashir. Suka bacanya, tapi tak upaya nak habis. Paradox apakah itu?

Buku Randa itupun antara yang lama nak dihabiskan. Kenapa entah kali ini saya tidak berapa rasa nak baca sangat seperti dua bukunya yang terdahulu.

Buku Habiburrahman itu, baru dimulakan awal Julai yang lalu. Agak tebal dan disebabkan mood nak baca novel agak kurang mari, tersangkuuut jugak yang ini pun. Baru di bab-bab awal kehidupan Ayyas di Moscow. Ada tekanan pada pembacaan. Apa dia? Will be disclosed once finish. Bila? Jangan Tanya. Hahahaha! Ntahapapantah, kan?

Dwilogi Andrea Hirata itu hadiah teman dari seberang. Dalam bahasa Indonesia. Tiada masalah untuk memahaminya, Cuma, itulah, asal nak sambung baca, ngantuk. Nak sambung je, ngantuk. Bila mau habis pun tak tahu! Psstt … ni ada rahsia – Laskar Pelangi, Sang Pemimpi, Edensor, Maryamah Karpov – semuanya ada, tapi TAK BACA-BACA! Saya pun tak tahu. Agaknya tak mahu tertinggal mengikut trend, beli, tapi tak baca. Bukan cerita baru, tapi sikap yang susah nak diubah! Kids, don’t try this at home!

120 Malay Movies tu, masa belum dapat excited macam apa sahaja. Selepas menerima naskhah beserta autograph penulisnya, terasa sebaliknya. Mungkin ada kaitan dengan expectation saya. Sendiri buat expectation, sendiri kecewa. Itulah, orang dah kata, nak baca, kena dengan minda yang clear … tak boleh prasangka, baru boleh lahirkan rasa yang original. Mungkin kena peram sekejap supaya sedikit ranum untuk penghadaman yang senang – sekarang rasanya masih separa putik. Hehehehe.


Beli, beli, beli dan tak baca-baca lagi ...


Tropical Affairs tu dua-tiga kali menarik pandangan. Cukup kali keempat, kena lah ambil! Apa punya ajaran pun tak tahu. Selak-selak, tutup. Selak-selak, tutup. Lepas tu, tertutup terus tak selak-selak langsung. Mungkin lepas Malaysia Day boleh sambung balik. Significant? Entah, tiada alasan.

Buku Ahmad Deedat itu paling baru saya beli. Tinggal satu naskhah di Popular Mesra Mall. Mahu mencuba kerana saya tidak pernah membaca sebarang karangan Deedat. Pengetahuan saya mengenai Deedat pun tidak banyak. Bila nak mula? Mungkin minggu-minggu terakhir Ramadhan, bila kuliah sudah tiada. Rasanya perlu penelitian yang banyak kerana isunya sedikit menguji. Dulu bercita mahu belajar comparative religion, tapi sampai sudah tidak kesampaian. Maka, cuba-cubalah untuk menguji diri. Moga saya temui kekuatan di situ! [sentap!]


Yang terus-terusan dibaca, walaupun macam-macam perasaan ada …


Dua yang ini lah. Kenapa kena baca? Sebab nak kena bagi lecture. Paper 101 je, tapi macam mana nak bagi lecture kalau sikit saja yang kita tahu? Maka, sebagai frustrated law student, saya kena menelaah lebih sikit daripada budak-budak ini. Dan, suka saya katakan, ia sangat membantu dan ia membuatkan saya perasan saya macam pandai gila bab undang-undang! Dan, ia juga menyebabkan saya menggedik-gedik nak buat law degree. First love. Takkan pernah mati. Moga-moga tercapai satu hari nanti.


OK … anda macam mana? Banyak mana pembacaan anda? Apa yang anda belajar daripada pembacaan anda?

Semoga amalan kita diterima Allah SWT. Selamat berpuasa semua! Dan, Selamat Hari Merdeka dan Hari Malaysia!


Malaysia, Boleh!


Gambar: Google kecuali Buku Deedat - from my own lense