Semasa berkunjung ke gerai ITBM di PBAKL 2014 yang lalu (tujuan utama untuk melakukan penebusan diskaun 50% buku), mata tertarik pada buku comel ini.
Tapi, sebenar yang menarik adalah nama pengarangnya. Yumi Zuhanis Has-Yun Hashim. Ada satu cerita yang tidak berapa signifikan tetapi telah menjadi sejarah zaman kanak-kanak saya.
Sebelum masuk ke review bukunya, mari saya coretkan cerita yang kurang signifikan itu.
Source: IIUM website |
Semasa bersekolah rendah, ibu saudara saya membuka kelas mengaji Al-Quran kanak-kanak dan pelajarnya adalah dari seluruh kampung kami dan taman-taman perumahan sekitarnya di pinggir pekan Kangar. Salah seorang rakan 'sepengajian' saya adalah Wan Sabariahasni Ku Mat Saat, yang bersekolah di SRK Stella Marris.
Kami belajar di sekolah berbeza dan semasa mengenali Wan Sabariahasni, kami berada di tahun 5. Pada masa itu, saya mempunyai satu tabiat atau mungkin juga boleh dikatakan hobi yang aneh, kerana saya gemar mencari rakan untuk menulis surat (ingat zaman pen pal?) dan rakan itu haruslah mempunyai nama yang unik.
Wan Sabariahasni seorang yang gemar bercerita dan dia suka bercerita mengenai rakan-rakan sekolahnya - dan salah seorang daripadanya adalah Yumi. Saya tidak ingat apa istimewanya Yumi, namun saya paling ingat namanya. Kata Wan Sabariahasni, Yumi adalah anak penulis novel terkenal di Perlis sekitar tahun 1980an, iaitu Nazel Hashim Mohamed. Dan, ketika itu, novel Nazel Hashim yang popularbertajuk AYAH KURINDU, IBU KUSAYANG. Yumi merupakan nama watak di dalam cerita itu (saya pernah baca novel itu, tetapi sudah lupa jalan ceritanya).
Saya kemudian meminta Wan Sabariahasni agar menyuruh Yumi dan 3 orang lagi rakan sekolahnya yang bernama unik untuk menulis di buku autograph saya sebagai tanda persahabatan. Dia menurut tanpa banyak soal, dan seminggu kemudian, buku autograpgh saya penuh dengan coretan dari Yumi (bukan apa sangat, sedikit biadata dirinya dan sedikit kata-kata indah buat sahabat. Malangnya, buku autograph itu hilang entah ke mana). Tulisan Yumi sangat kemas dan cantik. Sesuai dengan namanya.
Selepas itu, tiada apa yang berlaku - persahabatan yang tidak berapa serius. Hinggalah, pada saat keputusan SPM 1994 diumumkan, Yumi dinobatkan sebagai pelajar terbaik SPM 1994 bagi negeri Perlis. Saya tumpang gembira kerana kenallah juga siapa dia .. Hi hi hi
Itu sahaja ceritanya - tak ada signifikan pun, kan? Cuma cebisan memori hidup. :)
Berbalik kepada buku comel bersifat travelog ini - ia adalah rangkuman kisah Yumi semasa menyempurnakan pengajian di peringkat PhD di Universiti Ulster, Nothern Ireland (2004 - 2007 -- hebat dia.. saya pada 2004 baru memulakan kerja pertama!).
Diiringi suami dan dua anak kecil, Yumi bercerita mengenai suka duka hidup di bumi asing - tidak banyak beza dengan travelog penulis-penulis lain. Cuma yang berbeza mungkin fokus penceritaan mengenai perjalanan PhD nya yang boleh saya manfaatkan andaikan suatu hari saya mahu berbuat demikian ;). Seperkara lagi, perbezaannya mungkin cara seseorang penulis memberi perspektif pada kehidupan yang dilalui.
Perkara penting yang saya selalu cari dalam pembacaan tulisan genre begini, adalah bagaimana saya boleh relate dengan penceritaan penulis itu. Ini hal yang sangat penting kerana tanpa 'perhubungan' ini, ia akan membosankan -- lebih-lebih lagi bila masa lapang merupakan satu bentuk barang mewah yang susah diperolehi.
Dalam konteks penceritaan Yumi, banyak perkara yang boleh relate - peranannya sebagai pensyarah, pelajar, dan anak. Selebihnya, saya sama menikmati kehidupannya melalui perkataan-perkataan dan ayat-ayatnya. Terasa saya berada di situ juga!
Rating saya? -- saya tidak suka memberi rating kepada catatan pengalaman orang kerana pengalaman kita berbeza. Bila ia berbeza, ia akan menjadi sangat subjektif secara relatifnya.
Ia cerita biasa - tapi dalam biasanya itu lah kita mungkin temui sesuatu yang luar biasa.
Terima kasih Yumi kerana berkongsi hidup anda!